iklan

Followers

Pages

Tuesday 31 July 2012

Mereka dibunuh beramai-ramai, binatang pun tak dilayan begini!

Protes di Malaysia, sumber SINI.
Rohingya merupakan satu kelompok masyarakat Islam yang tinggal di Myanmar. Mereka kini sedang ditindas dan dibunuh dengan kejam.

Taip saja perkataan 'Rohingya' di Google, dan klik 'image' di sebelah atas. Bukan gambar permandangan indah yang korang dapat lihat tetapi hanyalah gambar-gambar duka yang bisa membuatkan air mata mengalir.

Kejamnya manusia yang tidak boleh melihat umat Islam yang lain hidup aman. Takut benar mereka dengan kebangkitan Islam.

Pembunuhan etnik Islam di Myanmar, berita dari SINI ; buat hati terasa geram. Apa dosa mereka di bunuh sedemikian rupa. Perkampungan dibakar bersama-sama penghuninya sekali, dibiarkan hanyut di lautan tanpa hala dan tujuan kerana dunia tidak menerima mereka sebagai pelarian.

Ya Allah! Selamatkanlah kami dan keluarga kami! Sumber dari SINI.
Mereka di jalanan juga turut menjadi mangsa bunuh tidak kira lelaki atau wanita, mahu pun kanak-kanak. Mereka ditembak dan dilibas dengan senjata tajam tanpa ada rasa perikemanusiaan. Anak-anak kecil dilibas dengan parang dibelakangnya. Apa perasaan korang?

Sumber dari facebook
 Intai-intai page 'Kami Bersama Umat Islam Rohingya' untuk tambah maklumat.

Sunday 29 July 2012

Genggaman tangan terakhir di bulan Ramadhan

Jalan masuk ke Jengka 16! Gambar dari SINI
Membaca post di facebook seorang rakan lama yang juga senior aku semasa di kampung ini menggamit sayu hati aku dibulan Ramadhan kerana aku juga melihat pemergian ayahanda tercinta di bulan Ramadhan yang mulia ini pada tahun 2010. Segala kisah ayah ada aku ceritakan di SINI.

Alfatihah, moga Allah tempatkan ayahanda sahabatnya di kalangan insan yang disayangi Allah dan orang-orang yang beriman. Amin..

"Kita semua akan kehilangan insan yg tersayang.Tidak kiralah siapa insan tersayang itu...Disini Aku ingin Paparkan satu Nostalgia...tentang permergian insan tersayang seorang sahabat aku.....Sesiapa yg pernah mengalaminya.pasti akan merasai sama seperti sahabatku ini.....

KHAS buat ayah tersayang....

Ayah adalah insan ke dua yang aku kenal selepas ibu ku
Ayah juga adalah insan ke dua yang aku sayang
Tiada yang lebih penting dari kedua-dua mereka......

Aku dan adik beradik boleh dikatakan tidak begitu rapat dengan ayah...
Mungkin....Ayah kami garang...tegas....
Walau apa pun, Kami tetap sayang Ayah....

Aku tidak akan lupa beberapa hari yang lalu....
Hari yang telah merampas keriangan kami sekeluarga...

23 Julai 2012 bersamaan hari ketiga Ramadhan....

Menjelang Asar kami berkumpul di sisi ayah
Wad tempat ayah terlantar selama lapan hari menjadi seperti pesta air mata kami
Wajah ayah kelihatan tenang walaupun di hidung dan mulutnya dilengkapi berbagai tiub
Semalam, ayah buat kami gembira seketika apabila membuka sedikit kelopak matanya...
Tangan ayah bergerak-gerak dan bertambah kuat genggamannya apabila mak menggenggam tangan ayah....

Tapi tidak petang itu...
Tangan ayah tidak lagi bergerak, kaki dan tangan ayah terlalu sejuk
Mata ayah seperti tidor yang lena..
Tidak seorang pun dari ahli keluarga kami yang terlepas dari memandang monitor mesin jantung dan pernafasan ayah....Kami pasrah waktu itu...rekod pada monitor tidak pernah melegakan kami saat itu...

Mak di sisi ayah...berbisik di telinga ayah..."Anak-anak, menantu dan cucu semua ada di sini...jika sudah ditakdirkan, pergilah...saya redhalah....ampunkan dosa-dosa saya...." bisik mak.
Mak mengajar ayah Kalimah Dua Syahadah...."Laa Ila Ha Illallah...."...
Ayah cuba mahu gerakkan mulut tapi terhalang oleh alat bantuan pernafasan....cuma yang jelas lidah ayah bergerak-gerak setiap kali dibisikkan Kalimah Syahadah....

Mungkin mak tak sanggup lihat ayah keadaan begitu....mak menangis dengan perlahan dan terus membaca Surah Yaasin....
Ayah terus dibisikkan Kalimah Syahadah tidak henti-henti oleh kami semua....
Aku dan adik-adik semua tidak lagi takut hampir dengan ayah seperti waktu kami kecil dulu....
Kami bergilir-gilir menghampiri ayah dan membisikkan ke telinga ayah "Laa Ila Ha Illallah..."
Ayah memang garang tetapi dengan kegarangannya itu lah kami mampu mengajar ayah kalimah yang begitu berharga ini....Kegarangan ayah lah yang membuatkan kami semua kenal Alif Ba Ta.....

Alhamdulillah, semua adik beradik mampu membaca Al-Quran dan Surah Yaasin dengan baik...
Kami rasa paling beruntung kerana ipar-ipar kami semua sayang ayah dan mak kami....
Ipar-Ipar kami turut membacakan Surah Yaasin di sisi ayah....Doakan untuk ayah...Alhamdulillah..

Dua tiga hari sebelum itu, mak tidak selera untuk makan....mak tak lena tidor...
Mungkin mak tahu ayah akan pergi tinggalkan kami....cuma, mak sentiasa tunjukkan keyakinannya kepada anak-anaknya bahawa ayah pasti akan sihat semula....
Mak sedar genggaman tangan ayah yang boleh bergerak semalam itu sebagai tanda 'selamat tinggal' dari ayah....

Menjelang Asar...Ayah semakin kritikal...
Aku tidak putus-putus membaca doa " As Alallahal Azim..Rabbul Arshil Azim..Ay yash fiaka.." (Ku pohon kepada Allah Yang Maha Besar, Tuhan Singgahsana Yang Besar Agar Sembuhkan Ia (dikau)" )..
Sesungguhnya doa ini benar, tetapi ayat Allah "Kullu Nafsin Zaa Ikatul Maut" juga adalah benar....

Di dalam waktu Asar lebih kurang menghampiri jam 5.30 petang pada Tiga Ramadhan (23 Julai 2012) jantung ayah terhenti......
Mak longlai di sebelah katil ayah...adik-adik terus memujuk mak walaupun adik-adik ku sendiri gagal memujuk diri masing-masing....Aku terdiam kerana sudah tiada lagi air mata ...Semuanya telah ku tumpahkan sebelum tiba ajal ayah....

