iklan

Followers

Pages

Thursday, 27 September 2012

Part 9 - Bila dia sakit, aku turut terasa!

Sambung dari Part 8

Hari Isnin, 24 September 2012 jam 9.00 pagi hubby telah dijadualkan untuk menjalani pembedahan pintasan koronari jantung (heart coronary bypass surgery) oleh Dato' Dr. Rozali Wathooth di Sime Darby Medical Centre (SDMC) Ara Damansara.

Jam 5.35 pagi, anak saudara aku (anak kakak ipar) iaitu Sopi sudah pun tiba di rumah aku. Dia memandu sendirian dari rumah kakak ipar di Senawang. Awal betul dia sampai.

Kemudian jam 6.05 pagi aku bergerak dari rumah bersama Sopi dan anak kepada sepupunya (kiranya pangkat anak saudara Sopi le!) yang aku panggil 'kak long' menuju ke Bandar Baru Bangi untuk mengambil pula seorang rakan yang pernah aku kenali semasa di tempat kerja lama dulu (Sony), Yusmadi.

Sopi dan Yusmadi sudah pun melalui 'blood screening test' di SDMC pada 15 September 2012 yang lalu. Kedua-duanya sah berdarah jenis AB+ yakni sama dengan jenis darah hubby. Masa tu aku ada juga bawa seorang lagi, abang kepada Sopi. Abang yang orang selalu sangkakan adik ; Waqi. Tapi bukan rezeki hubby bila check darah Waqi jenis B+. Cuma kak long yang aku bawa ni belum pasti jenis darahnya. Katanya darahnya dari jenis AB+, sama dengan ayahnya sendiri.

2 hari sebelum tu aku telah pun minta bantuan kakak dan abang ipar aku uruskan kenderaan untuk mengambil ayah kak long (aku panggil abang Zahari atau Nazri ; ikut suka nak menyebut je) dari Terminal 3 di Subang dan menghantarnya ke hotel Newton. Dia datang dari Pulau Pinang dengan menaiki kapal terbang Firefly. Bantuan abang ipar juga aku perlukan untuk mengambil abang Nazri dari hotel dan pastikan dia sampai ke SDMC seawal jam 7.00 pagi untuk buat 'blood screening test'. Kebetulan hotel berkenaan dekat sangat dengan rumah kakak aku, mudahlah nak diuruskan.

Aku terus memandu terus ke SDMC Ara Damansara selepas mengambil Yusmadi di rumahnya di Bandar Baru Bangi melalui lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah dan naik di tol Subang. Jika carian di Goggle Map, tapak SDMC ini dulu namanya Asian Neuro & Cardiac Center.

View Larger Map

Perjalanan dari Bangi bermula jam 6.30 pagi dan tiba di SDMC lebih kurang pukul 7.10 pagi. Aku segera bawa mereka ke lab darah yang berada di aras B1. Semasa lalu di lobby, abang Nazri, abang ipar dan seorang lagi anak saudara aku, Baihaqi juga sedang berehat di sofa. Baihaqi adalah abang sulung Sopi, sepupu pula dengan isteri abang Nazri. Baihaqi pula dah kenal lama dengan abang ipar aku. Elok sangatlah tu, pusing-pusing tang tu jugak.

Siapa yang belum 'blood screening test', kena buat dulu ; kak long dan ayahnya. Mana yang nak derma tetapi belum lagi sarapan, kenalah sarapan dulu. Sementara mereka bersarapan, aku bergegas ke lif nak menuju ke ICU (Intensive Care Unit). Terserempak pula lagi dengan Baihaqi dan abang ipar bila lif buka pintu di aras G. Abang ipar kata hubby masih di wad tingkat 3 ; tadi dia dah jumpa. So tekanlah butang lif ke tingkat 3 pula.

Bergegas aku ke wad hubby di bilik 315. Dia sedang melelapkan mata tetapi sedar dengan kehadiran aku. Ada oksigen yang dibekalkan melalui tiub ke hidungnya. Dia mengantuk. Agaknya ada kesan ubat tidur yang buat dia mengantuk.

