iklan

Followers

Pages

Tuesday, 6 November 2012

Part 11 - Bila dia sakit, aku turut terasa!

Sambung dari Part 10

Lamanya baru aku nak menaip sambungan dari kisah Part 10. Tak berkesempatan dan ditambah pula dengan tak ada mood nak menaip. Semuanya terkumpul di minda hingga kadang aku terlupa isi cerita selanjutnya.

4 hari berlalu yang bermula pada 24 September 2012 (Isnin) membawa kepada 28 September 2012 (Jumaat) yang mana hubby masih lagi di ICU waktu itu. Begitulah juga aku sentiasa berulang-alik setiap hari antara rumah di Bandar Seri Putra ke Sime Darby Medical Centre Ara Damansara di Jalan Lapangan Terbang Subang. Aku tak dapat bermalam di SDMC kerana menjaga dan menguruskan 4 orang anak yang masih bersekolah ; darjah 4, darjah 6, tingkatan 2 dan tingkatan 4.

Lagi pun aku tak dibenarkan berada di sisi hubby sepanjang malam dalam wad ICU. Semuanya nurse yang akan uruskan. Bukan hubby nak bergerak ke mana pun.

Dalam ICU, duduk di kerusi
Hanya awal pagi dia dibangunkan untuk duduk di kerusi, nurse pula akan buat 'sponging bath' iaitu lap badannya menggunakan tuala kecil dengan air yang dicampurkan dengan sabun antiseptik. Aku tak dibenarkan melakukan dan melihatnya kerana luka pembedahan masih baru. Sebenarnya aku tak kisah pun nak tengok kesan pembedahan yang baru. Kalau dapat tengok bagaimana pembedahan dijalankan pun aku sanggup.

Hubby akan dibiarkan dalam keadaan duduk supaya kedudukan jantungnya menegak dan dapat bernafas dengan selesa. Pun apa jua posisi tetap juga hubby merasa tak selesa. Kesan ubat yang memabukkan dan memualkan buat dia rasa resah dan rimas. Tambahan pula dengan kesan pembedahan di dada, kaki kanan dan tangan kirinya yang sentiasa perlu dijaga agar sentiasa kering walau pun dari peluh yang keluar.

Selera makan juga hilang. Terpaksa memujuk dia makan dengan selang-selikan bubur dengan buah-buahan. Biasanya hanya dapat 3-4 kali saja aku dapat menyuapkan ke mulutnya. Hanya buah-buahan saja yang terima dek tekak. Yang lain terasa mual katanya. Takut jika muntah akan menyebabkan dadanya sakit. Tersiksanya.

Selepas sarapan dia akan dibantu oleh 2 orang nurse untuk berjalan perlahan-lahan di dalam kawasan wad ICU. Habislah segala peralatan ubat-ubatan yang masuk melalui tiub di lehernya turut dibawa bersama, termasuklah tiub kencingnya. Rasanya orang yang baru lepas bersalin pun tak teruk jalannya. Kalau tak dipegang memang boleh tumbanglah.

Terapi berjalan
4 hari hubby di ICU. Tak sabar dia mahukan semua wayar yang berselirat tu di cabut dan dipindahkan ke wad biasa. Aku yang melihat pun rasa rimas, apatah lagi dia yang melalui semua kepayahan dan kesakitan.

Hari ke-4 dia di ICU, aku hanya tidur di lobi. Selepas jam 11 malam, menjenguk sekejap hubby di ICU, barulah aku turun ke lobi. Ada banyak sofa pelawat di situ, dan aku memilih lokasi berhampiran dengan meja penyambut tetamu. Aku kutip juga 2-3 bantal dari sofa lain sebagai alas kepala. Tidur sambil duduk tapi selesa juga rasanya.

Kaki aku pun memang berstokin dan baju 2 lapis takut sejuk. Tapi tidurnya tidaklah lena sangat sebab sekejap-sekejap aku terjaga. Entahlah rasa takut pulak nak tidur sorang-sorang di surau, jadi aku memilih lobi hospital saja. Waktu itu aku seorang saja tetamu yang tidur di lobi. Ada seorang dua pengawal keselamatan di depan pintu hospital.

Memang ada ruang menunggu di sebelah ICU yang lengkap dengan sofa dan TV tetapi ada sekelompok keluarga pesakit lain di situ yang buat aku tak selesa. Aku pun tak mahu nak ganggu privacy mereka.

Anak-anak semuanya di rumah kakak di Subang Permai. Syukur ada rumah kakak yang berdekatan dan banyak membantu urusan menjaga anak-anak aku yang lasak-lasak belaka.

Macam biasa mereka kata perihal kakak aku "mak ngah masak sedap!". Hati aku pun senang mendengarnya!

Sambung ke Part 12

Merojakkan bahasa, BM dan BI. Ada masalah?

Luahan hati anak sulung aku yang terasa hati bila ada rakan facebooknya yang perli dia menggunakan bahasa rojak BM (Bahasa Melayu) dan BI (Bahasa Inggeris). Sebagai ibu tentu saja aku berfikir "apa masalah budak tu?".

