iklan

Followers

Pages

Showing posts with label Kawan-kawan. Show all posts
Showing posts with label Kawan-kawan. Show all posts

Monday, 2 March 2015

Makan dan bayar online


Biasa kita dengar beli barang secara online. Kita bayar dulu secara online dan kemudian orang pos barang tu kat kita. Tapi biasa tak buat macam ni? Kita pi makan atau beli barang kat kedai tapi bayar secara online?

Tak tahulah orang lain ada buat ke tidak tapi aku ada buat. Ini pun sebab kawan yang dah kenal lama dan dia ada rasa percaya dengan aku. Setiap kali aku bayar pun pasti aku mesejkan perincian bank pada pemilik kedai tu yakni kawan akulah.

Akulah yang cadangkan cara ni pada dia. Saja suka-suka nak menggalakkan dia menyimpan duit sebenarnya. Bukan banyak pun sekali aku belanja, tak sampai RM20 pun selalunya. Setiap kali aku buat bayaran, aku akan rekod juga dalam 'notes' di smart phone Lenovo aku tu. Transaksi memang aku buat 'on the spot' depan dia. Jika ada masalah internet pada Lenovo tu, aku akan buat kemudian atas pengetahuan kawan dia.

Kawan aku yang berniaga ni cuma jual nasi lemak, nasi ayam dan jajan je kat tepi jalan. Niaga kecil-kecilan je, kadang susah nak buat simpanan. Jadi bila sekali-sekala aku tunjuk jumlah simpanan dia yang aku rekod, gembira sangat dia. Ye lahkan, selama ni nilai RM dalam bank tak meningkat pun. Itulah nikmat menabung bila nampak hasilnya.

Kadang aku ketawa sama-sama melihat gelagat dia yang 'excited' tengok jumlah simpanan dia. Hidup aku mungkin tidaklah sesusah dia daripada segi nilai kewangan tetapi banyak nilai kemanusiaan yang aku pelajari daripadanya. Belajar untuk kurangkan merungut bagi mana-mana kekurangan yang ada dan lebih bersyukur.

Thursday, 5 June 2014

Modal niaga kena pusing, jangan belanja... itu asas niaga!

Aku baru mengenalinya selama 2 hari. Sempat sedikit-sebanyak mendengar kisah hidupnya yang gigih. Ramah dan mudah tersenyum namun ada sedikit kisah kepayahan di sebalik wajah yang ceria. Itu kisah dulu.

Usia suaminya lebih muda 7 tahun daripadanya. Nampak sangat dia ni wajah awet muda. Katanya hanya tahu bila nak isi borang kahwin selepas 6 bulan kenal. Biar betul hang ni. He..he.. dah nak jodoh dia.

Dulu dia bekerja di kilang tetapi terpaksa berhenti kerana anak sulungnya yang kurang upaya memerlukan perhatian khusus. Tidak pulak aku bertanya lebih jelas jenis kurang upaya yang bagaimana. Setelah anaknya besar sikit dan lebih mudah dijaga, dia bekerja semula sebagai kerani di sebuah kedai buku.

Kemudian mengandung pula anak kedua dan lagi sekali dia terpaksa berhenti kerja kerana pengasuh yang menjaga bayinya suka meninggalkan kesan lebam pada si kecil. Maka dia terpaksa menjaga bayi itu sendiri.

Gaji si suami hanyalah RM1300 sebulan. Tidak cukup untuk menampung hutang kereta, membayar sewa rumah, bil api air dan membeli susu dan lampin anak. Dia harus berfikir cara mana yang dia mampu untuk mencari rezeki bagi membantu si suami.

Terlintas di fikirannya untuk berniaga burger tetapi di mana pula hendak menggamit modal niaga.

Dia jual handphone jenama Samsungnya, aku pun tak bertanya apa modelnya dan berapa yang dia dapat. Dia pinjam duit adiknya sebanyak RM300 dan membayar balik secara bulanan.

"Alhamdulillah kak! Baru 6 bulan saya berniaga burger. Rezeki Allah tu ada, setiap hari ada saja customer! Bulan-bulan boleh saya kumpul untung bersih dalam seribu ringgit".

Katanya lagi, setiap hari dia akan simpan untung bersih dan pusing semula modal. Kena ada disiplin. Itulah yang kita selalu dengar pun jika nak berjaya dalam perniagaan. Modal perlu kita pusing semula, bukannya diguna untuk perkara2 lain dari tujuan asal niaga. Tapi itulah yang sering kita lupa, maka ramailah yang selalu cepat gulung tikar.

Kisahnya kelihatan biasa dan mudah didengar tetapi jika kita bayangkan situasi sebenar andai berlaku pada kita, mampukah kita melaluinya. Belum lagi melalui situasi yang lebih sukar.

Wednesday, 23 April 2014

Hari-hari merungut ; memang annoying!

Kawan-kawan ada bermacam-macam kerenah. Ada yang menyenangkan dan tentu juga ada yang menyusahkan. Yang pasti kita akan cuba menghindari mereka yang suka menyusahkan.

Apa yang nak aku ngomelkan di sini tentang mereka yang menyusahkan. Aku tak ada nak senaraikan banyak, hanya ini saja. Aku boleh bertahan dengan orang yang suka merungut atau mengeluh tentang hidup susah tetapi dia tetap bekerja dan berusaha. Tapi aku cukup rimas dengan orang yang merungut dan meratap hiba tanpa melakukan sesuatu untuk berusaha keluar dari masalah sedang dia hadapi.

Aku ada sorang kawan yang hidup dia memang susah dari segi duit. Gaji suami dia memang tak sampai RM1,000 pun sebulan tapi terpaksa menanggung 6 orang anak dan salah seorangnya belajar di IPT. Kawan aku ni tak bekerja.

Sesetengah orang ni hidupnya susah. Ye! Aku faham tu. Cuma yang aku sedih bila dah tahu hidup susah tapi merungut saja tanpa buat apa-apa untuk selesaikan masalah duit.

Betul! Aku pun sedang merungut ni! Aku merungut sebab dah letih dengar dia terlalu kerap merungut. Terlalu banyak fikir 'tak boleh', 'tak mungkin' dan negatif je. Selalu bersangka buruk dengan orang lain tanpa melihat kesilapan diri sendiri. Bila nak maju kalau asyik fikir yang negatif je?

