iklan

Followers

Pages

Thursday 31 May 2012

Makan dengan kicap juga yang sedap

Siapa suka makan nasi dengan kicap? Penyedap makanan paling sempoi sejak aku kecil lagi dengan pelbagai jenama kicap yang muncul.

Kicap cap 3 ayam antara yang terawal.


Pernah juga cuba kicap manis Adabi dan jenama Jalen.



Tapi sedap lagi kicap cap Kipas Udang ni.. anak-anak tak mahu dah yang lain.

Sejak dua menjak ni aku perhatikan betul-betul harga sebotol kicap kicap Kipas Udang dah cecah harga lebih dari RM5 bagi botol kecil. Amboiiiii! Awat mahal sangat. Rasanya dulu aku tengok dalam RM3 lebih je. Kuat benor ke kipasnya.



Maka bermulalah cinta beralih arah mencari kicap alternatif. Hubby aku cuba beli kicap Enaq yang botol kecil. Baru RM3 lebih sebotol. Hubby beli di pasaraya Tesco, Nilai. Yang tak bestnya botol-botol kicap Enaq ni dia tak susun sekali dengan jenama kicap-kicap lain. Tak patut betul dan confirm aku bersangka buruk! Harap nanti depa letak sekali sama kelompok dengan kicap-kicap jenama lain.

Cilok gambar kicap enaq dari : 

Kalau aku tahulah statistik jualan kicap Kipas Udang gara-gara kenaikan harganya kan best. Nak tahu juga ada penurunan atau pun peningkatan. Kadang untung banyak yang nak dikaut, terjadi sebaliknya pula. Kalau naik seposen dua tu tak de terasa bebeno. Ini lebih daripada RM1 dah nak RM2.. lebih 50% tu!

Hati-hati kicap Kipas Udang tiruan di SINI.

Terlerai sudah 18 tahun ikatan perkahwinan

Semalam aku menjengah ke rumah rakan aku selepas membuat panggilan ringkas dengan bertanya khabar. Namun apa yang mengejutkan aku bila dia kata "Liza! Tak tahu ke akak dah lama tak tinggal sama dengan abang!". Manalah aku nak tahu, siapalah yang nak menyampaikannya.

Terkejut aku seketika. Sungguh aku terkejut. Lansung aku bertanya di mana dia tinggal sekarang.

Anak-anaknya yang 5 orang semua mengikutnya tinggal di sebuah rumah lain yang di sewanya. Tiada satu perabot pun. Yang ada hanyalah dapur untuk memasak dan tilam untuk alas tidur. Tiada tikar untuk alas aku duduk bila sampai ke rumahnya. Aku bersila di atas lantai je...

Riak wajahnya tenang. Kakak ni pernah mengajar anak-anak jirannya mengaji, suri rumah sepenuh masa menjaga anak-anak di rumah. Katanya sudah itu ketentuan hidupnya. Berpisah bukan kerana bekas suaminya ada hubungan dengan wanita lain tetapi kerana duit.

18 tahun usia perkahwinan terlerai begitu saja gara-gara duit. Berpisah sebaik saja usia anak bongsunya 8 bulan. Dia diminta keluar dari rumah oleh bekas suaminya dengan sehelai sepinggang dengan semua anak hanya mahu mengikuti ibunya.

Duit jadi punca, seperti mata duitan pula ye.. Anak-anak sekolah perlu duit, anak-anak nak makan perlu duit. Jika pergi kerja tetapi bila balik masih nak meminjam duit isterikan pelik bunyinya. Tak ada duit kerana nak bayar hutang katanya. Duit simpanan isteri pun hampir habis kerana nak membantu suami.

Pun kadang mereka berdua sama-sama buat kerja sambilan berniaga di pasar malam untuk tambah pendapatan. Bila dah berpisah, tiada lagilah niaga pasar malam di hujung minggu kerana isteri tidak lagi dapat membantu memasak bahan untuk diniagakan.

Jika dulu susah benar bekas suaminya nak menghulurkan duit belanja walau seringgit untuk kegunaan peribadi si isteri. Barang-barang keperluan rumah untuk seisi keluarga pun dibeli siap-siap oleh bekas suami. Duit belanja sekolah anak diberi setiap hari terus ke tangan si anak. Memang sengaja dihadkan pengeluaran wang dari poketnya. Takut benar agaknya isteri dan anak-anak membazir.

Tetapi bila dah berpisah, boleh pula dia menghulurkan RM500 untuk perbelanjaan anak-anak. Sewa rumah saja dah RM300, apa yang tinggal? Tapi kakak tu kata "rezeki untuk anak-anak tetap ada".

Mendengar kisah dari satu pihak sahaja mungkin tidak adil. Maka aku hanya mendengar saja katanya yang sudah tiada rasa cinta pada bekas suaminya. Membenci pun tidak juga lagi. Dia pasrah dengan apa yang berlaku. Pun tidak juga dia menghalang bekas suaminya melawat anak-anaknya.

Dulu si isteri hanya perlu uruskan anak-anak dan rumahtangga. Tiada elaun, tiada cenderahati untuknya. Hanya ada sedikit wang yang disimpan jika dapat berniaga di pasar malam yang hanya pada hujung minggu. Bertahun lamanya begitu... dah tak tahanlah agaknya.

Rasanya kalau selalu kata tak ada duit... doa tu, boleh pulak beli rumah teres 2 tingkat. Perlu bayar RM1K lebih untuk bulanan. Perlu bayar kereta dan belanja sekolah anak yang 5 orang. Bila belanja yang keluar melebihi jumlah wang yang masuk, memang memudaratkan. Maka belanjalah ikut berapa yang kita mampu.

Aku mengharap mereka dapat berbaik semula, jalin semula kasih sayang, betulkan apa yang tersilap pada diri masing-masing. Aku melihat mereka antara pasangan yang kelihatan sefahaman. Ungkapan 'yang' sering digunakan sesama mereka. Anak-anak pun baik-baik belaka, mendengar kata orang tua.

Namun harapan itu hanya mampu aku suarakan "jika kembali bersama itu terbaik untuk akak, berbaiklah semula tetapi jika berpisah itu pula yang terbaiknya maka teruskanlah perjuangan hidup untuk diri sendiri dan anak-anak".

Aku hanya orang luar yang sudi mendengar luahan hati seorang wanita untuk dia merasa sedikit kelegaan. Sama sekali aku tidak menghakimi kesalahan terus pada bekas suaminya kerana apa yang aku nampak ok saja. Tak tahulah apa yang tak kena dan tak berhajat untuk tahu.

Kadang kita manusia punya banyak kelemahan menilai perasaan orang lain, lemah dalam membahagikan masa, tenaga dan kebendaan dari sesuatu yang penting kepada kurang penting dalam kehidupan seharian. Kita sering lemah menghadapi tekanan yang mungkin diberi saban hari. Sering mengharapkan pihak lain memahami tetapi pada waktu yang sama pihak lain juga beranggapan demikian.

Bila semua resah, marah, benci yang sedikit terkumpul sekian lama maka ia meletuplah bila tak mampu nak dibendung lagi. Kadang bukan kita tidak menegur pasangan kita tentang apa yang kita tak berapa berkenan pada dirinya tetapi adakalanya dia tidak ambil kisah dengan teguran kita.

Hati aku sebak sebenarnya. Betapa gembiranya syaitan dengan kejayaannya memisahkan kasih sayang antara anak-anak dan ibu bapa, suami isteri yang telah terjalin selama 18 tahun. Moga mereka kembali bersama walau pun dah 10 bulan berpisah, harapan tetap ada. Harapan dari jauh sajalah... lebih-lebih nanti ada yang nak kena luku kepala tu. Agak-agaklah nak campur hal rumahtangga orang lain!

Wednesday 30 May 2012

Terbantut selera makan..

Terjumpa gambar ni di facebook seorang hamba Allah. 
Pada para peniaga makanan, jagalah kebersihan makanan yang kita hidangkan pada pelanggan. 
Kuantiti yang banyak bukan alasan untuk tidak menelitinya tapi kebersihan itu yang utama.