Mungkin saja sebagai ibu akan ada orang yang berkata "mak dia tentulah sokong anaknya!". Dalam ertikata lain, aku merasakan tindakan anak aku rojakkan BM dan BI itu tidak menjadi kesalahan.

Memang itu pun yang aku rasa pun kerana anak aku bukannya pandai nak bercakap bahasa rojak ni dengan gaya yang mengada atau gedik pun. Kalau itu gayanya memanglah salah dan tak perlu orang lain tegur dah tentu dia kena marah dengan aku dulu.

Aishah lebih suka menaip dalam BI sebagai salah satu usahanya memahirkan bahasa itu. Nak praktikkan dalam rumah pun susah juga kerana ahli keluarga pun tak rajin nak 'speak English' ni. Cuma kadang-kadang ada juga bila aku dan adik-adiknya bergurau.

Antara contoh kata-katanya yang aku dapat dari facebooknya "Cuba akak tengok dekat Gooddrama~ Dekat situ, episode2 semua drama selalu complete~ Takde broken link~ My fav place to watch drama because Dramacrazy slalu ade broken link and some episodes missing~".

Itu jawapan atas soalan salah seorang teman fbnya. Ada gaya gedik ke? Atau itu pun salah ke?

Antara luahan hatinya di wall fb "There's no need to be rude, you can ask/say it politely, it's really not that hard. Why do some people even choose the "rude way" instead of the "polite way"~".

Ini antara cara anak sulung aku ini meluahkan rasanya hanya dengan menggunakan BI, dia malu nak meluahkannya dalam BM. Lain orang lain caranya. Dan satu cara lagi ialah dia akan bercakap terus dengan aku. Itu memang bercakap BM lah. Sebab dia dah luahkanlah maka entry ini keluar.

Kerana itulah blog miliknya lebih kepada BI di http://aishahfaisal.blogspot.com/

Dan aku pulak jawap begini kat fb dia tadi..he..he..


Ehhh... BI aku pun bukan bagus! Selalu je aku guna translation kat Google tu.

Bila dia terasa hati dengan sindiran rakannya tu, lansung dia cuba tak taip guna BI dalam FB. Apa akibatnya pada anak remaja yang berusia 16 tahun ini?

Sesuatu perkara baik yang kita tinggalkan rutin praktikalnya akan menyebabkan kita mula jadi gagap.

Samalah halnya jika belajar bahasa Arab, Perancis dan pelbagai bahasa lain. Kita tentu saja rojakkan dia dengan bahasa ibunda kita hinggalah kita betul-betul mahir. Lagi pun, bukan ada ayat 'gedik' kan?

Apa kata Lisa Surihani?



Tapi sekarang Aishah dah mulakan semula gaya lamanya, buat rojak BM dan BI. Teman blogger, Kak Chik kata makan rojak tu sedap. Dia pun sama merojakkan BM dan BI seawal usia 10 tahun.

Kita buat rojak BM dan BI untuk belajar bukan untuk tunjuk berlagak pandai. Lainlah kalau dalam urusan yang lebih serius seperti urusan rasmi dan peperiksaan tu kenalah penuh BInya.

Aku pun sama je bila berbalas SMS dengan rakan-rakan tertentu yang lebih suka guna BI. Dari situ aku belajar memahirkan BI aku. Kadang terpaksalah buka kamus Google. Malas dah nak buka kamus bentuk buku dah sekarang ni.

Bagi aku rojak BM dan BI tu memualkan bila disertakan dengan gaya gedik melampau. Tak larat nak layan!

Layannnnnn....

Saturday, 3 November 2012

Idea tu ada tapi belum berkesempatan

Serius aku kata idea memang ada banyak untuk aku taip di blog ini. Sekali-sekala terasa rindu nak bercerita seperti dulu. Tetapi kesempatan dan ada kalanya mood yang tak menentu menjadi penghalang untuk aku meluahkan rasa.

Gambar curi oleh Aishah, Sep'12
Tak berapa sempat nak blog walking juga. Cuma yang sempat aku mengintai-intai facebook aku dan 'mengarut' sikit-sikit je. Tak dapat aku nak huraikan 'mengarut' aku itu di sini.

Terima kasih atas sokongan rakan-rakan blogger dan pembaca setia.

Panggilan telefon dari Hanis Azla 2 hari lepas pun seperti mengejutkan aku, "bertanyakan khabar Kak Liza!".

Terima kasih Hanis Azla. Kalau dulu bukan setakat intai-intai blog malah sempat kita keluar minum bersama.

Insyaallah, keadaan semakin baik. Hubby pun dah mula semakin sihat selepas pembedahan jantungnya. Sebenarnya ada lagi kisah bersambung dari Part 10 tu. Belum sempat nak menyiapkannya, mood tara mari.

Aku pun dah mula dapat jumpa semula client-client unit trust aku yang berada di sekitar Bangi. Lepas ni barulah boleh jumpa semula yang di sekitar Kuala Lumpur, Shah Alam dan Kajang. Sikit-sikitlahkan. Apa-apa pun memang keluarga menjadi keutamaan aku.

Mana yang menjenguk sini tapi aku tak balas lawatan kalian, mohon maaf sangat-sangat. Harap tak serik intai blog aku lagi ye!