Dia kata orang tak percaya dengan dia untuk bagi pinjam duit. Dia lupa yang dia selalu culas bayar hutang kawan. Bukan sebab dia tak nak bayar tapi duit yang dia pinjam habis dia belanja untuk keluarga. Lepas tu dia buntu. Bagi aku dia tak pandai urus duit.

Bila aku nasihatkan supaya dia kena berusaha tunjukkan dan buktikan pada orang lain yang diri dia boleh dipercayai, dia mula merajuk. Sungguh aku tak faham! Nak berjaya tetapi hati tak kental!

Sepatutnya duit yang dia pinjam tu gunakan sebahagian modal untuk sesuatu yang boleh menjana pendapatan. Dia ada kemahiran memasak, boleh je nak berniaga yang berkaitan dengan makanan.

Dia kena berhenti daripada sikap bertangguh dan cepat putus asa. Itu antara sebab dia susah nak mengutip rezeki. Susahlah kalau mengharap rezeki terpijak je.

Kita mungkin akan menangis, meratap kerana masalah dan hidup yang sukar. Tetapi jangan lama hingga merosak jiwa. Bangunlah dan bertindak. Berhentilah menyebarkan aura negatif pada orang sekeliling kita. Orang yang berjaya adalah orang yang tabah dan cekal.

Kata-kata kita adalah doa. Jadi, sebutlah perkara yang positif pada diri kita untuk kita lebih bersemangat mengharungi kehidupan yang penuh cabaran.

google picture

Siapa yang suka dengar kawannya merungut/mengeluh, ditegur sikit lansung merajuk dan putus asa tanpa ada usaha atau tindakan untuk cuba maju? Jadi, hentikanlah kalau dalam diri kita pun ada sifat sebegitu. Kawan-kawan kita sebenarnya merasa sangat rimas dengan kerenah dan aura negatif kita tu.

Tuesday, 18 December 2012

Si cilik yang bersemangat tinggi!

Kecil-kecil cili padi.... Terima kasih pada daddy Aaliyah, Mr. Hanifah Yoong yang tag youtube ni untuk aku di facebook Adzriel AB. Aku pernah buat entry si comel ni di SINI yang belajar berenang seawal usia 7 bulan. Comel sangat!!




"Published on Dec 15, 2012
Aaliyah Yoong Hanifah, 9, ran 6 passes this morning 43kph, 43kph, 46kph, 46kph, 49kph and 49kph - cleared all 6 buoys for all 6 passes!! She's getting better in slalom and is more keen to do it"

Siapa Aaliyah Yoong Hanifah ni? Dia melakar sejarah yang mencipta emas dalam sukan SEA pada usia 8 tahun. Selanjutnya di SINI.


Kecil molek persis ibunya tetapi sangat lincah. Kadang ternampak dia laju je berjalan ke pasar malam dengan ditemani ibunya. Atau kadang di sekolah rendah yang sama dengan anak aku. Suka aku tengok dia ni sebab cute, lincah, selalu nampak ceria dan kelihatan ramah seperti ibu ayahnya juga.

Thursday, 28 June 2012

Lama tunggu repair kereta, nasib ada Lite FM

Kelmarin sempat menemani jiran aku, Nia Adaman repair aircond keretanya yang panas tak mahu sejuk. Dari  1-2 bengkel yang dia refer sama-sama kata compressor punya masalah. Tak boleh nak bertahan dari kepanasan kerana hari-hari nak hantar dan ambil anaknya pergi dan balik sekolah. Maka hubby cadangkan padanya pergi ke bengkel ini, bertentangan dengan bangunan Tabung Haji Kajang. Kami lalu ikut Sungai Chua.


Di seberang jalan sana tu Tabung Haji Kajang.
Last aku pergi repair compressor aircond kereta Kelisa aku dah 4-5 tahun lepas rasanya. Hubby yang rajin ke sini. Kitaorang panggil pemilik bengkel ni 'Uncle' je.

Bestnya 'uncle' ni tak macam kedai-kedai lain yang akan cepat je nak suruh tukar part kalau rosak. Kalau dia boleh repair compressor tu, maka dia akan repair. Tapi kalau teruk rosaknya barulah dia suruh tukar. boleh bawa part sendiri atau beli di kedainya. Memang pakar aircond.

Tapi masa aku pergi dengan jiran aku ni, anaknya kata 'Uncle' dah pencen. Duduk kat rumah mengadap TV je.. he..he.. jadi bisnes turun ke anaknyalah.

Motor kapcai tokey kedai... Sempoiiiii!

Mangsa yang nak kena tukar compressor

Minta tolong check absorber sekali..
Cuak bila tokey bengkel kata condensornya pun problem. Habis setabung bahan cuci dia guna untuk cuci condensor, warna cecair yang keluar tetaplah hitam. Dia pakai thinner agaknya. Bukannya aku tau sangat pun.

Alamak! Kena tambah duit lagi le nampak gayanya.

Tukar compressor dan condensor aircond, ganti fog lamp (fog lamp dah beli sendiri), check absorber yang berbunyi mencecah juga ke angka RM1K lebih sikit. Duit jiran aku le! Aku tolong temankan aje... kalau aku maunya tepuk dahi dah. Apa nak buatkan, kalau tak di repair sekali semuanya nanti nak kena tambah kos berganda untuk kerja buka dan pasang bumper pulak.

Datang pada pukul 2.00 petang. Sejam lepas tu kami berdua pakat-pakat melintas hala ke seberang dekat Tabung Haji nak pergi minum di gerai depannya. Melintas jalan lebih penakut daripada budak sekolah je gayanya. Maklum sajalah dah lama tak buat kerja-kerja melintas kat jalan bandar yang sibuk ni. Bukan ada jejantas pun. Jangan ada yang kena cantas.

Habis makan kami menanti pulak dalam bengkel tu. Tokey tu bagilah dua buah kerusi plastik untuk kami duduk. Ini bukan bengkel mewah ye! Nyarislah dia pasang lagu-lagu yang menggamit kenangan silam. Aku ingatkan dia pasang CD lama, jiran aku kata "radio ni Kak Liza, ada orang cakap-cakap tadi!".

Lagu-lagu nostalgia dari Lite FM, 105.7 ; http://www.litefm.com.my/

Lagu yang aku hafal 23 tahun yang lalu... Leave A Light On! Wow!!