Allah mahu mengambil Ayah, Allah lebih menyayangi Ayah....
Kami redha....Kami mohon kepada Rabbul Jalil agar rahmati lah ayah kami...

Kehilangan ayah bukan kehilangan untuk mak sahaja....
Kami juga kehilangan ayah yang garang, tegas, baik dan penyayang....
Kaum dewasa di kampong juga kehilangan seorang Guru Takmir yang mengajar mereka agama setiap malam...
Golongan anak-anak di kampung kehilangan Guru Al-Quran yang telah mengajar di kampung semenjak berpuluh tahun dahulu lagi....

Kami semua redha ayah pergi....
Alhamdulillah...ayah pergi dengan tenang...
Ayah dimandi, dikafan dan disembahyangkan di IJN
Kami adik beradik termasuk ipar semua bersyukur dapat bersama-sama menguruskan jenazah ayah dengan sempurna...

Jenazah ayah kami bawa dari IJN terus ke kampong di Jelebu...
Setibanya di kampong jenazah ayah di sembahyangkan sekali lagi oleh jemaah Masjid yang begitu ramai malam itu...
Malam itu juga jenazah ayah selamat disemadikan....

Al FATIHAH."

Friday 27 July 2012

Leka bermain sampai lewat tengah malam

Seawal usia 3 tahun, budak comel Aleesya Sumaira milik Asterisk Boutique dah pandai main puzzle yang susun gambar tu. So aku tanamkan minat yang sama tu pada anak bongsu aku si Arif pula. Sama usia juga 3 tahun. Nampaknya minat tu ada pada Arif dan sering terleka bila main puzzle ni. Kadang sanggup dia tidur lewat gara-gara nak siapkan puzzlenya yang banyak tu.

Dah macam-macam gambar yang aku beli untuk dia. Ada gambar Boboiboy, Doreamon, Upin & Ipin, Angry Birds dan Mickey Mouse. Ada saiz besar dan ada kecil je.



Leka menyusun atur gambar Angry Birds kecil.

Dah siappp!
Kalau yang saiz kecil tu sekejap je dia siap dalam 5 minit pun boleh dah. Jika yang saiz besar tu dia selalu ajak abang atau kakaknya join sama sebab kadang dia sendiri confuse. Dia dah boleh padankan warna dan bentuk yang hampir serupa.

Kadang-kadang sambil menyusun, mulut pun pot-pet juga mengomel "Eh! Salah!", "Dah jumpaaa..!" dan macam-macamlah lagi. Ikut ramah mak dia ni le.

Ada juga aku belikan pensil warna dan buku untuk dia mewarna tetapi baru je warnakan sikit dia dah mengeluh "Alip penatlaaaa..". Tak minat rupanya. Main puzzle ni juga yang buat dia leka.

Tapi ada perkara lain yang boleh buat dia leka dari pagi sampai ke malam iaitu mengadap Youtube cerita kartun Upin & Ipin, Boboiboy, Teletubbies, Angry Birds, Ultraman dan macam-macam lagilah. Pandai pulak tu nak klik pilih cerita yang mana suka bila satu cerita dah habis. Kadang tu dia sendiri yang klik 'full screen' dan kecilkan semula. Scroll pada mouse pun dah rosak sebab dia tolak kuat sangat. Itulah anak-anak sekarang.

Semalam abangnya kata "Mama beli puzzle Ultraman pulak untuk dia!". Puzzle kartun Ben 10 pun ada. Tentu Arif suka kalau aku belikan nanti. RM1.95 je dapat satu yang besar dan satu yang kecil.

Selalu beli di pasar malam atau kedai RM2 je, murah! Harga dalam RM1~3 aje. Kalau beli di kedai buku tu cecah sampai harga RM9 dengan saiz kertas A4 je. Memang kualiti kertas lebih keras dan bagus tapi yang biasa-biasa ni pun tahan juga aku tengok.

Untuk kakak-kakak dan abang-abangnya aku belikan buku Sudoku, Word Search dan Teka Silang Kata. Memang dalam facebook ada game-game yang dapat bina minda tetapi sekali-sekala lebih baik mereka menjawap menggunakan pensil.

Inilah antara usaha aku nak bagi anak-anak sentiasa berfikir agar minda jangan terlalu manja. Risau tengok keputusan exam mereka yang teruk. Jadi kenalah buat sesuatu untuk membaikinya dengan cara yang menyeronokkan.

Arif berjaya!

Thursday 26 July 2012

Siapa kata aktiviti terhad dengan bertudung?

Macam-macam aktiviti yang mereka buat? Lihat! Mereka sangat aktif..
Bertudung litup dari kepala hingga ke kaki.
Tiada baju ketat-ketat dan seksi!



Setuju dengan Nia Adaman


Wednesday 25 July 2012

Jangan dibuang makanan itu, ada yang menangis!

Bila bulan puasa tiba, macam-macam azamlah yang datang umpama menyambut tahun baru. Bulan Ramadhan yang mulia memang ramai umat Islam yang menunggukan kedatangannya. Namun ramai juga yang tidak suka dengan kehadiran bulan Ramadhan. Siapa tu yang tak suka? Ada laa...

Ada yang berazam nak khatam Al-Quran, nak solat terawih dari mula hingga ke akhir puasa, nak berpuasa cukup sebulan bagi anak-anak yang masih bersekolah. Kalau dewasa memanglah kena berpuasa penuh, pun ada yang mengelak dengan pelbagai alasan. Ada juga yang kalau tak puasa pun macam tak ada rasa apa-apa pun... tak rasa bersalah.

Berazam juga nak menjaga adab dan budi bahasa elak dari mengumpat. Macamlah bulan tak puasa dihalalkan mengumpat. Berdosa juga...

Bulan puasa ni lah masanya nak tunjuk skil memasak yang jarang-jarang ditunjukkan. Tidak pun menunya main 'tunjuk-tunjuk' je kat pasar Ramadhan. Bajet nak belanja RM10 dah naik sampai RM50 sekali membeli makanan. Terlebih sudah!

Berperang dengan nafsu sendiri memanglah sukar. Bila nampak je bermacam-macam makanan yang sedap-sedap di pasar tu, nafsu nak membeli bagai tak boleh ditahan-tahan. Sebab itulah aku cuba mengelak dari pergi ke pasar Ramadhan. Lebih-lebih lagi kalau ada anak-anak yang mengikut, semuanya nak!

Masa bujang dulu aku lebih suka berbuka puasa dengan air masak dan nasi ada lauk dan sayur je. Cukuplah sebungkus untuk aku sorang. Jarang sangat aku membeli kuih-muih. Dah sorang, suka hatilah nak beli apa pun kan!