Ini komennya :

"Pekena rojak ayam di Dungun, 
sedang syok makan terkuis ayam yang masih ada bulu, 
nafsu makan tiba2 hilang...."

Bila anak-anak mula meninggalkan rumah!

Dari facebook lagi ; cilok kat wall kakak aku, Puan Zarina. Banyak yang menarik di facebook ni, yang tak menarik dan merosakkan tu abaikan saja.

Bila anak-anak semakin membesar dan membawa hala tujuan masing-masing, beginilah yang sering dirasai oleh para ibu bapa. 2 orang je anaknya, tertinggal nombor 2 di komen aku yang bawah sekali tu.


Terasa sunyi, rindu pada anak-anak. Yang untungnya kedua-dua anak kakak aku ni berada di kolej yang sama di Bandar Muadzam Shah, Pahang. Jauh tuuuuu.... bagi aku jauhlaaa.. tapi ada alasan le nak ke Pekan atau Kuantan di Pahang. Tempat belajar tentulah dikenang. Aku belajar di Kuantan, kakak pernah sekolah di Pekan.

Anak cousin aku 'Ainul Mardhiah' pun dah besar-besar belaka juga. Belajar pun jauh darinya dan jarang dapat berjumpa, memanglah rindu juga. Itulah putaran hidup kita yang lahir, bersekolah, bekerja dan seterusnya.

Kisah lucu dan kebetulan juga berlaku pada kedua-dua anak kakak aku ni bila tahun lepas anak sulungnya dapat 'room mate' yang sama nama panggilannya ; Kedua-duanya 'Hafeez'. Tahun ni pula terjadi pada adiknya bila mana dia dapat 'room mate' yang sama nama 'Izzati'. Tidak di rancang pun, tapi itulah yang berlaku.

Anak sulung aku pun dah 16 tahun yang mana tahun depan dah nak periksa SPM. Selepas tu sambung belajar di mana pun belum pasti lagi. Mungkin dia pun akan turut pergi belajar jauh dari aku. Tentunya perasaan yang sama bakal aku lalui. Maklum saja anak sulung aku, si Aishah itulah paling rapat dengan aku dan yang paling memahami aku.

Hari-hari bergaduh pun macam kawan-kawan je. Apa-apa masalah dia pun, aku jugalah tempat luahannya. Aku pun rajin juga berkongsi suka dan duka dengannya. Dia matang dalam pemikiran tapi tidaklah dalam semua perkara.

Apa pun aku yakin, Insyaallah dia mampu berdikari dan tentu ingin mengikut jejak abang dan kakak sepupunya melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih baik. Dia pun tak ada kakak dan abang, maka kedua-dua anak kakak akulah yang menjadi kakak dan abangnya di samping ada 4 orang abang lagi dari kakak ipar sebelah hubby aku.

Biar pun anak-anak jauh, biarlah mereka tetap di hati kita dan kita pun tetap diingatan mereka. Begitu juga pesanan-pesanan kita menjadi panduan untuk mereka dan sentiasa dijaga dengan baik.

3 kebaikan orang yang merokok

Statement ni copy dari senior masa aku dok ASBTAR (Asrama Semai Bakti Tun Abdul Razak), Kuantan. Statement tak menahan dari bekas ahli 'Lone Ranger' suatu ketika dulu.. he..he.. jangan marah ye kak Mariah! I like 'kebaikan merokok' ni!

Nama-nama telah diubah bagi menjaga privacy rakan-rakannya... he..he..

Jom dengar apa kata Ustaz Azhar...

Tuesday 29 May 2012

Rasa lembab otak bila makan menu yang sama setiap hari



Ada satu lagi yang aku rasa boleh buat otak aku rasa lembab je. Setiap hari tak digalakkan makan makanan yang sama setiap hari. Asyik-asyik rasa yang sama aje di lidah ni. Sekali-sekala tukarlah menu seharian, jangan hari-hari makan nasi dengan ayam goreng, tengahari dan juga makan malam pun sama juga nasi dengan ayam goreng.

Ada orang memang begitulah seleranya setiap hari yang sama je. Bukan aku ye!

Sebagai ibu bapa elakkanlah menyediakan makanan yang sama setiap hari untuk anak-anak. Percayalah kata-kata aku ini, bila anak tu dah besar nanti dia akan rasa muak melihat makanan yang sama itu di mana-mana. "Eeee... tak nak lah! Masa aku kecik dulu hari-hari mak aku masak makanan ni! Tak larat dah aku".

Orang tamak selalu rugi

Hidup kalau tak berusaha, tak adanya rezeki nak datang. Kalau makanan tu tak diusahakan suap ke mulut, kelaparan le kita nanti.

Suap agar-agar cendol Mat Gebu.. perghh!
Ini mendongak ke siling rumah sambil berangan nak jadi kaya... mmm alahai! Tak adanya duit tu nak jatuh dari siling tu. Jangan siling rumah yang jatuh pulak! Hancur berkecai semua angan-angan nanti.

Sebab tu lah aku tamak berniaga. Kadang tu banyak malas dari rajinnya juga. Tetapi aku memaksa diri jugalah buat kerja aku, kalau tidak macam aku kata tadilah 'tak adanya rezeki nak datang'.

Tamak le sebab 'Liza! Semua benda kau nak jual'.

Nak terasa hati dengan kata-kata kawan aku tu? Tak terasa pun, dia pun bergurau je!

Ada kerja yang kita buat dapat upahnya dalam bentuk duit, barang atau orang kata nampak di mata. Tapi ada juga sekadar pahala jika dilakukan dengan hati yang ikhlas.

Mana yang sempat tu buat jelah. Tapi aku kenalah banyakkan yang mendatangkan upah nampak di mata, nanti miss pulak duit shopping aku, nak bayar duit kereta Kelisa aku.

Kalau nak pahala buat saja bila ada peluang yang sengaja dicari atau tiba-tiba datang. Kalau tak mau buat jangan merungut, nanti penat je dapat dan pahala pun entah ke mana.

Nak tamak boleh tapi biarlah untuk sesuatu yang mendatangkan manafaat yang baik untuk diri sendiri, keluarga dan mungkin juga masyarakat. Pantang benar tamak yang menyusahkan orang lain!

Jika tamak yang menyusahkan pihak lain selalunya tak bertahan lama. Sebab tu orang dulu-dulu selalu pesan "Orang tamak selalu rugi".

Liza! Kau ni semua benda kau nak jual!

Gambar jumpa kat Google ni
Bila aku iklan produk di facebook aku, ada yang menegur "Amboi Liza! Rancak kau berniaga?".

"Liza! Kau ni semua benda kau nak jual!", ditegur oleh rakan aku lagi.

Wah! Aku kena buka satu wisma sendiri nampaknya untuk meletakkan kedai-kedai maya ni dalam satu 'Pusat Membeli-belah'... berangan lagi. Idea banyak, tapi tak terbuat semuanya.

Tak semua yang aku iklankan tu bukan produk aku punya je. Cuma produk yang diniagakan oleh adik-beradik dan rakan-rakan terdekat aku sahaja.

Kadang bila ada rakan yang bertanyakan sesuatu barang, aku suka mencadangkan padanya kedai-kedai online yang aku tahu. Adakalanya aku tanyakan padanya "Kau nak beli apa? Ada macam-macam yang aku boleh rekomenkan beli secara online! Kedai yang kau boleh percayalah.. Kalau ada masalah, kau cakap dengan aku!".