Lepas tu kami pakat set-up channel 105.7 kat radio kereta masing-masing... *(^_^)*...

Monday, 25 June 2012

Sejuknya ulam dan panasnya durian Hanis Azla

Tak dapat juga jumpa Ummi Ross
Hujung minggu yang sangat sibuk nampaknya. Bila hari Sabtu aku masih perlu ambil anak sulung aku balik dari aktiviti Sukan Sekolahnya di stadium Seksyen 15, Bandar Baru Bangi. Dah dekat sangat dengan rumah Ummi Ross ni.

Sepatutnya hubby yang ambil tapi dek kerana ada jemputan kenduri kesyukuran di rumah teman, Hanis Azla yang terletak di Seksyen 8, maka akulah yang ambil anak sulung.

Tak sempat nak jenguk dia bersukan. Harap tiada lagi masalah longkang tak bertutup di kawasan stadium seperti tahun lepas.

Pergi ke rumah Hanis Azla ditemani 4 orang anak-anak aku. Cuma anak ke-2 saja yang tak nak ikut. Hubby pun ada kerja, tak dapat nak turut serta. Bukan aku ingat pun alamat rumahnya, main agak-agak saja kalau-kalau ternampak keretanya parking di depan rumah. Itu pun berpandukan pengalaman tahun lepas berkunjung ke rumahnya.kerana meraikan harijadi anak sulungnya yang ke-12.

Tapi sekarang anak sulungnya sudah pun berada di tingkatan 1 dan masuk sama sekolah dengan anak sulung aku, SMK Jalan Empat, Bandar Baru Bangi. Bersukan jugalah nampaknya. Rupanya masa aku sampai, anak sulungnya belum pun balik dari stadium lagi. Kalau tau tadi boleh le naik dengan acik Liza sekali balik rumah, kan Hanum!

Mana Ummi Ross? Tak sampai lagi rupanya. Melihat hidangan nasi dengan sambal belacan, tempoyak dan ulam-ulaman buat aku lupa diet aku.

"Kak Liza tak boleh tengok ulam-ulam ni!", mengadu pada Hanis Azla.

Memang betul pun, anak sulung aku jadi mangsa untuk tolong ambilkan nasi tambah. Tak malunya..he..he..

Berulas-ulas pula durian aku baham. Dah dia letak di depan mata, mana boleh tahan!

Sempat juga aku mengintai ruang dapurnya yang dah dibesarkan. Seronoknya! Kalau nak buat kenduri, boleh pakat ramai-ramai duduk sambil memotong bawang. Luas! Macam biasa bila balik rumah, tentu saja aku ceritakan pada hubby. Ehemmm... bagi gambaran pada hubby saja idea dari rumah Hanis Azla sebab hubby pun bercita-cita nak membesarkan ruang dapur, bilik air dan bilik tidur tingkat bawah.

Alhamdulillah! Gembira melihat rezeki dan kebahagiaan yang Allah berikan pada Hanis Azla dan keluarganya. Jangan kita melihat untuk merasa cemburu yang negatif tetapi lihatlah ia sebagai pendorong atau contoh untuk kita mencapainya juga. Moga aura yang positif darinya bergetar ke dalam kehidupan aku juga, memperbaiki mana yang kurang dan mengekalkan mana yang sedia indah.

Maaflah tak ada gambar semasa kenduri... sedap sangat makan!

p/s : Timing nak jumpa Ummi Ross tak kena juga lagi...

Sunday, 8 April 2012

Trick nak jumpa Ummi Rose tak menjadi laa..

Trick aku tak menjadi rupanya. Trick cari alasan nak jumpa Ummi Rose yang baru saja berpindah balik ke Malaysia selepas bertahun mencari rezeki di bumi Sarawak. Alasan aku nak tolong kirimkan kain yang Hanis Azla menang kuiz dari Ummi Rose. Kononnya dapatlah aku jumpa Ummi Rose.. he..he.. Tak pe, ada rezeki nanti lain kali boleh jumpa.

Haaa... Ummi Rose dah terpikat dengan senyuman manis blogger Hanis Azla dalam luahan rasanya di entry 'Senyuman'. Aku dah kata dahhh... Hanis pulak terkejut 'Dikunjungi tetamu jauh yang dah dekat'.

Ummi Rose yang ramah dan di sayangi ramai teman berniaga kain Batik Sarawak yang cantik-cantik dan unik. Aku mula mengenalinya hanya melalui blognya di Salam Borneo. Tak menyangka pula dia akan berpindah ke Bandar Baru Bangi. 


15 minit saja rumahnya dari rumah aku. Rumah Hanis Azla pun cuma 5 minit je dari rumah rakan blogger Yana, istei Ujang The Great. Dalam lingkungan Bandar Baru Bangi belaka.

Ummi Rose antara blogger terawal aku kenal sejak aku mula buka blog pada Januari 2010 hinggalah sekarang hubungan tu sentiasa saja ada komunikasi sama ada di blog mahu pun di facebook. Pernah sekali aku beramah-mesra dengannya melalui panggilan telefon. Tak tahulah kalau dah berjumpa, tak cukup waktu agaknya bercerita. Maklum sajalah, aku ni suka bercerita dan mendengar pengalaman dan pendapat orang lain juga.

Insyaallah, kalau ada rezeki tentu kita dapat berjumpakan Ummi Rose... dekat je Bandar Seri Putra dengan Seksyen 15, Bandar Baru Bangi tu.


Tuesday, 27 March 2012

Selamat Hari Jadi rakan blogger yang sangat aku hormati

Tengahari tadi lunch dengan blogger Hanis Azla dan anak aku Aishah. Saja raikan hari jadinya yang ke 36. Lebih muda 3 tahun dari aku.

Tak nampak macam 36 pun. Rasanya macam 26 tahun pun orang akan percaya. Anak aku setuju sangat.

Kesian dia sebab masa agak terhad. Janji pukul 1.15 petang tapi aku yang terlewat hingga ke 1.30 petang kerana singgah ambil anak di sekolah dulu. Terhad sebab dia perlu masuk semula pejabat pukul 2.00 petang. Tapi terlajak juga ke pukul 2.15 petang.