Jam 7.30 pagi ada 2 orang nurse datang bersama stretcher dan dokumen perubatan hubby. Mereka membuat pengesahan dengan hubby dulu tentang nama dan nombor kad pengenalan diborang pertama. Bila nak sahkan borang selanjutnya, mereka tunjukkan pada aku je. Aku pula memang hafal nombor kad pengenalan hubby, maka angguk sajalah. Kena sahkan dulu, takut salah bedah orang pulak nanti. Ada borang lain pula yang perlu mereka isi.

Hubby dialihkan ke stretcher dan ditolak menuju ke Operation Theater (OT) di aras 1. Waktu tu dah pun pukul 7.45 pagi. Aku hanya mengingatkan hubby agar sentiasa berserah pada Allah dan berzikir sepanjang dia mula tidak sedarkan diri. Pengalaman aku yang pernah dibius semasa proses D&C mengingatkan aku pada situasi minda yang terawang-awang seperti berada di bilik yang dindingnya terang dan tidak tahu di mana pintu dan tak berkesudahan. Hanya zikir 'Allah' berulang-kali yang cuba aku lakukan untuk menenangkan diri sendiri. Itu pun hanya bermain-main di minda.

Kemudian bergerak aku menuju ke aras B1 pula untuk meninjau para penderma darah untuk hubby. Hasil keputusan 'Blood screening test'  menunjukkan abang Nazri memang jenis AB+ darahnya tetapi kak long pula yang B+. Bermakna hanya abang Nazri yang boleh menderma darah untuk hubby. Manakala Sopi, Yusmadi dan Baihaqi pula bergilir-gilir menderma darah kerana mereka memang telah disahkan darah jenis AB+.

Aku perlukan sekurang-kurangnya 6 orang penderma darah untuk hubby. Sekarang dah ada 4 orang, masih kurang 2 orang. Aku bertanya pada nurse yang bertugas tentang seorang penderma sukarela yang tidak aku kenali itu. Katanya penderma itu akan sampai dalam masa 20 minit lagi. Penderma sukarela ini telah pun dipasti jenis darahnya semasa dia menemani suaminya untuk buat pemeriksaan darah. Lega aku mendengarnya.

Kakak aku kata rakannya juga sedang dalam perjalanan dari Setapak, Kuala Lumpur ingin menderma darah. Cuma dia juga belum buat 'Blood screening test' lagi. Menawarkan diri di saat-saat akhir pada hari Ahad, sehari sebelum hari pembedahan.

Alhamdulillah! Maha suci Allah yang menentukan segalanya, akhirnya cukup juga penderma darah untuk hubby seramai 6 orang dan aku juga sempat berjumpa dengan kesemuanya dan mengucapkan terima kasih. Hanya Allah sahajalah yang dapat membalas jasa dan budi baik mereka.

Sukarnya mencari mereka yang berdarah jenis AB+. Staf di lab tu kata hanya 25% penduduk dunia yang berdarah jenis ini. Paling sedikit bilangan berbanding mereka yang punya darah jenis O, A dan B. Aku sendiri berdarah jenis A.

Beberapa minit selepas jam 9.30 pagi aku, Sopi dan Yusmadi bergerak pulang. Hanya kak long tak turut serta kerana nak keluar dengan ayahnya pula ke KL. Ada anak-anak pula yang perlu aku uruskan persekolahan mereka. Anak aku, Asyikin yang 12 tahun pula ada exam di sekolah ugama, PSRA bermula pada tarikh yang sama dengan hari pembedahan ayahnya ini.

p/s : Sambung pula nanti kisah kolestrol dalam salur darah hubby.

Sambung ke Part 10

Monday, 24 September 2012

Part 8 - Bila dia sakit, aku turut terasa!

Sambung dari Part 7

Agak lewat sejam lebih aku dan hubby ke SDMC untuk pre-admit pada 23 September 2012, Ahad. Hubby sangkakan tengahari dan aku pula sibuk memasak sarapan dan lunch anak-anak hingga tak perasan masa berlalu begitu cepat. Kelam-kabut jugalah bersiap.

