iklan

Followers

Pages

Showing posts with label Kasih sayang. Show all posts
Showing posts with label Kasih sayang. Show all posts

Thursday, 10 July 2014

Petua nampak muda untuk Raya

Last aku tak ke Riani Beauty & Spa. Bukan jauh pun, cuma tak berkesempatan aje. Lama tak lama baru hujung bulan May kelmarin. Alaa.. baru 1 bulan lebih sikit je pun.

Semalam ke sini, ada rawatan baru, nak sebut pun tak pandai, tergeliat lidah ; Depileve Milk Honey Facial Paraffin. Tapi aku datang bukan untuk rawatan yang ini. Nanti-nanti boleh cuba.


Aku datang sebab nak buat ulangan untuk Oxygen Facial. First time buat dalam entry yang lepas kat link SINI. Klik je kalau nak baca.

SEBELUM rawatan

SELEPAS rawatan
Kawan aku kata nampak muka makin cerah. Yang itu tidak aku perasan sangat. Cuma bila renung gambar atas tu garisan lingkaran bawah mata dan antara hidung dan tulang pipi dah kurang jelas. Berkesan untuk kurangkan kedutan. Kalau ambil pakej rawatan 10 kali ni maunya tak de garisan halus kedut kat muka ni. Perghhh... perasan muda pulak nanti.

Abaikan kulit muka yang tak licin bak telur dikupas tu. Aku ada satu habit yang beautician situ selalu marah. Suka bebenor picit jerawat-jerawat halus. Lepas tu berparut hitam.

Ini rawatan luaran untuk wajah. Jika boleh kenalah kenalah buat rawatan badan juga. Antara favorite aku kat Riani Spa ni tentunya urutan tradisionalnya yang power, mandi sauna dan body scrub. Suka sangat manja-manjakan diri sekali-sekala. Hubby tak kisah pun sebab bukan minta duit dia pun... he..he..

Tapi aku tak lupa kesihatan dalaman pun kena ambil kira. Pemakanan kena jaga. Pun begitu kadang aku 'belasah' juga makan macam-macam. Cuma aku kurangkan minum air bergas, air yang berais dan makanan laut. Ulaman paling aku suka. Paling penting aku tak lupa makan jamu T.Warisan Anggun. Sesiapa nak beli boleh jenguk di Adzrien Shoppe.

Arwah ayah dan mak aku kata tambahkan awet muda dengan jangan tinggal solat dan mengaji untuk maintain daya ingatan yang kuat. Sahabat aku sejak zaman sekolah yang kini tinggal setaman pesan jiwa kena redha, bertolak ansur dan mudah memaafkan.

Bagi aku Oxygen Facial memang best.

Sunday, 8 June 2014

Awet muda sokmo... Oksigen! Oksigen!

Mengalami rawatan wajah oksigen memang mengasyikkan. 

Aku suka bila wajah kusam dah mula kelihatan segar. Semakin cerah aku rasa. Dan yang paling penting kedutan-kedutan mula berkurang di dahi, bawah mata dan tepi hidung. Ia menaikkan bentuk wajah... nampak awet muda gitu. Sesuai sangat dengan usia aku yang dah 4 series ni.


Dah tentu aku dapatkan rawatan di Riani Beauty & Spa. Info lebih tentang Oxygen Facial boleh intai kat entry ni : Rawatan Oxygen Facial.

Masa hantar anak masuk UiTM kemarin, ramai pulak yang ingatkan aku kakak dia. Paling lawak masa di kedai makan, tokey kedai panggil aku adik tetapi hubby aku dipanggilnya pakcik. Aduhai, kesian hubby aku. Kak! Suami saya tu cuma tua 3 tahun aje dari saya ni... he..he..

Monday, 10 June 2013

Layan drama dan novel Teduhan Kasih

Lambat sangat habis episod drama Teduhan Kasih di TV3 buat aku tak boleh tunggu. Jadi tak penyabar pulak ye!

Jadi aku beli novel ni di MPH Alamanda. Ada yang kata best dan ada yang tak suka cerita ni. Adatlah apa-apa pun bukan boleh buat semua orang suka dan bukan semua orang benci pun.

Bila tak sempat nak tengok di TV3, aku layan videonya di SINI. Ada macam-macam lagi drama dan filem yang korang boleh tengok kat situ.

Kadang kita melihat watak-watak dalam kisah ini seperti berlebihan. Tapi bagi aku semua tu tak mustahil berlaku dalam masyarakat kita. Kita maklum watak manusia ini berbeza-beza.

Ambil ikhtibar darinya.

Aku suka melihat watak heroin Iffa yang lemah lembut. Bahagianya lelaki yang beristerikan wanita yang sifatnya seperti Iffa. Sukar untuk menjadi sepertinya tetapi ianya tak mustahil. Kita ambil yang baik. Jangan pula kita ikut sifatnya yang sentiasa beralah dalam banyak situasi. Nada suaranya tenang dan lemah lembut. Jauh benar bezanya dengan aku... haa..ha... teringin nak jadi macam tu kan! Aminnn...

Watak bekas suami Iffa yang melepaskan seorang isteri yang baik itu banyak berlaku. Sahabat yang berpura-pura baik di depan Iffa tetapi penuh dengan hasad dengki di belakang mengingatkan kita agar berhati-hati. Buat baik berpada-pada. Jangan biarkan suami terlalu baik dengan sahabat perempuan kita kerana bila lelaki dan wanita terlalu akrab maka khuatir syaitan mula menyuntik jarum hasutan.

Kadang ada rasa simpati melihat watak-watak jahat seperti ibu tiri dan kakak tiri Iffa serta sahabatnya Ayu. Simpati kerana mereka bersusah-payah nak menyusahkan hidup Iffa. Jiwa mereka resah gelisah dan stress hanya kerana mencari pelbagai cara dan idea untuk menyusahkan hidup insan lain.

Rasa gelihati pun ada. Kan baik kalau layan hidup sendiri je daripada berfikir nak bagi orang lain derita. Ini yang dikatakan dah tak ada kerja nak buat. Maka buat pulak kerja yang sia-sia. Hidup kita takkan gembira jika sentiasa ada hasad dengki.

Watak-watak lain aku tak ambil kisah sangat. Melihat jejaka hensem si Ehsan mungkin buat ramai yang terigau-igau. Romantisnyaaa... He..he.. Sesetengah wanita mungkin rasa suaminya kurang romantis. Tak mengapalahkan. Ada yang kurang romantis tapi bagus bab lain pulakkan!

Cubalah layan suami sebaik mungkin. Ikut yang baik seperti watak Iffa tu. Siapa tahu suami yang di rumah berubah jadi romantis! Pahala tu! Bukankah syurga seorang isteri di bawah tapak kaki suami.

Bukan tak pernah terjadi pun watak buruk yang ada pada Ehsan seperti minum arak, tak puasa, tak solat dan berpoya-poya dengan ramai wanita boleh berubah menjadi baik. Malah mungkin lebih baik daripada mereka  Ikutlah sifatnya yang baik, jangan buat sikapnya yang buruk.