Selera sama nampaknya aku dan Hanis Azla. Sama-sama memilih mee goreng mamak di restoran Papa Rich, Bandar Baru Bangi. Dekat sangat dekat rumahnya sebenarnya. Rupanya favorite kami sama bila makan di situ. Anak aku memilih kuew teow sup dengan ayam masak stim.

Seronok berbual dengannya. Rasanya macam aku yang banyak cakap agaknya. Maklumlah Hanis Azla ni anak sulung yang telah kehilangan ayah sejak usia remaja lagi kalau tak silap aku. Maka dia kelihatan lebih rasional, matang dan berdikari. Aku yang lebih tua kadang macam banyak minta pendapatnya tentang hal anak-anak pula. Peribadinya terserlah dalam penulisannya di blog jika korang dapat hayati betul-betul.

Banyak kali dah aku keluar makan dengannya. Selalu saja dia yang nak belanja. Tapi hari ini aku tak bagi sebab aku juga yang mengajak dan saja nak raikan hari jadinya. Itu pun ternampak di facebook. Kalau tidak memang tak ingat pun bila tarikhnya.. he..he..

Selamat hari jadi sahabatku Hanis Azla, moga persahabatan ini kekal, sihat dan bahagia selalu. Amin.

Tersedar aku dari angan yang panjang dengan komen blogger!

Ada dua komen di entry 'Macam serupa je!' Antaranya Muhammad Izuan dari blog Syurga Itu Indah tak puas hati sebab tak ada shoutmix untuk dia menyapa aku. Dia ni jejaka pemalu sebenarnya. Seorang guru muda yang agak pendiam tetapi suka mencurahkan rasa hatinya di blog... eh! Ye ke?

Ada orang suka komen di entry, ada juga menyapa di shoutmix saja. Ada juga yang singgah saja tanpa komen. Apa pun terima kasih kerana kesudian kalian menyinggah di blog aku ni.

Sejak shoutmix lama kena bayar, aku terus delete dan tak gantikan dengan yang baru. Kemarin aku dah buat satu untuk blog kakak aku di Beauty Farmasi Colour Cosmetics tapi tak buat untuk blog sendiri. Kesian shoutmix di blog kakak aku tu. Tak ada siapa yang sudi menyapa. Sudi-sudikanlah!


Suka dia dengan motto yang aku pernah letak dulu sebagai header blog 'Today's Reader, Tomorrow's Leader'. Kata-kata yang banyak memberi makna dan memberi motivasi pada aku. Bila timbul kurangnya keyakinan diri dek kerana maksud kata-kata itu terlalu kuat maka aku dah tak letak kata-kata itu.


Terima kasih Izuan kerana mengingatkan semula Kak Liza agar jangan mudah putus asa. Aku seperti tersedar dari mimpi dengan tegurannya ini. Jadi aku letak kembali kata-kata hikmat itu dengan header baru yang sempoi. Biar semangat itu tersebar pada korang yang membacanya juga.

Kak Norliha dari blog Rahmat Kehidupan kerap menjenguk blog aku. Bertanyakan maksud 'kayuh baimbai'. Tak berapa pandai aku nak menerangkannya kerana aku bukannya keturunan Banjar seperti hubby aku. Tapi aku cuba rujuk ke entry di blog ini dengan tajuk 'Something about kayuh baimbai'. Bukan kayuh basikal tau tetapi sama-samalah bergerak seiringan atau bekerjasama. Kata-kata semangat ini memang sangat popular di kalangan masyarakat Banjar seluruh dunia.

Bila ada entry baru aku sering war-warkan di wall facebook peribadi aku seperti tajuk 'Tak bertudung tu haram, tepuk tampar bukan muhrim haram juga!'.


Komen dari Encik Nizar yang juga merupakan penghuni di Bandar Seri Putra, blogger yang minat melukis kartun dari blog Nizar A. Rahim. Cadangannya merujuk pada blog Analisis Hadith Psikologi sangat menarik minat aku. Tak habis baca lagi aku isi-isi blog tu. Banyak sangat info-info tentang psikologi Nabi Muhammad s.a.w dalam menangani masalah-masalah seharian.

Inilah antara komen rakan-rakan yang kadangkala seperti memberikan aku ilham dan peringatan berguna untuk aku. Banyak lagi komen-komen yang secara tidak lansung menyedarkan aku dari mimpi yang panjang, yang mengingatkan aku dan memberi semangat untuk terus berusaha. Terima kasih semua.

Wednesday, 14 March 2012

Takdir berkenalan dengannya memanglah indah

Semalam hanya satu appointment aku buat dengan client pada pukul 4 petang di Fasa 4 Tambahan, Bandar Baru Bangi. Sebelum tu aku terserempak dengan rakan facebook yang katanya selalu intai blog aku ni tanpa tinggalkan jejak. Terima kasih Nora sebab sudi jenguk blog aku selalu.

Hampir sejam appointment dengan client baru selesai. Banyak perkara yang ditanya dan juga bertukar pendapat tentang unit amanah. Syukur kerana aku terus mendapat kepercayaannya untuk dia meneruskan pelaburannya.

Aku sering cuba meletakkan diri aku sebagai pelabur yang adakalanya masih kurang pengetahuan tentang unit amanah dan juga kerisauan tentang kerugian. Fahami matlamat yang mereka sasarkan dan kebolehan untuk mencapainya perlulah sesuai dengan kemampuan dana.

Sejam appointment tu bukannya bercerita hal unit amanah saja, ada juga bertanya khabar keluarga dan kerja. Maklum saja client aku ni kerjanya sebumbung dengan blogger JeBateja dan atas cadangan hubby aku juga sejak tahun 2008 lagi hingga kini. Jadi aku memang dah kenal sebelum aku menjadi perunding unit amanah lagi, cuma cam wajah tetapi tak pernah bertegur sapa.

Habis saja appointment buat aku teringat rakan blogger Hanis Azla. Blogger yang aku kenal asalnya dari blog je. Aku terus call dia yang aku yakin sedang dalam perjalanan pulang dari kerja. Setuju saja dia untuk berjumpa di restoran baru Ayam Penyet di lot kedai baru berdekatan kompleks PKNS. Berhadapan dengan restoran Amir yang terletak di belakang Hospital An-Nur.

Boleh baca lebih lanjut tentang restoran Ayam Penyet tu di http://bangiblog.my/?p=1260.