Aku terlebih makan bila buka puasa bersama mak ayah dan adik-beradik kat kampung. Itu pun sebab mak dah masak macam-macam kat depan mata. Pulun le..! Makan terlebih juga kalau buka puasa dengan kawan-kawan di restoran. Rugi kalau tak habiskan makanan yang dah di tempah.

Bila dah kahwin, teringin juga nak amalkan cara makan yang simple masa buka puasa. Tapi niat tu tinggal impian saja setiap tahun sejak 17 tahun yang lalu. Hubby aku suka benar membeli kuih-muih di pasar Ramadhan. Maklum saja aku ni tak berapa pandai buat kuih, sebab tu dia suka membeli.

"Alaa... sikit je mama!", kata hubby. Iyelah tu! Yang aku nampak ada juga 2-3 jenis dibelinya. Kalau sejenis je tak mengapalah juga.

Bila meja penuh dengan makanan, semuanya nak dimakan dalam satu masa. Anak-anak aku memang kuat makan. Nak nasi! Nak ayam! Nak karipap! Nak puding! Nak cucur udang! Nak Sandwich! Nak bubur cha-cha! Murtabak pun nak juga! Semuaaaaaanya nak!

Sekali suap, minum air.... main selang-selang makan. Perut dah kembung dengan makanan dan air. Tak suka betul aku dengan cara makan yang macam ni. Jenuh berpesan dah dengan anak-anak.

Cara makan yang tak bagus untuk kesihatan. Bila berlebihan tentu saja memudaratkan. Badan jadi lelah dan letih. Solat dah jadi susah. Otak pun boleh jadi lembab.

Perut dah penuh tetapi makanan masih lagi banyak di pinggan. Jadilah pembaziran. Kalau sehari membazir dalam RM5, sebulan dah jadi RM150. Amboi! Terlebih penuh tangki minyak kereta aku, cukup untuk sebulan. Itu kalau RM5 saja.

Azam konon-konon nak berjimat di bulan puasa, rupanya terlebih belanja dari hari-hari biasa.

Malam tadi aku dah pesan dengan hubby supaya jangan singgah beli apa-apa lagi di pasar Ramadhan. Cukuplah makan nasi dengan lauk dalam 2-3 jenis. Itu pun masak lebih juga sedikit dari hari biasa kuantitinya.  Kuih pun cukuplah sejenis saja dengan sejenis apa-apa bubur.

Bukan nak kedekut tapi makanlah dengan cara yang sihat supaya badan pun sihat, poket pun selamat.

Sejak dah kahwin ni je aku layan minum air berais masa buka puasa sebab itu yang hubby dan anak-anak suka. Jadi aku malas nak buat air teh panas sebab nanti tak ada siapa yang nak minum. Kalau nak badan cergas semasa berpuasa, cuba elak minum ais sepanjang bulan puasa. Insyaallah akan terasa kelainannya.

Berpada-padalah makan dan berbelanja untuk makanan. Ingat-ingatlah juga pada mereka yang susah nak makan. Bersalahnya rasa di hati bila nak buang sisa-sisa makanan yang banyak dan masih elok.

4 hari tak makan... apa rasa? Entahlah! Rasa nak meleleh air mata tengok budak 3 orang dalam gambar ni.


"GAZA UNDER FIRE: CHILDREN FOUND NEXT TO DEAD MOTHERS 
Four small starving children too weak to stand were found next to the bodies of their dead mothers by ambulancemen who had been trying to reach their Gaza neighbourhood for four days after it came under Israeli attack, the Red Cross said yesterday. In what the International Committee of the Red Cross called a "shocking incident", another man, also too weak to stand, was found in the same bombed house, along with at least 12 corpses on mattresses. The Independent World, January 9, 2009"

Sumber gambar : http://snippits-and-slappits.blogspot.com/2009/01/blog-post_12.html

Tuesday 24 July 2012

Lupa anniversary bukan masalah besar pun!

Ha...ha.. Ini perkara yang biasa berlaku tetapi bukanlah semua lelaki lupa tarikh-tarikh penting.


Jangan tarikh lahir sendiri pun lupa nanti. Bagi aku tak mengapa lagi kalau si dia lupa tarikh ulang tahun perkahwinan atau pun tarikh lahir. Itu semua boleh dimaafkan sebab hubby aku pun macam ni juga tetapi dah 17 tahun usia perkahwinan aku, masalah ini bukan masalah besar pun. Tidak lansung mengganggu kerukunan rumahtangga. Bukan tuntutan wajib agama, so aku tak kisah.

Kalau hubby lupa tarikh lahir, anak-anak mengingatkan. Kalau terlupa tarikh perkahwinan pun aku jawaplah "Oooo... kahwin nak, tarikh nikah tak ingat!". Sengih je lah.. he..he..

Ada perkara penting lagi yang perlukan dilaksanakan. Kalau yang ini dia laksanakan, Insyaallah bahagialah rumahtangga.

Tanggungjawab dan Hak Suami 

Antara tanggungjawab suami menyediakan nafkah kepada isteri berdasarkan firman Allah yang bermaksud: "Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu menurut cara yang sepatutnya." (Surah al-Baqarah, ayat 233)

Sabda Rasulullah S.A.W bermaksud: "Dan bagi isteri-isteri kamu, hendaklah kamu memberi nafkah dan pakaian kepada mereka dengan cara yang baik." (Hadis riwayat Muslim).

Suami juga mesti bergaul dengan isteri dengan cara yang baik. Firman Allah yang bermaksud: "Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri kamu) dengan cara yang baik." (Surah an-Nisa', ayat 19)

Aku copy paste dari artikel : Hak Dan Tanggungjawb Suami Isteri.

Kliklah link tu, ada lagi tentang hak isteri pada suami dan hak bapa pada anaknya.

Jadi, jangan ada yang susah hati kalau suami lupa tarikh nikah. Bila sampai tarikhnya, kita tolonglah ingatkan dia. Mana tahukan nak juga dia belikan hadiah. Hubby aku biasa belikan kek je, makan sama-sama dengan anak-anak. Itu pun selepas aku ingatkan..he..he..

Monday 23 July 2012

Menyongket dengan Songket Kemboja..

Teman-teman dari negeri Perak tentu maklum apa makna 'menyongket' ni.
Yang aku maksudkan bukanlah membuat kain songket tetapi 'berjalan-jalan makan angin'.

Songket tenunan tangan import khas dari negara Kemboja (Cambodia).
Cantik-cantik beranika pilihan di Sokha Sands Collection.

Dua-dua cantik ; awek dan songketnya.. he..he..!