Jangan kita lupa bahawa "Rahmat dan kasih sayang Allah SWT tidak mengenal hambaNya".

Friday, 26 April 2013

Tak sampai 3 saat pun!

Tak perlu kata apa-apa, senyum je! Bukan susah pun kan.... 

Jangan tak percaya bahawa senyum itu 
punya kesan yang sangat besar dalam kehidupan seharian kita.

Senyuman yang ikhlas.. ;
Mampu meredakan kesakitan!
Mampu meredakan kemarahan!
Mampu menyelamatkan keadaan!
Mampu mengubah keputusan!..



Senang je kan nak senyum... jangan tak tahu ada orang cukup ego untuk memberikan secebis senyuman. Tak tahulah aku kenapa jadi macam tu.

Tuesday, 19 March 2013

Ni orang England atau Malaysia?

Tadi aku semak keputusan Ujian 1 Aishah, anak sulung yang sekarang dah berada dalam tingkatan 5. Biasa aku semak kat link bawah ni je!

http://sapsnkra.moe.gov.my/ibubapa2/index.php

Aku tanya kat dia "Anak mama ni dok England atau dok Malaysia?"... tersengih je dia.

abaikan subjek Biologi tu...he..he..

Sebab apa aku bertanya soalan macam tu? Sebab BI dapat A+, tapi BM dapat E. Gatal kepala aku! Aku marah dia? Tak juga sebab biasanya dia akan tunjukkan perubahan keputusan yang baik untuk setiap peperiksaan atau ujian yang berikutnya. Tidaklah perubahan yang mendadak bagus tetapi sedikit-sedikit.

Insyaallah perbetulkan kesilapan, moga A+ juga BM masa SPM nanti.

Aku difahamkan ada dua soalan subjektif BM yg dia dapat markah kosong kerana menjawap tidak ikut kehendak soalan. Soalan memerlukan jawapan idea atau pendapat sendiri tetapi dia huraikan berdasarkan isi artikel dalam kertas soalan tu. Lupa pesan cikgu le tu.

Bagi aku itu dah jadi pengajaran untuknya.

Jika kita kenal karektor anak kita, maka pendekatan untuk membaik pulih kelemahan setiap anak juga berbeza-beza. Usahakanlah mana yang termampu. Mungkin sukar tetapi anak-anak adalah harta yang paling berharga, kenalah jaga. Kalau tidak jangan buat anak! Opppss..!

Seperti biasa aku akan berkata padanya "SPM nanti jadi A+ le tu! He..he..".

"Tu lah! Geram juga akak tengok dapat kosong walau pun berjela-jela akak tulis! Malas akak nak komplen kat cikgu!", rungut Aishah.

Sedar diri le tu.. he...he.. takkan nak komplen pulak sebab dah salah sendiri.


Saturday, 16 February 2013

Teachers! You are great! Love u!

Setuju dengan kata-kata Edu Cahayaku Sdn Bhd. Tidak kiralah guru tadika, guru sekolah menengah, guru sekolah rendah, guru sekolah ugama, guru IPT (pensyarah), guru menjahit, guru memasak, guru ilmu mempertahankan diri dan segala macam jenis guru asalkan ilmu yang diberi itu halal dan bermanafaat... memang dituntut agar kita menghormati mereka. Tanpa mereka siapalah kita untuk menjadi pandai dalam banyak perkara. Hormatilah guru-guru kita, guru-guru adik-beradik kita, guru-guru mak ayah kita, guru-guru anak-anak kita, guru-guru saudara-mara kita, guru-guru para sahabat kita dan tentulah semua para guru.


Kalau kurang jelas... Ni aku copy paste dari facebook :

Sebagai seorang pengusaha TADIKA mmg banyak Dugaan yang kita lalui. Begitu juga dgn guru. Tugas seorang guru adalah tugas yang paling mulia di sisi agama dan di mata masyarakat. Tapi bukan guru TADIKA.

Sesetengah ibubapa merasakan bahawa guru TADIKA NI tidak sehebat mana. Tapi tahukah mereka betapa susahnya tugas yang disandang Oleh guru2 ini. Bayangkan Dari menulis, membaca, mengira sehinggalah ke 'toilet train' siapa yg ajar. Guru2 yg kerdil inilah yg bertungkus lumus dan tidak jemu2 mendidik sehingga pandai 3M dan semuanya.

Najis, air kencing, hingus, muntah adalah mainan kami. Ada yg datang ke TADIKA dgn tidak mandi. Berkutu. Kuku yg panjang. Guru2 inilah yg dgn rela hati melakukannya. Mandikan, ketipkan kuku2 Malah Ada yg SAMPAI kutu di Kepala pun di proses.

Setakat mana masyarakat kita menghargai tugas guru2 TADIKA ini? Emmm....Ada tu sampai hujung tahun pun tak ucap terima kasih apabila anak dah pandai membaca. Tidak di nafikan Ada yg terlalu menghargainya SAMPAI kita Sendiri Akan berlinang airmata bila kata2 yg diluahkan sungguh menyentuh rasa.

Apa pun kpd saya dan ANDA guru2 TADIKA kita harus merasa bangga kerana kita lah orang yg bertanggungjawab mendidik anak2 ini untuk menguasai 3M dgn penuh kesabaran Dari peringkat awal lagi.

Untuk itu saya dgn Bangganya TABIK spring kpd semua guru2 yg berkhidmat untuk mendidik anak2 di Seluruh Malaysia. TEACHERS YOU ARE GREAT........hats off !

Friday, 30 November 2012

Bila dah terkena barulah tepuk dahi!

Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada guna!

Terlajak perahu boleh undur, terlajak kata mahu pun perbuatan, tanggunglah akibatnya.

Bukan kita tak tahu akibat dari sesetengah perbuatan kita itu boleh mendatangkan mudarat jika diteruskan tetapi kita masih juga bersikap 'tak pe', 'ada aku kisah', 'peduli apa aku', 'alahhh... sikit je!', 'tak mungkinlah', 'boleh baik nanti' dan segala macam alasan untuk beri semangat meneruskan aktiviti-aktiviti tak sihat kita.

Aku bagi contoh supaya korang lebih faham apa yang aku maksudkan yang kita tahu kesannya tetapi tetap kita teruskan juga hinggalah kebarangkalian kesannya yang buruk itu menjadi kenyataan.

- Merokok itu membahayakan kesihatan diri sendiri dan orang lain.
- Terlalu kerap dan banyak makan makanan berlemak dan manis tak elok untuk kesihatan.
- Sikap suka bertangguh menyebabkan kita rugi dan terlepas banyak peluang yang baik.
- Berjudi itu haram dan boleh merosakkan hubungan sesama insan.
- Memandu laju dan melulu mampu menyebabkan kemalangan kerana kurang kawalan penuh.
- Hubungan antara dua insan bukan muhrim yang tidak menjaga batas-batas agama itu berdosa dan bahaya.
- Mencuri, merompak, merogol, membunuh tu semua kerja salah!
- Mengumpat, menengking, menghina, mengata dan seumpamanya.
- Bermalas-malasan dan bersantai setiap waktu dan setiap hari itu bakal merosakkan kesihatan.
- Tak ambil tahu/peduli apa aktiviti anak-anak di dalam atau di luar rumah.

