iklan

Followers

Pages

Sunday 13 January 2013

Yakin dengan rezeki Allah, jangan takut memberi walau kita dalam keadaan hampir tiada apa!

Gambar copy dari google je!
Suatu ketika dulu pernah berkali-kali juga aku melalui hari-hari yang hanya ada seringgit dua saja dalam beg duit. Aku hanya berserah... dalam tiada, aku belikan juga sesuatu untuk anak-anak walau pun hanya sebiji gula-gula setiap seorang dengan niat memberi sesuatu walau pun sangat kecil pemberiannya. Mereka tetap tersenyum kerana tahu mamanya sedang pokai. Mereka faham mamanya akan beli lebih dari itu untuk mereka jika mamanya sedang berduit lebih sedikit.

Dalam tiada, jangan takut untuk bersedekah dan memberi kepada orang lain. Memberi sesuatu yang dapat menggembirakan insan lain apatah lagi jika mereka memerlukannya.

Sabda Rasul saw.

“Hendaklah setiap orang Islam itu bersedekah, jika ia tidak mampu, hendaklah ia berusaha melakukan sesutu yang dapat memberi faedah kepada dirinya sendiri dan dengan demikian ia dapat bersedekah.

Jika tidak mampu, maka hendaklah ia menolong orang susah yang memerlukan bantuan.
Jika tidak mampu, maka hendaklah ia menyuruh orang lain melakukan kebaikan.
Jika tidak mampu, maka hendaklah ia menahan dirinya daripada melakukan kejahatan, kerana yang demikian itu adalah dianggap suatu sedekah”.

(riwayat Ahmad)

Hadis ini aku copy paste dari blog atuk dalam entry Roti Canai Asam Pedasnya, terliurnya!

Kadang hati aku terasa hiba, terasa benar-benar hambaNya yang tidak tahu berterima kasih bila aku tak perlu menunggu bertahun-tahun pun untuk menikmati hasil daripada sedekah itu. Apa yang aku berikan terlalu sedikit tetapi Allah balas dengan rezeki yang berganda banyaknya keesokan harinya.

Jangan mengharapkan balasan jika bersedekah atau memberi hadiah pada orang lain. Berilah dengan hati yang ikhlas. Ia umpama membuang segala perasaan riak dan kedekut di dalam hati. Mendidik hati agar dapat berkongsi rezeki dengan insan lain.

"Ya Allah! Hanya sedikit sahaja yang aku berikan pada si polan itu tetapi hari ini kau berikan rezeki yang tak terjangka banyaknya. Sesungguhnya Engkau sangat mengerti resah dalam hatiku ini!".

Hati aku sebak dan hampir saja aku menangis!

Suatu ketika dulu, ada 2 kisah yang sangat aku terasa terlalu drastik Allah berikan ganjaranNya.

1. Resah aku memikirkan bagaimana dengan hari esok. Terlupa aku dengan rezeki itu Allah yang tentukan. Hanya ada RM30 di dalam beg tangan untuk aku bertahan hingga hujung bulan. Tapi masih juga aku nak belanja anak-anak makan roti canai. Pada waktu yang sama terlihat aku 3 orang remaja yang aku kira baru berusia antara 11 ke 12 tahun sedang makan roti canai di restoran yang sama. Entah kenapa terdetik dalam hati nak belanja mereka. Lalu aku bayarkan sama harga sarapan mereka, aku dan anak-anak sekali yang jumlahnya RM17.90.

Tak perlu lama menunggu bila esoknya ada orang yang membeli jamu-jamu aku dari Adzrien Shoppe hingga duit yang terkumpul menjadi RM380 semuanya. Terpana aku seketika. Anak-anak aku turut gembira.

"Jangan kedekut untuk kongsi rezeki kita dengan orang lain lebih-lebih lagi dengan ahli keluarga sendiri! Tengok! Apa Allah dah beri pada kita?", pesan aku pada anak-anak.

2. Sejumlah wang aku salurkan untuk membantu warga Palestin membina semula masjid-masjid yang runtuh dengan niat pahalanya untuk arwah ayah. Waktu itu wang yang berbaki hanya ada dalam RM100, pun tak cukup untuk duit minyak, tol dan makan aku sehari-hari.

Tak perlu lama mana Allah menggantikannya. Seminggu selepas itu ada dua insan yang menggantikan benar-benar dengan jumlah yang sama seperti yang aku sedekahkan itu. Mereka kata itu upah atau komisyen milik aku yang lama mereka tak membayarnya. Sebenarnya aku tak pernah tahu pun tentang itu dan tak pernah kisah pun jika mereka tak membayarnya kerana mereka telah banyak memberi nasihat dan semangat pada aku selama ini.

Jadi! Jangan takut untuk bersedekah walau pun hanya sepuluh sen dengan syarat utama perlu ikhlas dan redha. Jangan mengharapkan balasan dari Allah, takut hati menjadi kecewa dan terpaling rasa syukur padaNya.

Yakinlah dengan rezeki Allah asal saja kita berusaha mencarinya.


2 comments:

AisNy said...

Terima kasih atas entry nie... at least entry nie membuka minda teman untuk sama-sama memberi...

faizal said...

Teruskan memberi. 1-1=10, sekali kita memberi ganjarannya 10 kali dan mungkin lebih besar lagi ganjaran orang yang memberi.