iklan

Followers

Pages

Showing posts with label Segmen Ben Ashaari. Show all posts
Showing posts with label Segmen Ben Ashaari. Show all posts

Wednesday, 19 October 2011

Segmen : Saya, blog dan pembaca


Dah berbulan-bulan tak join segmen Ben Ashaari. 
Dia pun dah jarang buat segmen pun... kali ni aku join!
Siapa mau join, klik SINI.... habis 5 petang ni!


Tajuk segmen "Saya, blog dan pembaca" punya makna yang berkaitan dengan hubungan antara aku sebagai penulis blog yang menjadi sebahagian dari jiwa dan luahan hati untuk dikongsi bersama pengunjung blog ini. Jika sudi akan terus membaca dan menggeledah isi-isi mahupun entry-entry dalam blog ini.

Aku cuba untuk berkongsi rasa sesuatu yang dapat dijadikan ingatan dan panduan buat diri aku dan teman-teman pembaca semua. Terkadang apa yang kita alami dan lalui tidak sama dengan insan lain dan bila dikongsi menjadi pengalaman baru dan ikhtibar buat mereka. Asalkan ia untuk kebaikan bersama dan tidak menimbulkan kekeruhan.

Sejak awal berblog pada Januari 2010, inilah gambar profail aku yang tak pernah berubah :


Boleh add aku di facebook kat Adzriel AB.

Tuesday, 23 August 2011

SEGMEN : KAMI BLOGGER PRIHATIN !

Jom sama-sama menderma!

Sebagai menyokong Segmen KAMI BLOGGER PRIHATIN oleh Ben Ashaari,

"Marilah kita sama-sama berdoa untuk saudara kita di Somalia.
Moga sedikit bantuan yang kita hulurkan dapat mengurangkan derita mereka.
Insyaallah yang sedikit akan berganda menjadi banyak"

Jika ada yang berminat untuk menderma, boleh ke laman ini :http://irmblog.org/2011/07/serious-drought-in-somalia-affecting-livelihoods/

Mereka pun nak berhari-raya juga!

Petikan berita dari Utusan Malaysia

ISTANBUL 18 Ogos – Negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) semalam menjanjikan sumbangan AS$350 juta (RM1.05 bilion) untuk mangsa kebuluran di Somalia dan jiran-jirannya di timur laut Afrika manakala Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meminta bantuan kewangan tambahan berjumlah AS$1.2 bilion (RM3.6 bilion).

Setiausaha Agung OIC, Ekmeleddin Ihsanoglu berkata, jumlah AS$350 juta itu tidak mencapai matlamat AS$500 juta (RM1.5 bilion) yang disasarkan oleh OIC.

Namun selepas mesyuarat tergempar di sini semalam, Ihsanoglu berkata, beliau masih berharap angka sasaran itu dapat dicapai menerusi sumbangan akan datang.

Peserta dalam mesyuarat itu bersetuju untuk mewujudkan satu ‘mekanisme jaminan makanan’ bagi mencegah krisis sedemikian daripada berulang pada masa depan, kata Pengerusi OIC, Menteri Luar Kazakhstan, Yerzhan Khazykhanov.

Dalam ucapan pembukaannya, Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan menggesa negara-negara kaya di Barat dan dunia Islam menghulurkan bantuan kepada Somalia, kerana mereka turut bertanggungjawab terhadap krisis itu kerana selama ini tidak menghiraukan kemiskinan di negara tersebut.

Islam mengajar kita, kita tidak tidur dengan perut kenyang sedangkan jiran kita kelaparan.

“Sekiranya kita telah menunaikan tanggungjawab kita, adakah negara saudara kita Somalia akan berada dalam situasinya sekarang?” kata Erdogan.

Di New York, ketua agensi kemanusiaan PBB, Valerie Amos yang baru pulang dari Somalia dan Kenya mengucapkan terima kasih kepada penderma yang sudah pun menyumbangkan sejumlah AS$1.3 bilion (RM3.9 bilion) tetapi katanya, PBB memerlukan hampir sekali ganda jumlah tersebut.

“Kami perlu menyalurkan lebih banyak bekalan makanan dan pemakanan, air, peralatan kebersihan dan rawatan perubatan kepada mereka yang amat memerlukannya.

“Kami menghadapi krisis kebuluran yang masih merebak di Somalia dan dengan tahap penderitaan yang begitu meluas, segala usaha perlu dilakukan dan diteruskan pada bulan-bulan akan datang,” kata Amos.

Atas sebab itu, PBB meminta bantuan tambahan AS$1.2 bilion (RM3.6 bilion) kerana banyak lagi nyawa yang perlu diselamatkan di timur laut Afrika, katanya. – Agensi

HULURKANLAH BANTUAN, SEDIKIT PUN JADILAH SEKADAR YANG TERMAMPU!

Thursday, 28 July 2011

BEN ASHAARI CARI BLOG ..CEPAT! TAKUT JATUH LONGKANG NANTI!


Nak join before 3.00 pm ni! Klik SINI

Gambar ni aku ambil masa hari sukan sekolah anak aku kat Stadium MPKJ Seksyen 15 Bandar Baru Bangi. Korang boleh klik SINI kalau nak tengok laporan penuh dari pihak sekolah dengan gambar aksi-aksi anak-anak sekolah menengah bersukan.

Lubang longkang yang menunggu mangsa! Dalam juga longkang tu... takut aku tengok. Harap jangan sampai jadi kes begini baru nak buat tindakan menutup longkang tu :


Apa nak buat, banyak terjadi kes penutup longkang hilang hingga mendatangkan mudharat pada orang lain. Dapat dosa free je setiap kali ada orang yang terjatuh kat situ. Saham yang menyusahkan.