Kalau nak senarai sikap buruk tu memang sangatlah banyak....

 Tapi bila segala yang tak ingin kita alami atau pun saksikan terjadi, barulah kita tersedar dan menyesal.

Ketagih judi musnahkan masa depan

Sikap cuai kita mungkin sebabkan kita atau orang lain kemalangan

Terlebih cinta tergadai maruah

Terlebih kolestrol

Asap rokok tak boleh kikis dah
Bayangkanlah rentetan peristiwa yang mungkin pula perlu kita alami bila 'nasi dah jadi bubur'? Mungkin ada yang hilang keluarga, dihina dan dicerca, cacat anggota atau lebih parah jika lansung tak boleh buat kerja apa-apa pun yakni perlukan bantuan orang lain untuk kita meneruskan hidup.

Kehidupan yang indah dulu telah tiada akibat sikap kita sendiri.

Bila dah sampai ke perjalanan terakhir, tiada apa-apa sikap buruk lagi yang dapat kita perbetulkan. Memang sudah terlambat. Moga Allah beri kita kekuatan dan hidayah untuk sentiasa kita menjaga diri kita agar sihat dan bahagia di dunia dan akhirat. Sama-sama saling mengingati sesama insan.


Thursday, 8 November 2012

Terima kasih kerana memberi laluan!

Ada orang bijak menghargai pengorbanan orang lain dengan caranya yang tersendiri. Dia pun tahu bagaimana nak menghargai orang lain dengan memahami apa yang orang itu suka. Wah! Seronoknya.

Sedihnya bila pengorbanan kita dipandang sepi oleh orang lain, lebih-lebih lagi dari insan yang sangat kita harapkan. Ada yang inginkan penghargaan dari segi material, ada juga hanya memerlukan reaksi kasih sayang dan perhatian. Namun ada juga yang ucapan 'terima kasih' saja sudah memadai.

Kejayaan seseorang adakalanya dibina atas susah payah diri sendiri yang memerlukan pengorbanan masa, harta benda dan mungkin juga melibatkan diri sendiri. Tetapi ada juga kejayaan yang dicapai melibatkan pengorbanan orang lain sama ada secara baik atau sebaliknya.

Pengorbanan orang lain secara penindasan untuk memberikan kita kejayaan memang jelaslah tidak baik dan perlu kita elakkan. Itu melibatkan sifat hasad dengki dan suka menjatuhkan orang lain.

Apa yang ingin aku katakan bila kebanyakan kejayaan yang kita capai bukanlah sepenuhnya atas usaha kita sendiri tetapi juga atas kerjasama dan pengorbanan orang lain juga. Biasanya ia dilakukan atas dasar kasih sayang.

Ibu bapa sudah tentulah berkorban masa, tenaga dan perasaan demi kejayaan anak-anaknya dalam mengejar cita-cita. Itu sememangnya sudah menjadi kewajipan ibu-bapa memberikan ilmu untuk anak-anaknya.

Bagaimana pula dengan suami atau isteri yang berjaya mengejar cita-cita sama ada lebih tinggi pendidikan atau bisnes menjadi lebih baik mahu pun pangkat menjadi semakin disegani. Adakah mereka melihat atau menghargai insan-insan yang menyokong, mendorong, memberi kerjasama, berkorban masa dan perasaan demi memberi laluan kejayaan padanya?

Ada yang ingat tetapi ramai juga yang lupa. Syukur alhamdulillah bagi yang ingat!

Jika lupa dengan pengorbanan mereka yang menyokong kita masih lagi tidak mengapa walau pun ianya sangat menghiris hati orang lain. Tetapi janganlah lupa padaNya, Allah SWT yang telah memberikan keizinan memberi laluan untuk kejayaan kita.

Tuesday, 24 July 2012

Lupa anniversary bukan masalah besar pun!

Ha...ha.. Ini perkara yang biasa berlaku tetapi bukanlah semua lelaki lupa tarikh-tarikh penting.


Jangan tarikh lahir sendiri pun lupa nanti. Bagi aku tak mengapa lagi kalau si dia lupa tarikh ulang tahun perkahwinan atau pun tarikh lahir. Itu semua boleh dimaafkan sebab hubby aku pun macam ni juga tetapi dah 17 tahun usia perkahwinan aku, masalah ini bukan masalah besar pun. Tidak lansung mengganggu kerukunan rumahtangga. Bukan tuntutan wajib agama, so aku tak kisah.

Kalau hubby lupa tarikh lahir, anak-anak mengingatkan. Kalau terlupa tarikh perkahwinan pun aku jawaplah "Oooo... kahwin nak, tarikh nikah tak ingat!". Sengih je lah.. he..he..

Ada perkara penting lagi yang perlukan dilaksanakan. Kalau yang ini dia laksanakan, Insyaallah bahagialah rumahtangga.

Tanggungjawab dan Hak Suami 

Antara tanggungjawab suami menyediakan nafkah kepada isteri berdasarkan firman Allah yang bermaksud: "Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu menurut cara yang sepatutnya." (Surah al-Baqarah, ayat 233)

Sabda Rasulullah S.A.W bermaksud: "Dan bagi isteri-isteri kamu, hendaklah kamu memberi nafkah dan pakaian kepada mereka dengan cara yang baik." (Hadis riwayat Muslim).

Suami juga mesti bergaul dengan isteri dengan cara yang baik. Firman Allah yang bermaksud: "Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri kamu) dengan cara yang baik." (Surah an-Nisa', ayat 19)

Aku copy paste dari artikel : Hak Dan Tanggungjawb Suami Isteri.

Kliklah link tu, ada lagi tentang hak isteri pada suami dan hak bapa pada anaknya.

Jadi, jangan ada yang susah hati kalau suami lupa tarikh nikah. Bila sampai tarikhnya, kita tolonglah ingatkan dia. Mana tahukan nak juga dia belikan hadiah. Hubby aku biasa belikan kek je, makan sama-sama dengan anak-anak. Itu pun selepas aku ingatkan..he..he..

Thursday, 19 July 2012

Sukarnya membezakan huruf b, d, p dan q

Entah kenapa rasa nak menitis air mata aku melihat anak rakan aku yang baru berusia  5 tahun di rotan di muka dan diconteng huruf 'b' di pipinya. Semuanya gara-gara si comel ini pelat dan terbalik menulis huruf tu. Kidal pulak tu. Baru berusia 5 tahun dan sekarang baru bulan Julai. Bermakna baru 7 bulan dia mengenali alam persekolahan di peringkat tadika.