Gambar dari SINI

Memang seronok berbual dengan Puan Hanis Azla yang comel ni. Bila dua ibu berjumpa, tentu saja bercerita tentang anak-anak. Tapi masa agak terhad hingga pukul 6.30 petang saja. Masing-masing perlu bergegas pulang ke rumah.

Terima kasih Hanis Azla yang belanja minum. Sepatutnya aku yang membayar kerana aku yang mengajaknya tetapi berkeras juga dia nak membayarnya. Itulah dia yang lemah lembut tetapi tegas orangnya. Sifat tegasnya dengan anak-anak jadi perhatian aku. Kira macam idola jugalah..he..he..

Teringin nak jumpa para ibu blogger yang lain juga. Sekitar Bangi sajalah yang dapat aku jumpa. Jauh-jauh tu susah sikitlah rasanya. Seronok bertukar cerita, mengambil idea dan contoh terutama dalam hal anak-anak.

Monday, 5 March 2012

Gurau boleh! Janganlah tonjol kepala aku!

Satu hari tu aku sempat singgah pekena tosey dulu dengan anak lelaki aku, iaitu anak kedua sebelum hantar dia ke sekolah menengah. Nak buat sendiri pun leceh, jadi cari tosey di kedai mamak je lah.

Aku order terus ke kaunter sebab nak mengejar masa yang berbaki 20 minit sebelum loceng masuk berbunyi.

Semasa di kaunter aku nampak ada 3 orang budak sekolah menengah yang juga sedang bersarapan. Salah seorang daripadanya selamba aje tonjol dahi kawannya dengan kata-kata "aku suruh kau buat apa?".

Kawan yang kena tonjol dahinya tu seperti memandang aku dengan ekor matanya. Mungkin dia rasa malu dengan aku bila diperlakukan oleh rakannya begitu kerana kebetulan waktu itu aku memandang tepat ke wajahnya.

Naluri hati aku sering tak puas bila tengok perkara macam ni. Jika aku berkemampuan untuk menegur, maka aku akan lakukan. Jika tidak aku hanya akan berdiam diri saja.

Lalu aku pergi ke arah meja mereka dan menegur mereka "Dik! Jangan buat kawan macam ni di tengah public! Tak baik! Hormat kawan kita!".

"Saya suruh dia betulkan rambut je!", jawap si penonjol kepala tadi.

"Tegur elok-eloklah ye!", balas aku dan terus berlalu. Aku biarkan dia berfikir sendiri dengan kata-kata aku tadi.

Aku tegur pun sebab tiada pelanggan lain dalam restoran waktu itu. Kalau tidak aku biarkan saja.

Aku pun biasa bergurau kasar-kasar macam tu. Kadang siap sepak terajang pun ada semasa zaman sekolah dulu. Memang agak nakal aku ni. Tapi itu semua gurauan dengan rakan-rakan yang dapat menerima gurauan sebegitu. Gurauan kasar tidak kami amalkan bila berada di kelompok umum.

Jaga air muka kawan-kawan jika nak bergurau. Jangan sampai gurauan menjadi penyebab kita bermusuh atau meninggalkan rasa dendam dalam hati kawan kita. Takut bila dia melakukan perkara sama, kita pula yang tak dapat menerimanya.

Aku bercerita hal ini pada anak sulung aku, Aishah.

"Mama tak takut ke nanti diaorang buli Amirul?", tanya Aishah.

"Nak cari nahas dengan aku, bulilah kalau berani! Sampai lubang cacing aku cari nanti!", balas aku.

Apa nak buat, mama diaorang lagi brutal daripada ayah mereka sendiri. Apa-apa hal pun memang anak-anak mengadu pada aku je. Aku pun dah selidik mereka bertiga tu pelajar tingkatan 3 kerana selepas tu aku ada bertanya pada kelompok 6 pelajar lain yang juga berada di luar bahagian restoran tentang mereka.

Selepas tu aku nampak bergandingan mereka bertiga berjalan keluar dari restoran menuju ke sekolah. Aku harap mereka memang bergurau perkara yang baik, bukannya menyembunyikan sesuatu yang buruk disebalik perlakuan tadi.

Kalau kawannya tak menjeling aku tadi rasanya aku pun buat tak tahu jugakan. Tapi itu pun ilmu untuk anak aku yang melihat juga. Hormatilah perasaan kawan terutamanya di tempat yang umum.

Friday, 2 March 2012

Eh! Rakanku si Merpati Putih dalam majalah Intrend.. baru nampak!


Aku bawa anak dara sulung pergi cuci rambut di kedai gunting rambut di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi. Potong sikit bagi layer dan kemas sikit. Pakai tudung pun kena jaga juga kesihatan rambut. Sekali-sekala cuci di kedai. Kalau selalu nanti sengkeklah aku. Kos cuma RM35, extra RM5 untuk syampu anti kelemumur.

Tak ingat nama kedai tapi sebelah restoran Syarifahlah. Setakat ni aku suka ke situ kerana hasil guntingnya kemas dan cantik.

Sambil menunggu tentulah membelek majalah. Banyak majalah Intrend kat situ.

Majalah Intrend ni selalu keluarkan iklan pasal produk make-up Farmasi Colour Cosmetics macam dalam blog Beauty Farmasi. Itu yang aku suka juga nak tengok-tengok. Saja nak tengok setandingnya produk tu dengan jenama kosmetik terkenal yang lain.

Belek punya belek rupanya majalah ni baru aku perasan ada satu ruang untuk para bloggers iklankan blog masing-masing. Antara nama yang biasa aku nampak ialah blog Namee Roslan. Blog ni famous dan followernya pun dah hampir 6 ribu orang masa aku jenguk tadi.

Tiba-tiba tertumpu mata aku pada gambar ini :


Ehhh... ini blog rakan facebook aku ; Asnidar Shafie SiMerpati Putih. Suka menulis novel dan peminat gila tudung Fareeda. Isi blog memang menarik untuk dibaca pada pendapat peribadi aku, cuma tulisan berwarna putih buat mata aku agak terkebil-kebil untuk dibaca bila backgroundnya juga berwarna hampir senada.

Inilah blognya ; Asnidar Shafie Si Merpati Putih.

Wah! Blog novelis, macam rakan baik aku juga Hanis Azla. Bahasa mereka memang indah dan mengasyikkan. Eh! Jiwanglah pulak ye..!