Tuesday, 19 July 2011

BEN ASHAARI, AKU PILIH 3 BLOG INI KERANA


Nak join kena cepat sebelum 5 petang.. klik SINI

Aku tak sempat join segmen sebelumnya yang tamat pukul 2 petang tadi. Tak mengapalah, join secepatnya sebab lepas ni nak ke pejabat pos, nak pos jamu yang customer order semalam. Sapa mau jamu? He..he.. sempat lagi promote tu!

Segmen Ben Ashaari kali ini nak aku senaraikan 3 blog pilihan dan mengapa aku pilih mereka.
3 blog pilihan tu kena ambil daripada senarai di blog si comel MTT di SINI.

Kalau ada sesiapa nak blogwalking, boleh juga jenguk senarai tu!
Ada 114 blog semuanya...ramainya yang join segmen sebelumnya.

3 blog pilihan aku adalah :

Aku suka gaya bahasa Naz yang matang dan simple. Mudah nak faham bila baca. Dia bersungguh dan menghasilkan entrynya. Pantas juga menyebarkan berita-berita menarik dalam blog dia. Yang pasti blog Naz tak lembab. Aku suka 'passion' Naz dalam berkarya. Ketahui sejak bila Naz aktif dalam blog dan mengapa di SINI.

Ini blog hebat yang ramai peminat tersendiri. Aku jarang ke situ tapi aku suka dengan ilmu dan info berblog yang diberikan. Pun mudah juga untuk aku fahami. Segala macam isu ada di situ. Sehari baca pun susah nak habis, boleh leka melihat entry-entrynya. Bahasanya ringkas dan
jelas, ikuti rentaknya di SINI.

Seorang penulis skrip yang cukup mesra dengan semua orang. Sampaikan MiaLiana.com pun letak wajah Mak Dara sama dalam header blognya. Nama pun penulis skrip, maka cerita-cerita dalam blognya pun lancar je nak faham. Aku sememang sukakan gaya bahasa yang jelas dan mudah. Tak ada selang-seli Melayu Inggeris yang banyak atau singkatan perkataan yang ketara. Kemesraannya terserlah dalam kebanyakan entry-entrynya. Wah! Blog Mak Dara muncul 3 hari sebelum hari lahir aku yang ke 38 (lagi 2 tahun nak 40!).

Sebelah kiri tu Mak Dara bersama Mia Liana di sebelah kanannya

p/s : Ta..ta... nak lari ke pejabat pos dah!

Monday, 27 June 2011

SAYA..

Join segmen SAYA

Saya harap Ben dapat meriahkan blog saya dengan lebih ramai lagi visitor.. Amin!

Friday, 24 June 2011

BILA SI ISTERI BERBLOG.. SI SUAMI dan ANAK ?


Amboi... tajuk segmen Ben Ashaari kali ini tak boleh kalah ye!
Sajalah tu nak korek rahsia bagaimana para ibu berblog, apa respon suami dan anak-anak.
Boleh juga dikongsi dengan para ibu yang lainkan.

Ada yang nak join? Baca SINI... untuk anak dan suami pun ada!

Waktu kerja aku memang fleksibel, bila jumpa client dah tentulah aku kena keluar. Segala kerja-kerja mengisi dan edit dokumen akan aku buat dirumah. Kemudian semua dokumen akan aku hantar ke pejabat sama ada di Bangsar, Cheras atau Seremban. Ikut kepentingan dan keperluan aku untuk memilih lokasi mana yang sesuai pada waktu nak hantar.

Jika tiada temujanji dengan client
Awal pagi dah tentu kena hantar anak-anak ke sekolah. Kerja rumah pertama dah tentu aku akan sidai kain yang aku dah masuk dalam mesin basuh malam tadi. Kemudian buang sampah. Selepas tu aku terus buka laptop aku mengadap blog. Entry pertama aku karang seawal 8.00 pagi. Sementara itu mesin basuh mungkin bekerja juga... anak 5 orang, kain banyak nak basuh. Siap entry published, aku sidai kain lagi.

Aku keluarkan bahan-bahan beku untuk lunch anak dari peti sejuk dan letak dalam sinki dapur. Kemudian baru mula buat kerja-kerja yang patut berkaitan dokumen client. Biasanya kena mula pukul 9.00 pagi. Macam masuk pejabat la, tapi kat rumah je.

Kalau idea muncul, mengelat juga aku buat entry dulu kejap. Jangan amalkan selalu ye. Mentang-mentanglah boss adalah diri sendiri. Walau pun bekerja sendiri, kena berdisiplin juga. Kalau tidak akibatnya aku tanggung sendiri, duit masuk kurang le.

Biasanya bila jam dah mula pukul 12.00 tengahari aku akan mula masak dengan pantas. Prinsip ala kedailah kononnya. Masak simple-simple aje untuk lunch anak-anak balik sekolah. Azri sampai rumah dengan van sekolah lebih kurang pukul 1.00 petang, kemudian baru Asyikin tiba setengah jam kemudian. Biasanya pukul 1.00 memang siap masak dah. Diaorang berdua akan makan, mandi dan bersiap dan tunggu van nak ke sekolah ugama pada pukul 2.15 petang.

Mereka berdua aku tinggalkan aje di rumah. Amirul pula balik jalan kaki aje dan biasa tiba di rumah pukul 2.00 petang. Aku kena ambil Aishah di Bandar Baru Bangi pula yang keluar pukul 1.15 petang jika tiada tusyen. Kalau tak dia balik lewat dalam pukul 2.30 petang. Sementara tunggu aku tiba, dia akan lepak di pusat sumber sekolah.

