Tajuk berita Harian Metro hari ini memang benar2 menunjukkan besarnya perbezaan kasih sayang & layanan antara 2 orang suami terhadap isteri masing2. Seorang suami sanggup memijak isterinya sehingga mati selepas melihat isterinya minum bersama rakan. Manakala seorang suami yg lain pula sanggup bergadai nyawa demi menyelamatkan isterinya yg tersayang drp menjadi mangsa sengatan lebah hingga akhirnya dia sendiri terbunuh. Ikuti berita yg dipetik daripada Harian Metro :--------------------------------------------------------------------------------
Suami 1 : Rela mati demi isteriKUALA TERENGGANU: Demi menyelamatkan isterinya, seorang penoreh getah sanggup menggadaikan nyawa apabila merelakan dirinya disengat ribuan lebah sehingga dia terbunuh dalam kejadian di Kampung Tanah Lot, Pasir Gajah, Kemaman, kelmarin.
Akibat kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, Ali Din, 54, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Kemaman manakala isterinya, Khersiyah Engku Hassan, 51, turut cedera dan dimasukkan ke wad selepas terdapat 102 kesan sengatan pada badannya.
Kejadian berlaku ketika pasangan suami isteri itu berjalan kaki pulang ke rumah selepas selesai menoreh getah di kebun milik mereka sebelum seekor lebah tiba-tiba menyengat pipi Khersiyah.
Secara spontan, Khersiyah menampar lebah di pipinya hingga serangga itu mati, namun selang beberapa saat kemudian ribuan lebah muncul dan menyerang pasangan itu.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat berkata, dalam keadaan kelam-kabut dan kesakitan, pasangan itu lari mendapatkan bantuan pekerja asing di rumah kongsi tidak jauh dari situ.
Menurutnya, kumpulan pekerja asing itu menyerahkan selimut kepada Ali dan Khersiyah sebelum mereka turut melarikan diri ke semak berhampiran akibat disengat.
“Selepas mendapat selimut, si suami menyelimuti isterinya, tapi mereka terus berlari hingga si suami akhirnya terjatuh. Si isteri cuba membantu, tapi suaminya menyuruh dia terus lari menyelamatkan diri.
“Kebetulan, ada satu tong besar berisi air tidak jauh dari situ dan suami menyuruh isterinya menuju ke tong itu dan menyelam bagi mengelak terus disengat,” katanya.
Beliau berkata, biarpun keberatan, Khersiyah akur arahan suaminya dan tindakan itu menyelamatkan nyawanya manakala Ali terus disengat ribuan lebah hingga tidak sedarkan diri.
Menurut Abdullah Sani, selepas keadaan agak terkawal Khersiyah pulang ke rumahnya dan mendapatkan bantuan ahli keluarga.
Katanya, seorang adik ipar Khersiyah segera membantu wanita itu dan turut bergegas ke tempat Ali terlantar tidak sedarkan diri sebelum membawa mereka berdua ke Hospital Kemaman. “Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital dan dia menghembuskan nafas terakhir di atas riba isterinya,” katanya. Abdullah Sani berkata, hasil bedah siasat, doktor mengesahkan Ali meninggal dunia disebabkan mengalami alahan pada sengatan lebah manakala isterinya yang mempunyai 102 kesan sengatan di badan masukkan ke wad sebelum dibenarkan keluar pagi semalam.
Menurutnya, jenazah Din sudah dituntut anggota keluarganya sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pasir Gajah di sini, kira-kira jam 11 pagi semalam.
------------------------------------------------------------------------------------------------
Suami 2 : Neraka cinta
BINTULU: Bagaikan dirasuk syaitan, seorang suami membelasah, menendang dan memijak isterinya sehingga mati dipercayai akibat perasaan cemburu buta selepas melihat isterinya minum bersama rakan di rumah mereka.
Kejadian berlaku di rumah kongsi tempat tinggal pasangan suami isteri itu, Jalan Pesisir di Nyalau, kira-kira jam 10 malam kelmarin.
Lebih menyedihkan, lelaki berusia 33 tahun itu memukul isterin yang setahun lebih tua daripadanya di depan anak tunggal mereka berusia tiga tahun serta beberapa rakan sekerja.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Sulaiman Abd Razak berkata, sebelum kejadian, suspek minum bersama rakan di sebuah gerai dan apabila pulang ke rumah dia melihat isterinya sedang minum bersama empat rakannya di rumah kongsi berkenaan.
“Sebaik melihat isterinya sedang minum bersama rakan, suspek dikatakan mengarahkan isterinya beredar, namun wanita berkenaan enggan mengikut arahannya.
“Berang dengan sikap isterinya, suspek hilang pertimbangan lalu bertindak memukul, menendang selain memijak perut mangsa menyebabkan dia pengsan.
“Selepas dibelasah, wanita terbabit dikatakan pengsan sebelum disahkan meninggal dunia di rumah kongsi berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, polis menerima maklumat orang awam sebelum bergegas ke tempat kejadian dan menemui mangsa dalam keadaan terlentang selain mengalami lebam di beberapa anggota badan.
“Siasatan awal mendapati, mangsa meninggal dunia akibat kecederaan dalaman dengan kesan lebam ditemui pada badan mangsa,” katanya.
Beliau berkata, suspek yang berasal dari Dalat, Sibu kini direman bagi membantu siasatan dan polis tidak menemui sebarang senjata tajam di tempat kejadian.
“Berdasarkan siasatan awal, mangsa dikatakan menetap bersama suaminya di rumah kongsi berkenaan selepas mengikutnya bekerja sebagai buruh kasar sejak beberapa bulan lalu. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.