Malam sebelum tu aku dan hubby hantar anak bongsu aku Arif (3 tahun) ke rumah kakak hubby di Senawang. Hubby pun dapatlah jumpa maknya sebelum pembedahan.

Lebih kurang pukul 10.20 pagi baru tiba ke SDMC dan daftar diri hubby di wad tingkat 3. Buat sementara hubby ditempatkan di bilik single bed kerana tiada bilik yang kosong untuk 2 katil. Namun tiada caj extra dikenakan.

Semua lebihan bekalan ubat hubby juga diambil oleh nurse. Nasib baik jugalah tergerak hati aku nak membawanya. Itu sebagai langkah keselamatan untuk elak pesakit makan dos ubat yang bertindan.

Jam 11.00 hingga 11.30 pagi datang Dr. Mary, pakar bius SDMC untuk check denyutan nadi, tekanan darah, gigi dan urat kaki. Dia menerangkan dengan ringkas tentang jadual hubby dari mula datang hinggalah keesokan hari yakni hari pembedahan.

Dia juga ada bertanya tentang tangan mana yang biasa hubby gunakan untuk menulis. Mungkin ada kaitan dengan apa-apa suntikan yang akan dibuat pada tangan.

Dr. Mary yang lemah lembut orangnya
Pukul 11.55 pagi barulah Dato' Dr. Rozali datang bertanyakan khabar. Seperti Dr. Mary, dia juga bertanya jika hubby ada mengalami batuk, berkahak, pening atau demam. Syukurlah hubby sihat je daripada penyakit-penyakit yang ditanya tu. Sebenarnya aku yang sedang batuk dan selsema. Nasib baik tak demam.

Perkara yang sama diingatkan olehnya, sama juga seperti yang Dr. Mary beritahu :
- Hubby akan dibawa melawat bilik ICU dan diberi penerangan oleh nurse yang bertugas selepas lunch.
- Ada staf yang datang untuk cukur keseluruhan badan kecuali bahagian kepala dalam pukul 4 petang.
- Minum petang dan makan malam akan diberikan
- Mandi dan bersabun seperti biasa pada pukul 8.00 malam, kemudian perlu sapu sabun khas untuk anti septik.
- Tidak dibenarkan menerima pelawat selepas jam 9.00 malam.
- Melakukan senaman kaki dan pernafasan.
- Akan diberi inhaler dengan 2 sedutan dan ubat tidur dengan air yang sedikit pada pukul 10.00 malam.
- Mula berpuasa dari pukul 12.00 malam, jika terjaga tidak boleh minum atau makan.
- Mandi dan bersabun seperti biasa pada pukul 6.00 pagi keesokan hari, kemudian perlu sapu sabun khas untuk anti septik.
- Akan dibawa turun ke ICU antara pukul 7.00 ke 7.30 pagi.
- Ada 2 surat kebenaran yang perlu hubby tanda tangan iaitu surat untuk pembedahan dan untuk pemindahan darah.

Hubby juga diberitahu tentang salur tiub yang akan dipasang pada bahagian mulut, hidung, pangkal leher, dada, tangan, tiub kencing serta fungsi setiap satu. Banyaknya! Maklumat awal untuk mengelakkan pesakit terkejut bila terjaga selepas pembedahan.

Segala kemungkinan yang biasa berlaku juga turut diterangkan pada hubby. Hubby mungkin perlu berada dalam ICU selama 3 hari. Jika tiada masalah, barulah akan dipindahkan ke wad hingga 4 ke 5 hari lagi.

Dato' Dr. Rozali juga mengingatkan agar pelawat dapat dihadkan pada maksima 4 orang yang sama selama di ICU untuk mengelakkan sebarang masalah kerana pesakit perlukan rehat, ketenangan dan sensitif dengan persekitaran yang mungkin kurang bersih.

Selesai perjumpaan dengannya, staf dari bahagian lab darah pula mengambil sampel darah hubby untuk analisis sepadankan dengan darah penderma. Alhamdulillah sudah ada 3 sampel darah penderma dan 3 lagi akan aku bawa pada pagi hari pembedahan, 24 September 2012.

