iklan

Followers

Pages

Thursday, 20 September 2012

Part 3 - Bila dia sakit, aku turut terasa!

Sambungan daripada Part 2 di SINI..

28 Ogos 2012 merupakan malam ke 4 hubby di hospital. Keresahannya berganda apabila doktor mengatakan keadaannya kritikal dan perlu menjalani pembedahan pintasan jantung. Usahkan dia, kalau aku pun berada ditempatnya tentu berperasaan demikian juga.

Malam tu sukar dia nak lelapkan mata. Aku hanya berbalas SMS, cuba untuk meredakan resahnya. Pada waktu yang sama dia sendiri sukar hendak membuat keputusan sama ada ingin memilih IJN atau SJMC untuk melakukan pembedahan tersebut.

Petang sebelum itu aku ada call 3 orang rakan doktor yang juga merupakan client Unit Trust aku untuk mendapatkan pandangan dan pendapat mereka tentang kedua-dua hospital tersebut. Terima kasih pada Dr. Nazim (Klinik An Nur Bandar Seri Putra), Dr. Razman (Klinik An Nur Bandar Tun Hussein Onn) dan Dr. Anuar Sani (Lecturer USIM).

IJN (Institut Jantung Negara) sangat lengkap dengan segala kemudahan dan peralatannya. Pasukan doktor juga terdiri daripada mereka yang terbaik dan berpengalaman. Dato' Dr. Haji Azhari adalah antara nama yang kakak aku pernah sebut pernah melakukan operasi pembedahan ke atas arwah ayah dahulu. Tidak kurang hebat juga doktor pakar yang berkhidmat di SJMC (Subang Jaya Medical Centre) atau nama barunya SDMC (Sime Darby Medical Centre). Pencarian pakar di SDMC membawa penemuan kepada nama Dato' Dr. Rozali Wathooth. Taip saja nama beliau di Google Search, pasti banyak info tentangnya. Antaranya sejarah beliau sebelum IJN dibuka di SINI.

Esoknya 29 Ogos 2012, hubby membuat keputusan untuk menjalani pembedahan tersebut di SDMC. Aku memberitahu bossnya tentang hasratnya itu dan pihak syarikat akan menyediakan GL (Guarantee Letter) untuknya. Tengahari tu ramai rakan-rakan pejabat dan pihak pengurusan yang melawatnya di Hospital Serdang. Ada juga rakan-rakan lama yang menelefon bertanyakan khabar.

Waktu ini hubby sudah pun dipindahkan ke wad lain. Maka bilangan pelawat yang boleh menjenguknya pada satu-satu masa tidaklah terhad pada 2 orang saja. Waktu itu aku juga ditemani oleh 2 orang anak aku yang sulung (Aishah, 16) dan yang kedua (Amirul, 14).

Habis waktu melawat pukul 2.30 petang itu aku lansung balik ke rumah. Aku datang semula pada pukul 4.30 petang dengan membawa bersama anak yang ketiga (Asyikin, 12) dan yang keempat (Azri, 10) pula. Ikut giliran untuk melawat ayahnya.

Hubby kata dia perlu dipindahkan ke SDMC. Aku perlu selesaikan urusan check-out hubby dari Hospital Serdang. Bersenamlah aku turun ke kaunter bayaran di tingkat bawah. Bukan bayar pun, cuma ambil resit saja. Kos menghampiri angka RM1K. Semuanya syarikat tempat hubby bekerja yang bayarkan. Kemudian naik semula ke tingkat 6 untuk ambil hubby turun yang ditemani oleh Azri dan Asyikin tadi.

Nurse kata tiada ambulan untuk hantar kerana semuanya sedang digunakan. Tak mengapalah kerana hubby pun dah boleh berjalan. Nyaris juga kereta yang aku pandu waktu itu kereta hubby. Selesalah sikit perjalanan nak ke SDMC.

Aku dapat panggilan dari kak Seha, wakil HR (Human Resources) memberitahu bahawa SDMC Subang Jaya agak penuh dan hubby diminta ke SDMC Ara Damansara. Kak Seha tak dapat nak tunjukkan arah jalan untuk aku ke SDMC Ara Damansara. Hanya alamat yang diberikan. Aku tak dapat nak bayangkan di mana lokasinya berdasarkan alamat itu. Hubby cuba masukkan dalam GPS pun tak dapat juga.

Aku mula bergerak dari Hospital Serdang lebih kurang pukul 6.00 petang. Jalan keluar dari arah Putrajaya menghala ke Tol Kajang sudah pun sesak dengan kenderaan. Minda terus berfikir tentang haluan yang harus aku lalui. Hubby cadangkan ikut KESAS highway. Redah ajelah.

Teringat abang ipar (suami kakak aku) yang agak mahir dengan jalan-jalan di Lembah Kelang ni. Katanya ikut jalan hala ke Subang Airport yang lama. Guna susur kiri selepas nampak stesen minyak BHP. Agak jelas sikit bayangan aku kerana itulah jalan yang dulu sering aku gunakan bila nak ke rumah kakak.

Berbeza pula dengan hubby yang masih membayangkan SDMC Subang Jaya. Dia menyuruh aku masuk susur kiri semasa di KESAS highway. Susur kiri selepas exit Sunway Pyramid. Aku agak hairan juga tapi ikutkan saja. Alih-alih memang salah jalan, sesat dan tersekat dalam jem. Nampaknya aku juga yang perlu fikirkan jalan keluar hinggalah dapat lalu di jalan dari arah USJ menghala ke Subang Jaya.