Biar apa pun alasan cikgu tu, ia merosakkan nama baik guru-guru tadika lain yang berhemah dan penyayang. Syukur guru-guru anak-anak aku tak begitu.

Asyikin, 12 tahun dah sekarang pernah mengalami masalah yang sama tentang membezakan huruf b, p, d dan q. Dia sukar membezakan bunyi huruf b, p, dan d. Sukar pula bezakan rupa huruf q. Dia buntu dengan 4 huruf ini. Lewat aku kesan masalah ini ketika usianya dah masuk 9 tahun.

Anak aku 9 tahun bermasalah dengan huruf b, tetapi anak kawan aku baru saja 5 tahun di rotan kerana masalah yang sama. Agaknya kena rotan awal supaya tak melarat masalah ini sampai usia 9 tahun.

Apa yang aku buat untuk betulkan keadaan dengan buat kotak, bahagikan kepada 4 bahagian. Aku tulis semua huruf p, b, d dan q pada setiap bahagian.

Hari ini bila aku taip entry ini, baru aku perasan bahawa masalah membezakan 4 huruf ini bukan terjadi pada anak aku saja. Ia masalah yang berlaku juga pada segelintir anak-anak kecil di luar sana. Kalau tidak bagaimana aku dapat copy paste gambar ini dari Google.

Ada buku ditulis tentang masalah ini. Aku jumpa gambar ni di SINI.

Setiap hari aku ajar anak aku dengan sebutan yang betul berulang-kali. Sebut dan tulis hingga dia benar-benar mahir. Itu saja yang mampu aku lakukan.

Aku tampal gambar huruf yang 4 bahagian tu di dinding bilik tidur. Buat perkataan yang menggunakan huruf-huruf tersebut untuk dia baca.

Kemampuan anak-anak kecil sering berbeza biar pun lahir dari benih yang sama. Apatah lagi jika berbeza ibu dan bapa pula.

Ada yang mahir membaca tetapi lambat penulisannya, begitu juga sebaliknya. Ada yang mahir kedua-duanya dan lebih sukar bila sebaliknya pula. Belum kita uji dengan hal pengiraan lagi.

Kisah seorang insan istimewa, Temple Grandin yang aku tonton di TV Al-Hijrah minggu lalu juga memberi sedikit kesan pada diri aku betapa anak-anak itu jangan dinilai sangat kelemahannya. Carilah di mana kelebihannya agar kelemahan itu dapat diatasi secara tidak lansung.

Temple Grandin
Temple Grandin yang dilahirkan pada tahun 1947 merupakan seorang autisme yang berjaya menjadi doktor dan professor haiwan di Amerika. Infonya boleh korang baca di Wiki.

Apa itu autisme? Rujuk ; http://ms.wikipedia.org/wiki/Autisme

Kisah hidupnya dijadikan filem yang patut korang tonton. Aku dapat trailernya je di youtube :


Movie Bollywood hasil kerja Amir Khan ini pun mampu mengalirkan air mata. 

Anak-anak, anugerah paling berharga!

Wednesday, 18 July 2012

Anak aku kena buli... cari nahas budak tu!

Petang semalam anak aku yang nombor 4, Azri menangis sebaik balik dari sekolah ugama, kena tampar dek kawannya dalam bas. Baru berusia 10 tahun. Sebab apa dia dibuli, ada infonya di entry INI. Dia ada masalah kulit bercapuk.

Panas hati pulak aku dibuatnya. Melampau betul budak ni. Dah berani nak tampar muka orang. Baru darjah 4 pun. Mentang-mentang ada geng, beranilah dia. Kakaknya iaitu Asyikin, darjah 6 kata Azri dah kepal tangan rasa nak tumbuk je tapi tak buat.

Anak lelaki aku tu kurus dan saiz badannya kecil je. Kalau dia balas takut juga lagi teruk masalah tu nanti.

Hari-hari budak tu dan gengnya suka mengejek anak aku dalam kelas, cuma anak aku buat tak tahu je. Ini dah sampai pukul-pukul ni memang buat aku panas hati.

Nyaris anak aku tak layan sangat rasa rendah dirinya tu. Aku tahu tentu rasa rendah diri tu ada juga dalam dirinya.

Budak tu bernasib baik sebab anak aku tak balas. Kalau ikut zaman aku budak-budak dulu, memang aku balas je walau pun aku ni perempuan. Kalau tidak dengan tangan, dengan kaki pun aku boleh balas. Agak 'brutal' sikit masa kecil dulu. Rasanya bukan aku sorang je macam tu, adik perempuan dan kakak aku pun memang pantang kalau orang buli-buli ni. Protect diri sendiri je, tak ada nak mengadu kat mak ayah.

Tapi zaman sekarang buli membuli ni mengerikan. Kadang sampai nyawa melayang.

Apa yang aku buat semalam, terus capai telefon dan call pemandu bas sebelum sempat dia hantar budak tu sampai ke rumahnya. Aku ceritakan apa yang berlaku, minta dia siasat dan ambil tindakan. Bestnya pemandu bas anak aku ni bukan sekadar pandu bas dan van tetapi dia perihatin dengan perangai budak-budak yang dia bawa. Jika anak-anak tadika yang naik van, dia akan pimpin budak-budak tu ke pagar sekolah.

Azri naik vannya sejak dia di tadika lagi, 6 tahun hinggalah sekarang. Jadi pemandu van dah maklum baik dan nakalnya Azri ni. Memang budak yang membuli tu nakal katanya.

Dalam pukul 7 semalam pemandu van tu call aku bagitau dia dah warning budak tu kata aku marah sebab buli Azri. Ugut dia slow-slow nak report polis. Menangis budak tu sebab takut. Dan dia dah bagitau pada bapa budak tu juga. Aku pun dapat tahu juga mana lokasi rumah budak tu. Kalau tak berubah juga, aku cari kau sampai ke rumah. Bukan nak marah-marah, nak berkenalan dan analisis. Mana tahu lepas ni jadi kawan baik anak aku pulak. Buat apa nak musuh-musuh.

Anak-anak bila kena buli, akulah tempat mengadu diaorang sebab mereka tahu aku akan ambil tindakan. Aku tak berkompromi dengan kes buli. Aku siasat sampai ke sekolah, cari budak yang buli tu. Anak-anak tahu maknya ni lebih brutal daripada hubby aku yang lebih penyabar orangnya. Itulah jodoh orang katakan.

Bagi aku, kalau bukan kita sebagai ibu bapa yang wajib melindungi anak, siapa lagi yang dapat mereka harapkan sudi mendengar rintihan hati mereka. Siasat dan analisa di mana puncanya dan cuba cari penyelesaian setakat mana yang kita mampu. Jangan kita pulak terlebih meroyan, mengamuk sakan! Rasional sikit!

Jangan kita terus perlekehkan bila mendengar masalah anak-anak. Layan saja dulu dan dengar ceritanya sampai habis. Kemudian barulah tanya soalan-soalan untuk kita bayangkan situasi sebenarnya. Cari logik ceritanya juga. Kadang-kadang kena pasang telinga dengan teliti juga sebab ada anak-anak yang suka kelentong mak ayahnya.