Biasanya pukul 2.15~2.30 petang dah sampai rumah semula. Sambung mengadap laptop sampai 6.30 petang. Keluar pergi ambil baby Arif dari rumah pengasuh. Masa tu Azri dan Asyikin dah pun balik dari sekolah ugama. Kena mula memasak untuk dinner pulak. Ringkas-ringkas aje!

Jika sempat aku sambunglah mengadap laptop selepas pukul 8.30 malam. Jika tidak sambunglah pagi esoknya. Tengok keadaan anak-anak juga terutama si kecil Arif yang baru berusia 2 tahun. Kadang-kadang menaip dengan dia nak bermanja duduk diriba aku.

Aku biasa melipat kain, menyapu rumah, mengemas dapur pada waktu malam aje. Kadang-kadang basuh kain dan gantung terus waktu malam di bawah tangga aje. Esok pagi baru alihkan ke luar. Baju-baju yang nak digosok semuanya aku buat waktu subuh. rutin yang selesa sejak zaman sekolah lagi. Kalau buat malam tu ikut mood je.

Jika ada temujanji dengan client
Aku tetap hantar anak ke sekolah dan sidai kain. Kemudian terus masak secepat mungkin untuk lunch. Jika sempat, aku buatlah satu entry ringkas. Jika tidak kenalah aku sediakan segala dokumen yang perlu untuk temujanji.

Biasanya aku kumpul 2-3 temujanji di satu-satu tempat. Senang nak jumpa, tak delah kalut nak utara dan kemudian nak kejar ke selatan pulak. Sekitar Lembah Kelang je. Biasanya aku tutup temujanji aku seawal pukul 4 atau 5 petang supaya aku dapat sampai rumah dalam pukul 6 petang. Takut nak layan jem, terutama di KL tu.

Itu rutin hari bekerja. Kalau hari Sabtu dan Ahad selalunya jarang aku buat entry. Bila sempat aje sebab sibuk dengan anak-anak.

Hubby aku tak kisah sangat pun. Cuma kadang-kadang dia perli juga "Mama sekarang busy! Asyik mengadap laptop je!". Aku sengih je! Kalau dia dah cakap macam tu, aku terus shutdown je laptop tu. Toksah gaduh-gaduh! Suami lagi penting daripada blog.

Anak-anak pun banyak membantu aku siapkan kerja-kerja rumah seperti melipat kain masing-masing. Sekali-sekala tolong memasak, membuang sampah, jaga adik kecilnya dan menyidai kain terutamanya masa cuti sekolah. Jadi.. tidaklah berat mana sangat pun. Malah yang Aishah dan Asyikin selalu tolong tukarkan pampers si kecil..he..he..

Boleh nak berblog tapi berusahalah agar semua kerja rumah siap. Dalam ertikata yang lain, tanggungjawab sebagai ibu dan isteri tu settle. Banyak juga kerja yang terbengkalai, tapi cepat-cepat cover esoknya. Penat juga! Inilah kehidupan, kena lalui juga.

Terima kasih pada hubby dan anak-anak tersayang kerana terpaksa memahami minat aku ni..ha..ha.. jangan marah yanggg!!

Thursday, 23 June 2011

AKU TERINGIN NAK HACK BLOG!



Tengok tajuk Segmen Ben Ashaari yang kejam tapi tak berapa nak kejam.
Kalau nak join boleh klik SINI.

Aku nak hack blog sapa ye?
Hahhh... blog si Jebat yang suka loyar buruk!
Ada aje idea entrynya nak buat aku tersenyum!

Inilah Jebat yang hebat!


Demam pulak dah si Jebat ni... kesian!!
Tak ada pesanan, cuma nak tanya :

Selain daripada bantu Teja dengan puding kat dapur,
kau pandai ke silat melayu ni?
Atau nama aje yang yang Jebat! Despatch si Teja.

Aduhai... dik oiii... Kak Liza melawak je!
Jebat memang terbaikkk... aku suka.

Sunday, 19 June 2011

AYAH ,JASAMU ABADI DI HATI INI


Mengenang ayah betapa manjanya aku walau pun dah darjah 1 masih juga ayah angkat dan dukung aku ke bilik tidur kalau aku tertidur di ruang tamu pada waktu malam. Aku anak keempat, adik aku lahir semasa aku darjah 2. Tak sangka pula dapat adik lagi. 8 tahun beza umur dengan adik aku. Puas jugalah agaknya bermanja jadi anak bongsu selama 8 tahun tu. Selama 8 tahun itu jugalah semua ahli keluarga panggil aku Liza atau 'adik'. Nasib baik panggilan 'adik' tu tak bawa sampai ke tua.

Teringat lembut saja suara ayah bila mengejutkan aku bangun tidur sama ada untuk bangun sahur atau bangun pagi nak ke sekolah. "Lizaaaa... bangun sahur!" sambil tangan ayah menepuk perlahan bahu aku.

Ayah juga yang sering menemankan aku ke jamban di belakang rumah bila perut aku memulas nak 'membuang' ditengah malam. Susah aku nak dengar ayah mengomel atau merungut kerana tidurnya terganggu. Macam tak ada perasaan je... itulah ayah aku.

Kalau mak sibuk, ayah juga yang mengurut tangan aku kalau sakit. Tapi urut ayah dengan minyak afiat hijau yang masih aku guna hingga kini bagai tak terasa. Lembut sangat urutnya. Ayah kesian agaknya sebab aku budak-budak lagi. Lain hal pula dengan mak aku... brutal!

