iklan

Followers

Pages

Thursday, 13 September 2012

Part 2 - Bila dia sakit, aku turut terasa!

Sambungan dari Part 1 di SINI..

Sebaik tiba di rumah, lansung aku terus ke bilik dan mengajak Arif tidur. Sebelum tu aku minta tolong dengan Amirul, 14 tahun iaitu anak aku yang kedua untuk mengunci pintu pagar luar dan pintu rumah. Kepala dah sakit dan terasa mengantuk sangat.

Pun begitu masih teringatkan hubby dan terfikir "dapat lenakah dia tidur di hospital?". Aku dah merasa berkali-kali juga tidur di hospital yang antaranya 2 kali kerana mabuk akibat mengandungkan anak sulung, setiap kali melahirkan anak yang 5 orang tu, menjaga Arif yang pernah masuk wad akibat demam dan yang terakhir sekali sewaktu aku dilanda demam denggi.

"Sabarlah yang! Itu dugaan yang Allah beri, maka terpaksalah kita lalui juga dengan redha!", bisik hatiku sendirian. Seakan bisikan itu didengari oleh hubby agaknya. Tak mengapalah, hubby aku kan penyabar orangnya.

Sebenarnya pada petang hubby kena sakit dada tu, dia baru saja habis mencuci kereta. Tiba-tiba kepalanya terasa pening dan mata berpinar. Tak lama kemudian aku pula terima panggilan daripada jiran di kampung hubby mengatakan yang ibunya demam panas yang agak teruk dan meracau menyebut namanya dan kakaknya. Aku yang menerima panggilan waktu tu terasa sebak dan risau serta-merta, tentulah hubby begitu juga. Mungkin ianya menjadi penyebab juga degupan jantungnya menjadi lebih cepat akibat terkejut dan kesannya terasa sakit di dada.

Wad CHDW bukanlah wad biasa yang kadang kanak-kanak bawah usia 12 tahun pun boleh terlepas masuk pada waktu melawat di hujung minggu. Sekali masuk pun hanya dibenarkan 2 orang pelawat dan perlu bergilir jika bilangan pelawat melebihi daripada 2 orang.

Seharian di hujung minggu hubby habiskan waktunya di wad. Bosan katanya. Apa nak buat.

Hari Ahad itu aku hanya sempat datang pada waktu tengahari. Kakak dan mak aku sempat melawatnya di sebelah petang.

Pagi Isnin hubby SMS minta aku datang awal. Doktor nak jumpa aku katanya untuk terangkan tentang masuk kamera untuk meninjau keadaan jantung hubby. Pun begitu terasa rindukan anak-anak katanya. Baru sehari dah resah. Tak rindu aku ke? He..he..

Selepas siap hantar keempat-empat anak ke sekolah masing-masing dan si kecil sekali ke rumah pengasuh, aku siapkan dulu makan tengahari mereka dan sidai kain mana yang sempat. Hanya Aishah yang ponteng sekolah sebab aku terlalu penat untuk bangun awal dan menghantarnya ke Bangi.

Seawal pukul 11 pagi aku tiba dan berjumpa dengan doktor. Beliau menerangkan sedikit sebanyak tentang prosedur dan risikonya. Bila dengar tentang risiko, hubby aku terasa sangat risau. Mindanya memang penuh dengan kerisauan waktu itu.

Boleh baca tengah prosedur angiogram, angioplasti dan risikonya di SINI.

Sumber gambar dari SINI
Hubby diminta puasa sebelum angiogram dilakukan. Aku pula terus SMS anak sulung aku, Aishah untuk cari maksud yang lebih jelas tentang angiogram di internet. Memang terperincilah penerangannya ; ringkas tapi padat.

Nurse kata ada lebih kurang 25 orang sedang menanti giliran untuk buat angiogram. Dari wad CHDW saja ada 4 orang termasuk hubby. Jenuhlah nak menunggu. Keresahan walau pun sedikit tapi dapat aku lihat pada wajahnya.

Sehinggalah dalam pukul 5.25 petang barulah hubby dibawa ke bilik ini, makmal Diagnostik Kardiotorasik.