Antara barang-barang yang boleh korang tanyakan dengan aku :

1. Telekung, Jamu, Jubah, Premium Beautiful - Adzrien Shoppe (aku punya ni!)
2. Tudung, Chiffon, Jacquard - Asterisk Boutique
3. Kain batik Sarawak - Salam Borneo
4. Spare part kereta Proton/Perodua - Restu Supply
5. Kereta Proton/Perodua - Liza @ Adzriel AB (aku lah tu!)
6. Kosmetik Halal dari Turki - FCC Farmasi Colour Cosmetics
7. Beg etnik, beg handmade, key chain comel, barut/tungku bayi - Amani Beg Kraf
8. Kek gula hangus, puding - Gula Hangus
9. Hanger tudung, botol susu Avent/Mam, beg kulit - Little Adaman
10. Segala jenis kek - My Pu3 Cake House
11. Spa untuk pedicure/manicure, facial, urutan terapi/tradisi, cuci rambut - Shena Aroma Spa

Ada banyak lagi ni... tak tersenarai...

Ehhh... gajet handphone kena tanya dengan Amy Syaquena! Murah dan ada warranty... saper nak Galaxy tab???

Selain bayar cash secara online, korang boleh juga bayar pakai kad kredit di Asterisk Boutique dan FCC Farmasi Colour Cosmetics.

Tiada khidmat secara online untuk Shena Aroma Spa, kena bawa diri untuk rawatan.. he..he..

Monday 28 May 2012

Bila Kelisa jadi BMW

Ini bukan aktiviti sebab tak ada kerja, tapi saja nak share melawak je. Release sikit rasa bosan aku... kot kalau ada yang terasa, jangan marah aku ye!

Anak aku, Azri yang baru berusia 10 tahun sedang membuat latihan Sains secara online di http://www.sasbadionline.com/. Itu pun nak kena suruh berkali-kali baru nak buat. Rugilah tak gunakan kemudahan membuat latihan yang telah hubby aku sediakan.

"Mama! Apa maksud 'distillation'?", Azri bertanya.

Alamak! Aku ni memang lemah bahasa Inggeris. Biasa dengar perkataan tu tapi tak pasti.

"Cari je dalam 'translation' tu!", balas aku. Oklah! Jumpa juga dia maksudnya iaitu 'penyulingan' bukan 'penyelewengan' ye!

Sekarang mudah, nak cari apa-apa maklumat tu 'Search' saja dari 'google'. Apa-apa ajelah yang korang nak cari. Mudahkan.... tak perlu nak salin resepi yang panjang-panjang macam dulu bila nak memasak sesuatu yang kita tak tahu atau bersusah payah mencari makna perkataan dari kamus. Semuanya di hujung jari.

Ini sempat juga aku mengarut mencari maksud kereta Honda hubbyku.. Jawapan dah tahu tapi saja nak translatekan juga. Mmmmm... kereta yang glamour, patut le!


Gambar dari entry INI

Tapi lain pula halnya yang ini. Betul-betul buat aku terpana nak ketawa bagai nak rak dengan anak dara aku, Asyikin yang baru 12 tahun tu.

"Eeeee... biar betul?", teriak Asyikin. Nampak sangat kereta aku tak glamour seantero dunia.

Kereta Kelisa aku boleh jadi BMW???


Kereta kesayangan aku jadi BMW... Oooo tidak, aku tak izinkan. Kalau ia bertukar jadi BMW, aku tentu menangis rindukan 'Nur Syafikah' aku ni.

Kena pulak kalau aku pakai plet WWW1 ni... pengsan siapa yang tengok. Mesti kena tahan dek abang polis sebab disangkakan pakai plet palsu.. memang menipu pun. Harga plet lagi banyak ganda mahal dari kereta, siapa nak percaya. Lebih mahal daripada beberapa model BMW sendiri.

Bukan taraf aku ; Bayar mahal-mahal dapat satu je?

Lainlah kalau kereta mewah ni yang pakai plet tu, layak sangat le. Abang polis pun cuak nak tahan.

Aku katakan pada anak aku bahawa adat manusia suka menilai orang dari luaran. Bukan semua, segelintir sahaja.

Jika aku memandu kereta Kelisa, masing-masing di dalam restoran buat tak tahu je bila aku turun dari kereta dan masuk ke restoran tu. Walau pun mungkin rasanya aku dah bergaya dan berpakaian kemas. Memakai jenama original handbag 'Coach' dan jam tangan jenama 'Fendi' pun mungkin disangka tiruan atau murahan.

Berbeza mata yang memandang lebih ramai sebaik saja aku turun dari dari kereta Honda Accord hubby aku. Handbag 'Coach' tiruan aku pun mungkin dikatakan original. Kasut yang aku pakai pun mungkin disangka dari jenama mahal.

Apatah lagi kalau aku memandu BMW ni!! Aku kan jenis tak kisah nak makan mana-mana pun walau pun taraf gerai tepi jalan asal yakin bersih. Memang itu pun taraf asal aku dan dari keluarga penoreh getah yang susah. Jadi bila mereka mengandaikan aku mewah, aku kaya... aku pun sengih sajalah. Kadang ada seringgit dua juga dalam wallet aku.

Memang aku mengata, mengata diri sendiri juga kerana kadang aku juga bersikap menilai begitu tapi aku tidak luahkan penilaian aku pada orang itu tidak kira dengan cara percakapan, perbuatan atau apa cara sekali pun. Selalukan korang nampak dalam drama di TV, bagaimana sesetengah orang yang suka memandang rendah pada orang lain bila melihat penampilannya yang tak nampak macam orang kaya pun. Bila tahu orang tu berduit, barulah nak timbul rasa hormat.

Bak kata si kecil Arif yang dah pandai berkata "Ada aku kisah!"..

"Hepppp... kenapa cakap macam tu..", hubbyku menegur Arif! Hari ini 28 Mei 2012, genap dah usia Arif 3 tahun. Orang dah besar!

"Aahhhh... Kelisa jadi BMW!", berangan lagi aku! Jauh lagi nak capai kalau tak berusaha... So? Berusahalah! Kerja rajin-rajin tentu ada rezeki nanti.


Sunday 27 May 2012

Mudah, cepat dan berbaloi dengan make-up FCC

Hari-hari sebelum pergi kerja dengan waktu yang fleksibel ini (klik SINI ; kerja akulah tu) aku kenalah make-up dulu. Tutup sikit kedut-kedut usia nak menjengah 40-an ni. Kerja aku ni kalau tak make-up pun tak mengapa, tapi kenalah kemas, taruk bedak sikit, lipgloss saja pun ok asalkan kemas dan sopan.

Selepas mandi, foundation ni dulu aku capai. Malas dah nak sapu toner atau pelembab kat muka. Eloknya kalau ada toner lagi bagus. Foundation ni sendiri dah boleh lembabkan wajah aku. Tak sampai 2 minit dah boleh sapu rata kat muka. Tekan 2 picit je kat tangan dan sapu kat muka. Aku ni jenis nak cepat, elok benor le pakai foundation ni.
FCC High Performance foundation
Orang lain mungkin pakai compact powder, tapi aku suka pakai Wet and Dry ni. Kadang kalau dah kalut sangat nak cepat, aku basahkan muka dan sapu je benda ni kat muka ni rata-rata guna span yang ada.
Wet & Dry 2 Way Foundation
Walau pun tak berapa pandai tapi aku tenyeh jugalah eye shadow ni. Ikut sempat je kadang guna berus, tidak pun guna jari je sapu kat mata. sikit je sapu dah melekat. Ini gambar contoh bekas dia je. Biasa aku suka guna kod 03 atau kod 02. Warna tanah yang natural sikit.
Terra Cotta 4 Colors Eye Shadow

Kemudian suka hati aku je pakai kohl pencil ni untuk bawah mata. Boleh juga lorekkan bawah kening mata atas tu, tapi aku rasa macam leceh sikit pulak. Mana yang rajin tentu depa buat.

Khol Kajal Eyeliner Pencil

Aku jarang pakai maskara, ikut mood rajin je.

Optimal Style Mascara
Pearl blusher kusayang. Mudah je pakainya. Sapu je kat pipi tu... Kod warna 01 paling laris dan aku pun suka juga.
Powder Pearls Blusher

Lipgloss paling aku suka. Pilih warna yang lembut dan buat bibir sentiasa lembap. Hilang masalah suka nak mengutil kulit bibir bila kering. Habit yang tak bagus tu, boleh berdarah bibir tu nanti.


