Sambung dari Part 4
31 Ogos 2012, 55 tahun Malaysia merdeka. Cantik nombor 55, nombor kegemaran aku. Nampaknya kisah hubby diserang sakit jantung bermula dengan tarikh-tarikh yang mudah aku ingati. Bermula 25 Ogos, genap 12 tahun usia anak aku yang menghadapi UPSR dan tarikh 31 Ogos pula dia check-out dari SDMC.
Pada waktu yang sama mak mertua aku yang tentunya mak kandung hubby pun masuk hospital Seremban selepas anak saudara aku dan ayahnya ambil dia pada 28 Ogos kelmarin di rumah sepupu hubby di Kamunting, Perak kerana demam. Rupanya selepas sehari dia di rumah kakak ipar aku di Senawang, terpaksa ditahan di hospital Seremban akibat kurang air dalam badan. Aku tak bagitau hubby pun, malas nak buat dia risau. Jadi anak-anak saudara aku sajalah yang setiap hari akan beri maklumat sama ada melalui SMS atau call tentang keadaan mak mertua aku tu.
Dua beranak masuk hospital nampaknya.
Pukul 9.00 pagi tu aku tiba di wad CCU untuk menyiapkan hubby berkumur dan bersarapan. Lena sikit tidur malam tadi katanya.
"Dah kencing?", selamba je aku tanya dia.
"Dah! Pukul 6.00 tadi. Abang mintak nurse tu bagi bekas. Dah siap tekan je loceng! Dia datang ambil bekas tu.", jawap hubby.
Dia tak sampai hati nak SMS aku suruh datang agaknya. Pukul 4.00 pagi aku memang terjaga pun. Intai juga handphone, takut kalau-kalau ada SMS darinya yang aku tak dengar. Memang tak ada pun.
Tak lama kemudian Dato Dr. Anuar tiba.
"Eh! Dato' tak ke Kuching ke?", tanya aku. Semalam katanya ada hal nak ke Kuching, Sarawak.
"Saya terpaksa batalkan sebab kes kecemasan semalam!", balasnya.
"Lagi pun cuma hal kahwin saudara.", tambahnya lagi.
Tentu kes kecemasan pesakit yang juga berada di wad CCU, selang 1 bilik je dengan hubby.
Lagi sekali Dato' Dr. Anuar mengajak ke biliknya untuk menerangkan semula tentang keputusan angiogram semalam. Tetapi kali ini nak beri penerangan kepada hubby sendiri. Yang buat hubby terasa segan sangat bila beliau sendiri yang nak tolak kerusi roda hubby ke biliknya. Sangat 'humble' orangnya.
"Jadi Faisal rasa macam mana pagi ni? Kalau rasa ok, boleh dah nak balik. Nanti 5 haribulan datang semula berjumpa dengan Dato' Dr. Rozali.", katanya.
Serba-sedikit beliau menasihatkan tentang pemakanan ; elakkan yang manis dan berminyak. Jika rumah 2 tingkat, disarankan agar tidur di tingkat bawah saja kerana masih lemah untuk turun naik tangga. Hubby diberi MC hingga ke tarikh 5 September 2012. Tarikh yang hubby perlu datang semula untuk berjumpa dengan Dato' Dr. Rozali pula.
Setelah dia berlalu, aku bertanya dengan hubby sama ada dia ok atau tidak. Aku mencadangkan agar dia berehat hingga petang sedikit untuk mengumpul tenaga. Nampak agak letih dan kepala pun masih pening.
Aku meminta izin dengan Dato' Dr. Anuar jika hubby dapat panjangkan masa hingga petang untuk berehat. Tidak menjadi masalah baginya. Malah jika mahu duduk di wad CCU hingga petang pun tidak mengapa. Tetapi aku mohon dipindahkan ke wad biasa saja kerana wad CCU penuh dengan pelbagai peralatan. Terasa minda tak selesa melihat segala peralatan tu. Biarlah hubby dipindahkan ke wad biasa saja untuk lebih selesa ; dapatlah dia mandi, solat dan berehat dengan lebih tenang. Anak-anak pun dapatlah jenguk dia petang nanti sambil menunggu dia keluar.