Lama aku menunggu di luar bilik ini. Risau pun ada. Bila aku tanya salah seorang yang turut menunggu di luar itu, katanya telah menunggu sejak jam 2.00 petang. Buat aku lagi gelabah. Mundar-mandir aku di situ. Itu pun aku telefon juga ke rumah pengasuh anak bongsu meminta kebenaran untuk ambil anak aku tu lewat sikit sekitar pukul 8~9 malam. Berpesan juga pada Aishah agar jagakan adik-adik yang lain. Nyaris jugalah anak-anak dah pandai masak sendiri walau pun hanya goreng telur atau nuget. Aishah dan Amirul pun dah boleh masak nasi.

Tepat jam 7.15 malam, kelihatan hubby ditolak keluar atas stretcher dalam keadaan sedar. Kesian aku tengok keadaan yang terpaksa dia lalui. Hubby terus ditolak menuju wadnya semula.

Tangan kanan dan kaki kanannya sakit dan tak boleh nak angkat. Katanya mula-mula doktor masukkan tiub melalui salur darah tangan kanan tetapi gagal untuk sampai ke jantung. 3 kali percubaan masih gagal. Sakit katanya, ngilu, senak. Kemudian cubaan ikut salur di peha barulah berjaya. Itu pun dapat lihat di bahagian kiri jantung.

Tangan kiri pula tak boleh nak gerak sangat kerana ada tiub untuk air masuk ke dalam badan. Hanya kaki kiri saja yang mampu bergerak. Nak buat apa-apa pun perlulah dibantu.

Sepanjang hari hubby tak makan kerana berpuasa sebelum buat angiogram. Jadi aku suapkannya nasi dan lauk yang pihak hospital sediakan. Mula-mula katanya nak makan sikit je, tengok-tengok habis nasi dimakannya. Lapar sangatlah tu.

Sebelum balik aku uruskan dulu apa yang dia nak seperti makan, minum, dapat lap muka saja dengan tuala lembap, berkumur dengan listerin dan buang air kecil. Aku tak boleh nak bermalam kerana nak uruskan anak-anak yang 5 orang pula di rumah.

Dalam perjalanan balik aku singgah rumah pengasuh ambil Arif dulu. Sampai di rumah, anak-anak masih belum tidur lagi. Aku malas dah nak memasak, jadi tadi aku dah singgah di KFC Kompleks PKNS Bandar Baru Bangi. Bungkus je ayam KFC untuk anak-anak. Suka sangatlah diaorang.

Nak kena tidur segera sebab esok seawal 6.40 pagi dah nak kena hantar Aishah ke sekolah dan adik-adiknya juga. Kesihatan diri pun kena jaga supaya aku dapat menjaga yang lain. Jangan lupa makan jamu dan pil supplement yang lain. Minum air suam selalu.

p/s : sambung nanti, kena angiogram lagi sekali... adoiiii!

Sambung ke Part 3

Saturday, 8 September 2012

Part 1 - Bila dia sakit, aku turut terasa!

Lama tak mencurah rasa di blog ini. Tentunya ada antara rakan-rakan yang tertanya-tanya ke mana aku menghilang. Mana yang menjadi teman facebook mungkin ada yang tahu situasi aku sekarang. Terlalu sibuk dengan urusan keluarga hingga kerja aku pun turut terbengkalai. Nyaris juga aku kerja sendiri dan pendapatan pun berbaloi lagi untuk buat 'back-up' sebulan dua. Maklum saja setelah 2-3 tahun bercuti, baru tahun ini mula serius kembali dengan kerja aku. Itu yang 'back-up' duit tak sebanyak mana. Itu pun untuk diri sendiri je.

Bukan aku tak biasa menguruskan anak-anak yang 5 orang tu tanpa suami di sisi. Selalu juga hubby outstation yang kadang hingga seminggu lamanya. Tidaklah sampai berbulan seperti rakan-rakan yang suaminya pergi belayar tu. Bila dia tiada di sisi memang segalanya perlu aku lakukan dengan ringkas dan pantas.

Namun tiadanya dia kali ini untuk sama-sama menguruskan hal anak-anak dan rumahtangga adalah dalam situasi yang berbeza. Ramai yang sudah melaluinya tetapi aku pula baru kini diuji oleh Allah hingga rutin hidupku seharian menjadi berubah menjadi lebih sibuk. Ianya banyak menuntut lebih tenaga, masa dan kesabaran.

Segalanya bermula pada tarikh hari lahir anak aku yang ke-3, Siti Nur Asyikin di usianya yang genap 12 tahun pada pukul 5.00 petang di rumah aku.

"Mama! Tolong hantar ayah ke klinik", pinta hubby yang tiba-tiba saja.