Kalau nak tahan lama warna di bibir, aku ada back-up lipstick ni. Menyegarkan, terasa berangin sikit.
Lip Maximizer Lipstick
Macam mana nak make-up... boleh belajar kat SINI.

Friday 25 May 2012

Bayar mahal-mahal dapat satu je? Aku jual murah je, dapat 4! Nak?

Dapat satu je? Rugi le macam ni!
Gambar cilok dari page fb Nizam

Ni komen rakan blogger, Nizam tentang plet WWW1 ni dari page fbnya :

"WWW 1 - Inilah no plat berharga 520K , kalaulah korang ada 520K, apa korang nak buat selain dari membazir beli no plat ni?"

Itu kata Nizam, ini pula kata rakan sekerja aku yang suka melawak juga :

"Bayar ratus ribu ringgit dapat satu nombor je, baik beli yang ratus ringgit je tapi dapat empat nombor. Lagi banyak dapat!"

Duit dah terlebih, tak tahu nak guna untuk apa lagi agaknya! Macam-macam kerenah manusia ni.

Tersenarai dalam DiGiWWWOW Award 2012

Apa-apa hal... goda dulu dengan gambar tudung-tudung yang cantik ni.
Nak tengok warna-warna kain yang lain boleh jenguk di 

Inilah blog tudung kesayangan aku tak lain tak bukan tentunya di Asterisk Boutique yang menawarkan tudung-tudung berkualiti dan cantik tetapi harganya murah.

Blog tudung yang hanya ada seorang pekerja ; dialah Pengurus, dialah Akauntan, dialah Kerani, dialah Operator, dialah Jurukamera dan segala-galanya hanyalah dia. Nyaris juga ada pembantu Jurukamera sambilan yakni suaminya sendiri. Sekali-sekala dibantu oleh dua orang puterinya yang comel ni.

Semuanya dia buat di rumah. Tunggang-langgang jugalah dia dalam entry ni : I need a holiday

Curi gambar dari SINI
Anak-anaknya yang sulung bak wajah minah salleh, yang sorang lagi sebijik wajah ibunya sendiri masa baby dulu. Dah macam anak cina je... he..he.. mata semi sepet.

Adrianna baru 6 tahun tapi sudah pandai membaca dan menulis. Tidaklah lancar sangat tapi dah boleh buatkan kad untuk hari ibunya, tiada gambar pula. Dah pandai taip 'Jangan pandang belakang' di youtube.com.

Suka bermain game di Samsung Galaxy Tab ibunya. Banyak doa-doa yang telah dihafalnya hasil pembelajarannya di tadika Genius Aulad.

Ibunya ajar dia tidur sorang-sorang dibiliknya sendiri macam anak mat salleh. Anak-anak aku pun penakut dalam usia semuda ini.

Si kecil Aleesya ni pulak lebih petah daripada kakaknya walau pun pelatnya tahap gaban juga. Bijak baca doa makan untuk sekeluarga di meja makan. Jika ditanya siapa namanya, nama ibu, nama ayah, nama nenek, nama datuk maka semuanya dijawap dengan lengkap. Siap dengan bin dan bintinya sekali. Baru berusia 3 tahun tetapi bermain puzzle susun atur tu memang kegemarannya, pantas pula tu dia memadankan gambar dan menyiapkannya.

Sibuk dengan kerja-kerja urus tudung tetapi pelajaran anak tetap tokey Asterisk Boutique ni follow-up. Mana ada orang gaji pun yang nak membantu. Memang pengsan... he..he..

Bila minda penat, badan pun penat juga... tiba-tiba dapat pula kejutan ni ;

Usahkan dia percaya... aku pun terpana!

Terasa hilang sikit kepenatan tu.....


Wahhhhh..... bolehlah dia jumpa dalam majlis dapat hadiah nanti dengan teman-teman blogger yang sering menyapa aku di blog dan facebook seperti pensyarah hensem nan bujang Eqbal Zack, new daddy Ben Ashaari, wanita bersemangat waja Mia Liana, rakanku yang sangat kepoh Bicara Mak Dara dan Ujang yang suka kentut (tak senonohkan...!)

Tahniah buat korang semua. Pada adinda aku Asterisk Boutique, syukur sebab turut tersenarai. Insyaallah, usaha yang baik ada ganjarannya. Sebagai kakak aku turut nak ucapkan terima kasih pada yang mengundinya, jangan segan-segan shopping tudung di blognya yang dia buat sendiri, aturan gambarnya, headernya. Aku pun tak rajin macam dia. Kalau rajin, Insyaallah ada hasilnya...


Wednesday 23 May 2012

Perbezaan di antara muhrim dan mahram

Aku kongsikan ilmu yang aku jumpa dari wall facebook kakak aku ni, pemilik blog FCC Farmasi Colour Cosmetics. Kakak pun dapat maklumat dari mak aku yang memang suka kongsikan ilmu dengan anak-anak. Petah mulut mak bercerita jika ada sesuatu yang menarik perhatian tentang agama sama ada di TV, bahan bacaan mahu pun maklumat dari teman-temannya. Patutlah mulut aku pun peramah juga, dari maklah ni.

Aku pun baru le tahu... tu yang nak share dengan korang semua.

PERBEZAAN DIANTARA MUHRIM DAN MAHRAM

Sering kita mengungkap perkataan muhrim dan mahram tanpa tahu makna sebenarnya dengan jelas. Kita lihat makna kedua-duanya.

Muhrim adalah perkataan Arab. Ia membawa maksud orang yang sedang melakukan ihram haji ataupun umrah. Orang ini dilarang melakukan beberapa perkara sepanjang menunaikan kedua-dua ibadat ini sebagaimana yang banyak didperkatakan di dalam kitab-kitab feqah.

Mahram pula bermaksud orang yang haram berkahwin dengan kita seperti adik kita, emak mertua kita dan lain-lain.

Ramai orang silap memahami penggunaan perkataan antara muhrim dan mahram. Kadang-kadang mereka mahu menyebut mahram tetapi mereka tersebut perkataan muhrim. Dengan penjelasan ini diharapkan masyarakat kita akan faham apa itu muhrim dan apa itu mahram. petikan - halaqah.net

Tuesday 22 May 2012

Nilai RM1,050 di mata aku, korang pulak?

Bila impian harta dunia yang ingin kumiliki mahu dijadikan kenyataan, maka aku kenalah menabung duit sendiri. Jika ada rezeki terpijak tu tandanya hubby aku sudi sponsor untuk membelinya. Berdoa sajalah.

Telah aku ceritakan bagaimana aku dapat RM1050 dengan bermain kutu RM35 seminggu bersama rakan-rakan di sekitar taman perumahan aku. Asalnya aku malas nak main kerana takut tak boleh nak beri komitmen membayarnya tepat pada waktunya. Maklum saja kadang takut aku tak berkesempatan menghantar duit pada dia yang mengutip duit. Kalau aku terlewat, kesian pula dia nak cover kos aku nanti untuk 2-3 hari. Nak bayar secara online, dia pula tiada akaun Maybank, CIMB atau Public Bank seperti aku. Tak berbaloi nak bayar caj servis RM1 pada bank. Padahal bukan jauh pun tempat dia, 3 minit dah sampai. Bagi anak aku RM1 tu lagi buat dia happy.

Jadi bila berkesempatan dapat jumpa, aku bayar terus untuk 2 minggu atau 4 minggu, ikut berapa duit yang ada di tangan aku waktu itu.

Tahun lepas pernah juga main kutu RM14 dan RM70 seminggu. Saja cukupkan bilangan peserta yang terdiri daripada peniaga kecil-kecilan, pemandu bas sekolah, suri rumah, guru dan ramai lagilah hingga melebihi angka 20 orang juga yang terdiri daripada wanita. Waktu itu pendapatan tak berapa nak menentu tetapi aku usahakan juga untuk adakan duit tu pada masanya dan aku berjaya.