Boleh le nak beraya sakan dengan songket yang halus buatannya ni. Tapi jangan le korang buat baju tak berlengan macam ni ye. Boleh di padan dengan kebaya atau baju kurung pun tetap manis. Cari tudung sepadan di Asterisk Boutique pulak.

Model baju kurungnya patung aje...



Jangan mati kekenyangan pulak!

Jumpa gambar ni kat fb kawan aku. 
Aku harap korang tak buat perangai tak senononh macam ni ye selepas buka puasa.


Ini bukan tambahkan tenaga, memudaratkan badan dan mengurangkan pahala.. silap-silap bertambah dosa sebab nak solat pun dah tak larat. Adoaiii...

Saturday 21 July 2012

Thursday 19 July 2012

Sukarnya membezakan huruf b, d, p dan q

Entah kenapa rasa nak menitis air mata aku melihat anak rakan aku yang baru berusia  5 tahun di rotan di muka dan diconteng huruf 'b' di pipinya. Semuanya gara-gara si comel ini pelat dan terbalik menulis huruf tu. Kidal pulak tu. Baru berusia 5 tahun dan sekarang baru bulan Julai. Bermakna baru 7 bulan dia mengenali alam persekolahan di peringkat tadika.

Biar apa pun alasan cikgu tu, ia merosakkan nama baik guru-guru tadika lain yang berhemah dan penyayang. Syukur guru-guru anak-anak aku tak begitu.

Asyikin, 12 tahun dah sekarang pernah mengalami masalah yang sama tentang membezakan huruf b, p, d dan q. Dia sukar membezakan bunyi huruf b, p, dan d. Sukar pula bezakan rupa huruf q. Dia buntu dengan 4 huruf ini. Lewat aku kesan masalah ini ketika usianya dah masuk 9 tahun.

Anak aku 9 tahun bermasalah dengan huruf b, tetapi anak kawan aku baru saja 5 tahun di rotan kerana masalah yang sama. Agaknya kena rotan awal supaya tak melarat masalah ini sampai usia 9 tahun.

Apa yang aku buat untuk betulkan keadaan dengan buat kotak, bahagikan kepada 4 bahagian. Aku tulis semua huruf p, b, d dan q pada setiap bahagian.

Hari ini bila aku taip entry ini, baru aku perasan bahawa masalah membezakan 4 huruf ini bukan terjadi pada anak aku saja. Ia masalah yang berlaku juga pada segelintir anak-anak kecil di luar sana. Kalau tidak bagaimana aku dapat copy paste gambar ini dari Google.

Ada buku ditulis tentang masalah ini. Aku jumpa gambar ni di SINI.

Setiap hari aku ajar anak aku dengan sebutan yang betul berulang-kali. Sebut dan tulis hingga dia benar-benar mahir. Itu saja yang mampu aku lakukan.

Aku tampal gambar huruf yang 4 bahagian tu di dinding bilik tidur. Buat perkataan yang menggunakan huruf-huruf tersebut untuk dia baca.

Kemampuan anak-anak kecil sering berbeza biar pun lahir dari benih yang sama. Apatah lagi jika berbeza ibu dan bapa pula.

Ada yang mahir membaca tetapi lambat penulisannya, begitu juga sebaliknya. Ada yang mahir kedua-duanya dan lebih sukar bila sebaliknya pula. Belum kita uji dengan hal pengiraan lagi.

Kisah seorang insan istimewa, Temple Grandin yang aku tonton di TV Al-Hijrah minggu lalu juga memberi sedikit kesan pada diri aku betapa anak-anak itu jangan dinilai sangat kelemahannya. Carilah di mana kelebihannya agar kelemahan itu dapat diatasi secara tidak lansung.

Temple Grandin
Temple Grandin yang dilahirkan pada tahun 1947 merupakan seorang autisme yang berjaya menjadi doktor dan professor haiwan di Amerika. Infonya boleh korang baca di Wiki.

Apa itu autisme? Rujuk ; http://ms.wikipedia.org/wiki/Autisme

Kisah hidupnya dijadikan filem yang patut korang tonton. Aku dapat trailernya je di youtube :


Movie Bollywood hasil kerja Amir Khan ini pun mampu mengalirkan air mata. 

Anak-anak, anugerah paling berharga!

Wednesday 18 July 2012

Anak aku kena buli... cari nahas budak tu!

Petang semalam anak aku yang nombor 4, Azri menangis sebaik balik dari sekolah ugama, kena tampar dek kawannya dalam bas. Baru berusia 10 tahun. Sebab apa dia dibuli, ada infonya di entry INI. Dia ada masalah kulit bercapuk.

Panas hati pulak aku dibuatnya. Melampau betul budak ni. Dah berani nak tampar muka orang. Baru darjah 4 pun. Mentang-mentang ada geng, beranilah dia. Kakaknya iaitu Asyikin, darjah 6 kata Azri dah kepal tangan rasa nak tumbuk je tapi tak buat.

Anak lelaki aku tu kurus dan saiz badannya kecil je. Kalau dia balas takut juga lagi teruk masalah tu nanti.

Hari-hari budak tu dan gengnya suka mengejek anak aku dalam kelas, cuma anak aku buat tak tahu je. Ini dah sampai pukul-pukul ni memang buat aku panas hati.

Nyaris anak aku tak layan sangat rasa rendah dirinya tu. Aku tahu tentu rasa rendah diri tu ada juga dalam dirinya.

Budak tu bernasib baik sebab anak aku tak balas. Kalau ikut zaman aku budak-budak dulu, memang aku balas je walau pun aku ni perempuan. Kalau tidak dengan tangan, dengan kaki pun aku boleh balas. Agak 'brutal' sikit masa kecil dulu. Rasanya bukan aku sorang je macam tu, adik perempuan dan kakak aku pun memang pantang kalau orang buli-buli ni. Protect diri sendiri je, tak ada nak mengadu kat mak ayah.

Tapi zaman sekarang buli membuli ni mengerikan. Kadang sampai nyawa melayang.

Apa yang aku buat semalam, terus capai telefon dan call pemandu bas sebelum sempat dia hantar budak tu sampai ke rumahnya. Aku ceritakan apa yang berlaku, minta dia siasat dan ambil tindakan. Bestnya pemandu bas anak aku ni bukan sekadar pandu bas dan van tetapi dia perihatin dengan perangai budak-budak yang dia bawa. Jika anak-anak tadika yang naik van, dia akan pimpin budak-budak tu ke pagar sekolah.

Azri naik vannya sejak dia di tadika lagi, 6 tahun hinggalah sekarang. Jadi pemandu van dah maklum baik dan nakalnya Azri ni. Memang budak yang membuli tu nakal katanya.