Ustazah ketuk tangan aku sebab kuku panjang katanya. Padahal ayah dah tolong potongkan sebab masa tu mak tak sempat nak buatkan. Ayah takut nak potong pendek sangat. Takut kalau-kalau terkena isi, meraung pulak aku nanti.

Kadang-kadang letihnya nak berjalan kaki ke sekolah rendah, sering aku minta ayah tolong hantarkan. Jika sempat, ayah hantarlah. Jika ayah awal turun ke ladang, terpaksalah jalan kaki aje. Rupanya perangai manja aku tu turun kat adik aku juga dalam kisah INI. Tapi aku tidaklah se'chubby' adik aku. Kurus kering aje! Mak selalu marah aku bila makan sikit. Rajin main je. Ayah tetap macam biasa, tak cakap apa pun.

Bermula tingkatan satu aku tinggal di asrama iaitu Asrama Semai Bakti Tun Abdul Razak, Kuantan. Istimewanya tinggal di asrama tajaan Felda ini akan menghantar pelajar-pelajarnya pulang hingga ke tangga rumah setiap kali cuti penggal. Bas-bas asrama akan menghantar kami ke lokasi tertentu di bandar-bandar yang terpilih. Kalau aku akan dihantar dari Kuantan ke Temerloh dan ada landrover dari Felda masing-masing yang menunggu untuk mengambil kami dan hantar terus ke rumah. Memang satu kenangan yang sangat unik bagi aku.

Lain pula bila tiba cuti hari raya atau cuti sabtu ahad. Kami terpaksa balik kampung atas usaha dan tanggungan sendiri. Maka terpaksalah aku menaiki bas Sri Jengka dari bandar Kuantan hingga ke simpang tiga di Bandar Pusat Jengka. Ayah dah tentu sedia menanti aku dengan motorsikal Suzuki birunya di simpang tiga itu. Sekarang mungkinlah ada telefon untuk kita berpesan pada ayah menunggu. Zaman aku cuma surat yang memberitahu aku akan pulang pada sekian hari dan sekian waktu.

Sabarnya ayah seingat aku tidak pernah merungut atau marah walaupun aku lewat hingga berjam-jam. Ayah cuma diam, start enjin motorsikal dan jalan. Ayah memang tak banyak cakapnya. Maklum sajalah naik bas awam yang sarat dan padat. Kalau aku tak dapat melepasi kepadatan semasa naik di Kuantan, terpaksalah aku menunggu trip seterusnya. Bermakna ayah aku terpaksalah menunggu lebih lama. Ayah memahami keadaan itu bukanlah salah aku.

Banyak lagi kisah-kisah tentang ayah dalam blog ini dengan label 'Ayah'. Begitu juga dalam blog adik aku INI. Terkenangkan ayah mampu mengalirkan air mata aku. Alfatihah buat ayah yang telah pergi pada 19 Ogos 2010, 9 Ramadhan 1431. Ramadhan bakal tiba...

Moga ayah termasuk dalam golongan orang-orang yang beriman. Aku doakan juga pada semua yang bergelar ayah dan bakal menjadi ayah dapat meninggalkan banyak kenangan manis buat anak-anak kalian.

Tuesday, 14 June 2011

BEN ASHAARI : 5 BLOG PILIHAN HATI


Nak join? Klik link bawah ni :

Dulu pernah join dua segmen seumpama ini. Ada segmen tentang 10 pilihan blog yang aku suka jenguk hari-hari dan 5 blog yang aku rasa patut popular.

Dan kali ini aku nak join lagi dengan senarai nama blog yang lain pula. Rakan-rakan semakin bertambah, maka bilangan blog yang aku suka juga turut bertambah. Bila masuk bab bercerita tentang blog kawan-kawan ni memanglah aku suka sangat. Bercerita yang baik-baik ajelah ye!

Inilah 5 blog yang ingin aku senaraikan kali ini :

- Tabik aku dengar doktor nan seorang ni, dalam sibuk bekerja sempat dia berblog dengan kisah keluarganya yang penuh kasih sayang. Blog yang sangat peramah dengan tetamunya. Tidak lokek berkongsi ilmu-ilmu kedoktorannya yang di sampaikan dengan cara yang mudah untuk difahami oleh kita yang tak berapa nak 'doktor' ni. Manja dengan panggilan Daddy Ziyyad. Doktor yang suka makan chewing gum...eayyy!
Entrynya terbaru : Ular dalam perut

- Ini blog kenalan lama yang juga teman hubby aku. Aduhai! Memang tak kering gusi bila baca entry-entry blog dia ni. Ada ideanya nak buat lawak walau pun dengan perkara yang kecil aje namun terselit sesuatu pengajaran. Isterinya pandai buat kek gula hangus, tapi si jebat ni pun tak kurang hebatnya dalam memasak puding. Bos yang disayangi oleh kerana rajin menjamu selera anak-anak buahnya di pejabat.. eh! Sebab tu je diaorang sayang? Paling suka ideanya dalam entry aku yang INI.

- Blog kak Dinas yang suka bergurau. Guru yang tegas tetapi sporting dan penyayang. Entry kak Dinas biasanya ringkas-ringkas sahaja tetapi unik dan punya unsur lucu yang selalu dekat di hati aku. Setiap entry mesti juga ada gambar-gambar yang jelas dan cantik yang diambil dari handphone cap ayamnya. Ye ke kak Dinas? Macam tak caya je! Simple dan ringan aje blognya. Kak Dinas yang tak geli dengan katak!

- Tengok header je dah buat aku terpikat... comel betul! Suka membaca entrynya tentang anak-anak dan adik-adiknya yang saling menyayangi. Alfatihah buat kedua ibu dan ayahnya yang telah tiada. Rajin dia menjenguk blog aku, maka sukalah juga aku berkunjung mencuci mata melihat si comel Alisha di blognya. Inilah kakak pada Mas Saari yang juga blogger.