Nak garang, tegas tu ok tapi jangan lupa bergurau. Beri peluang anak bergurau sama, jangan kita syok sendiri jadikan anak bahan gurauan. Bila anak bergurau, kita pulak yang naik angin walau gurau sempoi je pun. Anak pun ada kepercayaan nak berkongsi cerita dan masalah dengan kita.

Wednesday, 30 May 2012

Bila anak-anak mula meninggalkan rumah!

Dari facebook lagi ; cilok kat wall kakak aku, Puan Zarina. Banyak yang menarik di facebook ni, yang tak menarik dan merosakkan tu abaikan saja.

Bila anak-anak semakin membesar dan membawa hala tujuan masing-masing, beginilah yang sering dirasai oleh para ibu bapa. 2 orang je anaknya, tertinggal nombor 2 di komen aku yang bawah sekali tu.


Terasa sunyi, rindu pada anak-anak. Yang untungnya kedua-dua anak kakak aku ni berada di kolej yang sama di Bandar Muadzam Shah, Pahang. Jauh tuuuuu.... bagi aku jauhlaaa.. tapi ada alasan le nak ke Pekan atau Kuantan di Pahang. Tempat belajar tentulah dikenang. Aku belajar di Kuantan, kakak pernah sekolah di Pekan.

Anak cousin aku 'Ainul Mardhiah' pun dah besar-besar belaka juga. Belajar pun jauh darinya dan jarang dapat berjumpa, memanglah rindu juga. Itulah putaran hidup kita yang lahir, bersekolah, bekerja dan seterusnya.

Kisah lucu dan kebetulan juga berlaku pada kedua-dua anak kakak aku ni bila tahun lepas anak sulungnya dapat 'room mate' yang sama nama panggilannya ; Kedua-duanya 'Hafeez'. Tahun ni pula terjadi pada adiknya bila mana dia dapat 'room mate' yang sama nama 'Izzati'. Tidak di rancang pun, tapi itulah yang berlaku.

Anak sulung aku pun dah 16 tahun yang mana tahun depan dah nak periksa SPM. Selepas tu sambung belajar di mana pun belum pasti lagi. Mungkin dia pun akan turut pergi belajar jauh dari aku. Tentunya perasaan yang sama bakal aku lalui. Maklum saja anak sulung aku, si Aishah itulah paling rapat dengan aku dan yang paling memahami aku.

Hari-hari bergaduh pun macam kawan-kawan je. Apa-apa masalah dia pun, aku jugalah tempat luahannya. Aku pun rajin juga berkongsi suka dan duka dengannya. Dia matang dalam pemikiran tapi tidaklah dalam semua perkara.

Apa pun aku yakin, Insyaallah dia mampu berdikari dan tentu ingin mengikut jejak abang dan kakak sepupunya melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih baik. Dia pun tak ada kakak dan abang, maka kedua-dua anak kakak akulah yang menjadi kakak dan abangnya di samping ada 4 orang abang lagi dari kakak ipar sebelah hubby aku.

Biar pun anak-anak jauh, biarlah mereka tetap di hati kita dan kita pun tetap diingatan mereka. Begitu juga pesanan-pesanan kita menjadi panduan untuk mereka dan sentiasa dijaga dengan baik.

Wednesday, 25 April 2012

Wednesday, 21 March 2012

Apa jua keputusan SPM hari ini, peluklah atau pegang bahu anak dengan kasih sayang!

Hari ini keputusan SPM keluar. Sungguh aku pun nervous juga walau pun tak ada anak aku yang ambil SPM. Tahun depan 2013 adalah, anak yang sulung tu. Nervous kerana menunggu keputusan SPM anak saudara tersayang.

Bulan lepas rasanya dia dah berjaya melepasi ujian memandu kereta gear manual. Yes! Dah 'give me five' dengan aku sebab berjaya dengan hanya sekali ujian saja. Kita genglah 'kakak'! Terbaik my girl!

Tahun lepas yang ambil exam tu anak saudara aku ni, aku namakan Si Comel Zati je. Anak dara pemilik blog Beauty Farmasi Colour Cosmetics yang dulu tergigil-gigil bila dapat bergambar dengan Dato' Siti.

Gambar dari entry INI
Semangat Siti dah meresap, Insyaallah 'kakak' dah berusaha sehabis baik. Acik Liza doakan yang terbaik hari ini dan dapat bersaing dengan 'abang'. Depa ni dua beradik je, yang sulung abangnya aku panggil 'abang', dia pula aku panggil 'kakak'. Cucu kedua mak aku ni.

One and only daughter Puan Zarina, doa dari si ibu pada hari pertamanya menghadapi SPM tahun 2011.

Jika abangnya sambung belajar di UNITEN, Bandar Muadzam di Pahang dalam bidang bisnes tetapi Si Comel Zati lebih berminat belajar Engineering katanya. Nak ikut macam Acik Liza ye! Macam terbalik pulak ye bila yang girl minat Engineering, boy nak belajar bisnes.

Tak kisahlah apa bidang pun, Acik Liza menyokong saja asalkan ada minat dan rasa boleh bawak bidang tu. Lagi pun Acik Liza sendiri fleksibel bila dulu belajar Elektronik tapi sekarang masuk bidang Unit Trust. Janji hati suka, mendatangkan hasil dan tak menyusahkan orang. Kita simple ajekan.

Anak sulung aku, Aishah pun berkali-kali ingatkan aku semalam "Mama! Esok result SPM keluarkan? Harap-harap kak Zati dapat result best! Tak sabar pulak kakak". Ye! Mama pun mendoakan juga agar usahanya berbaloi.

Bukan mak dan ayah Zati saja menyokong, malah seluruh ahli keluarga dari pihak Allahyarham Abu Bakar (ayah aku) turut menyokong apa jua bidang dan usaha yang bakal 'kakak' pilih nanti. Ambil semangat mak 'kakak' sendiri, pemilik Beauty Farmasi Colour Cosmetics yang sekarang ni pun masih lagi sambung belajar. Bersaing dengan anak-anak sendiri.

Apa jua keputusan kalian wahai anak-anak yang mengambil keputusan SPM hari ini, bersyukurlah. Jika cemerlang, Alhamdulillah. Maka pilihlah langkah seterusnya dengan sebaik mungkin. Jika tidak memberansangkan, ianya bukan salah siapa-siapa walau sudah berusaha. Tentu ada sesuatu yang tersurat.

Ibu bapa berilah dorongan dan sokongan. Pimpinlah mereka anak-anak yang baru menjejaki dunia luar yang sangat mencabar ini. Peluklah atau peganglah bahu mereka tidak kira keputusan mereka bagus atau sebaliknya.