Aku pandu ke arah 'fly-over' menghala ke Subang. Hubby kata "tu SJMC!" di sebelah kanan yang kelihatan di bawah 'fly-over'. Masa itu barulah aku perasan rupa-rupanya hubby masih ingatkan kami nak menghala ke SDMC Subang Jaya. Patutlah semangat benar dia tunjukkan jalan. Sabar ajelahkan.

"Yang! Bukan yang ini, SDMC Ara Damansara. Ini Subang Jaya!", aku bagitau hubby. Dia dah confused!

Berjaya juga aku masuk ke jalan Lapangan Terbang Subang. Agak sesak juga dengan kenderaan. Jam dah pukul 7 lebih pun. Dah nak malam. Sebelum tu aku dah call pengasuh Arif memberitahu aku lewat lagi.

Tak susah pun nak cari SDMC Ara Damansara, terus aku parking dekat pintu masuk kecemasan. Ada banyak ruang parking yang kosong. Pilih sajalah nak letak kereta di mana pun.

Lot parking bahagian kecemasan
Semasa mendaftar nama hubby, dia di check sekali lagi oleh doktor yang ada di situ. Lupa aku dengan nama doktor tu. Diambil darah, tekanan darahnya, uji tahap gula dalam darah dan x-ray. Sementara menunggu selesai, aku bawa anak-anak ke restoran Subway yang ada di bangunan hospital untuk membeli makanan. Itu saja pilihan yang ada kerana dah malam, cafe mereka dah pun tutup. Anak-anak pula dah lapar.

Asyikin & Azri makan sementara menunggu

Kaunter daftar bahagian kecemasan
Kemudian di bawa ke wad di tingkat 3.

"Mama! Ni hospital ke hotel?", tanya Asyikin. Memang cantik!

Ruang pelawat menunggu di lobby
Lebih kurang pukul 8.30 malam, hubby didatangi oleh doktor pakar. Banyak soalan yang diajukan olehnya pada aku dan juga hubby. Itulah Dato' Setia Dr. Haji Anuar Masduki yang lembut bicaranya tetapi jelas dan tegas.

Tiba-tiba pintu bilik diketuk dan muncul abang ipar aku tadi dan memberi salam.

Terus saja Dato' Dr. Anuar bersalam dengannya dan berkata "Izinkan saya periksa adik ni (merujuk pada hubby)". Sangat merendah diri orangnya. Itulah orang lama dan berpengalaman, mungkin dalam usia 60-an juga tu.

Kami diajak ke bilik video berhampiran. Di situ beliau menerangkan keadaan jantung hubby dibantu oleh rakaman video dari Hospital Serdang. Beliau ingin melakukan lagi proses angiogram untuk meninjau semula keadaan jantung di bahagian kiri dan cuba juga di bahagian kanan yang sebelum ini gagal dilihat. Jika keadaan mengizinkan untuk proses angioplasti dijalankan, maka ia akan dilakukan terus semasa angiogram nanti yang dijadualkan pada pukul 9.00 pagi keesokan hari.

Video jantung
Dato' Dr. Anuar menenangkan hubby bahawa proses angiogram nanti akan dilakukan dari bahagian peha kanannya yang sama tetapi dalam keadaan hubby dibius sepenuhnya. Ngeri agaknya hubby bila teringatkan proses sama sebelum ini.

Bertanya tentang risiko, Dato' Dr. Anuar membalas dengan kata-kata yang lembut, berlapik tetapi tidak lari dari fakta.

"Semua yang kita lakukan ada risikonya. Jika orang kata tiada risiko bermakna orang itu tidak tahu!", antara kata-katanya. Pesannya agar buat yang terbaik, berusaha, berdoa dan selebihnya kita berserah pada Allah.

Kadang semua yang dirancang memang kelihatan akan 100% berjaya, tetapi jika itu bukan kehendakNya, tiada siapa dapat menghalang. Pun adakalanya seperti tiada harapan, tetapi jika Allah mahukan dia selamat, maka akan selamatlah. Apa yang penting adalah semua pihak melakukan tugas dan tanggungjawap masing-masing.

Selepas selesai jumpa Dato' Dr. Anuar, tekanan darah hubby kelihatan normal semula. Semasa baru sampai tadi agak rendah je. Risau lebih agaknya, bijak doktor memujuk.. he..he..

Dalam pukul 9.30 malam aku bergerak balik ke Bandar Seri Putra bersama Azri dan Asyikin. Terus singgah rumah pengasuh untuk ambil Arif.

Sambung ke Part 4

3 comments:

Lulu Caldina said...

kak tabahlah, semoga abang cepat sembuh.. Semoga Allah mempermudahkan segalanya buat keluarga kak Liza.. amin

Norliha Samad said...

Salam,

Syukurlah kan wanita zaman skg pandai bawa kereta, tak mengharapkan suami sepenuhnya. Jika tak susah jugak nk menguruskan segala macam urusan, bila dia sakit atau outstation.
Semmg hidup suami isteri yg bahagia ibarat cubit kanan, peha kiri pun terasa.
Tak sabar nk baca episod yg selanjutnya.

ummiross said...

Liza, macamana perkembangan hubby Liza sekarang, harap semuanya bertambah baik.