iklan

Followers

Pages

Monday 24 September 2012

Part 8 - Bila dia sakit, aku turut terasa!

Sambung dari Part 7

Agak lewat sejam lebih aku dan hubby ke SDMC untuk pre-admit pada 23 September 2012, Ahad. Hubby sangkakan tengahari dan aku pula sibuk memasak sarapan dan lunch anak-anak hingga tak perasan masa berlalu begitu cepat. Kelam-kabut jugalah bersiap.

Malam sebelum tu aku dan hubby hantar anak bongsu aku Arif (3 tahun) ke rumah kakak hubby di Senawang. Hubby pun dapatlah jumpa maknya sebelum pembedahan.

Lebih kurang pukul 10.20 pagi baru tiba ke SDMC dan daftar diri hubby di wad tingkat 3. Buat sementara hubby ditempatkan di bilik single bed kerana tiada bilik yang kosong untuk 2 katil. Namun tiada caj extra dikenakan.

Semua lebihan bekalan ubat hubby juga diambil oleh nurse. Nasib baik jugalah tergerak hati aku nak membawanya. Itu sebagai langkah keselamatan untuk elak pesakit makan dos ubat yang bertindan.

Jam 11.00 hingga 11.30 pagi datang Dr. Mary, pakar bius SDMC untuk check denyutan nadi, tekanan darah, gigi dan urat kaki. Dia menerangkan dengan ringkas tentang jadual hubby dari mula datang hinggalah keesokan hari yakni hari pembedahan.

Dia juga ada bertanya tentang tangan mana yang biasa hubby gunakan untuk menulis. Mungkin ada kaitan dengan apa-apa suntikan yang akan dibuat pada tangan.

Dr. Mary yang lemah lembut orangnya
Pukul 11.55 pagi barulah Dato' Dr. Rozali datang bertanyakan khabar. Seperti Dr. Mary, dia juga bertanya jika hubby ada mengalami batuk, berkahak, pening atau demam. Syukurlah hubby sihat je daripada penyakit-penyakit yang ditanya tu. Sebenarnya aku yang sedang batuk dan selsema. Nasib baik tak demam.

Perkara yang sama diingatkan olehnya, sama juga seperti yang Dr. Mary beritahu :
- Hubby akan dibawa melawat bilik ICU dan diberi penerangan oleh nurse yang bertugas selepas lunch.
- Ada staf yang datang untuk cukur keseluruhan badan kecuali bahagian kepala dalam pukul 4 petang.
- Minum petang dan makan malam akan diberikan
- Mandi dan bersabun seperti biasa pada pukul 8.00 malam, kemudian perlu sapu sabun khas untuk anti septik.
- Tidak dibenarkan menerima pelawat selepas jam 9.00 malam.
- Melakukan senaman kaki dan pernafasan.
- Akan diberi inhaler dengan 2 sedutan dan ubat tidur dengan air yang sedikit pada pukul 10.00 malam.
- Mula berpuasa dari pukul 12.00 malam, jika terjaga tidak boleh minum atau makan.
- Mandi dan bersabun seperti biasa pada pukul 6.00 pagi keesokan hari, kemudian perlu sapu sabun khas untuk anti septik.
- Akan dibawa turun ke ICU antara pukul 7.00 ke 7.30 pagi.
- Ada 2 surat kebenaran yang perlu hubby tanda tangan iaitu surat untuk pembedahan dan untuk pemindahan darah.

Hubby juga diberitahu tentang salur tiub yang akan dipasang pada bahagian mulut, hidung, pangkal leher, dada, tangan, tiub kencing serta fungsi setiap satu. Banyaknya! Maklumat awal untuk mengelakkan pesakit terkejut bila terjaga selepas pembedahan.

Segala kemungkinan yang biasa berlaku juga turut diterangkan pada hubby. Hubby mungkin perlu berada dalam ICU selama 3 hari. Jika tiada masalah, barulah akan dipindahkan ke wad hingga 4 ke 5 hari lagi.