Anak-anak fahamilah bahawa ibu bapa kalian sayangkan kalian juga. Abaikan rasa geram jika dapat ibu bapa yang suka berleter jika kalian silap atau gagal. Ambil tindakan yang positif, moga kuranglah bebelan mereka itu. Nanti kalian juga mungkin begitu bila dah ada anak nanti.

p/s : Ada minyak wangi baru di Beauty Farmasi Colour Cosmetics... I like!

Thursday, 26 January 2012

Lama tak jumpa, kelihatan dimamah usia

Dari dalam kereta aku memandang makcik yang sedang membasuh tangan di sinki restoran mamak, Haseena Maju di Bandar Seri Putra.

"Macam kenal je makcik ni!", aku suarakan rasa hati aku pada anak aku si Aishah.

Aku dan Aishah singgah di situ untuk bersarapan sama. Macam biasa Aishah akan mencari meja di sebelah luar sikit. Sama-sama order tosei telur tapi minum teh o suam dan Aishah dengan Horlick aisnya. Pagi-pagi dah minum ais! Nak marah? Aku dulu pun sama aje masa remaja dulu, pagi-pagi dah membancuh milo ais.

Tosei telur yang diorder tapi roti telur yang tiba. Bukan aku tak nak belarah tapi ini dah kali kedua dia tak mendengar. Kalau tak tegur nanti takut jadi buat acuh tak acuh saja dengan pelanggan. Aku terus bangun berjalan ke arah pelayan dah pun bergerak ke kaunter minuman. Aku memberitahu dia tentang kesilapan order tadi. Dia angguk saja, lagi pun dah biasa dengan aku yang selalu juga ke sini.

Waktu yang sama aku toleh ke arah makcik tadi yang sedang bersarapan dengan suami dan cucunya. Dia juga memandang aku dan kami sama-sama tersenyum. Aku bergegas ke arahnya, bersalaman.

"Siapa nama kau ye! Nenek dah lupa!", tanya makcik tu.

"Ish.. apa nenek pulak, makcik le! Saya Liza, ingat lagikan rupa ni?", jawap aku.

Dulu-dulu aku memanggilnya dengan panggilan achik. Tak silap oranglah rupanya aku. Makcik ini baik dengan aku semasa aku bekerja di Sony TV, Bandar Baru Bangi. Dia bekerja sebagai cleaner di situ. Kadang bertegur sapa jika terserempak, di kantin atau pun di surau. Seronok melayan dan mendengar dia bercerita tentang anak-anak dan cucu-cucunya dulu. Mak aku jauh, jadi sajalah nak bermanja-manja juga.

"Muka ingat le, nama aje yang lupa. Ramai sangat budak Sony ni!", balas makcik.

Sempatlah bertanya khabar sekejap. Sambil itu aku menunjukkan di mana meja aku bersama dengan Aishah.

"Siapa tu mama?", Aishah ingin tahu dan aku pun berceritalah sedikit padanya.

Sebelum makcik tu berlalu, dia singgah di meja aku.

"Besar dah anaknya, sekolah lagi ke ni?", tanya makcik tu pada Aishah sambil memeluk bahunya.

"Baru tingkatan 4 tu, anak Sony juga. Lahir tahun 1996. Lizakan start kerja kat Sony tu tahun 1995!", terang aku.

"Amboiii... besar daripada omaknya ni!", kata makcik tu.

He..he.. apa nak buatkan. Ketinggian Aishah dah hampir setara aku dan badan pun lagi besar juga.


Sempatlah juga aku bergambar dengan makcik ni guna kamera handphone aku ni. Tak mengapalah walau agak kabur. Buat kenangan. Moga ada rezeki dapatlah jumpa lagi. Makcik ni tinggal di Rinching Hilir. Datang menghantar cucunya di tingkatan 1 di Sekolah Menengah Bandar Seri Putra, sama sekolah dengan anak kedua aku, Amirul yang sudah pun tingkatan 2. Cucunya tertinggal bas katanya. Bertuah cucunya dapat datuk dan nenek yang sangat penyayang.

Saturday, 24 September 2011

Tegas tapi pastikan hati anak-anak melekat

Ngeri dan risau dengan sikap sesetengah budak sekolah sekarang ini. Setiap hari membaca surat khabar menimbulkan rasa takut di hati aku dengan kes-kes buli dan samseng di sekolah.'Remaja pergi sekolah dibelasah dengan kayu' tajuk berita di Harian Metro hari ini.

Dua orang anak aku pun sudah pun berada di peringkat sekolah menengah. Anak dara yang sulung sudah pun berusia 15 tahun manakala adik lelakinya pula sudah 13 tahun. Anak lelaki aku seusia saja dengan remaja yang kena belasah di dalam berita tu.

Anak sulung lebih rapat dengan aku kerana setiap hari aku mengambilnya balik dari sekolah, ada saja ceritanya sepanjang 15 minit perjalanan balik ke rumah. Kalau diam pun sebab tertidur di dalam kereta.

Dia pun berada dalam lingkungan sekolah yang berprestasi tinggi, maka banyak perkaralah yang dijaga oleh pihak sekolah. Mudah sedikit jugalah pihak sekolah mengawal disiplin pelajar bagi sekolah bestari ini berbanding sekolah harian biasa. Jadi kerisauan aku tentang persekitarannya tidaklah merisaukan sangat.

Berbeza dengan adiknya yang bersekolah di sekolah harian biasa. Nyaris juga sekolahnya masih baru dan hanya ada pelajar tingkatan satu dan dua sahaja. Jika ramai lagi senior di tingkatan 3, 4 dan 5 tentulah aku kena pantau lebih lagi anak lelaki aku tu. Kes buli di kalangan pelajar lelaki lebih kerap aku dengar berbanding pelajar perempuan.

Ada juga sekali-sekala dia bercerita tentang rakan sekelasnya yang suka mengganggunya dalam kelas. Tidaklah serius hingga memukul kuat tetapi terasa terganggu juga bila dicuit, dikuis dan kadang-kadang menepuk belakang badannya dengan agak kuat.

Nyaris juga anak aku tak membalas sebab kalau dia balas memang teruk juga agaknya budak tu. Suka benar agaknya budak tu mengusik anak aku yang saiz badannya besar. Lebih berat dan lebih tinggi dari aku.

Aku ambil peluang mencari budak yang suka mengusik anak lelaki aku tu masa ambil keputusan peperiksaannya kelmarin. Tau pulak dia lari menyembunyikan diri. Bukan aku nak marah pun, cuma nak berkenalan aje. Nak tau juga apalah sebabnya dia suka sangat mengusik anak aku tu. Sebab dia banyak lemak, kulit putih iras cina atau hensem ke?

Masa dia di sekolah kebangsaan dulu pun ada juga seorang budak tu suka ganggu dia. Tapi anak aku buat tak tau aje. Hinggalah ada sekali budak tu datang beraya ke rumah aku. Aku ambil peluanglah interview dia dengan cara aku yang santai ni.