Dalam pukul 7 semalam pemandu van tu call aku bagitau dia dah warning budak tu kata aku marah sebab buli Azri. Ugut dia slow-slow nak report polis. Menangis budak tu sebab takut. Dan dia dah bagitau pada bapa budak tu juga. Aku pun dapat tahu juga mana lokasi rumah budak tu. Kalau tak berubah juga, aku cari kau sampai ke rumah. Bukan nak marah-marah, nak berkenalan dan analisis. Mana tahu lepas ni jadi kawan baik anak aku pulak. Buat apa nak musuh-musuh.

Anak-anak bila kena buli, akulah tempat mengadu diaorang sebab mereka tahu aku akan ambil tindakan. Aku tak berkompromi dengan kes buli. Aku siasat sampai ke sekolah, cari budak yang buli tu. Anak-anak tahu maknya ni lebih brutal daripada hubby aku yang lebih penyabar orangnya. Itulah jodoh orang katakan.

Bagi aku, kalau bukan kita sebagai ibu bapa yang wajib melindungi anak, siapa lagi yang dapat mereka harapkan sudi mendengar rintihan hati mereka. Siasat dan analisa di mana puncanya dan cuba cari penyelesaian setakat mana yang kita mampu. Jangan kita pulak terlebih meroyan, mengamuk sakan! Rasional sikit!

Jangan kita terus perlekehkan bila mendengar masalah anak-anak. Layan saja dulu dan dengar ceritanya sampai habis. Kemudian barulah tanya soalan-soalan untuk kita bayangkan situasi sebenarnya. Cari logik ceritanya juga. Kadang-kadang kena pasang telinga dengan teliti juga sebab ada anak-anak yang suka kelentong mak ayahnya.

Nak garang, tegas tu ok tapi jangan lupa bergurau. Beri peluang anak bergurau sama, jangan kita syok sendiri jadikan anak bahan gurauan. Bila anak bergurau, kita pulak yang naik angin walau gurau sempoi je pun. Anak pun ada kepercayaan nak berkongsi cerita dan masalah dengan kita.

Tuesday 17 July 2012

Cepat mengira... 3 saat je!

Gara-gara anak-anak lemah dalam subjek Matematik pada luahan rasa dalam entry 'Matematik gagal lagi....', aku pun mula mencari idea penyelesaian mudah di You Tube.

Orang lain mungkin ramai dah amalkan, aku yang terlewat mencari. Tapi tetap juga aku nak share kat sini. Aku mulakan dengan pengiraan darab angka 2 digit.

Contoh jika 21 x 31, jawapannya 651.

1. Digit pertama (No: 2) dari angka pertama (No: 21), didarabkan dengan digit pertama (No: 3) dari angka kedua (No: 31).
Maknanya darabkan 2 dengan 3, hasilnya 6 ; tulis angka 6 sebelah kanan.

2. Digit kedua (No: 1) dari angka pertama (No: 21), didarabkan dengan digit kedua (No: 1) dari angka kedua (No: 31).
Maknanya darabkan 1 dengan 1, hasilnya 1 ; tulis angka 1 sebelah kanan.
Tulis nombor 1 selang satu ruang di kanan nombor 6. Ada ruang kosong tengah antara nombor 6 dan 1.

3. Hasil darab dua nombor hujung ke hujung (seperti yang ditunjuk dalam gambar) iaitu 2 dengan 1 dan hasil darab dua nombor di tengah iaitu 1 dengan 3 itu di campurkan.

4. Hasilnya nombor 5 ditulis di tengah ruang kosong.

5. Jawapan 651 di perolehi.... dah siap!

Pening baca penerangan aku? Intai-intailah youtube ni untuk lebih jelas. Ada juga penyelesaiannya jika hasil darab step 1, 2 dan 3 menjadi dua angka.


Tapi ada yang lebih mudah bagi kombinasi dua angka yang punya ciri-ciri sama nilai pada digit pertama dan hasil tambah digit kedua di kedua-dua angka adalah 10. 3 saat dah dapat penyelesaian.

Contohnya bila 36 x 34, angka pertama sama nilainya iaitu 3. Hasil tambah angka kedua 6 dan 4 adalah 10.

Tengok Youtube berikut!


Ada banyak lagi cara pengiraan cepat bagi angka 3 digit ke 4 digit. Mula-mula memang pening nak mahirkan diri dengan cara ni. Tapi bila dah mahir, stepnya lebih pantas dari cara pengiraan biasa. 

Apa pun pengiraan biasa perlu anak-anak tahu juga kerana ada markah untuk jalan penyelesaian bagi soalan subjektif. Ini sesuai digunakan untuk jawap soalan objektif yang perlukan jawapan saja. Untuk kehidupan seharian pun pantas jugakan.

Kena praktis selalu nampaknya aku ni dan moga dapat terapkan pada anak-anak. Aku mulakan dengan angka 2 digit dulu je untuk mereka. Baru mula ajar malam tadi, mereka suka sangat dengan cara di Youtube kedua tu.

Aku jadi guru tusyen Maths untuk anak-anak darjah 4, 6 dan tingkatan 2. Nyarislah yang sulung, tingkatan 4 tu berdikari sikit. Tapi nak kena bantu juga jika buntu dengan Add Mathsnya. Tak dapat buat, search je kat Google. Tak pun dia boleh tanya kawan-kawan atau cikgu ke. Yang sulung special sikit sebab aku pun pening juga dengan Add Maths. Kena antar tusyenlah yang itu kalau aku tak boleh bantu.

Kos 30 sen je sebulan? Melampau murah tu!!!

Cantik tak? Apa benda ni?.... Warna-warni untuk letak kat mata... Eye Shadow le tu.

Ada 6 pilihan kombinasi warna. Aku punya ada set coklat kelabu... kanan atas sekali dalam gambar ni.

RM59.90 je! Mahal? Bagi poket aku yang sederhana ni tak mahal rasanya sebab tahan lama benda ni.

Kalau korang pakai sendiri pun maunya tahan lebih setahun. Mmmm... eye shadow lama aku sejak belum kahwin pun ada lagi.

Kalau tahan setahun macam keluar modal RM5 je sebulan. Kalau dah 17 tahun kahwin ni, kira aku belanja 30 sen je lah sebulan. Mak aiiihhh! Melawak je je!

Harga berpatutan... tapi yang aku nak bagitau kepuasan diri bila memakai produk ni ialah sapuan sedikit je dah cukup jelas. Tahan lama kat muka dah tak sememeh dan selekeh. Sebab tu artis-artis dan mak-mak andam suka dengan produk jenama ni. Jimatttttt sangat dengan kualitinya yang buat hati rasa tak terkilan membelinya.

Nak beli? Jangan order dengan aku... tanya tokey FCC Farmasi Colour Cosmetics ni! Klik link!



Monday 16 July 2012

Contoh baik dah ada, nak ikut dengan tidak je!