Apa moral yang aku dapat? Aku akan berusaha untuk menyimpan sebanyak nilai yang ditetapkan pada waktunya. Kalau tidak, tak adalah aku nak menyimpan, duit habis begitu saja.

Setiap hari kita berbelanja, tanpa sedar ia melebihi RM10~RM20. Ini belanja bagi mereka yang berpendapatan sederhana. Biasanya jika aku sendiri belanja tidaklah sebanyak itu untuk diri sendiri, ianya sering melibatkan 5 orang anak aku yang kadang nak beli air, jajan dan sebagainya. Tak sedar pun bila RM1, RM2 dikeluarkan dari beg duit. Terasa banyak jika dikira jumlah untuk sehari "Banyaknya aku belanja hari ini!".

Cuba kita agihkan ke tabung yang kita sorokkan dalam almari sebanyak RM2, RM5 atau RM10 setiap hari. Bila tak ada duit, mulalah nak mengoreknya semula. Sebab itulah aku main kutu, tak dapat nak korek semula duit tu hinggalah tiba giliran aku.

Jika nak selesa, RM5 setiap hari pun dah memadaikan.

RM5 x 365 hari = RM1,825. Tanpa sebarang dividen!

Bagi aku jumlah tu banyak dah. Apa yang korang boleh buat dengan nilai sebanyak itu. Bayangkan ia satu nilai yang banyak untuk sesuatu perkara yang sangat bermakna. Jangan bandingkan dengan nilai yang kita rasa "alaaahhh... sikit je tu". Itu tidak dapat meransang semangat kita untuk menyimpan.

Aku membayangkan untuk diri aku yang bajet sempoi je... yang baik-baik aje ye!
- Tak perlu bayar duit kereta selama 6 bulan (monthly RM300). Baki RM25 untuk isi minyak kereta.
- Dapatlah aku beli mana-mana barang yang aku inginkan seperti mesin jahit, Samsung Galaxy Tab, Penapis air dan Vacuum Cleaner tu...
- Lebih dari cukup untuk beli uniform sekolah 4 orang anak beserta kasutnya untuk setahun.
- Selesai 6 bulan bil elektrik rumah aku yang mencecah RM300 sebulan.
- Boleh juga bayar bil Unify untuk setahun ; bayar sekali gus!
- Kos vacation family untuk dalam negeri pun dapat pergi juga dihujung tahun.
- Dapat beli baju-baju raya puasa dan haji untuk seisi keluarga aku yang 7 orang ni.
- Modal untuk mulakan perniagaan kecil ; apa-apa yang korang rasa patut!

Itu semua tanpa dividen, bukan pelaburan. Tapi kalau korang nak melabur dalam mana-mana dana Islamik milik Public Mutual tentulah ada dividennya lagi. Permulaaan cuma perlukan RM1,000 je untuk jangkamasa panjang 3~5 tahun. Baki RM825 bolehlah korang nak turut laburkan atau guna sendiri.

Andaikan menyimpan RM1,000 untuk 3 tahun dengan pulangan dividen 10%. Selepas 3 tahun, nilai wang kita menjadi RM1,331. Ada lebihan RM331 pula untuk pelaburan dalam dana unit amanah Public Mutual. Cara pengiraannya aku guna formula di SINI je.


Lepas tu bulan-bulan boleh tambah serendah RM100. Lebih rendah dari nilai RM5 sehari tadi ; cuma RM3.35 saja sehari dah dapat lebih dari RM100 sebulan. Nak lagi banyak... tambahlah RMnya.

Nak melabur? Contact aku untuk lebih memahaminya. Kalau tak faham, tapi nak melabur nanti tak best jugakan! Bukan duit tunai saja, guna duit EPF pun boleh dari akaun 1 sahaja.

Bagaimana kita galakkan anak-anak menyimpan, maka begitu jugalah elok kita amalkan bersama-sama. Kita sering galakkan anak menyimpan sedikit daripada wang saku mereka setiap hari, elok kita pun buat yang sama. Simpan berapa yang telah kita tetapkan dulu, kemudian barulah belanja dengan sebaiknya. Kalau nak menunggu menyimpan lebihan selepas belanja, memang tiada yang lebihlah jawapnya.

Pesanan ini bukan hanya untuk korang yang membaca sahaja tetapi juga untuk diri aku sendiri yang tak boleh nampak duit lebih dalam beg duit aku. Mulalah gatal tangan nak menghabiskan ke Spa, beg tangan, kasut, baju, makan-makan dan entah apa-apa lagi yang bukanlah keperluan sangat pun kadang tu. Lebih kepada nafsu nak membeli dan berbelanja.

Saturday 19 May 2012

Harta dunia yang inginku miliki

Hidup tanpa matlamat memang tidak memberi apa-apa makna. Kita hanya menurut arus kehidupan tidak tahu hala tujuan. Impian juga boleh menjadi kenyataan jika kita berusaha mencapainya. Selebihnya kita berserah pada Allah.

Bila kita punya impian, tulislah ia sama ada di dalam diary, dalam handphone atau lebih baik jika kita tampalkan di mana-mana yang sesuai dalam rumah kita. Ia kita jadikan sebagai peringatan dan pemangkin untuk kita lebih berusaha mencapainya.

Antara harta dunia yang aku ingin miliki setakat ini :

Mesin Jahit

Sumber Gambar : Mesin Jahit
Mudah untuk aku menjahit mana-mana pakaian ahli keluarga aku yang mana terkoyak atau benangnya tetas. Jimat pula pada setiap awal tahun untuk aku pendekkan kaki kain dan seluar sekolah anak-anak aku yang 4 orang tu. Bayangkan kos untuk sehelai saja paling murah pun RM5 ke RM7. Jika di darabkan tentulah berganda duit yang terpaksa aku keluarkan untuk upah memotong dan menjahitnya.

Senarai barang yang menjadi impian memanglah banyak. Apa lagi yang aku inginkan?

Samsung Galaxy Tab, Penapis Air Minum dan Vacuum Cleaner. Ada lagi tapi dah lupa... Ada 2 cara untuk aku dapatkan sama ada dengan minta hubby belikan atau aku kumpul duit dan beli sendiri. Rasanya kena kumpul duit sendiri baru dapat ni.

Kumpul duit sikit-sikit tentu dapat juga membelinya. Semalam dapat juga aku duit kutu dalam RM1K lebih sikit hasil simpanan selama 8 bulan juga. Seminggu simpan RM35, maknanya sehari RM5 lah. Terkejut jugakan tiba-tiba dapat duit banyak tu.

Bila kawan aku kata "giliran Kak Liza dapat duit minggu ni".

"Ohh! Ye ke? Ok! Dengan pantas Kak Liza datang ni!", amboi! Laju aje aku balas SMSnya semalam. Duit punya pasal memang laju aje nak dapatkan. Masa nak membayar, lambat-lambat je pergi jumpa dia. He..he.. tak patut betul!

Barang apa pun kita nak beli, ikutlah kemampuan diri. Kalau tak ada duit jangan gatal nak 'swipe' kad kredit korang kalau rasa tak penting sangat. Simpanlah duit tunai sendiri sikit-sikit. Takut kalau guna kad nanti terpaksa pula bayar interestnya bila korang tak mampu nak bayar nilai penuh yang telah digunakan. Lainlah kalau yakin bila tiba waktunya korang dapat bayar.

Belilah barang dalam senarai ikut giliran dengan kumpul sikit-sikit. Aku jenis suka beli barang tunai, bayar habis terus. Kalau tak cukup lagi eloklah duduk diam-diam dulu. Tunggu sampai cukup. Yang tak boleh nak tunai cuma kereta dan rumah sajalah.