Andaian aku budak tu kurang kasih sayang seorang ibu dan ayahnya terlalu sibuk bekerja. Ibunya meninggal semasa dia masih di tadika. Setiap kali hari kena ambil kad laporan, ayahnya tak datang ambil pun termasuklah pada hari keputusan UPSR diumumkan. Dia ada adik seorang dan mungkin juga ayahnya fokus lebih pada adiknya dan menganggap dia sudah boleh berdikari.

Aku hanya berikan nasihat padanya setakat yang termampu saja. Takkan nak lebih-lebih pulakkan. Itulah yang aku katakan pada anak aku yang aku panggil 'abang', "Abang ada ayah dan mama yang sudi dengar masalah abang, boleh nak bergurau dan peluk bahu abang. Ada rumah yang selesa untuk tinggal, bilik tidur ada aircond lagi! Bersyukurlah!".

Baju raya sama pulak, anak aku (kanan) dengan abang sepupunya yang juga kawan epal Cik Eka

Bagi aku, berkawan baiklah dengan anak-anak agar apa-apa masalah yang mereka hadapi tidak hanya dikongsi dengan rakan-rakan saja. Setakat ini anak-anak mengerti dengan sikap aku yang sering mengingatkan mereka "sakit pening dan susah senang anak-anak adalah tanggungjawab mama dan ayah selagi semuanya belum dewasa. Jika ada masalah hendaklah dikongsi supaya masalah yang dihadapi tidak menjadi lebih buruk. Tiada istilah nak 'privacy' lebih. Spot check tetap akan aku lakukan sekali-sekala".

Spot check bukan sekadar memeriksa beg sekolah, almari baju, bawah katil dan sebagainya tetapi juga mengira pukul berapa dia balik dari sekolah dan sampai ke rumah dan sekali-sekala memerhatinya di sekolah dari jauh. Tentang mengintip anak-anak di sekolah selalu aku buat masa di sekolah rendah dulu. Dapat juga tangkap anak yang ketiga tu beli jajan di luar pagar sekolah. Dah balik rumah baru aku kenakan...he..he..

Tegas tetap tegas dengan kadar seadanya tapi pastikan hati anak-anak melekat dengan kita sebagai ibu bapa. Mudah nak bercerita dari hati ke hati.

Suka menyakitkan orang lain tu ikut sikap siapa agaknya. Tanganilah sebelum terlewat. Jika tak mampu, cubalah minta bantuan orang lain.

Friday, 23 September 2011

Sabar-sabarlah kalau nak bertanya!

Sedap Seri Kaya Pancake Mat Gebu ni! Klik link untuk resepinya.

Pernah tak sebaik kaki suami melangkah masuk rumah selepas balik dari kerja, kita sebagai isteri hujaninya dengan pelbagai pertanyaan yang tak best atau tak berapa best? Nada bertanya pun turut tak best.

"Bila nak beli meja makan baru?"

"Saya tak masaklah hari, boleh tak kita makan kat luar?"

"Kereta saya tu buat hal lah, boleh repair sekarang tak?"

"Kenapa tadi saya telefon abang banyak kali, abang tak angkat-angkat pun call tu?"

"Apasal balik lambat ni?"

Reaksi suami pasti berbeza jika soalan diajukan dengan nada manja-manja gitu. Tetapi pasti mendengus juga jika lontaran soalan bak halilintar yang ganas.

Bawa bersabarlah kalau nak bertanya soalan-soalan yang berunsur meminta-minta ni. Berilah suami tu masuk rumah dulu. Salam tangannya dulu. Syukurlah suami tu tau jalan nak balik rumah sendiri.

Bodeklah dengan sekurang-kurangnya segelas air masak. Tak pun ada kuih muih atau goreng pisang ke untuk minuman petang sikit. Angkatkan begnya pun pahala tu. Lepas tu pandai-pandailah berbahasa nak meminta. Tetapi kalau nampak mood suami tu kurang baik, janganlah cari nahas pulak ye.

Bab-bab bodek-bodek ni secara jujurnya aku tak buat sangat pun. Hubby balik pun dengan aku kadang tu sibuk di dapur memasak untuk makan malam. Kalau dia terus ke dapur tu, ikut mood akulah nak pegang bahu, tangan, pinggang atau sentuh mana-manalah. Tak pun curi cium pipi sikit ke. Bukan dosa pun kan, suami sendiri. Dapat pahala tu! Ha..ha.. kadang buat tak tahu je!

Cuma pantang aku, jangan bertanya perkara-perkara yang tak suka di dengar olehnya sebaik saja di balik dari kerja. Jangan mengomel dan jangan berleter sebab aku sendiri pun tak suka kalau dia buat aku macam tu. Tension nanti tau, mengganggu minda yang tenang atau mungkin lagi serabut dibuatnya.

Bawa sabar-sabar ye kalau ada soalan tu.... *(^_^)*

Wednesday, 14 September 2011

UPSR 2011 bermula, jalan pun agak lengang!

Semalam kenderaan di jalan raya agak kurang di awal pagi semasa menghantar anak-anak ke sekolah. Patutlah, rupanya perjuangan calon-calon UPSR 2011 bermula. Murid-murid lain semuanya bercuti hingga Jumaat nanti tapi sessi sekolah ugama tetap berjalan seperti biasa.

Banyak kereta yang parking di luar SK Bandar Seri Putra semalam semasa aku menghantarAsyikin yang turut serta dalam rombongan ke FRIM. Seronoknya aku melihat situasi begini bila mana ramai ibu bapa yang datang memberi sokongan dan semangat pada anak masing-masing. Sanggup berkorban mengambil cuti pada hari pertama anak-anak mula nak periksa UPSR.

Teringat seorang rakan aku dulu yang sanggup mengambil cuti beberapa hari selama mana anaknya menghadapi peperiksaan UPSR. Alhamdulillah kerana anaknya mendapat keputusan cemerlang, 5A tahun lepas.

Apa pun ia bukanlah satu-satunya cara bagaimana kita menunjukkan kasih sayang, sokongan dan dorongan buat anak. Bergantung pada cara masing-masing dan bagaimana anak dan ibu bapa saling memahami.

Tidak semua ibu bapa dapat meluangkan masa bercuti menunggu anak di sekolah sementara mereka di dewan peperiksaan. Kadang-kadang ada juga anak-anak sendiri berasa tidak selesa bila ibu bapanya ada di sekolah. Hanya kita dan anak kita sahaja yang memahami bagaimana luahan kasih sayang kita antara satu sama lain.

Pada para ibu bapa yang punya anak sedang berjuang untuk UPSR tahun ini, debaran mungkin turut dirasai. Moga Allah berikan ketenangan pada kalian dan anak juga.

Buat teman Hanis Azla, aku yakin anaknya boleh mendapat keputusan yang cemerlang dalam UPSR 2011 ini. Sebagai ibu yang penuh dengan kasih sayang dan perihatin, Insyaallah semangat itu menenangkan anaknya ; Debaran mula terasa.

Monday, 20 June 2011

Dadih mangga air tangan daddy



Gaya excited Arif setiap kali ayahnya balik kerja! "Ayah! Ayah! Ayah!"


