iklan

Followers

Pages

Wednesday, 9 January 2013

Upin Ipin di mana saja!

Lekanya anak bongsu aku ni, Arif baru berusia 4 tahun  pada 2013.


Sempat dia bersila sementara aku nak membeli barang. Hari-hari suka tengok Upin Ipin di Youtube.

Tuesday, 8 January 2013

Alah membeli menang memakai

Songket Kemboja

1. Ada orang membeli dan menilai sesuatu barang kerana harga murah. Dia tidak kisah dengan rupa dan kualiti barang. Asalkan saja ianya murah berbanding barang yang mahal. Siapa yang tak mahu barang murah, aku pun nak juga.

Harga murah tetapi kualitinya bagus tak mengapa. Selalunya bila barangan yang berjenama dengan jaminan kualitinya dijual murah pada waktu-waktu tertentu. Itu memang kesempatan yang boleh kita ambil. Hanya barang yang kita perlu ye! Bukan rambang mata pulak!

Contoh yang paling aku suka bila ramai yang memilih untuk membeli kasut sekolah murah dengan harga RM10 yang kualitinya memang setara dengan harga. Baru 3 bulan pakai saja dah mudah terkoyak dan tapaknya cepat haus. Secara kiraan kita perlu berhabis 4 pasang kasut pula. Kita akan berhabis mata pergi membeli sebanyak 4 kali. Tentunya kita akan perlu membayar kos perjalanan sebanyak 4 kali juga.

Apa salahnya beli kasut sekolah yang harga RM30~40 yang lebih berkualiti dan selalunya memang tahan hingga setahun. Kiralah sendiri kosnya. Lebih jimat rasanya.

2. Ada orang membeli dan menilai sesuatu barang kerana RUPA CANTIK. Dia tidak kisah dengan harga yang murah atau mahal. Memang banyak duit, tak mengapalah. Masalahnya dia lupa melihat pada kualiti.

Rakan aku membeli beg tangan dengan harga RM100++. Ada diskaun hingga 70% katanya di SOGO. Rupa beg memang cantik dan ramai pula yang memuji. Tapi baru 3 bulan guna, tali begnya sudah mula haus nak terkoyak. Angin satu badan dibuatnya. Terpaksa pula dia membeli beg lain kerana penampilan haruslah dijaga.

Samalah seperti mereka yang kalah dengan godaan baju cantik, tudung cantik, motorsikal cantik, basikal cantik, kasut cantik, kereta cantik dan segala-gala yang cantiklah tetapi akhirnya tidaklah menggunakannya sangat. Mungkin sebab tak selesa atau tak sesuai. Jadi barang hiasanlah pula. Membazir je!

3. Ada orang membeli dan menilai sesuatu barang kerana JENAMA semata-mata. Jenama terkenal biasanya menjamin kualiti ketahanan barang. Duit dia banyak, tak pe!

Samalah macam yang cantik tadi. Kalau betul-betul menggunakannya memang berbaloilah membelinya. Tetapi bila nak guna terasa kekok penampilan, terasa macam tak selesa maka mulalah ia hanya menjadi barang hiasan.


Apa-apa pun yang kita nak beli biarlah berbaloi, tidak menyusahkan diri sendiri. Lebih teruk jika ia melibatkan kesusahan pada orang lain. Kadang-kadang aku tengok ada orang terlalu bijak mengira dan menilai tetapi menilai hanya pada luaran saja. Dia tidak mengira nilai kualiti dan faedah untuk jangkamasa panjang. Kadang tak ambil kisah pun dengan perasaan susah orang lain yang terpaksa menggunakan barang itu. Dia yang beli, dia punya sukalah nak beli yang macam mana punkan!

Tuesday, 1 January 2013

Hebatlah sangat!

Hebat!
Kita biasa melihat dan mendengar kisah orang yang sering merasa dirinya hebat, bagus dan sempurna. Dia merasa dirinya lebih baik daripada orang lain. Melihat orang lain yang kurang itu membuatkan dia rasa meluat dan tak suka sama ada dengan hati, percakapan mahu pun perbuatan.

Tidak mengapa jika kita merasa diri bagus dengan tujuan untuk bersyukur dengan apa yang telah Allah beri, tetapi kita rugi bila niat di dalam hati ada rasa benci, geli atau memandang rendah pada orang lain. Kita sudah pasti akan rugi dengan janji pahala yang Allah beri dan secara tidak sedar juga kita rugi untuk merasai nikmat redha dan hati yang tenang.

"Aku ada rumah besar, aku ada rumah besar, isteri yang cantik, suami yang kacak dan anak-anak yang bijak. Alhamdulillah kerana hidup aku lebih baik daripada orang itu!".

Di tambah pula doa "Moga orang itu akan bertambah baik kehidupannya dan dapat merasa nikmat seperti aku juga! Dan aku juga dapat merasa nikmat baik yang ada padanya yang aku tidak nampak!".