Adoi!
Paling sakit bila hubby diberikan suntikan vitamin K di bahagian punggung. Kesian hubby! Susah nak duduk sekejap. Untuk darah katanya, aku pun tak berapa pasti. Kena search info ni!

ECG... normal
Check ECG pula. Nak check rentak jantung sama ada normal atau tidak. Lupa pulak aku kiraan yang normal. Hubby punya dalam 79, normal katanya.

Semasa melawat ICU, setiap jari disepit untuk check denyutan nadi. Pun normal juga ; syukur.

Ada rakan sekolah hubby SMS mengatakan salah seorang staf di situ adalah orang kampungnya di Semanggol. Aku minta nombor handphonenya dan terus call. Rupanya dia memang nak datang melawat hubby. Kulaan (saudara) sudah datang! Panggil Raz saja. Seronoklah hubby dapat bercakap Banjar dengan orag kampung sebelah. Elok pula yang Razz adalah adik pada rakan hubby.

Bila diselidik, Razz pun pernah bekerja di Bandar Baru Bangi dan isterinya dulu pernah bekerja di Sony yang dulu sebumbung dengan aku. Akukan ramah bertanya.

Aku hanya berlalu pulang bila tiba waktu untuk hubby dicukurkan bak bayi yang baru lahir.

"Alamak! Togellah abang macam ni! Habis!", keluh hubby dalam senyum tersipunya.

Aku tidak terus pulang ke rumah tetapi singgah di rumah kakak dulu mengambil nasi impit dan kuah lontong seperti yang dia suruh. Kemudian aku terus ke Kajang Sentral untuk ambil cucu saudara pada abang ipar hubby dan bawa balik ke rumah. Dia bakal penderma darah AB+ untuk hubby esok.

Aku panggil dia 'Kak long' je! Comel je ; mewarisi cantik ibunya. Abang ipar aku pula menjemput abah pada kak long di airport Subang dalam pukul 11.30 malam dan bawa ke Hotel Newton yang dekat juga dengan rumah kakak aku. Elok je 2 beranak punya jenis darah yang sama dan akan menderma darah seawal pukul 7.00 pagi.

Singgah di rumah dan bawa anak-anak makan di restoran ayam penyet Red Rebong dekat surau As-Syakirin di Bandar Seri Putra dalam pukul 6.20 petang.

Malam tadi sekitar pukul 9.40 malam, hubby ada call kata kakak dan mak aku datang melawatnya dalam pukul 5.30 petang. Adik dan husbandnya pun melawat dalam pukul 7.30 malam. Esok tak boleh nak jumpa dah. Dah nak masuk bilik bedah. Aku pun mungkin dapat jumpa lepas selesai pembedahan saja.

Terima kasih atas bantuan, doa dan sokongan semua rakan-rakan dan keluarga. Moga-moga hubby selamat dan sejahtera. Hanya Allah yang dapat balas jasa baik kalian. Amin!

Sambung ke Part 9

Part 7 - Bila dia sakit, aku turut terasa!

Sambung dari Part 6

Sebelum menjalani pembedahan, hubby perlu jumpa dentist dulu. Dato' Dr. Rozali mahukan hubby dapatkan rawatan pada segala kerosakan gigi jika perlu. Kemudian hubby perlu bawa bersama pengesahan dari doktor gigi berkenaan pada hari pre-admit di SDMC iaitu 23 Sept 2012.

Aku menelefon pada 12 September 2012 ke klinik gigi berhampiran tetapi nursenya kata doktor Haslina oustation dan akan masuk semula pada 18 September 2012. Lambatnya nak tunggu dia balik. Takut pula aku kalau-kalau ada banyak gigi hubby yang perlu dirawat.

Jadi aku pun beralih ke klinik gigi yang biasa aku kunjungi dulu iaitu klinik Norshah yang terletak di Seksyen 8, Bandar Baru Bangi. Sederet dengan kedai Cosway dan mengadap kedai makan Yati Ayam Percik.

Gambar dari SINI
Terus je aku buat appointment nak jumpa keesokan harinya. Tak ada masa dah nak tunggu-tunggu dan nanti-nanti.