Thursday, 23 February 2012

Bengkak kecil rupanya bernanah besar di dalamnya


Entry ni patut aku post 2 minggu lepas, tapi mencari usb kabel dari handphone ke laptopnya tak jumpa. Itulah kalau letak merata-rata. Lepas tu cepat lupa pulak tu.

Kisah ni tentang tokey kedai buku dan alat tulis di Bandar Seri Putra yang bersebelahan saja dengan Restoran Haji Tapah. Aku selalu beli surat khabar di kedainya.


Tetapi bulan lepas aku tengok kedainya kerap benar tutup. Tak pasti berapa lama tetapi rasa macam sebulan jugalah. Kadang aku suka juga top-up kad tol Touch n Go aku di kedainya. Bukan tak ada kedai lain tapi tolong kawan. Padahal aku tak tau pun nama tokey tu. Cuma bila membeli tu sempat juga menyapa.

Jadi bila suatu hari tu aku tengok kedainya dah buka lansunglah aku bertanya "lama tak buka kedai bang!".

"Haaaa... inilah nak ceritanya!", balas tokey kedai tu.

Lalu dia tunjukkan aku gambar dari handphonenya, "mula-mula dia jadi macam ni!".


Setompok lebam merah di belakang badannya. Bila ditekan-tekan terasa sakitnya. Lalu dia pergi ke Hospital Putrajaya untuk pemeriksaan.

Namun terkejut dia bila doktor kata ianya perlu dibedah kerana sudah ada nanah di dalamnya. Bila ditekan-tekan pun kelihatan lembik sedikit dan bergerak-gerak.

Pembedahan memakan masa hampir 4 jam rasanya. Inilah rupanya.


Wow! Besarnya! Sebesar sebelah telapak tangan. Doktor membuang segala nanah di dalamnya. Siapa sangka keadaannya serius tahap begini. Ngeri aku tengok tapi nak tengok juga.

Selepas dua minggu, keadaan luka pembedahan mula beransur pulih dan mengering.


Setiap minggu sebanyak tiga kali dia perlu pergi check lukanya di Hospital Putrajaya. Biasanya awal pagi dia akan ambil dulu semua surat khabar yang ditinggalkan oleh pengedar di depan kedainya ke dalam kereta anaknya. Kemudian barulah anak perempuannya akan menghantarnya ke hospital.

"Kesian abang ye, kalau saya free boleh juga saya tolong jaga kedai!", gurau aku. Dia ketawa saja.

Doktor kata mungkin kerana duduk terlalu lama dan peluh terperangkap di belakang badannya. Siapa sangkakan. Tapi itulah yang telah dia alami. Badannya memang gempal. Katanya dulu dia kurus saja semasa zaman mudanya. Peminat lumba kereta ni. Kalau ke kedainya adalah terpampang gambarnya di dinding bersama pelumba-pelumba kereta F1 dunia. Nak sebut nama pun aku tak tau. Lain kalilah agaknya aku sharekan gambarnya.

Entri ini pun aku buat atas izinnya untuk jadi peringatan buat kita semua. Sebab tulah dia sudi kongsikan gambar-gambar ni dengan aku.

Thursday, 16 February 2012

Dari Deutschland ke Bandar Baru Bangi

Dua hari lepas aku berjumpa dengan seorang blogger comel di Bandar Baru Bangi. Blogger yang merupakan rakan sekolah adik aku, Asterisk Boutique sejak zaman sekolah rendah lagi.

Catatan dari Deutschland, itulah nama blognya. Dia menetap di German dan balik bercuti ke Malaysia untuk sebulan dua saja rasanya. Bila dah balik tu memang sibuklah dia ke sana ke mari melawat teman-teman dan saudara mara.

Walau pun kami dulu pernah menetap di kampung yang sama di Jengka 16, Pahang di zaman kanak-kanak tetapi inilah kali pertama aku berjumpa dia. Selama ini hanya mendengar namanya saja dari mulut adik aku. Rakan baik tentulah selalu disebut-sebutkan.

Bila melawat adik aku, sempatlah memborong tudung-tudung jualan Asterisk Boutique. Cadangnya nak beli sehelai dua, jadi rambang mata terlebih memilih katanya. Berjumpa dengannya pun kerana ada barang yang di beli dari kedai online aku, Adzrien Shoppe.

Kebetulan dia baru saja mengambil ibunya yang tiba dari Jengka di hentian Pekeliling, KL. Maka dapatlah aku bersalaman dengan ibunya yang pasti mak aku pun mengenalinya. Rumah kami bukanlah dekat sangat semasa di Jengka tetapi adat tinggal di kampung, walau pun jumlah penduduk mencecah angka 400 buah rumah (kalau tak silap akulah)  masing-masing masih dapat mengenali antara satu sama lain.

Terlihat kedutan di wajah ibunya yang menandakan usia semakin lanjut. Tetapi masih gagah datang ke KL dengan menaiki bas seorang diri. Samalah macam mak aku dulu. Aku pun dah lupa benar bila kali terakhir pernah terserempak ibunya tetapi aku cam benarlah wajahnya tu. Usia aku pun dah 39 tahun, bayangkanlah dah berapa tahun beza dengan usia zaman sekolah dulu. Aku pun jarang berada di Jengka sejak masuk ke sekolah menengah kerana tinggal di asrama.

Siti Hajar namanya, aku panggil Hajar tetapi adik aku panggil dia Siti. Kecil molek orangnya tetapi berjiwa kental. Balik negara sendiri macam terkena kejutan budaya pulak dia.. he..he.. korang baca sendirilah entrynya Hujan Batu di Negara sendiri.

Terlupa nak ambil gambar bersamanya. Leka berbual dengannya dan ibunya juga.

Kalau nak mencari resepi sedap-sedap, bolehlah jenguk blognya. Memang hebat tentang memasak.

Wednesday, 8 February 2012

Baru teringat terus muncul depan mata

Aku tak tahu nak panggil apa ye, mungkin kebetulan atau mungkinkah Allah mendengar rasa hati aku maka dimakbulkan keinginan aku walau pun aku sendiri antara nak buat dengan tidak. Faham ke ayat belit-belit aku tu?

Situasinya begini pada petang tadi. Aku terfikir nak call teman baik aku sejak zaman sekolah menengah lagi dan tinggal seasrama. Kini tinggal di kawasan kejiranan yang sama juga. Itu baru terfikir.