Dato' Dr. Rozali juga mengingatkan agar pelawat dapat dihadkan pada maksima 4 orang yang sama selama di ICU untuk mengelakkan sebarang masalah kerana pesakit perlukan rehat, ketenangan dan sensitif dengan persekitaran yang mungkin kurang bersih.

Selesai perjumpaan dengannya, staf dari bahagian lab darah pula mengambil sampel darah hubby untuk analisis sepadankan dengan darah penderma. Alhamdulillah sudah ada 3 sampel darah penderma dan 3 lagi akan aku bawa pada pagi hari pembedahan, 24 September 2012.

Adoi!
Paling sakit bila hubby diberikan suntikan vitamin K di bahagian punggung. Kesian hubby! Susah nak duduk sekejap. Untuk darah katanya, aku pun tak berapa pasti. Kena search info ni!

ECG... normal
Check ECG pula. Nak check rentak jantung sama ada normal atau tidak. Lupa pulak aku kiraan yang normal. Hubby punya dalam 79, normal katanya.

Semasa melawat ICU, setiap jari disepit untuk check denyutan nadi. Pun normal juga ; syukur.

Ada rakan sekolah hubby SMS mengatakan salah seorang staf di situ adalah orang kampungnya di Semanggol. Aku minta nombor handphonenya dan terus call. Rupanya dia memang nak datang melawat hubby. Kulaan (saudara) sudah datang! Panggil Raz saja. Seronoklah hubby dapat bercakap Banjar dengan orag kampung sebelah. Elok pula yang Razz adalah adik pada rakan hubby.

Bila diselidik, Razz pun pernah bekerja di Bandar Baru Bangi dan isterinya dulu pernah bekerja di Sony yang dulu sebumbung dengan aku. Akukan ramah bertanya.

Aku hanya berlalu pulang bila tiba waktu untuk hubby dicukurkan bak bayi yang baru lahir.

"Alamak! Togellah abang macam ni! Habis!", keluh hubby dalam senyum tersipunya.

Aku tidak terus pulang ke rumah tetapi singgah di rumah kakak dulu mengambil nasi impit dan kuah lontong seperti yang dia suruh. Kemudian aku terus ke Kajang Sentral untuk ambil cucu saudara pada abang ipar hubby dan bawa balik ke rumah. Dia bakal penderma darah AB+ untuk hubby esok.

Aku panggil dia 'Kak long' je! Comel je ; mewarisi cantik ibunya. Abang ipar aku pula menjemput abah pada kak long di airport Subang dalam pukul 11.30 malam dan bawa ke Hotel Newton yang dekat juga dengan rumah kakak aku. Elok je 2 beranak punya jenis darah yang sama dan akan menderma darah seawal pukul 7.00 pagi.

Singgah di rumah dan bawa anak-anak makan di restoran ayam penyet Red Rebong dekat surau As-Syakirin di Bandar Seri Putra dalam pukul 6.20 petang.

Malam tadi sekitar pukul 9.40 malam, hubby ada call kata kakak dan mak aku datang melawatnya dalam pukul 5.30 petang. Adik dan husbandnya pun melawat dalam pukul 7.30 malam. Esok tak boleh nak jumpa dah. Dah nak masuk bilik bedah. Aku pun mungkin dapat jumpa lepas selesai pembedahan saja.

Terima kasih atas bantuan, doa dan sokongan semua rakan-rakan dan keluarga. Moga-moga hubby selamat dan sejahtera. Hanya Allah yang dapat balas jasa baik kalian. Amin!

Sambung ke Part 9

2 comments:

Norliha Samad said...

Salam,

Jaga kesihatan diri Liza, asyik berulang alik, hati-hati bila memandu tu... Harap dipermudahkan segalanya. Amin.

Karen Monica said...

harap suami akak cepat sembuh :)