Anak jiran aku, bukan sebelah rumah tapi selang banyak rumah.. he..he.. bakal hadapi SPM tahun ni. Masa PMR dulu dia dapat 7A, 1B. Memang anak yang bijak, berbudi-bahasa dan berugama juga. Sempurna didikan ibu dan ayahnya. Kakak dan abang-abangnya juga cemerlang dalam pelajaran.

Kebetulan dia juga senior di sekolah anak sulung aku yang kini berada dalam tingkatan 4. Dulu kakaknya pun dari sekolah yang sama. Bukan hanya cemerlang dalam bidang akademik tetapi juga merupakan Olahragawati dalam bidang sukan di sekolahnya. Turut aktif dalam aktiviti kokurikulum, kadet polisnya. Tabik betul aku dengan anak jiran aku ni.

Walau pun dia sibuk, mungkin juga keletihan tetapi kelihatan dia gembira dengan aktivitinya. Dia sentiasa mendapat sokongan dan bantuan dari setiap ahli keluarganya. Mudah tersenyum dan disenangi oleh rakan-rakan, para seniornya terdahulu, guru-guru dan adik-adik juniornya di sekolah. Ramah berbicara tetapi tidak terlalu berlebihan.

Minggu lepas anak sulung aku menyuarakan resahnya yang tak cukup nota untuk buat rujukan. Bukan cikgu tak bagi cukup nota tetapi kelemahan dirinya yang lambat memahami subjek-subjek Sains seperti Kimia, Biologi, Fizik dan Add Maths bila masuk peringkat pertengahan. Aku memahaminya kerana dulu pun aku juga pelajar aliran Sains. Jika masalah ini tidak ditangani segera, khuatir sukar nak mengejarnya bila dah masuk ke tingkatan 5 nanti.

Jadi aku cadangkan untuk meminjam nota-nota anak jiranku tadi untuk di buat salinan fotocopy. Akulah yang pergi berjumpa dengannya sedangkan anak aku menanti di rumah. Manja betul!

Bila berjumpa, tentulah ramah bersembang dengan anak jiran aku ni.

"Aishah tak tusyen ke aunty?", tanya anak jiran aku.

"Tak! Nanti form 5 le kot dengan tusyen sekolah!", jawap aku.

"Kalau dia nak tusyen di Bangi, boleh pergi sekali!'', tawarnya pada aku.

Ohh... itu kena tanya daddy Aishah le dulu.... Cadangan yang baik!

Sekolah mereka ni memang banyak bekalkan homework pada anak-anak murid. Sekolah Berprestasi Tinggi, kenalah jaga reputasi. Jika biasanya sekolah lain masih lagi sibuk nak buat persediaan belajar di minggu pertama persekolahan, SMKJ4 ni tak berlengah memberikan homework pada para pelajarnya tidak kira mereka di tingkatan berapa pun. Itulah rutin saban tahun yang aku lihat, membandingkan rutinnya dengan adik-adiknya dari sekolah lain. Tentu sekali melihat perbezaan aktiviti dengan sekolah anak kedua aku yang berada di tingkatan 2 dari sekolah menengah yang lain.

Bagi aku, itu tips yang baik untuk anak-anak yang kurang belajar. Bagi je homework, mau tak mau dia akan mendapat juga ilmu semasa buat homework tu. Maklum sajalah kalau tak ada homework ni kadang ada antara anak-anak yang tak mahu belajar lansung.

Lain pula dengan anak jiran ini yang siangnya hadir tusyen yang disediakan oleh pihak sekolah dan malam pula ke tusyen swasta di Bandar Baru Bangi, 15~20 minit perjalanan pergi dari rumah. Kadang ibunya yang menghantar atau ayahnya juga. Tidak pun abangnya pun boleh menghantarnya pergi dan balik tusyen. Masing-masing saling membantu. Sabtu atau Ahad pula ada home tuition bersama 2 orang rakannya yang berkongsi bayar upah guru. Jadual tusyen pun diatur agar tidak sampai membebankan sangat.

Letihnyakan bila asyik belajar aje. Tapi ibu bapanya pun ada juga beri dia kelonggaran untuk dia keluar bersantai bersama rakan-rakan. Sekali-sekala keluar makan dan bercuti seisi keluarga untuk meredakan minda dan mengeratkan lagi kasih sayang antara ahli keluarga.

Jika anak kita mampu melihat dan menilai masa depan yang diinginkan, tentu saja dia merasa kepenatannya hilang dan belajar adalah tanggungjawap yang perlu dilaksanakan. Korbankan sedikit masa bersantai semasa di tingkatan 5 untuk masa depan yang cerah. Apatah lagi jika dia mendapat bantuan, sokongan dan kasih sayang daripada seluruh ahli keluarga yang dapat berkongsi rasa sedih dan gembira. Tentunya hidup ini sangat bermakna buat dirinya.

Nak bijak bukan sekadar hanya belajar dan belajar tetapi aktiviti sukan atau kokurikulum juga turut menyumbang minda yang cerdas. Biar semuanya seimbang, oksigen dapat beredar dengan baik, badan tak rasa malas dan ilmu ugama yang diamalkan turut memberi ketenangan, kematangan dan keseimbangan dalam setiap tindakan.

Contoh dan cara yang baik ada di depan mata aku, jadi kenalah aku berusaha mencontohinya setakat mana yang mampu. Sesuaikan dengan kelebihan dan kekurangan yang ada pada aku dan anak-anak. Kalau nak bagus kenalah ikut contoh orang yang bagus, jangan bandingkan diri dengan orang yang tak bagus.

Sunday 15 July 2012

Jangan ambil kesempatan, nanti orang benci!

Hari-hari aku hanya memandang blog ini. Sibuk dengan urusan kerja, sibuk dengan urusan keluarga dan juga urusan peribadi. Idea ada tetapi 'mood' juga tara mari. Visitor blog pun semakin berkurang.

Pengaruh tudung...
Menulis tak konsisten memanglah visitor pun tak rajin nak intai blog. Samalah halnya dengan kerja kita jika dibuat ikut 'mood' juga, rezeki pun berkurang. Apatah lagi kalau kerja sendiri.

Apa-apa kejayaan yang kita ingin capai pun perlulah kita lakukan usaha dan langkah-langkah yang perlu secara konsisten. Segala masalah kita atasi dengan menolak segala alasan.

Bila kita susah, ramai insan lain yang mungkin merasa simpati dengan kita. Tidak dinafikan juga ada yang tak ambil kisah pun jika susah mahu pun senang.

Tetapi betapa pun orang lain merasa simpati dengan kita, jangan kita mengambil peluang dari simpati itu untuk meraih pelbagai bantuan. Tanpa usaha untuk berubah untuk menjadi lebih baik membuatkan orang lain yang simpati mula menjadi mual dengan sikap kita yang hanya menanti bantuan dan ehsan. Lebih mual lagi jika kita mula bersikap kerap meminta-minta pula.