Aku rasa cuak seketika. Selama 17 tahun usia perkahwinan aku, hubby bukanlah jenis yang suka pergi ke klinik. Cukup tak suka ke klinik kecuali jika benar-benar terpaksa. Ngeri dengan jarum suntikan, takut dengan darah dan susah nak makan ubat. Masuk ke bilik bersalin semasa aku nak melahirkan anak-anak pun kerana dipujuk berkali-kali.

Jadi, bila dia meminta pertolongan sebegini bermakna dia berada dalam kesakitan yang amat sangat dan tak mampu untuk dia cuba bertahan. Tentunya dia juga berasa takut jika ianya menjadi lebih serius.

"Boleh!", jawap aku spontan.

"Tapi hari ni klinik An Nur tutup. Kalau tak ke Hospital An Nurlah kat Bangi. OK ke nak ke sana?", tambah aku lagi.

"Takpelah! Ke Bangi je lah!", jawap hubby dengan wajah sedikit menahan sakit sambil tangan memegang dadanya.

"Ayah kenapa?", tanya aku lagi.

"Dada sakit, macam pedih ulu hati je!", jawapnya lagi.

Aku bingkas memakai tudung dan mencapai beg tangan. Sempat aku tinggalkan pesanan pada Aishah selaku anak sulung untuk menjaga adik bongsunya, Arif. Pohon juga agar adik-adiknya yang lain turut bekerjasama menjaga Arif. Aku terangkan serba sedikit keadaan ayah mereka dan mungkin lewat balik.

"SMS atau call mama jika ada masalah!", pesan aku lagi.

Aku lansung hidupkan enjin kereta Kelisa aku. Mudah lagi pandu kereta Kelisa berbanding Honda Accord dia. Kereta kecil nanti senang nak cari parking di Hospital An Nur yang sering saja penuh. Perjalanan dari rumah hanya mengambil masa 15-20 minit.

Aku pimpin tangan hubby berjalan masuk ke ruang menunggu Hospital An Nur, Bangi yang berhadapan dengan Masjid Jamek Bandar Baru Bangi tu. Lembap baju hubby aku. Tak sempat nak menukar kain pelikatnya pun.

Dalam kekalutan, tak sempat nak mencapai buku klinik hubby kerana Hospital An Nur adalah panel tempat kerjanya.

Nurse di kaunter pendaftaran kata "kalau tak bawa buku, kena bayar tunai!".

Tak kisahlah bayar tunai pun! Anggukkan kepala sajalah.

Data-data hubby diambil dan nombor diberikan. Giliran menunggu hanya seorang saja lagi. Aku duduk dulu di sebelah hubby. Resah pun ada, tapi aku cuba tenangkan diri. Kesian juga tengok hubby.

Seminit dua pun terasa lama. Aku bangun semula menuju ke kaunter "Dik! Doktor ada ke? Abang akak tu sakit dada!".

"Doktor ada! Sekejap ye!", nurse cuba menyabarkan aku.

6 minit juga menunggu, akhirnya nombor giliran hubby muncul. Dia masih boleh berjalan di hadapan aku dengan perlahan.

"Pukul berapa kena? Sakit di bahagian mana?....", dan pelbagai lagi soalan doktor ajukan.

Doktor bawa hubby ke bilik kecemasan untuk check degupan jantung dan tekanan darah. Tak tahulah apa nama mesin tu. Nak kena pasang butang pulak melekat di dadanya, penyepit di kedua-dua tangan dan kaki.

"Kena refer ke Hospital Serdang ni!", kata doktor pada aku.

Sebelum pergi, doktor dah bagi hubby ubat dulu untuk redakan kesakitan. Aku pun tak bertanya ubat apa yang doktor bagi. Minda tengah celaru dalam tenang masa tu.

Di kaunter farmasi, bil yang perlu dibayar sebanyak RM95.50. Nasib baiklah hubby ada ambil duit sebelum ni untuk bayar duit kad kreditnya. Gunakan yang itu dululah.

Doktor berikan surat untuk aku bawa ke bahagian kecemasan di Hospital Serdang.

Aku turunkan hubby di bahagian kecemasan di Hospital Serdang dan kemudian mencari parking. Nyarislah memandu kereta Kelisa. Dapat juga menyelit 'side parking' di antara kereta-kereta yang dah banyak beratur di tepi jalan.

Lagi sekali hubby di pasang butang di badan dengan rupa sepit yang sama melekat di badan. Sama seperti tadi. Namun kesakitan dadanya mula berkurang. Mungkin kesan dari makan ubat tadi.