Tak mengapalah kalau ada rasa syukur untuk mendidik hati agar tidak riak. Tidak bagusnya bila bangga diri dan memandang rendah pada orang lain.

Aku sendiri kadang selalu menilai orang lain bila berkata "Dah malas! Memanglah hidup dia susah!". Memang jelas aku juga ada ketikanya memandang rendah pada orang lain.

Biasanya perasaan itu datang bila melihat orang itu suka bermalas-malasan di rumah. Lebih kerap tidur berbanding kerja. Bila bangun tidur hanya cari makanan sedangkan isterinya bersusah-payah mencari duit dengan mengambil upah menjahit dan mencuci rumah tetangga untuk biaya makan dan sekolah anak-anak.

Tiada insan yang cukup sempurna. Tentu ada kelemahan dan perlu juga bantuan orang lain.

Jangan sangka kitalah yang paling cantik menawan kerana jika nikmat itu ditarik, boleh jadi sawan pula nanti. Bayangkan bila tiba-tiba berlaku kemalangan yang merosakkan rupa kita. Tak ke meroyan dibuatnya!

Jangan rasa diri kitalah yang sangat bijak dan pandai. Tidak semua yang belajar akademik mahu pun agama tinggi-tinggi hingga ke luar negeri itu sangat pandai. Kadang ada yang pandainya hanya dalam waktu peperiksaan tetapi tidak pandai untuk mengaplikasikan ilmu dalam kehidupan. Syukur jika semakin pandai, semakin pula dia merasa rendah diri.  Ikutlah resmi padi!

Contohnya ada warga emas yang sejak muda remaja lagi siang malam menjaga solatnya agar penuh dan mengajinya setiap hari tetapi bila terlantar sakit di atas katil, dia tak solat. Bukan dia tak mahu solat tetapi dia sangkakan jika sakit tak perlu solat kerana tak boleh nak bangun.

Itu yang sahabat aku kata "Bila tak tahu tu kena bertanya! Bila belajar agama kenalah ada gurunya juga. Bukan main buat saja! Kena lihat betulkah bacaan kita, betulkah cara kita!".

Ada orang yang solatnya silap baca Al-Fatihahnya, kiam tangannya, sudut rukuknya mahu pun letak tangan waktu sujud. Kadang letak kaki waktu duduk sujud pun masih tersilap. Makanya jangan bila ditegur jadi marah pula! Orang menegur untuk kebaikan kita juga. Jangan bersikap aku tahu laaaa!

Solat waktu sakit itu sepatutnya perkara yang telah lama dia tahu kerana dia sudah pun bergelar Hajjah. Bukan niat dia tak mahu solat tapi memang dia tak tahu kerana dia tidak pernah nak bertanya untuk perbaiki solatnya. Kalau yang memang sengaja tak mahu solat tu lebih-lebihlah tak bagusnya.

Seperti status dalam facebook aku ni :

Suatu masa dulu perbualan aku dgn rakan sekerja taraf manager, aku asst. engineer je!

Kawan : Liza! lampu hijau ada kat atas atau bawah? (merujuk pd lampu isyarat)
Aku : bawah sekali lah!
Kawan : saya tak dapat jawap masa boss saya tanya soalan tu!
Aku : entah! rasanya memang bawah sebab bila tunggu hijau, mata tu pandang lampu bawah sekali.

Moralnya, tak semua yg belajar tinggi, pangkat besar tu tahu/sedar semua perkara. Kita saling memerlukan utk mengingatkan yg betul walau pun perkara tu kecil. Dari perbualan ini, bukan nak kata aku tahu banyak, ada juga kebenaran yg dia tahu tetapi aku pula tak tahu atau tak sedar.

Hari-hari dia memandu kereta dan melalui lampu isyarat. Maka sepatutnya dia sedar dan lebih bijak untuk menyedari situasi perubahan lampu isyarat. Melainkan jika perkara itu memang tidak penting baginya. Tetapi yang sebenarnya boss dia bertanya untuk menguji tahap kepekaannya. Penting jugakan untuk mendapat perhatian boss!

Jangan rasa kasut kitalah yang paling mahal, berjenama dan berkualiti. Kalau semasa berjalan, Allah takdirkan kita nak tergolek dan terseliuh di tengah orang ramai buat kita jadi malu besar juga.

Kesimpulannya usah riak dengan kelebihan yang kita ada dengan niat hendak menunjuk-nunjuk. Tetapi jika menunjuk dengan cara berhemah dan niat kita untuk mengajak orang lain sama-sama berusaha untuk melaksanakan dan menikmatinya, maka bagi aku itu tidak mengapa. Buang rasa riak dan bangga diri tu jauh-jauh!

Kitakan selalu dengar motivasi untuk memajukan diri sama ada dalam sahsiah, perniagaan dan sebagainya yang sering bersemangat mengajak kita gunakan dan yakin dengan kelebihan diri. Maka, yakinlah dengan kelebihan diri untuk membina lebih banyak kebaikan.