Orang lain akan menghormati kita jika sentiasa berusaha untuk menjadi lebih baik walau pun mungkin masih gagal untuk berjaya. Itu lebih baik daripada hanya bergoyang kaki mengharapkan segalanya berubah menjadi baik. Angan-angan Mat Jenin menanti bulan jatuh ke riba.

Monday 2 July 2012

Tajwid kurang, bagaimana nak mengaji dengan baik?

Jika pagi Khamis aku ambil keputusan exam anak-anak di sekolah rendah, cerita di SINI. Petangnya bergegas pula aku ke sekolah rendah agama untuk melihat prestasi mereka dalam matapelajaran agama.

Aku mulakan dengan mengambil keputusan exam Azri di tingkat 3. Alamak! Ada juga yang gagal ; subjek Tajwid. Ustazahnya kata soalan Tajwid untuk tahun 4 banyak melibatkan definisi sahaja. Sah tak cukup membaca dan menghafallah ni. Mula-mula kenalah hafal, lepas tu fahamkan dan amalkan.

Ada jurukamera cilik yang sempat mengambil gambar aku ni.

Sajalah tu tak memandang kamera. Nampak tak budak perempuan yang duduk sebelah aku tu? Mak dia sedang ambil keputusan exam dengan ustazah, yang pakai baju oren.

Punyalah banyak budak perempuan ni interview aku. "Ini mak Azri kan?, Azri naik kelaskan! Kenapa Azri tak pakai songkok? Songkok dia hilang ye?...bla..blaa..". Amboiiiii... peramah sungguhlah! Layan ajelah..he..he..

Gambar ni aku copy dari facebook SRA Bandar Seri Putra. Ada banyak lagi kat SINI.

Lama juga aku menunggu di sini. Antara yang aku tanyakan pada Ustazahnya "Kenal tak dengan budak nama Polan bin Si Polan (bukan nama sebenar ye!)?".

"Kenal! Kenapa kak?", tanya Ustazah.

"Minta tolong pesan dengan dia, jangan ejek dan buli Azri lagi. Kalau tidak nanti Kak Liza cari dia dan jumpa mak ayah dia!", aku minta tolong Ustazah sampaikan pesanan aku pada budak tu.

"Ustazah pun maklumkan keadaan Azri tu dengan muka dia macam tu! Nyaris saja Azri tu tak mau ambil kisah sangat tapi dia tetap terasa rendah diri juga sikit", tambah aku lagi.

"Insyaallah Kak! Nanti saya cuba sampaikan!", jawap Ustazah. Terima kasih kerana memahami.

Apa pula masalah dengan Azri tu? Dia ada masalah muka bercapuk putih sejak 2 tahun lalu selepas mandi laut di Melaka. Dah jumpa pakar kulit dan berubat ke sana-sini, nyarislah bukan sopak atau vertiligo. Sejak akhir ni dah nampak perubahan positif selepas aku berubat cara Homoepati di Ipoh. Harap dia dapat pulih sepenuhnya untuk kembalikan keyakinan dan 'kehenseman'nya tu. Kesian anak aku yang seorang ni, dah lah masa kecil serius dengan masalah ekzemanya. Satu-satunya anak aku yang maintain badan slim sejak kecil sampai sekarang.

Turun ke tingkat bawah sekali berjumpa dengan Ustaz kelas Asyikin. Melihat nama Muhd Rijal "Orang Banjar ke Jawa ni Ustaz?", ramah benor le aku bertanya.

"Orang Jawa!", jawapnya sambil tersenyum.

"Jawa mana?", tanya aku lagi bak wartawan.

"Saya orang Sabak Bernam!", katanya. Terus aku teringat arwah abang angkat aku, entrynya di SINI.

"Abang angkat akak tu duduk mana dulu? Sakit apa?", Ustaz pula bertanya.

Bercerita ringkaslah aku dengan Ustaz, maklum saja tiada ibu-bapa lain yang menunggu giliran selepas aku waktu itu. Bolehlah nak berbual sikit. Bila dah ada yang datang, kenalah aku beransur. Lama-lama nanti ada yang rimas pulak.

Sama juga dengan Azri, Asyikin pun gagal Tajwidnya. Tahun 6 tentunya lebih detail jawapan yang diperlukan.

Ke sekolah agama bukan sekadar nak lulus exam dalam subjek-subjek seperti Fekah, Tajwid, Akhlak, Sirah dan sebagainya tetapi ia punya tujuan yang lebih luas. Semua yang dipelajari mesti di amalkan dalam kehidupan seharian untuk menjadi insan yang soleh. Aku tak pandai nak mengajar anak-anak tentang agama dengan lebih terperinci, maka di sekolah ugamalah akan diajar oleh Ustaz dan Ustazah tentang segalanya.

Jika di rumah sehabis mudah tentulah mengajar anak tentang solat, tetapi tak mampulah aku nak bercerita tentang Sirah, Fekah dan sebagainya. Sekurang-kurangnya aku tahu untuk diri sendiri dan bila anak bertanya, tahu pula kita nak menerangkan berdasarkan soalannya saja. Azrilah yang paling suka bertanya aku itu dan ini selepas dia mendengar Ustazahnya mengajar.

Sunday 1 July 2012

Matematik gagal lagi? UPSR dah dekatlaaahhhh...!

Tahun ni lagi sekali tugas aku ambil kad laporan anak-anak. Tugas biasalah tu. Hari Khamis, 28 June 2012 aku sampai seawal 8 pagi di sekolah rendah untuk mengambil keputusan exam Asyikin, darjah 6 dan Azri, darjah 4.

Paling best bila aku jumpa cikgu kelas Asyikin di dewan. Hanya pelajar darjah 6 jumpa di dewan manakala kelas yang lain jumpa guru di kelas masing-masing. Bestnya sebab masa aku tiba masih tiada seorang pun ibu bapa yang berjumpanya, apatah lagi yang sedang menunggu. Kalau kelas lain aku tengok ada juga dalam 4-5 orang yang terpaksa tunggu giliran.

"Aik! Baru Kak Liza ke yang jumpa Ina?", sapa aku pada guru yang aku kenal sejak 2 tahun yang lalu. Dulu dia pernah mengajar anak aku yang kedua, Amirul yang dah berada di tingkatan 2 kini. Lagi pun aku selalu buat cermin mata di kedai hubbynya yang terletak di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi.

"Entahlah Kak Liza, manalah parents budak kelas saya ni tak sampai-sampai!", jawap Cikgu Ina.

Walau pun tak ada ibu bapa yang menunggu giliran di belakang aku, tidaklah aku nak berbual lama pun. Cukuplah aku lihat jumlah peratus, subjek utama yang masih lemah.

Banyak gerai buku sementara dibuka di kaki lima sekolah. 

