iklan

Followers

Pages

Friday 21 September 2012

Part 4 - Bila dia sakit, aku turut terasa

Sambungan dari Part 3

Pukul 9.00 pagi Khamis, 30 Ogos 2012 sekali lagi hubby menjalani angiogram yang kali ini dilakukan oleh Dato' Dr. Anuar Masduki di SDMC Ara Damansara. Aku pula lewat bergerak dari rumah kira-kira pukul 9.15 pagi bersama kelima-lima anak aku.

Lebih kurang pukul 10.00 pagi aku menerima panggilan dari SDMC Ara Damansara semasa sedang memandu. Dato' Dr. Anuar lansung bercakap dengan aku tentang keputusan ringkas angiogram kerana khuatir tak sempat jumpa aku. Dia ada urusan lain yang mungkin tidak dapat menunggu aku selepas 15 ke 20 minit lagi. Terkejut juga aku kerana cepatnya siap proses angiogram tu dengan keadaan jantung sebelah kanan hubby turut dapat dikesan.

Hubby ditempatkan di wad CCU di tingkat 1. Hanya 2 orang sahaja yang dibenarkan sekali masuk denga usia 12 tahun ke atas. Aku masuk dengan ditemani oleh Aishah dan kemudian Amirul. Sementara Azri dan Asyikin pula aku minta mereka jagakan Arif di ruang menunggu, yang juga berada di aras yang sama. Ada TV disediakan.

CCU

Hubby yang kelihatan tertidur seperti sedar dengan kehadiran kami. Dia membuka mata. Amirul dan Aishah hanya bersalam dan mengucup tangan ayah mereka seperti biasa. Melihat keadaan hubby yang lemah, aku hanya mengucup dahinya dan berbisik "Ayah rehatlah dulu! Mama nak bawa anak-anak sarapan dulu. Semuanya datang pagi ni. Kami nak tidur di rumah kakak malam ni! Petang nanti mama datang lagi!".

Aku keluar dari wad CCU dan duduk sekejap bersama anak-anak di ruang menunggu. Tiba-tiba Dato' Dr Anuar lalu di situ dan dia ternampak aku. Dia menghentikan langkahnya dan melambai tanda mengajak aku masuk semula ke wad CCU. Aku akur dan sempat berpesan pada Aishah untuk jagakan si kecil yang aktif sangat, Arif yang baru 3 tahun usianya.

Dia membawa aku berjumpa semula dengan hubby. Hubby sedar dengan kehadiran kami.

"Faisal! Saya nak tunjukkan sedikit kepada isteri Faisal tentang hasil angiogram tadi. Faisal berehatlah dulu ye!", lebih kurang begitulah kata-katanya yang lembut pada hubby. Hubby hanya mengangguk dan tersenyum tanda berbahasa.

"Siapa nama ye?", doktor bertanya pada aku.

"Panggil Liza saja pun tak pe!", jawap aku.

"Liza! Ikut saya ke bilik untuk saya tunjukkan hasil angiogram tadi", katanya.

Aku mengekorinya dengan ditemani seorang nurse ke bilik yang dimaksudkan. Tak pasti apa nama bilik tu. Sebelum masuk kena buka kasut dan guna selipar yang disedikan untuk menjaga kebersihan bilik itu.

Beliau menunjukkan hasilnya menggunakan video di mana situasi sebelah kiri jantung ada 3 saluran yang jelas tersumbat. 2 daripadanya menutupi ruang dalam 40% dan agak serius di 1 bahagian pangkal utama hingga 90% lebih. Kesakitan yang dialaminya pada 25 Ogos lalu berpunca daripada bahagian kiri.

Bahagian kanan jantung juga dapat dilihat yang mana sebelum ini gagal dilihat semasa angiogram pertama di Hospital Serdang. Kelihatan lebih banyak saluran darah yang tersumbat tetapi peratusan menutupi ruang tidaklah hingga 90%.

Rancangan awalnya untuk melakukan angioplasti tidak dapat diteruskan kerana khuatir risiko yang dihadapi memandangkan bilangan yang tersumbat agak banyak walau pun dalam 1 saluran. Maka pembedahan pintasan jantung akan dibuat di kedua-dua bahagian kiri dan kanan jantung. Keputusan muktamad berapa bilangan pintasan akan ditentukan oleh Dato' Dr. Rozali Wathooth nanti. Kemungkinan yang Dato' Dr. Anuar kata 2 pintasan di bahagian kanan dan 2 juga di bahagian kiri.