- Dulu nama blognya Rumah Dinding Papan... eh! Lupa dah namanya dengan alamat blog pun dah lain. Aku suka dengan kata-kata dalam blognya yang sangat puitis, menyentuh tentang kehidupan dan segala macam peristiwa. Paling rajin komen dengan idea-idea bernas dan jujur di blog aku dan blog teman-teman yang lain juga.

Sudi-sudilah jenguk blog-blog ni... mana tahu ada yang serasi dengan jiwa korangkan.

Wednesday, 8 June 2011

BEN ASHAARI AJAK KRITIK BLOG AKU


Sapa nak join segmen Ben Ashaari kali ini berdasar tajuk di atas : Klik SINI

Aku bagi peluang korang beri kritikan membina pada blog aku..... harus menggunakan bahasa yang baik gitu.. he..he..!!

Aku terharu betul dengan sokongan teman-teman dari bloglist Kunjungan Selalu aku.
Terima kasih sangat-sangat atas persahabatan ini.

Juga selamat datang pada teman bloglist dari Segmen Ben Ashaari.
Moga persahabatan yang terjalin akan kekal abadi.

Monday, 6 June 2011

JOM TUKAR SUKA SAMA SUKA LINK BLOG


Klik tajuk ni kalau nak join SEGMEN : TUKAR SUKA SAMA SUKA

Segmen mudah kali ini bertujuan untuk bertukar link suka sama suka antara rakan blogger. Boleh saja anda menerima pelawaannya atau pun tidak. Tiada paksaan hanya kejujuran yang diperlukan. Itu saja!

Syarat utama kenalah join segmen ini. Klik tajuk bawah gambar Ben Ashaari itu.

Tuesday, 31 May 2011

AKU KATA TAK NAK , TAK NAK LAA !


Segmen ringkas sempena HARI TANPA TEMBAKAU SEDUNIA
pada setiap 31hb Mei ...
Klik SINI


Zon larangan merokok!
Merokok hanya akan membazirkan duit dan memendekkan jangka hayat anda!
Sayangilah diri anda...

Aku memang tak boleh bau asap rokok.
Boleh lemas dan migraine dibuatnya.

Kenapa aku benci rokok?

Ini jawapannya : AKU BENCI ROKOK

Tuesday, 24 May 2011

SEGMEN DRAMA KREATIF BLOGGER bersama BEN ASHAARI ...



Gila agaknya kalau aku join segmen Ben Ashaari yang ini. Mana taknya, yang join anak-anak muda belaka yang minda pantas-pantas dan kreatif belaka. Aku pulak yang macam siput ada hati juga nak turut serta.

Ada yang nak join? Klik SINI... Cepat! Pukul 3.00 petang dah tutup.

Jangan risau sebab aku tak join pun. Hajat asal memang nak join tapi angin aku dengan siputnya internet aku ni. Nak call TM pun malas.. tak ada ubatlah kalau dah malas! Malas nak gaduh...

Topiknya seperti di tajuk entry aku ni. Melibatkan tiga cerita yang mana cerita 'Fast and Furious 5 : Fast 5' antara yang aku suka tengok, termasuklah hubby dan anak-anak aku. Anak-anak aku dah tengok cerita 'Pirates Of Carribean' tu, lawak juga kata mereka. 'Nur Kasih' tidak juga, malah dramanya di TV pun aku tak ikut. Namun promosi filemnya aku kira hebat juga.

FAST AND FURIOUS 5 : FAST 5
PIRATES OF CARRIBEAN
NUR KASIH

Dari 'Tokyo Drift' sampailah ke 'Fast 5' ni aku tengok dengan anak-anak kat rumah. Memang melekatlah depan TV tengok cerita ni. Bangun bila iklan je.. melampau betulkan! Yang dua lagi kurang berkenan di hati aku.

Sesiapa yang join segmen ni, good luck dengan 'filem-filem' yang bakal korang hasilkan. Jenguk-jenguklah esok apa hasil segmen. Tentu meriah dan kelakar nanti. Depa yang selalu join tu memang kreatif betul. Korang cuba baca entry untuk segmen Ben Ashaari semalam kat SINI. Kreatif tu!

Monday, 23 May 2011

CERITA KREATIF AKU BERSAMA BEN ASHAARI


Komuter yang aku naik tidak selaju keretapi INI

Inilah segmen Ben Ashaari yang memerlukan kisah aku berkaitan keretapi atau LRT atau komuter atau apa-apa saja yang seumpamanya di SINI.
Ini kisah benar aku, watak saja yang tak benar!

Jadual asalnya nak bergerak seawal 9.00 pagi dari rumah tapi dah jam 10.00 pagi pun aku masih lagi belum bersiap. Dok leka lagi menyiapkan kerja-kerja rumah. Basuh kain, sidai kain, lipat kain, semuanya hal kain je. Jangan suka jaga tepi kain orang sudahlah!

"Takpelah! Aku janji dengan Cik Cempaka nak jumpa pukul 2.30 petang di Bangsar!" aku pujuk diri sendiri dengan beralasan. Bilalah nak insaf agaknya. Asyik berlengah-lengah aje!
Jam 11.00 pagi barulah aku tiba di parking dekat stesen komuter UKM, Bangi. Selepas park kereta buruk aku tu, aku terus bergegas berjalan menuju ke kaunter stesen. Alamak! Jalan aku telah dihalang! Alahai! Banyaknya beg, nak balik kampung ke? Maaflah, tak dapat nak tolong! Aku nak cepat.