Selepas tu aku bergegas pula ke kelas Azri. Kena mendaki tanggalah pulak, nyaris tingkat 2 saja. Alamak! Ada 3 orang yang sedang menanti dan seorang bapa dengan anaknya sedang berjumpa guru kelas. Sah lama menunggu ni.

Gigih cikgu beri penerangan.. penat ooo! nak control senyum lagi.
Aku duduk di sebelah seorang ibu. Macam biasa mulut ramah aku ni tak sah kalau tak menyapa dan berbual.

"He..he.. sempat dia menasihat anaknya kat sini tu kak!", aku mula mengumpat si bapa yang sedang jumpa guru tu tadi. Panjang lebar pulak aku tengok dia bagi nasihat kat anaknya masa tu juga. Tak tunggu balik rumah dulu.

"Itulah pasal! Dah kena pesan jangan cakap lama-lama!", si ibu sebelah aku turut mengomel.

Tiap-tiap tahun masalah sama juga berlaku. Terlebih beramah-mesra dengan guru sampai terlupa ramai lagi yang menunggu giliran nak jumpa ni.

Melihat keputusan Azri, subjek yang lemah sama juga dengan Asyikin iaitu Matematik. Geram pulak aku dibuatnya kalau Matematik ni gagal. Pantang benar rasanya subjek mahal ni gagal. Siaplah korang nanti!

Marahlah kononnya, tapi lepas tu aku bawa diaorang balik dan terus singgah restoran untuk sarapan.

"Habislah korang kena marah dengan ayah nanti!", ugut aku pada mereka berdua. Ugut menyakat je! Masing-masing tersengih aje. Sengihlah korang! Kalau mama ni jadi cikgu Maths, ada yang menangis nanti.

Dalam pukul 1.00 tengahari aku ke Bandar Baru Bangi pula untuk ambil anak sulung balik sekolah. Anak yang 2 orang tadi turut nak mengikut juga. Jadi aku call hubby ajak lunch sama. Kami singgah makan mee rebus, laksa dan cendol di gerai depan kilang Sony tu.

 Sedapnya Asyikin makan cendol. Licin Mee rebus dia, kalah mangkuk mamanya.

"Ikin dapat nombor berapa? 40?", tanya hubby mengusik dalam serius.

"Pandai ayah! Amik fraction 1 per 2 la kan Ikin?", Jawap aku sambil aju soalan pada Asyikin.

Sebelum tu aku ada tanya Asyikin, bab mana yang dia tak faham dalam Matematik. Katanya fraction atau pecahan dan decimal iaitu titik perpuluhan. Soalan tu aku ajukan masa sarapan pagi.

Aku tanya nama lain bagi 1 per 2. Terpinga dia nak jawap. Aduhai! Blur sungguh anak aku ni. Aku kata "selain 1 per 2, orang panggil juga 'setengah'!".

"Ooooo...", panjang 'O' dia macam baru tersedar.

"Setengah dengan setengah jadi satu. Nombor atas kita tambah jika nombor di bawah sama!", saja nak mengingatkan dia konsep tambah pecahan bila nombor bawah sama, nombor di atas cuma tambah macam biasa saja. Maknanya jika dia 'confuse' nanti, dia kena ingat konsep logik 1 per 2. Selebihnya kena berguru lebih detail le.

Bila aku kata fraction 1 per 2 dari 40 tadi, Aishah menyampuk "Eh! Nombor 20 ke mama? Yes Ikin! Kita sama!", sempat bergurau dan 'give five' pulak dengan Ikin. Nak kena luku gamaknya budak 2 orang ni.

Aishah ni kalau tak tahu setengah daripada 40 memang saja nak kena cubit dengan aku. Dah form 4 pun dan dia pula lebih bijaknya berbanding adik-adiknya. "Hati sejuk bila tengok Aishah ni!", pernah seorang guru kesayangannya berkata begitu pada aku. Nama 'Siti Aishah' yang aku beri pun sebagai doa untuk kebahagiaannya dan keluarga juga. Sebab itulah kalau aku terdengar ada yang memanggilnya 'Echah', sajalah nak kena tegur dengan aku.

Geleng kepala hubby aku sambil tersenyum "Korang ni! Ayah dulu... bla..blaa...". Haaaa... panjang dah tazkirah hubby aku. Padan muka korang!

"Azri dapat nombor berapa?", tanya hubby lagi.

Sengih je Azri "E dapat nombor 10!". Oh! 1 per 2 pulak dari Asyikin.

"Yang! Budak 2 orang ni 'fail' subjek Maths!", Tambah aku pada hubby.

"So kalau mama ajar diaorang kira bagi upah tusyenlah ye!", mengusik hubby lagi. He..he.. mimpilahkan nak dapat upah tusyen. Nampaknya aku kena pantau lebih subjek Maths diaorang ni.

Subjek Maths ni memang favorite aku. Jadi kalau anak-anak gagal memang kecewalah juga. Faktanya aku dah sedar mereka memang lemah dalam subjek ni, tapi aku tak konsisten follow-up latihan diaorang. Memang Asyikin ada pergi tusyen dan buat latihan online tetapi seperti tak berkesan. Silapnya aku tak semak dan bertanya dengannya. Dia pula bila dah 'stuck' pada satu-satu bahagian tidak pula nak luahkannya pada aku. Bukan takut nak luah tapi bila perkara melibatkan hal belajar, dia lebih banyak malas nak bertanya. Kalau hal lain cepat aje nak minta tolong aku.

Teringat bagaimana aku uji anak saudara tentang kiraan tambah nombor perpuluhan. Aku permudahkan dengan menyuruhnya dia bayangkan nombor tu sebagai mata wang. Baca entry 'Kecil-kecil dah mata duitan'.

Anak aku tanya "kenapa mama tak jadi cikgu?", soalan itulah yang kerap anak-anak aku bertanya.

"Kenapa? Mama ada gaya macam cikgu ke?", tanya aku semula.

"Kalau mama jadi cikgu mesti best!", jawap Aishah.

Bestlah sangat. Takut kalau tak anak murid yang menangis, aku pulak yang menangis nanti. Maaflah, aku jenis kurang sabar. Takut terdera anak orang nanti. He..he..

Entahlah! Mungkin bila aku ajar mereka, aku suka mereka kaitkan sesuatu tu dengan kehidupan seharian untuk dipermudahkan. Aku suka guna peta minda dan bercerita. Suka bertanya pendapat  dan idea mereka sambil berbual. Tapi kadang aku ni ada tahap kesabaran hilang, agak moody dan tak konsisten mengajar dengan sepenuh hati.

So... mula minggu ni tak boleh lewat dah kena ajar Asyikin dan Azri dalam Maths. Tahun ni Asyikin nak exam UPSR. Adoiiii... maknya yang garu kepala.