Kemudian aku mengambil handphone dan mencari namanya di dalam senarai 'contact' aku. Dah jumpa tapi tidak pula aku menekan butang call pada handphone tu. Aku hanya memandang namanya yang tertulis "Qnoy' atau siapa yang rapat dengannya saja yang panggil 'Noy'. Kemudian aku abaikan saja niat aku nak call dia.

Aku memandu kereta Kelisa aku ke kedai runcit berhampiran. Waktu aku nak turun dari kereta, lagi sekali aku teringatkan Qnoy. Aku berjalan ke arah kedai. Masyaallah! Besarnya kuasaMu ya Allah! Aku nampak Qnoy melambai aku dari arah kedai tu.

Alahai Qnoy, macam tahu-tahu aje aku memang teringin nak jumpa dia. Bila dah jumpa, teruslah aku set temujanji dengan dia esok harinya. Boleh sembang-sembang sikit apa yang patut.. *(^_^)*.

"Abang kau pergi mana? Patut le citer pasal 'Aku ditinggalkan lagi' ", Qnoy tanya aku. He..he... rajin juga kau baca blog aku ye Qnoy.

Esok kita jumpa ye Qnoy! Rakan yang banyak memberikan nasihat dan menyokong aku sejak dulu hingga kini. Kadang-kadang jadi tempat rujukan aku juga. Bila berjumpa tu sekejap je bercerita pasal pelaburannya dalam unit amanah dengan aku, selebihnya tentang anak-anak.

Tuesday, 11 October 2011

Selamat Hari Jadi adik tersayang!

Selamat hari jadi buat satu-satunya adik kandung aku tersayang. Tarikh 11 oktober yang aku tak pernah lupa setakat ini. Cantik tarikh hari ini 11.10.11. Angka sepuluh diapit oleh angka 11.

Hajat hati nak letak gambar comelnya semasa usia 4 tahun dulu tapi gambar-gambarnya ada di kampung. Comel sangat!

Dah masuk era usia angka 3o nampaknya. Moga hari-hari yang dilalui semakin membahagiakan dan sukses dengan Asterisk Boutiquenya yang mendapat tumpuan sepenuhnya bermula sejak June tahun ini.

Instant Syria milik Asterisk Boutique yang simple tetapi bergaya

Nak hadiah apa? Aku bagi secara online aje boleh?

Pilihlah nak perfume warna apa? Kakak aku cadangkan botol warna hitam....
Endless perfume botol kecil 30 ml boleh letak dalam handbag je.

atau cup cakes yang menjadi favourite kita ni?

Cup Cake yang menggoda

Usahkan cup cakes, segala macam kek kita suka. Lebih-lebih lagi kalau kek coklat ni.


Love you forever from your elder sister...

Saturday, 25 June 2011

Lunch dengan blogger di Warta, Bangi

Tengahari Jumaat semalam aku lunch bersama dua orang blogger dan anak aku Aishah di Bandar Baru Bangi. Aku terlewat tiba jam 1.00 petang di tempat yang di bangunan Warta. Terlewat gara-gara anak aku Azri tertinggal van sekolah seperti yang aku ceritakan dalam entry INI.

Sebenarnya pasaraya Warta dalam tu dah lama diganti dengan Giant, tapi sebab asal mula dulu Warta, maka nama tu dah melekat diminda kebanyakan penduduk di situ. Hanis Azla telah mengajak aku lunch sama sejak pukul 10.30 pagi lagi. Kasihan dia kerana lama menunggu aku dan Aishah tiba hingga sempat window shopping dulu bersama temannya Aliza dari blog Inspirasi Cintaku.

Kami makan di restoran RasaMas. Service sangat lambat sebab orang ramai pada hari Jumaat. Lama menunggu di meja tapi tak ada seorang pun pelayan yang datang ambil order. Aku lewat tak mengapa, tapi kesianlah dengan Aliza dan Hanis Azla sebab lepas tu nak kena masuk pejabat semula. Tentu baby sulung dalam perut Aliza meronta-ronta juga nak makan...he..he.. gurau je!

Biasalah aku ni bukanlah penyabar, maka aku pun bangun dan terus ke kaunter bayar "Dik! Akak dah tunggu lama ni, tak ada siapa ambil order! Orang lain yang sampai lewat ada yang ambil order", aku cakap elok-elok dengan pekerja di situ yang sedang sibuk menyediakan hidangan. Kesian dia, terasa kalut sungguh. "Maaf ye kak! Nanti saya datang!", jawab adik itu sambil melihat di mana meja aku.

Memang penuh pun restoran tu. Meja kitaorang pun masih ada pinggan mangkuk yang belum diangkat. Bila dipanggil barulah ada yang mengangkatnya. Panik agaknya bila orang ramai. Mungkin pihak pengurusan perlu letak lebih pekerja pada hari Jumaat sahaja untuk mengatasi masalah kalut begini.

Sementara menanti hidangan yang dah diorder, kami berborak-borak dulu. Sempat juga aku bercerita tentang kisah Cik Epal yang excited gila bila dapat berjumpa dengan pelakon pujaannya. Siapa yang tak excited bila pelakon tu kata dia pernah baca blog kita sendiri. Aku pun teruja! Memang gilalah excitednya dia dalam entry INI!

Bila aku berjumpa Hanis Azla dah tentulah banyak bercerita tentang anak-anak. Aliza tak boleh cerita lagi sebab anak dalam perut lagi. Dah 8 bulan, tak lama dah tu. Kesian dia, awal-awal mengandung dulu mabuk teruk juga. Susah ye dugaan mengandung ni bagi sesetengah orang. Ada juga yang rilek je macam tak mengandung tapi suami pulak yang mabuk atau mengidam bukan-bukan. Apa pun itulah pengalaman yang sangat berharga.

Inilah set yang kami order. Hanis Azla minta ayam panggang separuh dan prime roast separuh, tapi yang datang seekor ayam panggang je. Nasib baiklah kitaorang ni jenis tak cerewet. "Tak pelah dik!", kita kata pada pelayan tu. Bagusnya dia mohon maaf atas kesilapan itu. Sejuk sikit hati. Bukan panas pun sebenarnya. Aliza pula kenalah tukar dari air berkarbonat ke fresh orange. Baby dalam perut tak boleh minum air bergas.
Macam sesuai je kami ni makan. Masing-masing memang licin semuanya.... tinggal tulang aje. Selagi ada kami habiskan semua. Cuma sup aje tak hirup sampai habis. Perut kenyang, suka hatilahkan.