Daddy! Selamat hari bapa! Suka hati diaorang kejap pangil ayah, kejap daddy!
Gambar masa depa kecik di Dataran Putrajaya


Semalam ada raikan hari bapa ke? Aku dok kat rumah aje dengan anak-anak.
Hubby aku pulak buat lawak

Hubby : Patutlah Rosmah ucap selamat hari bapa kat ayah, hari bapa rupanya hari ni.
Aku : Eeeaaa... Rosmah mana pulak yang?
Hubby : Kat TV tu la...
Aku : Oooo.. baru tau ke? Orang lain dah kecoh dengan hari bapa! Lambat le ayah ni!

Semalam ada buat dadih perisa mangga. Nampak tak hirisan mangga dalam dadih ni? Pakai serbuk dadih segera je. Ini baru satu bekas aje. Ada empat semuanya. Satu bagi kat jiran rasa.


Hubby tak puas hati dengan hasil gambar yang aku ambil. Tak cantik katanya! Cis! Sedap mulut je kata tak cantik. So dia ambil le sendiri sekeping lagi gambar dadih ni. Mengalahkan perempuan dengan bunga-bunganya. Cantik sangatlah dah tu! Tak boleh lawan Mat Gebu dengan Mousse Mangganya!

Yang bestnya dadih ni bukan aku yang masak, tapi hubby aku yang masak sendiri. Moodnya nak masak dadih datang tak dapat nak dihalang. Hari bapa hubby aku masak sendiri..he..he..!

Sayang daddy... Selamat hari bapa!!

Saturday, 18 June 2011

Abang sulung aku!

Aku ada dua orang abang iaitu anak yang sulung dan yang ketiga. Aku pula anak keempat daripada lima orang adik-beradik. Ada tiga orang adik-beradik perempuan. Nak tengok gambar tiga beradik perempuan, ada kat SINI.

Kedua-dua abang aku ni tak banyak cakap macam kami yang perempuan ni. Ikut karektorayahlah ni. Tapi kalau kena dengan regunya menjadi juga boraknya. Yang sulung tu peramah sikit aje berbanding yang seorang lagi. Aku cuma nak bercerita tentang yang sulung saja kali ini.

Abang sulung aku tak tinggal bersama sejak kami berhijrah dari Kampung Lasah, Perak ke Jengka 16, Pahang pada tahun 1978. Masa tu abang sulung baru tingkatan dua di Sekolah Menengah Tok Muda Abdul Aziz, Sungai Siput Utara, Perak. Susah nak cari sekolah menengah di penempatan baru seperti Jengka. Dia tinggal bersama nenek sebelah mak yang aku panggil Embah dan mak saudara yang aku panggil Bik Sal. Ada gambar arwah Bik Sal dan Embah diSINI.

Walaupun jauh tidak pula menjadikan kami rasa canggung atau kekok bila hanya dapat berjumpa sekali dua aje dalam setahun. Abang sulung aku ni best sebab jenis yang tak suka nak marah-marah sangat. Dia tak pernah mengeluh atau komplen walaupun terpaksa berjauhan dari kami kerana dia mengerti susah mak dan ayah masa tu. Dia menerima seadanya kehidupan yang susah juga semasa tinggal dengan arwah nenek. Setiap bulan mak akan kirimkan duit ke kampung untuk perbelanjaan abang sulung. Tidaklah mewah, berapa yang mampu akan mak kirimkan.

Aku pernah ceritakan sedikit kenakalannya semasa kecil di entry INI yang hampir-hampir meragut nyawanya.

Semasa kecil aku hanya teringat mengikutnya mandi sama-sama di telaga (Kampung Lasah, Perak). Aku baru aje 3-4 tahun agaknya. Terlalu samar-samar untuk aku bayangkan. Dia menyiram kepalanya tanpa menutup mata "tengok! Abang Mir boleh buat! Kamu boleh?". Aku pun cuba juga buat cara yang sama tapi pedihlah mata aku nak menahan. Kecil lagi masa tu. Itu pun sebenarnya mengajar aku memahami keupayaan anak-anak kecil tentang sesuatu perkara adalah tidak sama dengan kita yang dewasa. Mungkin juga dia menipu aku masa tu..ha..ha..!

Itulah abang aku yang pernah goreng ikan sampai hangus sebab tak reti masak tapi semangat nak buat tu ada. Dia pernah bekerja sebagai buruh yang memandu jentolak, menanam cendawan, menggred sawit di kilang sawit dan macam-macam lagi semasa zaman gawat tahun 1980-an dulu. Semua kerja dibuat asalkan ada rezeki masuk walaupun dia ada lulusan ukur tanah dari Politeknik Kuantan. Zaman aku dah tukar nama pada Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan.

Mak kata, dulu-dulu masa zaman abang aku belum ada lagi kalau jadi 'Survey Officer' ni kira memang hebatlah kerja tu. Mak tak sangka pulak akhirnya rezeki anak sendiri yang dapat kerja tu. Lega rasanya bila zaman penganggurannya berakhir juga setelah dua tahun bekerja apa saja.

Abang sulung juga yang mengajar aku bermain catur seawal usia aku 10 tahun yang pada tahun itu juga di tewas berlawan catur dengan aku. Tujuh kali pulak tu dia kalah... bengang sungguh dia masa tu. Sampai sekarang dia tak nak main dah. Tak ada pulak anak-anaknya yang main catur.

Bila aku ada masalah, kadang-kadang aku akan minta pendapat sama ada pada kakak aku atau adik aku sebab mereka perempuan. Kalau tak pada abang sulunglah aku akan bertanyakan pendapat dan idea. Dia gemar berikan pandangan dan ideanya tetapi tidak memaksa aku ikut semuanya. Keputusan selebihnya dia serahkan pada aku untuk menimbangnya.

Aku paling suka cara dia mendidik anak-anaknya. Sepadan benar dengan kakak ipar aku yang terbaik! Mereka cukup teliti dalam soal makan tentang kebersihan, sumber halal dan haramnya. Anak-anaknya memang tak makan keropok-keropok jajan mahu pun gula-gula. Kakak ipar selalu pesan pada anak-anaknya kalau tak ada tanda halal, confirm reject. Dia lebih suka anak-anak makan hasil masakannya di rumah.

Soal gosok gigi selepas dan sebelum tidur juga mesti dilakukan. Setiap waktu solat mereka sama-sama mengingatkan anak-anak supaya bersegera melakukannya. Kerja sekolah pun sentiasa diperingatkan dan diteliti. Hasilnya anak-anaknya rajin solat, belajar pun pandai dan tidaklah nakal sangat. Nakal sikit-sikit tu ada juga, nakal dalam lingkungan selamat. Ha..ha.. Cergas tetap cergas. Nama pun budak-budakkan. Anak-anak aku pun rapat dengan anak-anaknya.

Aku bersyukur sangat dapat abang sulung sebaiknya.