Kalau berhutang biasanya kita dikenakan interest. Kalau 3% dari harga RM100 memanglah sikit, baru RM3. Kalau interest kad kredit lagi hebat dalam 17%~18%. Caj guna kad kredit untuk barang-barang atau perkhidmatan tertentu kadang kena 3%~4%. Ambil kalkulator, kira sendirilah pulak bila nak habis hutang kalau dah harga barangnya beribu-ribu pulak.

Jom menyimpan wang dalam dana Islamik Unit Amanah dengan aku. Sikit-sikit, lama-lama jadi banyak le.

Sesaat dikejar, derita dan trauma sepanjang hayat..

Gambar fb rakan aku, abg Asri..TQ
Amboiii... ni antara penyebab kemalanganlah ni.

Kalau minda dah....
- Pentingkan diri sendiri!
- Tak fikir buat salah!
- Tak fikir keselamatan orang lain!
- Rasa nak cepat je!

Ayoooo abang drebar lori... janganlah rosakkan nama-nama abang-abang lori lain yang hemah memandu. Sebab hang sorang buat perangai macam ni, habis depa yang lain orang dok persalahkan "drebar lori memang begitu dan begini, memandu ikut suka mak bapak dia je!".

Agak-agaklah nak memotong kenderaan lain. Laju mana sangat hang boleh pergi? Melampaukan bila kita ni dah le memandu kenderaan berat, memotong di selekoh dan double line pulak.

Janganlah sebab ego diri sendiri ini menyebabkan orang lain jadi mangsa. Suka-suka hati perjudikan nasib yang kalau selamat, memanglah lepas memotong. Kalau nasib tak baik, ada kenderaan lain yang tiba-tiba datang dari arah hadapan menyebabkan risiko lebih buruk pada pihak yang datang. Melainkan kalau kenderaan yang sama berat berhadapan dengan lori ni, berteulah buku dengan ruas.

Gambar kanan ni aku cilok kat dari SINI je. Kalau nak gambar lagi ngeri, korang taip jelah 'kemalangan ngeri' di Google Search tu, confirm jangan ada yang nak muntah tengok. Aku tak share gambar ngeri-ngeri sangat dalam blog aku, cukuplah kita faham akan kemungkinan buruknya jika bersikap seperti pemandu lori dalam gambar di atas tu, gambar yang rakan senior aku kongsikan semasa dia sendiri memandu.

Kalau dah lenyek kereta ni, bayangkan pulak apa jadi pada mereka yang berada di dalam kereta tu. Aku pun boleh mengalirkan air mata walau pun bukan melibatkan ahli keluarga, rakan mahu pun mereka yang aku kenali. Hargailah nyawa sendiri dan nyawa orang lain. Jangan sesaat yang dikejar mengakibatkan kehilangan nyawa atau pun derita sepanjang hayat.

Wednesday 16 May 2012

Buku conteng dan pensil tumpul

Bengang dan geram betul aku dibuatnya. Dah berkali-kali aku sebutkan dan pesan dengan anak aku yang seorang ini gara-gara pensil tumpul dan buku contengnya. Namun perkara sama juga yang diulangnya, seperti tak mendengar, tak ingat dan tak tahu. Apa yang aku nampak dia tidak faham erti 'menghargai', erti 'kesusahan' dan erti 'jimat'.

Gambar dari Google je... contoh!
Dua tiga buah buku yang masih baru dijadikannya buku conteng untuk melukis gambar-gambar kartun kegemarannya. Baguslah ada bakat untuk melukis dan aku tak halang bakat tu.

Sekali-sekala memang perlukan buku conteng untuk menulis atau melukis apa saja yang kita suka. Cuma yang aku marah bila dia guna buku yang baru.

Setiap tahun aku akan asingkan buku-buku tulis yang masih ada banyak ruang kosong untuk diconteng atau dijadikan tempat mengira bila belajar Matematik. Itulah buku yang aku pesan padanya untuk dia gunakan sebagai buku contengnya. Sudah pun aku sediakan. Bukan sebuah atau dua buah buku tetapi banyak, lebih daripada 10 buah buku. Ambil sajalah dari situ.

Cilok gambar Google jugak ni..
Tadi hal buku conteng, ini tentang pensil tumpul pula. Aku ada suruh dia mengemas biliknya. Maka sampah-sampah dibuangnya dalam bakul sampah di luar biliknya.

Macam biasa aku akan check bakul sampah untuk tengok juga apa yang dibuangnya. Terjumpa aku dua batang pensil yang masih panjang lagi tapi matanya dah patah. Geram aku datang dah!

Lagi sekali aku berleter padanya kerana membuang pensil yang sepatutnya masih boleh digunakan. Hanya asahkan saja.

Tiada pengasah pensil pula katanya! Satu alasan yang tidak mampu menyelamatkan dirinya daripada leteran aku selanjutnya. Dulu pun pernah aku menegur perkara yang sama. Tiada pengasah pensil, mengapa perlu berdiam diri. Tidak pernah lagi rasanya aku tak mahu belikan pengasah pensil baru. Kadang aku siap simpan stok lebihan untuk pensil, getah pemadam dan pengasah pensil.

Aku tak berkira untuk anak belajar. Mengapa tidak bertanya, mengapa tidak mengadu dengan aku tentang kehilangannya. Terkedu anak aku nak beri jawapan dengan soalan aku, dah terperangkap!

Kalau pun nilai sebuah buku hanya 80 sen dan pensil 50 sen menjadikan jumlahnya RM1.30. Nilai yang sangat kecil rasanya. Tetapi jika nilai ini didarabkan dengan 365 hari untuk setahun sudah jadi RM474.50. Lebih dari cukup untuk memperbaharui cukai jalan dan insuran kereta aku. Ada lebih lagi tu... aku pakai kereta Perodua Kelisa, murah je!

Lagi best bila aku tanya "Kalau mama bagi duit RM474.50 pada Azri setiap hujung tahun, nak tak?".

Laju-laju dia angguk "Nak! Nak!". Dah pasti dia nak beli handphone baru. Sedar pun dia betapa besarnya nilai duit tu.

"Jangan haraplah!", balas aku dengan ketawa mengenakan dia.

"Mama niiii....", anak aku pulak yang geram!

SELAMAT HARI GURU... teringat asah pensil kemas-kemas, cantik-cantik guna pisau masa kecil-kecil dulu..

Monday 14 May 2012

Jangan main tekan-tekan suis lampu isyarat!

Agaknya hari Sabtu baru adalah sorang budak sekolah ni kata "Garangnya makcik ni!". Apa taknya, tiba-tiba aje kena sound dek aku.

Macam biasa aku menunggu anak aku, Asyikin pulang dari tusyen sekolah untuk murid-murid UPSR bermula pukul 11.00 pagi. Aku park kereta di tepi bahu jalan berhampiran dengan lampu isyarat laluan untuk pelajar sekolah melintas.

Lama menunggu di dalam kereta dengan anak bongsu aku, Arif. Kononnya malas nak keluar dari kereta sebab malas nak mendukungnya yang dah makin membesar dan aktif. Dah nak 3 tahun pada 28 Mei 2012 nanti.

Murid-murid dah mula keluar, tapi macam biasa anak dara aku tu memang lambat munculnya. Sejak dia kecil lagi begitulah keadaannya selalu saja yang lewat keluar. Suka lenggang kangkung agaknya.

Adalah 2 orang budak lelaki yang berdiri di tiang lampu isyarat sambil tangan menekan suisnya. Lampu untuk laluan kenderaan bertukar merah dan pelajar bolehlah melintas bila lampu pejalan kaki bertukar hijau. Tetapi tiada siapa pun yang melintas waktu itu termasuklah 2 orang budak lelaki tadi.

Aku hanya memerhati mereka lagi. Bila lampu merah bertukar hijau untuk laluan kenderaan, mereka mula menekan semula suis lampu isyarat. Situasi tadi berulang hingga 3 kali dengan tiada siapa pun melintas walau pun lampu hijau untuk melintas dah menyala.

"Tak boleh jadi ni!", hati aku jadi geram.