Macam berat je beg tu!
Kalau baju lengan panjang lagi comelkan!

Macam ni la aku kalau nak ke KL. Naik komuter, LRT dan yang sewaktu dengannya aje! Nak jimat kos parking dan minyak. Jimat sambil bagi UpProfits sikit. Aku tak nak dah guna kad Touch 'n' Go aku. Pengalaman lalu buat aku bengang dan ngeri bila habis duit dalam kad tu depa caj. Jadi aku beli tiket aje.

Tidaklah ramai pun manusia yang menunggu. Aku duduk dibangku panjang. Ada awek berniqab ala Rabiatul Adawiyah gitu. Tekun benar dia membaca buku, macam buku statistik aje. Aku memberi salam padanya dan bertanya "Student UKM?". Beliau mengangguk. Cerita si gadiskatanya dari Palestin. Sepatah aku tanya, sepatah ajelah jawapannya. Mmm... tak best nak ajak berborak.

Gadis berniqab, gambar dari blog Menongkah Arus

Komuter tiba dan aku pun naik koc ada warna pink sesuailah untuk pinky momma macam aku. Ada juga kaum Adam yang masuk koc wanita. Nak jadi Encik bedak sejuk ke? Apa nak heran, sekarang ramai dah yang 'Encik-Encik' yang nak berbedak sejuk macam wanita juga.

Dapat duduk sebelah awek. Mulut aku yang tak reti diam ni mula bertanya "Nak ke mana?". Nak ke KL juga katanya. Part yang paling best bila katanya dia bekerja di salah sebuah bank di Bandar Baru Bangi. Lantas aku pun bertanya "Ada tak staff yang bernama Khushairi?". Ada katanya! Depa panggil "Kuca-i atau Kush" kalau kat ofis tu. Setelah aku selidik rupa dan keturunan bugis To'Wan nya memang betullah orangnya. Kami bertukar nombor handphone. Aku minta dia kirim salam pada Kuca-i, katakan Liza anak Sarah dari Jengka 16 yang kirim salam.

Kami sama-sama berhenti di KL-Sentral. Aku teruskan haluan aku menuju kaunter tiket Putra LRT. Aku perasan seorang lelaki ini sama-sama keluar dengan aku dari komuter tadi. Cuma dia tidaklah masuk koc untuk pinky momma. Dia beratur di belakang aku untuk membeli tiket LRT juga. Aku buat tak tahu saja.

Tiba-tiba muncul dua orang awek ala berwajah Arab tapi rambutnya mengurai, tidak pulak berniqab seperti awek Palestin yang aku jumpa tadi. Mereka seolah-olah menuju ke arah aku tapi menukar haluan di saat akhir ke arah lelaki di belakang aku tadi. Amboi! Nak bertanya pada yang berbeza jantina. Magnet berbeza kutub, memanglah begitu. He..he..! Lelaki belakang aku tu pun menerangkanlah dalam bahasa Inggerisnya. Bagus juga korang tanya lelaki tu, aku ni bahasa Inggeris aku agak 'out'. Elok bahasa 'apple sweet' jadi 'greenappleku' yang masam pulak nanti.

Elok pulak sama-sama nak naik 'escalator' ke Putra LRT. "Eh! Sama! Nak ke mana?" Sapa aku yang memang sangat peramah. "Kerinchi!", katanya. "Takut nanti awak sangka saya ikut awak pulak!" tambahnya seperti menduga aku. "Tak terfikir macam tu pun!" aku menidakkan.

"Saya Arif, Arif Azmi!"... Ehhhh... macam nama baby aku pulak. Tapi anak aku Arif Ikhwan. Aku hulurkan aje kad nama aku. Jurujual macam aku memang begitulah agaknya, tetapi tidaklah semua rajin hulurkan kad nama. Insyaallah! Ada rezeki boleh jumpa lain kali dan berborak panjang sikit. Dah nak naik LRT, mana sempat nak bercerita.

Agak awal aku tiba di Bangsar. Baru pukul 1.40 petang pun. Janji dengan Cik Cempaka pukul 2.30 petang. Tak mengapalah, yang penting aku tak lewat. Terus aku call dia untuk beritahu yang aku dah sampai. Rupa-rupanya dia dah ada pun sedang sibuk mengisi borang-borang 'client' di pejabat cawangan Bangsar. Aku lapar! Jom Cik Cempaka, kita makan dululah. Kita makanlah bersama Kak Es sekali. Lepas ni kita laksanakan tugas kita dah rancang tu selanjutnya.

Balik nanti aku tak nak naik komuterlah. Aku ingat nak tumpang balik bersama Kak Es aje.UpProfits sikit aku. Cepat dan tak payah keluar duit untuk tambang. Aku takut kalau terlewat naik komuter selepas jam 4.00 petang, memang padat macam sardin nanti. Kesiannyalah mereka yang hari-hari terpaksa menaiki komuter. Nyarislah aku ni cuma sekali-sekala aje! Sekali-sekala pun dapat aku tambah dua orang kenalan baru.

p/s : entry disiapkan dalam kepayahan internet yang kejap ada kejap tak de.. nak kena TM ni. Hantam ajelah ye..

SEGMEN KREATIF BEN ASHAARI KEMBALI



Aku nak try join segmen kreatif Ben Ashaari kali ini.
Harap-harap kreatiflah aku nanti.. he..he..!

Bantuan doa korang diperlukan juga.
Nak join jugak.. boleh klik SINI!

