Kita memang selalu macam tu... semasa orang tu ada, jarang kita nak hargai kehadirannya. Bukan sebab kita tak sayang cuma kita mungkin terlalu melihat kelemahannya hingga lupa nak menghargai kelebihannya. Kita hanya sedar tentang kelebihannya bila dia sudah tiada. Mulalah terasa hidup kita tak lengkap dan serba tak kena.
Siapa yang kita nak letakkan sebagai contoh? Aku ambil contoh orang yang dekat dengan kita yang tentunya ahli keluarga sama ada adik, kakak, abang, ibu, ayah, suami, isteri, anak, datuk atau nenek.
Aku ambil contoh abang aku sajalah masa aku zaman kanak-kanak dulu. Dulu sama-sama nakal dan tentunya aku selalu bergaduh dengan abang aku. Bukan hal besar pun, kadang cuma sebab terlanggar bahu je pun boleh bertikam lidah. Sama-sama keras kepala. Ada aje yang tak kena.
Malah kami saling buat tak kenal bila terserempak di sekolah rendah dulu. Masa aku darjah 1, dia sudah pun berada dalam darjah 5. Masing-masing buat sombong je.
Pun begitu kami sama-sama boleh nakal pergi memancing ikan di paya belakang rumah. Dan abang aku tak pernah nak bantu pegang tangan aku meniti bongkah batu atau pokok kayu mati semasa menyusuri paya. Kalau aku jatuh pun, pandai-pandailah aku bangun sendiri. Dia buat tak tahu je dan aku pun tidak juga nak minta tolong. Ego sungguh diri masing-masing. Tiada pujian, kena kutuk lagi adalah.
Namun keadaan mula terasa sunyi sedikit bila dia mula berpindah ke asrama semasa tingkatan 1. Aku pula baru darjah 3 (9 tahun). Adik aku pun kecil sangat lagi nak buat kawan, baru 2 tahun usia dia. Tak boleh nak ajak gaduh.
Masa tu barulah kita akan terfikir, kalaulah dia ada... macam-macam nak buat bersama.
Itu hanya kisah yang mudah, tak menyentuh perasaan sangat pun. Bagaimana dengan halnya bila kita selalu saja komen itu tak kena, ini tak betul tentang orang yang hampir dengan kita. Bayangkan bila dia tak ada seketika ; mungkin pergi jauh untuk satu tempoh waktu tertentu.
Dan bayangkan jika dia pergi untuk selama-lamanya dari hidup kita? Aku sendiri tentu akan menyesal kerana tak menghargai setiap detik kehadirannya dulu. Kesal yang tak boleh nak tebus lagi.
Hargailah mereka yang berada dalam hidup kita selagi mereka tak buat dosa pun kat kita. Kita sendiri bukannya 'perfect' sangat.
Bukan tak boleh nak rasa tak puas hati dengan orang lain tetapi berpada-padalah.
Bayangkanlah hidup kita tanpa makcik cleaner, tanpa polis, tanpa posmen, tanpa lori kutip sampah.... boleh kucar-kacir juga hidup kita dibuatnya.
Aku juga perlu belajar lebih menghargainya. Setiap sesuatu ada hikmahnya.
1 comment:
salam lamanya tidak tulis blog nii liza hehehe
Post a Comment