Hubby ditolak dengan kerusi roda menuju ke wad biasa di tingkat 3. Dia mula berjalan perlahan-lahan di dalam bilik. Hampir tengahari, makanan hubby disediakan. Kali ini dapatlah dia makan dengan menyuapnya sendiri. Selepas makan, dia berehat dan aku mohon balik ke rumah kakak untuk ambil anak-anak.
Aku singgah di Subang Perdana saja membeli lauk untuk makan tengahari. Malas dah nak memasak dan aku pun bukan cekap dan pandai sangat pun. Senang sikit, kakak tak payah le nak masak.
Segala baju aku dan anak-anak mula dikemas. Lebih kurang pukul pukul 3 petang aku kembali ke hospital bersama kesemua anak-anak untuk bertemu ayah mereka. Bila ada si kecil Arif tu, memang riuhlah dibuatnya. Kebetulan ada bilik pelawat di sebelah bilik hubby, maka aku suruh mereka tengok TV di situ saja kerana bilik hubby ada 2 katil tetapi tidak boleh menonton TV. Supplier tersilap pasang unit TV dalam bilik tu kata nurse. TV hanya disediakan untuk bilik 1 katil sahaja.
Sementara tu, hubby baru nak mandi. Ada tempat duduk disediakan di dalam bilik air untuk kemudahan pesakit. Aku pula beritahu nurse untuk check-out dan menunggu mereka menyediakan segala apa yang sepatutnya.
Kami semua pakat menunggu di bilik pelawat saja sambil menonton TV. Hanya aku, hubby dan anak-anak saja yang ada sebab tak ramai lagi pesakit di hospital ni.
2 orang staf SDMC bahagian Finance (Suzie) dan Farmasi (Vanajah) datang membawa ubat-ubatan, surat MC, kad peringatan untuk appointment selanjutnya dan bil terperinci hospital.
Amboi! Banyaknya ubat ; Untuk jantung, darah tinggi, kolestrol, cair darah dan diabetes. Hubby bukan ada masalah darah tinggi tetapi mungkin untuk kawal tekanan darah agaknya, itu yang aku fikir le. Terpaksalah aku mencatit kegunaan ubat dan waktu yang sepatutnya aku berikan. Jadi nurse kat rumah.
Amboiii.... panjang sikit amboinya! Bilnya pun tak menahan juga untuk 2 hari 2 malam ; mencecah angka RM10K dan ada lebihan lagi. Nasib baik le syarikat tempat hubby bekerja yang bayarkan. Kalau tidak pengsanlah aku. Jadi kalau ada sesiapa yang belum ada insuran tu, janganlah berkira sangat nak beli insuran. Aku boleh rekomenkan consultant yang bagus kerjanya untuk korang.
Setelah selesai semua urusan, kami terus balik ke rumah di Bandar Seri Putra.
Aishah pula dah berjanji hendak bermalam di rumah rakannya sempena majlis perkahwinan kakak rakannya itu. Tak sampai hati pula nak menghalang dan aku pula memang kenal baik dengan rakannya itu. Jadi dalam pukul 6.15 petang bergegas pula menghantar Aishah ke rumah rakannya di fasa 4, Bandar Baru Bangi.
Hubby tak nak tidur di tingkat bawah. Nak ke bilik juga katanya. Risau juga aku. Naiklah tangga perlahan-lahan. Dalam bilik atas ada aircond, bilik bawah panas sikit. Bukan ada tilam tebal dan katil pun. Tak selesa nanti. Kesian hubby sebab tangan kanannya masih sakit akibat angiogram yang pertama dulu. Tak dapat nak tidur dengan selesa. Terpaksa letak banyak bantal dan import alas sofa dari tingkat bawah. Arif pula asyik-asyik terjaga. Maka aku pun dapat tidur dengan tidak saja kerana risaukan hubby dan menjaga Arif.
Apa nak buat! Sabar ajelahkan. Dah itu yang Allah tentukan untuk aku.
Sambung ke Part 6
No comments:
Post a Comment