Kalau tak nak join boleh baca entry Ben Ashaari yang ini :

Wednesday, 11 May 2011

SEGMEN BEN ASHAARI : KHAS BUAT MEREKA


Siapa nak join segmen Ben Ashaari kali ini? Sangat menarik tajuknya, boleh klik sini :

18 tahun lalu aku bermula dengan kerja sebagai Juruteknik di kilang elektronik. Pengalaman tak seronoknya bila aku kerja syif yang cuti tak menentu harinya. Kadang-kadang sukarnya aku nak join perjumpaan keluarga aku. Tak bestlah bila adik-beradik lain dapat berkumpul ramai-ramai di kampung sedangkan aku terpaksa bekerja. Nasib baik cuti raya aku sama dengan orang lain.

1 tahun je jadi Juruteknik di situ kerana permohonan aku untuk bertukar ke syif normal tidak berjaya. Maklumlah sebab masa tu nak kahwin, malas le nak kerja syif. Aku terus memohon kerja di tempat lain di sekitar Bandar Baru Bangi juga. Sementara permohonan dalam proses, sempat aku bekerja 3 bulan di syarikat Jurukur Perintis di TTDI.

Aku kembali ke Bandar Baru Bangi sebagai Juruteknik juga di kilang elektronik yang lain. 12 tahun aku kekal di situ hinggalah aku berhenti kerja sebagai Pembantu Jurutera pada 31 Ogos 2007. Merdeka! Paling banyak kenangan pahit dan manis di situ. Manisnya bila 'Bos Besar' suka dengan kebanyakan laporan yang aku olahkan dari 'Bos Kecik' yang akan dihantar ke HQ di Jepun. Jelas dan ringkas katanya. Pahitnya biarlah menjadi kenangan.

Sekarang aku hanyalah seorang Jurujual. Apa pula yang aku jual? Macam-macam ada di SINI. Tak best bila tak banyak yang terjual, bermakna kuranglah pendapatan aku. Seronoknya bila ada yang membuat ulangan pesanan, bermakna mereka puas hati dengan barangan aku. Alhamdulillah.

Selain itu aku juga menjadi Jurujual unit amanah dan takaful insuran. Perunding sebenarnya..he..he.. Jangan marah ye Ben! 'Juru' lah juga kan.

Tuesday, 3 May 2011

BEN ASHAARI !!! Aku nakkkkk !!


Aku join segmen terkini Ben Ashaari dari SINI

Kenapa aku nak Ben Ashaari pilih blog aku?
Eh! Dah tentulah aku nak sebab biar ramai yang kenal blog aku.
Bila dah kenal tu sudi-sudi pulak datang semula untuk baca entry-entry aku.
Kalau tak kenal sampai bila pun takkan datang ke blog aku ni.
Kalau Ben Ashaari yang promote, Insyaallah ramai yang tahu..
Terima kasih Ben!

p/s : moga ada rezeki terpilih

Thursday, 28 April 2011

SANTAI BEN ASHAARI :KENAPA AKU SEORANG BLOGGER



Ada yang berminat nak join juga segmen Ben Ashaari ni?
Jangan malu-malu... klik SINI untuk join segmennya.

Kenapa aku seorang blogger?

Aku memang suka mengadap komputer, suka menulis sama ada luahan hati atau kisah-kisah semasa. Bila bercerita guna komputer, haruslah aku menaip. Menaip guna komputer ni mudah. Boleh 'undo'! Tak perlu guna pemadam atau nak garis ayat yang tersilap.

Aku 'jeaolus' tengok adik aku, Ainul AB ada blog. Dia ajar aku cara nak buat blog. Mula-mula macam tepu idea. Tengoklah blog archive aku sejak mula, Februari 2010 hingga Disember 2010 seperti ketandusan idea. Sibuk dengan anak-anak pun iye juga. Bermula Januari 2011 aku mula meluahkan segala macam idea dalam blog ni. Seronok pulak. Dari facebook beralih ke blog.

Banyak kisah-kisah keluarga, aku sendiri dan masyarakat di sekeliling yang aku ungkapkan dalam blog ini. Aku kongsikan dengan semua yang mengunjungi blog ini.

Pengalaman setiap orang itu berbeza walaupun mungkin tujuannya sama. Mungkin ada perkara-perkara kecil yang aku alami tidak pula korang pernah tahu. Begitu juga sebaliknya. Umpama aku punya anak, antara kalian pun ada yang punya anak diusia sekian-sekian. Tapi adakah sikapnya sama? Adakah ketinggian dan beratnya sama walaupun mungkin usianya sama?

Bagaikan kisah derita insan lain yang mungkin tidak menimpa kita tetapi aku kongsikan sebagai pengajaran untuk diri aku sendiri dan untuk kalian juga menilainya. Cukup aku merasa insaf dan bersyukur dengan apa yang aku ada setiap kali aku kongsikan kisah-kisah itu. Mudah! Taip saja dalam blog yang akan tersimpan sebagai sejarah buat anak-anak dan cucu-cucu aku nanti dan boleh dibaca dari mana jua. Insyaallah!

Friday, 15 April 2011

BEN ASHAARI AJAK JADI BUDAK BUDAK SAT !



Segmen Ben Ashaari kali ini nak mencungkil rahsia 'kanak-kanak tua' tentang karektor kartun yang paling diminati dan kenapa. Ada sapa-sapa berani nak join? Tak kiralah walau pun aku kanak-kanak kategori 38 tahun, aku tetap nak join juga. Sapa mau klik SINI.

Sebenarnya anak aku Aishah yang mempengaruhi aku. Dia pinjam banyak CD cerita 'Card Captor Sakura' ni dari kawannya. Seronok pulak aku menontonnya dengan anak-anak. Berjangkit juga pada adiknya Asyikin. Gambar kartun ni aku curi dari header blog Asyikin. Comelkan! Inilah Sakura dalam siri kartun 'Card Captor Sakura'. Watak kawannya, Tomoyo yang comel pun aku suka juga. Hobinya suka rakamkan video semasa Sakura bertukar jadi super heroin Card Captor. Aku suka wataknya yang 'sweet' dan comel je bila bercakap.