Pertama kali hubby tiba di klinik Norshah dengan muka agak gelabah je. Sabar ajelahkan! Nasib baiklah anak-anak aku brutal macam aku, tak kisah pun kalau jumpa dentist. Kalau sakit pun, sekejap ajekan!

Awal-awal dah kena leter dengan doktor Yati. Amik kau! Doktor Yati tu ibu pada kawan anak aku yang sulung semasa mereka dalam darjah 6. Sekarang dah tingkatan 4 pun. Kalau aku jumpa dia memang confirmlah berborak.

"Ni lama tak check gigi ni! Banyak karang gigi, ada yang nak kena cabut ni. 1, 2, 3! Tak boleh buat serentak. Kena datang lagi nanti, takut tak tahan!", leteran pertama bermula.

"Saya memang takut nak jumpa doktor gigi sejak kecik lagi!", jawap hubby tersipu.

Tersenyum je doktor Yati, "Janganlah takut, kalau sakit kena jumpa doktor jugakan!".

Jadi janganlah takut nak check gigi dengan dentist. Kalau rasa ada yang tak kena pada gigi, jangan tangguh-tangguh. Khuatir kalau sakit merebak yg asalnya cuma perlu tampal tapi terpaksa pula dicabut. Sayangnya gigi hilang. Lagi baik kalau dapat buat rutin check gigi dengan dentist setiap 6 bulan.

Klinik Norshah
Hasilnya 4 batang gigi hubby telah dicabut dalam 4 kali appointment dengan dentist. Paling ngilu katanya bila scaling. Adoi! Bila ada banyak karang gigi maka banyaklah scaling dilakukan maka banyak rasa ngilu terpaksa dihadapi. Antara tips kurangkan karang gigi ialah menggosok gigi dengan cara yang betul dan teliti pagi dan malam sebelum tidur. Kadang aku guna flos untuk buang sisa makanan yang tak mahu hilang dengan memberus. Jika ia masuk di celahan yang sangat sukar, mengadulah dengan dentist.

Bila aku check rekod aku sendiri, rupanya kali terakhir datang pada tahun 2007 yakni sejak pindah dari Bandar Baru Bangi ke Bandar Seri Putra. Kemudian pregnant di hujung tahun 2008 dan bersalin di pertengahan 2009. Asyik bertangguh saja nak jumpa dentist.

Sempat juga aku minta doktor checkkan gigi. Ok katanya dan bertanya "di mana buat scaling?".

"Mana ada buat scaling!", jawap aku.

"Gigi ok je!", jawap doktor.

Nantilah selepas hubby habis menjalani pembedahannya dan sihat, barulah aku boleh buat rawatan selanjutnya. Aku nak minta doktor gantikan semula tampalan lama gigi depan sejak aku di tingkatan 3 lagi. Pernah sekali aku gantikan semula tampalan tu dengan doktor Yati juga. Maklumlah sebab gigi depan kenalah jaga lebih sikit. Kalau dah ada serpih sikit kan tak comel.

Report gigi dah siap. Gigi hubby pun dah bebas karang gigi dan tinggal gigi yang sihat aje. Lepas sebulan nanti bolehlah nak buatkan gigi palsu pula.

Dato' Dr. Rozali perlu pastikan gigi pesakit bebas dari sebarang masalah dan sihat untuk mengelakkan kuman mahu pun bakteria ikut masuk ke dalam badan semasa tiub dimasukkan ke dalam mulut sewaktu pembedahan jantung nanti. Tentu saja untuk elak sebarang komplikasi berlaku kerana tiub akan berada lebih lama di dalam mulut untuk bantu pernafasan.

Itulahkan, takut-takut nak jumpa dentist akhirnya terpaksa juga. Pecah rekodlah sebab jumlah gigi yang dicabut sebanyak 6 batang tahun ini. 2 batang sebelum raya dulu sebab sakit gigi sampai nak tidur pun tak boleh dan kali ini 4 batang lagi.

Jadi, jagalah gigi korang ye!

Sambung ke Part 8