Agenda makan habis dalam pukul 2.30 petang rasanya. Amboi lamanya! Lama menunggu di meja makan. Tapi still enjoy dapat bersantai makan-makan dengan kawan-kawan yang dulu tak kenal, sekarang dah kenal gara-gara blog. Moga ada rezeki dapat jumpa lagi Hanis Azla dan Aliza.

Sempat lagi anak aku Aishah berkata pada aku "Shawl auntie Hanis tu cantiklah mama. Akak nak kain yang macam tu lah". Shawl warna krim tu memang cantik, tapi lebih berseri bila yang memakainya cantik macam Hanis Azla. Aku terpaku sebenarnya melihat baris giginya yang putih bersih semasa sedang sibuk berborak tadi. Ha..ha.. sorry ye Hanis! Sebab suka tengok ke situ pulak... mulalah teringat nak jumpa dentist yang lama tak jumpa. Apa khabarlah dentist aku sekarang ni ye!

Bolehlah kita cari satu kat rumah mak cu shawl cantik-cantik kat SINI. Banyaknya shawl!

Tuesday, 21 June 2011

Hobi bapa dituruti si anak


Inilah komen terbaru dari CNK dalam entry lama aku : Trauma bawa sampai ke mati.

CNK kata : kak liza, sentap-sentap dada ni baca entri nih. masya-Allah. kesian si ibu. macam2 dugaan dia alami. kekadang bila tgk parents sekarang care-less dgn anak2 buat saya jadi geram. its happen when saya pergi GT Japan baru-baru ni, si anak kecik menangis2 meraung. disebabkan bunyi kereta tengah race, makanya volume budak kecik tu tenggelam dek kuatnya volume racing car tu. si ayah boleh buat bodo je dgn anak dia and si ayah boleh syok je tgk racing car tu smpi terteleng2 kepala dia. i was feel like nak tumbok je muka bapak dia tu, sbb langsung x kasihan si anak. why not dia pujuk anak dia bwk keluar dari seat yang rimas dan panas tu instead of layan nafsu sendiri je. haih... - CNK -

Usahkan CNK sentap, aku pun rasa sentap juga baca kisah pendeknya tentang si ayah yang tidak memperdulikan tangisan anak kecilnya di litar lumba begini. Sungguh-sungguh mementingkan diri sendiri. Jangan sampai anak mati kekejangan dek kerana menangis keterlaluan pula. Silap-silap dia tak sedar pun anaknya dah diam terus. Macam-macam perkara yang kita tak sangka boleh berlaku.

Berapa ramai para ibu bapa yang berkorban daripada meneruskan hobinya atau minatnya demi anak-anak? Tidak salah kita mengajak anak turut sama dalam hobi kita tetapi janganlah memaksa dan ikutlah kemampuannya. Kadang-kadang anak suka dan teruja dengan hobi kita, tetapi ada juga hanya mengikut kerana terpaksa.

Aku suka dengan si cilik ini. Dia mengikut jejak langkah dari minat ayahnya Hanifah Yoong yang juga bapa kepada pelumba terkenal Alex Yoong. Gambar dalam youtube ini semasa dia berusia 6 tahun, tetapi sekarang sudah pun melangkah ke alam sekolah rendah. Dekat rumah aku je.. he..he.. tengoklah aksinya yang tak padan dengan usianya. Memang hebat! Dia minat dan keluarganya menyokong!


Tengoklah Aaliyah belajar berenang seawal usia 7 bulan! Comel betul! Korang boleh search 'aaliyah yoong' di youtube kalau nak tengok banyak lagi video tentang si cilik ini bermain di air. Memang hebat. Aku paling suka little mermaid tu!


Thursday, 16 June 2011

Rezeki sampingan dari BE Cik Nuffnang

Alhamdulillah, Isteri Encek Bard dapat BE dari Cik Nuff buat kali pertama. Jom pakat-pakat kita masuk blog dia. Tumpang gembira bila kawan-kawan bertambah rezekinya.

Bilalah pulak aku nak dapat ye? Diana kata hantar tiket banyak-banyak pada Cik Nuff. Dah hantar... belum rezeki lagi.

Jenguk entry INI bagaimana cara Diana hantar tiket. Apa ayat-ayat hikmat yang dia taipkan untuk Cik Nuff. Eh! Tahniah Diana sebab dah berdotcom sekarang! Romantik gitu bila hubbynya yang hadiahkan domain tu..

Insyaallah, kalau ada rezeki tu tak ke manakan. Bukan dari Cik Nuff aje. Banyak cara lain lagi. Rezeki aku bertambah kawan-kawan kat sini. Rezeki juga tu. Cik Nuff tak bagi BE pun, tetaplah juga aku berblog juga selagi terdaya.

Wednesday, 15 June 2011

Sewa pejabat di Bandar Seri Putra


Ini lot kedai di Bandar Seri Putra pandangan sisi. Ada banyak lagi lot kedai yang sedang dalam pembinaan bertentang dengan bangunan ini.

Dah ada Bank Simpanan nasional di sini sejak tahun lepas rasanya. Lupalah pulak!

Gambar-gambar ni aku dapat dari Mudah.com. Kawan aku nak sewakan satu ruang pejabat ditingkat atas sekali ; tingkat 3. Betul-betul atas Pusat Tusyen Graduan tu. Bawah sekali ada kedai kek Zaty yang berjiran pulak dengan restoran sup utara. Supnya memang sedap! Iklan asal dalam Mudah.com di SINI.



Sewanya RM350 aje dengan keluasan 20 x 45 kaki persegi.
Bersebelahan Bank, Berhampiran 7-11, Pejabat Pos, Secret Recipe, Petronas, balai polis dll.

SMS/CALL : 012-2688175

Terkejut juga aku bila kata ada Secret Recipe kat sini. Papan tanda baru naik. Cepat betul kawasan ni maju.

Kalau dari KUIS (Kolej Universiti Islam Selangor) memang dekat dan kebanyakan pelajar ada yang berjalan kaki je bila nak ke sini.

Ada yang berminat boleh le contact nombor handphone yang tertera tu.