Aku buat pendaftaran dan kemudian hubby di tolak pula ke bilik kecemasan label kuning. Kena check degupan jantung lagi dengan peralatan yang sama seperti tadi.

Jika tadi hubby berpeluh, kini berselimut seluruh badan kerana suhu yang sejuk di dalam hospital.

Sedar tak sedar jam sudah pun menunjukkan angka 7.27 malam. Teringat anak-anak di rumah. Aku SMS Aishah mengatakan ayahnya di Hospital Serdang. Dia pun tahu di mana lokasinya kerana pernah melawat aku sewaktu ditahan dalam wad akibat denggi dulu.

Acara mengerikan hubby bila kena cucuk untuk ambil darah. Aku macam biasa tengok je jarum tu dicucuk di lengannya. Kemudian kena pergi X-ray dan diambil urine untuk ujian kesihatan. Ada doktor check dan bertanya pelbagai soalan pada hubby.


Asyikin pun dah mula SMS bertanyakan bila aku nak balik. Keputusan sama ada perlu ditahan di wad atau tidak masih belum pasti. Jam sudah pun pukul 9 malam. Risaukan makan malam yang belum tersedia untuk anak-anak. Hubby izinkan aku balik jenguk anak-anak dulu. Maka bergegaslah aku balik ke rumah yang perjalanan mengambil masa 20 minit untuk sampai ke rumah, menghala ke Bandar Seri Putra. Dek kerana malas dah nak memasak, aku singgah di KFC Kompleks PKNS Bandar Baru Bangi. Bungkuskan ayam KFC je untuk anak-anak.

Semasa di rumah aku siapkan sehelai dua baju dan kain pelikat hubby dalam beg. Segala ubat gigi dan sebagainya pun aku sediakan. Standby kalau-kalau dia terpaksa bermalam di wad buat pertama kalinya dalam usianya yang dah pun melangkau 42 tahun.

Aku sempat baring sekejap kerana sakit kepala pula. Macam migrainelah juga. Ubat migraine pula dah habis. Makan panadol sajalah.

Dalam pukul 10.45 malam aku terima SMS dari hubby mengatakan dia perlu admit dan meminta aku sediakan keperluan yang ringkas. Aku pun bersiap dengan anak-anak pun nak mengikut sama.

"Nak ikut tu boleh! Tapi duduk dalam keretalah sementara mama hantar barang kat ayah!", pesan aku pada anak-anak. Hanya Aishah saja yang tak mahu turut serta. Bukan aku nak ke mana pun.

Pukul 11.30 malam aku sampai di lobby hospital dengan memandu kereta hubby, selesa sikit anak-anak. Sementara aku nak naik ke wad, anak kedua aku yang dah pun 14 tahun ditugaskan untuk jaga Arif di dalam kereta.

Terpaksa memberitahu tujuan nak hantar barang pada guard di pintu masuk dekat lift lobby. Jauh juga nak berjalan ke wad CDHW di tingkat 4 tu.



Selepas jumpa hubby, muntah sekejap kat toilet. Begitulah keadaan aku kalau dah kena migraine. Boleh berjalan lagi. Kenalah kuatkan semangatkan. Nak bermanja kena bertempat juga.

Memandu pulang dengan kepala yang sakit dan agak mengantuk. Nyaris juga ada beli air 100 plus sebelum tu untuk meredakan rasa mengantuk.

Kesian hubby terpaksa bermalam di hospital. Arif pula bila ditanya, "Mana ayah?".

"Ayah keje!", jawapnya. Baru berusia 3 tahun, bukan faham pun kalau ayah dia sakit.

p/s : sambung nanti tentang hubby terpaksa jalani 'angiogram'.

Sambung ke Part 2

Apa ibu bapa kena buat semasa anak-anak dalam dewan peperiksaan

Aku kongsikan amalan yang elok ibu bapa lakukan disaat anak-anak kalian sedang berjuang menjawap soalan di dewan peperiksaan. Di samping kita berdoa untuk mereka, amalan ini juga membuatkan diri kita sendiri lebih tenang dan redha dengan segala yang Allah tentukan.

Tahun ini, Asyikin akan menghadapi UPSR. Moga segala usahanya berbaloi, redha dengan apa jua keputusan dan matang menghadapinya.

Terima kasih kak Nazila, rakan yang hanya aku kenali melalui facebook atas perkongsian ini.