Sakura jadi header blog Asyikin

Ada satu lagi watak kartun yang aku suka iaitu watak Conan dalam cerita Detective Conan. Kisah penyiasatan yang tak logik tapi jadi macam logik pun ada. Adakalanya boleh membuatkan aku dan anak-anak membuat pelbagai andaian bagi setiap siasatannya. Aishah memang dah hampir hafal jalan cerita Detective Conan ni. Kadang-kadang serius saja jalan ceritanya. Adakalanya lucu juga.



Aku paling tak suka kartun Mr. Bean. Terasa macam lawak bodoh pun ada. He..he.. dah nama pun kartun...ye tak? Begitu juga dengan siri Popeye The Sailor Man. Tak berkenan betul.

Sebab tak suka, aku letak kecik je gambar dia ni.

Dah aku ni perempuan, kenalah jadi super girl. Kalaulah dapat jadi macam Helen Parr macam dalam cerita 'The Incredibles' kan best. He..he.. Mesti cepat aku siapkan kerja rumah sebab boleh capai semua barang dengan pantas. Harap-harap tak ada kemalangan berlaku dalam rumah. Best bila jadi super mom!


Petikan kata-kata aku cilok dari salah web 'mat saleh' INI :

"The Incredibles"
This is a mom that can literally stretch herself to do everything at once. Heck, she can even fight crime will solving a dispute between her kids at the dinner table. Besides her super-human abilities, Helen is like real moms in that not only is she expected to be able to do everything, but she somehow pulls it all off without losing her head. She remains calm during even the most frightening situations, if only not to frighten the kids. Each of her children have individual needs, and she has time during the movie to meet each of them where they are, all the while trying to save the world from an evil fanboy.

Best Mom Moment: After being thrown off an exploding aircraft, Helen and her two oldest children are bobbing in the middle of the ocean. When one child screams, "We're dead! We're dead!" Helen snaps him back to reality. "WE ARE NOT GONNA DIE! Now, you kids calm down or so help me, I will ground you for a month!"

p/s : panjang pulak entry ni ye!

Wednesday, 13 April 2011

BEN ASHAARI BICARA KASIH AYAH



Hari ini Ben Ashaari buat satu segmen menarik "Bicara kasih ayah" di SINI.

Do'a Aku Instrumental-hadad Alwi
Klik kalau nak OFF muzik...

Ayah aku dah tiada di dunia ini. Ayah baru saja meninggal dunia tahun lepas 2010... banyak kisah-kisah ayah aku abadikan di SINI. Tapi kali ini aku ingin kongsikan kisah yang lain pula.

Aku tak ingat tahun bila tapi kisah ni berlaku di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya. Tengahari tu aku tiba di wad untuk melawat ayah bersama hubby aku. Kebetulan mak belum lagi solat zohor, maka mak minta aku tolong tengok-tengokkan ayah. Sementara mak ke surau, aku dan hubby berbual-bual dengan ayah. Seperti biasa aku urut perlahan kaki ayah. Itu aje yang mampu aku lakukan pun untuk menyenangkan hati ayah. Ayah ada sakit jantung, pemakanan semua mesti dijaga dengan rapi.

Sedang berbual tiba-tiba ayah kata ayah nak ke bilik air. Ayah nak buang air besar. Jadi aku pun pimpin ayah berjalan ke bilik air yang ruangnya agak luas. Aku kata pada ayah yang aku akan tunggu di dalam bilik air tu juga sementara dia buang air besar. "Tak pe ayah! Liza tak pandang ayah!". Kemudian ayah kata dia nak basuh dan minta tolong aku hulurkan getah paip. Aku kata aku nak basuh punggungnya. Ayah malu agaknya lalu dengan perlahan dia berkata "Ayah buat sendiri je!".

Lantas aku katakan pada ayah "masa Liza kecik-kecik dulu ayah yang basuhkan berak Liza, sekarang ayah tak larat! Jadi, bagilah peluang pada Liza untuk buat pahala dengan ayah! Meh Liza basuhkan. Bukan susah pun!". Ayah beralah kerana dia sendiri pun kelihatan susah nak menghulurkan tangannya untuk membasuh punggungnya sendiri.

Dulu ayah pernah basuh punggung aku dengan air Coke sebab tak jumpa air paip. Tiada seorang pun ahli keluarga aku yang tahu kisah ni. Inilah kali pertama aku ceritakan di sini. Kalau tak silap aku kisah ni berlaku di Sungai Siput (U), Perak. Aku berdua dengan ayah je rasanya dari Jengka, Pahang nak balik ke kampung Lasah, Perak. Aku baru berumur 5 tahun agaknya. Aku sakit perut dan toilet pulak tak ada malam-malam begitu. Tahun 1978, mana ada toilet awam. Jadinya longkanglah aku tibai. Ingat-ingatkan semula rasa tak senonoh betul. Darurat, hentam ajelah!


Bagaimanakah yang dikatakan cara terbaik mendidik anak-anak? Tiada cara yang lebih baik dan terbaik selain daripada panduan yang telah ditetapkan dalam Islam. Andai kita inginkan hasil anak-anak yang baik maka amalkanlah panduan itu dan laksanakanlah bahagian kita sebagai ibu bapa. Selebihnya kita berserah kepada Allah. Maka aku kongsikan link yang sangat bermakna ini buat para semua agar kita semua mendapat manafaatnya.