Aku matikan enjin, dukung Arif dan melintas jalan menuju ke arah budak tu. Salah seorang sudah pun berlalu, tinggallah seorang yang masih sayangkan tiang lampu isyarat tu.

"Boleh tak jangan tekan suis tu kalau tak nak melintas?", aku tegur budak tu dengan nada tegas, tak rendah tak tinggi.

"Jangan main tekan-tekan je, nanti jalan jadi jem kat sini!", tambah aku lagi.

Terdiam budak tu. Nyarislah dia tak melawan cakap aku. Ada juga rasa hormatnya pada aku. Maknanya bukannya budak ni tak baik cuma nak main-main. Dia tak faham akibat dari perbuatannya. Dia mungkin hanya nampak kereta mula berhenti, kemudian bergerak. Dia tak nampak perbuatannya menyebabkan jalan menjadi semakin sesak, para pemandu menjadi marah dan mula menyumpah-nyumpah.

"Nak acik ambil gambar letak dalam facebook ke? Atau tunjuk gambar kat cikgu?", mengugut budak tu le pulak. Ishhh... macam kejam je kan. Psikologi untuk budak-budak je.

"Lain kali jangan buat lagi tau! Pesan dengan kawan-kawan pun jangan buat macam ni! Kalau betul-betul nak melintas, baru tekan suis tu!", aku tambah 'asam' lagi. Budak tu angguk je... fahamlah agaknya. Aku harap dia betul faham.

Bila hal begini berlaku, sebagai ibu bapa maka aku kena kerap pesan dengan anak-anak "tekan suis tu sekali je, tak payah nak tekan banyak kali. Lepas tu tunggu je dia tukar hijau".

Berilah masa untuk lampu tu bertukar warna. Takkanlah bila tekan je terus tukar warna, maunya brek mengejut kereta yang datang. Tak pasal-pasal yang terus nak melintas pulak kena langgar sebab lampu dah hijau. Lepas tu bagi alasan tak rasa bersalah "Saya lintas je lah! Saya tak salah! Kereta yang salah!", Agak-agaklah sikit!

Selepas aku berlalu dari situ, budak tu dah menjauhkan diri dari tiang tu. Tak lama kemudian aku nampak maknya datang. Maka dia pun tekan suis lampu isyarat tu. Terasa lama agaknya, dia tekan lagi. Ish.. tak puas hati, maknya tekan lagi. Geleng kepala ajelah aku waktu tu. Faham-faham sendirilah.

Budak-budak ni nak kena pesan selalu tentang sikap menekan suis lampu isyarat di depan sekolah sama ada di pihak ibu bapa atau guru-guru. Tapi kalau ibu bapa, siapa pula nak ingatkan? Aku senang je, kalau jalan agak boleh nak melintas tu malas aku nak tekan suisnya.

Tuesday 8 May 2012

Durian runtuh FELDA hari ini untuk mak!

Patutnya aku pun berada di Jengka 8 pagi ni bersama dengan mak aku tapi dia tak jadi nak pergi sebab tak larat katanya. Tiba-tiba pulak sakit pinggang, tak larat nak jalan. Lagi pun dia risau kalau dah ramai yang datang situ nanti susah pulak aku nak melayan si kecil tu nanti.

Mak aku ada di rumah kakak aku di Subang Permai. Pelan asalnya mak nak balik hari Isnin, tidur di rumah di Jengka 16 dan pergi ke majlis pengumuman ni di Jengka 8. Tapi semua pelan dah tak jadi. Biasalah kadang apa yang kita rancang tak menjadi. Lagi pun abang sulung tak galakkan dia pergi sebab mak aku pun ada masalah sakit lutut. Aku ni menurut je kalau dia ok sebab tak sampai hati nak tengok dia merajuk. Kebetulan pula dia sendiri yang rela hati tak jadi pergi, kira oklahkan!

Mak aku 'excited' sebenarnya nak mendengar sendiri pengumuman ni. Maklum saja dia generasi pertama Jengka 16 sejak tahun 1978 lagi yang telah bersusah payah membina hidup bersama-sama arwah ayah dulu. Sekarang mak dah tak susah sebab bulan-bulan dapat juga 'gaji' Felda bagi walau pun dah tak bekerja. Macam wang pencen pulak.

Aku tak kisah apa orang nak kata yang bukan-bukan tentang Felda asalkan mak aku bahagia. Anak-anak mak ikut saja kehendak mak nak beli saham Felda Global walau pun ada bunyi-bunyi negatif di sebaliknya. Tak mengapa sebab anak-anak mak sentiasa memerhati, mendengar dan bertindak bila perlu. Anak-anak mak dan menantu-menantu mak pun ada juga yang biasa dengan saham-saham begini.

Bulan lepas aku turutkan saja kehendak mak nak balik ke Jengka 16 untuk tandatangan borang 'Durian Runtuh' ni, dapatkan cop untuk surat sumpah, buka akaun baru Maybank untuk saham Felda Global dan sebagainya. Seharian jugalah menguruskannya kerana kami berdua balik pagi dan lewat petang baru dapat gerak balik semula ke Subang.

Syukurlah banyak rezeki untuk mak. Kadang hati mak tersentuh bila teringat arwah ayah yang sudah tiada untuk sama-sama menikmati hasil susah payah mereka berdua dulu. Aku pun turut sedih, apatah lagi hari tu sempat singgah jenguk dan solat di rumah mak yang dah berbulan-bulan ditinggalkan. Setiap bulan mak dan kakak aku akan balik sekejap untuk cuci seadanya rumah ni. Lama dah kami adik-beradik tak balik beramai-ramai bergotong-royong macam kelmarin dalam entry 'Kisah di sebalik background blog aku'.

Mak tak kedekut dengan anak-anak dan cucu-cucu. Kami tidak meminta tetapi mak suka memberi bila mak dapat rezeki lebih. Cucu-cucunyalah yang paling beruntung kerana selalu dapat 'extra money' dari nenek mereka ini. Bagi mak, bila kita dapat lebih rezeki janganlah kita kedekut nak berkongsi dengan ahli keluarga yang sama-sama menyokong kehidupan kita. Insyaallah! Tak akan luak apa yang kita ada, malah mampu bertambah lagi. Kadang terkejut juga bila tiba-tiba ada 'bonus' mak bagi, rupa-rupanya ada rezeki tak diduga yang mak dapat.

Sumber berita berikut dari SINI.

Durian runtuh FELDA hari ini
Oleh Hassan Omar, Ahmad Farizal Hajat dan Shaarani Ismail
bhnews@bharian.com.my
2012/05/08

Perdana Menteri buat pengumuman ganjaran tanda penghargaan kepada peneroka setia memajukan ladang


JERANTUT: Hari ini peneroka FELDA akan menerima berita gembira mengenai jumlah ‘durian runtuh’ yang dijanjikan kerajaan sebagai tanda penghargaan kepada mereka mengusahakan ladang sawit dan getah sejak 40 tahun lalu.
Difahamkan, jumlah yang bakal diterima 112,635 peneroka berlipat kali ganda lebih tinggi daripada wang Bantuan rakyat 1Malaysia (BR1M) dan menyamai kadar menunaikan umrah di Makkah sebanyak dua kali.
Ia akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di hadapan lebih 30,000 warga FELDA dari seluruh negara sempena perhimpunan raksasa warga FELDA, di FELDA Jengka 8, di sini pagi ini.


Pemberian durian runtuh secara tunai itu bagi memenuhi janji kerajaan ketika pengumuman Bajet 2012 dan sempena penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH) di Bursa Malaysia, bulan depan.


“Ia sudah semestinya akan lebih daripada wang BR1M sebanyak RM500,” kata sumber dalaman FELDA sambil memberi jaminan bahawa walaupun mendapat durian runtuh, semua insentif yang dinikmati selama ini seperti duit raya, bonus, pinjaman membesarkan rumah dan perumahan generasi kedua akan diteruskan.