Aku mendengar dengan wajah yang tenang walau pun di dalam hati memang dah mengucap panjang. Resah! Risau! Seperti memahami gejolak hati, Dato Dr. Anuar memberitahu bahawa pembedahan pintasan jantung hubby akan dilakukan oleh Dato' Dr. Rozali bersama pasukannya. Beliau telah bekerjasama dengan Dato' Dr. Rozali hampir 27 tahun lamanya. Masing-masing telah memahami apa yang boleh dan apa yang tidak boleh. Seperti kita berkawan juga, sudah faham rentak dan riak sahabat.

Selesai penerangan, kami beralih semula ke katil hubby. Dato' Dr. Anuar memberitahu bahawa hubby boleh check-out keesokan pagi jika hubby rasa ok dan tekanan darahnya stabil. Eh! Cepatnya dah boleh keluar. Sukanya hubby dan aku juga.

Sebelum keluar aku suapkan hubby makan dahulu dengan makanan yang telah disediakan. Lapar katanya. Cuma makan roti saja seawal pukul 7.30 pagi sebelum angiogram. Habis juga nasi yang aku suapkan. Setelah selesai makan, lapkan muka dan lehernya agar selesa dan buang air kecil dalam bekas yang disediakan, barulah aku keluar jumpa anak-anak.

Kesian anak-anak yang masing-masing dah kelaparan. Tak tahulah nak kata sarapan atau pun makan tengahari. Pun sebelum tu sempat makan roti dalam kereta tadi.

Aku mengajak anak-anak ke cafe yang terletak di aras basement (B1) dengan membawa bersama nasi lemak yang sempat aku beli di gerai dekat rumah aku tadi. Ada mesin ATM Maybank dan CIMB juga di B1 yang berhadapan dengan kedai ala 7-Eleven. Bersebelahan pula kedai itu dengan lab untuk menderma darah. Betul-betul di hadapan pintu lif.

Cantik cafenya tapi cuma ada 2 lot kedai sahaja yang buka. Masih ada 2 lot lagi yang kosong. Kedai paling kanan menjual air dan sandwich. Kedai paling kiri pula dengan nasi berlauknya. Aku hanya membeli sayur kangkung goreng dan air untuk anak-anak. Dapatlah guna sudu garfunya dan minta mangkuk kecil untuk letakkan sambal ikan bilis nasi lemak tadi. Aku belikan Arif sebiji tomato sebab dia tak mahu makan nasi. Terkejut peniaga kedai tu bila aku kata tomato tu nak sebiji je dan tak payah dipotong pun. Arif buat macam makan epal je. Riuh cafe dengan suara anak-anak aku. Orang pun tak ramai sangat.

Cafe
Selepas puas makan dengan ais krim pula, barulah kami bergerak menuju ke rumah kakak. Cuma 10 minit je nak menghala ke Desa Subang Permai.

Anak-anak memang suka pergi ke rumah mak ngahnya. Ada Astro dan ada Wifi. Bolehlah nak berinternet dan tengok siaran TV yang lebih banyak pilihannya. Kat rumah aku ada Unify je.

Mak aku pun ada kat rumah kakak. Kira ziarah mak sekali le. Dapat juga aku berehat dan melelapkan mata sekejap.

Jam 4.45 petang, terima SMS dari hubby bertanyakan jika aku ada datang atau tidak. Lapar katanya nak minta aku suapkan. Tak mahu nurse yang suapkan. Malu agaknya. Hubby akukan pemalu... he..he..

"Mama on the way!", kebetulan aku memang baru nak keluar pun.

Aku suapkan makannya dan ubat sekali. Sekali-sekala handphone berbunyi, ada rakannya yang bertanya khabar. Kesian juga bila ada rakan sekerja yang nak datang dari Bandar Baru Bangi tetapi tersesat pula hala ke KL.

Dari petang membawa ke malam. Rakan baiknya yang juga dah pun jadi bossnya datang bersama anak-anak dan isteri dari Bukit Mahkota, dekat je dengan rumah aku. Rakan memancingnya juga.

Adik aku pun turut menziarahi bersama suami dan anak-anaknya, si comel Aleesya (3 tahun) dan kakaknya Adrianna (6 tahun). bergilir-gilirlah masuk ke wad CCU. Abang ipar (suami kakak) pun turut singgah kerana dalam perjalanan pulang ke rumah dari pejabatnya yang berhampiran.

Halaman SDMC Ara Damansara
Aku berlalu dari hospital sekitar jam 9.00 malam. Tak risau sangat dengan perjalanan kerana dekat saja nak balik ke rumah kakak. Cuma berpesan pada hubby agar SMS jika perlukan apa-apa. Aku dibenarkan masuk ke wad itu bila-bila masa saja.

Sambungan ke Part 5

3 comments:

-Sara- said...

didoakan suami kak liza cepat sembuh..take care :)

Elih Japahar said...

Semoga cepat sembuh, aminn...

Dr K said...

so dah decide bila nak buat coronary bypass nya?