Sumber itu berkata, ia bukan setakat memberi manfaat kepada peneroka, malah isteri, anak dan cucu, termasuk generasi kedua, ketiga dan keempat peneroka FELDA serta pekerja dalam sektor perladangan kelapa sawit yang dianggarkan berjumlah dua juta orang.
“Ia akan dibayar lebih daripada dua kali kerana jumlahnya yang besar. Terpulanglah kepada peneroka bagaimana mereka mahu menggunakannya untuk keluarga dan masa depan,” katanya.


Sumber itu juga menjelaskan wang durian runtuh itu diperoleh menerusi pelbagai sumber dana dalaman FELDA yang akan diperoleh semula apabila proses penyenaraian FGVH selesai.


“Masyarakat luar FELDA mungkin bertanya mengapa peneroka FELDA menerima pelbagai sumbangan. Hakikatnya, dana itu bukan daripada kerajaan, sebaliknya dana dalaman FELDA sendiri,” katanya.


Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif FGVH, Datuk Sabri Ahmad, berkata ia adalah pengiktirafan kerajaan atas ketabahan warga FELDA menempuh pelbagai dugaan dan ranjau terutama kekurangan kemudahan asas di tanah rancangan itu suatu masa dulu.


“Ia bagi mengiktiraf penat lelah peneroka memajukan tanah yang pada masa itu tidak memiliki bekalan elektrik dan sistem jalan raya yang baik. Nilai pemberian itu dijamin menyamai maksud ‘durian runtuh’ kerana ia dibuat sebagai satu lonjakan berganda kepada bonus peneroka,” katanya.


Sehubungan itu, beliau berkata, semua warga FELDA akan meraih pelbagai manfaat dan faedah ketara hasil pemberian wang berkenaan.


“Saya pasti wang yang akan diterima nanti dapat merangsang lagi aktiviti ekonomi warga FELDA di pedalaman,” katanya.


Dalam pada itu, seorang pemerhati pasaran, berkata semua 112,635 warga FELDA bakal meraih sekurang-kurangnya empat manfaat daripada penyenaraian FGVH.


Sebagai permulaan, mereka ditawarkan borang biru dalam tawaran awam permulaan (IPO) sempena penyenaraian yang melayakkan mereka melanggan sejumlah saham dalam FGVH. Mereka juga mendapat dividen tambahan menerusi sebuah tabung amanah berdaftar yang memegang 20 peratus kepentingan peneroka dalam FGVH, dianggarkan bernilai RM3.7 bilion.


Selain itu, walaupun Koperasi Permodalan FELDA Bhd (KPF) tidak menjadi sebahagian daripada pelan penyenaraian FGVH, peneroka masih mendapat dividen daripada KPF menerusi pelaburannya dalam Felda Holdings Bhd (FHB).


Manfaat keempat pula adalah penyenaraian FGVH tidak membabitkan pindah milik tanah peneroka dan mereka akan terus menikmati hasil daripada ladang yang mereka uruskan. Penyenaraian hanya membabitkan sejumlah 355,846 hektar tanah milik FELDA yang akan dipajak oleh FGVH.


Ia tidak menyentuh walau seinci pun tanah milik peneroka dan lebih 1.6 juta ahli keluarga mereka yang berjumlah 500,000 hektar. FGVH yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan menerusi FELDA dianggarkan memilik modal pasaran berjumlah RM18 bilion apabila disenaraikan.

Monday 7 May 2012

Ayat menggoda, jangan mudah tergoda!

Hubby aku pun susah nak puji aku camni. Untuk makluman hubby aku tu agak pemalu dan susah nak romantis-romantis begini. Tarikh-tarikh penting yang patut dia ingat pun selalu tanya aku semula untuk ingatkan. Nasib baiklah hari jadi dia sendiri dia ingat, melampaukan kalau tak ingat tarikh 1 Januari!

Tapi tengoklah ayat-ayat mereka yang hantar message ke inbox facebook peribadi aku ni. Perasan lawa aku dibuatnya.Terasa dihargai je! Eceh... mukadimah baik depa ni bagi.




Macam ni lah nak mengorat perempuan, baru peluang nak dapat tu besar. Tak semua wanita mudah cair dengan pujian-pujian sebegini. Ada yang terasa berlebihan dan lansung takut nak membalas.


Aku memang takut nak balas dan tak ada hati nak balas pun kalau betul mereka ni jujur sekali pun.

Ini pula memang 'mengayat' betul. Panjang pulak pengenalannya. Bagus jugakan, dapat aku belajar bagaimana nak 'greeting' bila kena buat ucapan ke, atau jumpa kenalan baru. Maklum sajalah, bahasa Inggeris aku memang tak fasih lansung tapi Insyaallah aku faham apa yang depa tulis.


Yang ini ganas sikit. Belum apa-apa dah nak ajak berbincang. Janganlah gelojoh sangat bang!


Eceh! Ini trick lama ni! Tak sengaja jumpa profile aku. Apa-apa ajelah!


Ada banyak lagi yang menjengah di inbox message dalam facebook aku dalam kategori 'others'. Tak larat nak copy paste pun. Tapi satu pun aku tak pernah reply. Tak perlu jawap apa-apa, takut nanti dari kita tak mahu berkenalan ianya mendorong kepada kita bercerita tentang diri kita pada mereka yang tak kita kenali. Bukan orang Malaysia pulak tu, susah nak jejak jika ada perkara buruk berlaku.

Kalau ada antara mereka yang jujur sekali pun, bukanlah menjadi keperluan untuk aku menerima salam perkenalan dari mereka. Bagi aku takut jika lebih banyak perkara buruk yang mungkin berlaku berbanding yang baiknya. Tak rugi pun kalau aku buat tak tahu aje.

Baca entry berkaintan :
1) Mencari cinta lain di facebook, berbaloi ke?
2) Sayang! Anda menarik!
3) Banyaknya duit! Ada makna ke?

Sunday 6 May 2012

Jangan membazir, masak apa yang ada je..

Pagi tadi resepi sarapan aku mudah sangat-sangat. Aku buat mee goreng sempoi habis. Sebenarnya hubby dah belikan roti canai untuk sarapan pagi Ahad. Lama tak membeli roti canai. Nak buat sendiri jangan haraplah. Aku bukan jenis yang rajin nak memasak lama-lama.

Terjumpa sebungkus mee kuning dalam peti sejuk.

Gambar dari http://wanitaniaga.com/resepi/?p=21

Ternampak lebihan kuah pecal, ini pun hubby belikan kemarin. Tinggal kuahnya saja pun. Aku sorang je yang suka makan pecal ni. Anak-anak dan hubby memang tak berapa nak makan sayur-sayur macam ni.

Gambar dari http://nadyahoney.blogspot.com/2011/06/pecal-makanan-orang-jawa.html

Sebelah mee kuning ada dalam 10 ketul bebola ikan. Aku potong dua tiap-tiap satu.

Gambar dari http://nekmat.com/aktiviti_syarikat_hasilPerikanan_bebolaikan.html

Malam tadi ada buat tumis kacang panjang. Banyak lagi nampaknya lebihan kacang ni.

Gambar dari http://blindperfect.blogspot.com/2012/03/443-makan-kering.html
1. Aku panaskan minyak dalam kuali
2. Masukkan bebola ikan, kuah pecal dan tumis kacang panjang
3. Gaulkan agak-agak menggelegak
4. Masukkan mee kuning yang dah dibasuh
5. Kacau je sampai rata dan agak-agak dah masak le.

Tiada tambahan perisa lain pun. Kononnya nak tambah telur tapi belek peti sejuk, dah habis rupanya.

Anak aku kata "Sedaplah mama! Mama letak kuah kacang ke?". Sengih sendiri je la! Resepi yang tak boleh diulang tayang. Bahan-bahan emergency!

He..he.. kuah pecal pun aku redah aje. Selalunya aku guna kuah kacang yang biasa untuk sate tu. Hentam je lahkan. Jangan membazir. Masa taip ni pun, habis dah mee goreng tu anak aku makan.