Dengan ayah semasa di Cameron Highlands (31Ogos2007)
Masa ni dah operate jantung, belum kanser tiroid lagi
Teringat lagi masa aku darjah 1, exam yang pertama aku dapat nombor 1. Ayah sedang mengukur kelapa masa tu. Dia bangun ambil duit seringgit dan hulurkan pada aku. Besarnya nilai seringgit masa tu. Berbungalah hati aku kerana seringgit tu. Banyak perkara yang ayah nasihat pada aku masa kecil dulu apabila aku berdua je dengan dia. Selalunya bila naik motor balik dari sekolah. Antara cerita ayah tentang bagaimana dulu ayah jual rokok daun yang dibuat daripada daun buluh sebelum pindah ke Jengka. Ayah dulu selalu hisap rokok daun dan aku memang pandai pintal, ikut ayah buat. Setiap kali aku nampak pokok buluh hiasan di mana2 pasti aku teringat cerita ayah.
Ayah juga bercerita tentang politik walau pun aku bukannya faham sangat masa tu. Baru darjah 2 agaknya. Sesiapa yang menang pun ayah tak nak ambil kisah kerana ayah kata yang penting ayah dapat bekerja untuk mencari rezeki buat keluarga. Bila dah besar ni baru aku faham, ayah bosan dengan perbalahan sekarang sedangkan yang susah tidak juga dibantu.
Seingat aku ayah tak pernah merotan aku melain ayah marah aje bila aku buat salah. Ayah kata arwah atuk lelaki aku dulu pun tak merotan anak. Tapi ayah aku pernah kena sekali, demam ayah dibuatnya. Orang dulu2 banyak ilmunya, itu yang dilarang sangat merotan anak.
Dulu ayah pernah ke sekolah Inggeris tapi sampai tingkatan 1 aje. Tak ada duit nak tanggung kerana masa tu ayah dah yatim piatu. Seingat aku, arwah opah iaitu ibu ayah meninggal pada hari aku dilahirkan. Sampai sekarang aku ingat ayah ajar aku perkataan 'brinjal' semasa aku darjah 1. Bila mak tak ajar aku mengaji, ayah ambil alih. Dengan mak sakit le telinga aku kena marah kalau tersalah, tetapi tidak dengan ayah.
Mak aku kalau potongkan kuku aku memang pendek, tapi ayah mungkin takut terkena kulit. Selalunya kuku tu masih ada lebih. Kerana itu tangan aku kena ketuk dengan ustazah sebab dia kata kuku aku masih panjang. Sekarang aku pulak potong kuku anak2 termasuklah suami aku sekali.
Mungkin banyak kenangan dengan ayah yang aku ingat2 lupa. Sekarang nak dengar percakapan ayah pun agak sengau tapi aku faham. Pendengaran ayah pun dah tak berapa jelas. Di usia tua ini ayah memerlukan bantuan anak2 dan isteri. Kalau dulu ayahlah yang membantu aku. Sanggup menunggu aku balik dari asrama berjam2 di simpang tiga Bandar Pusat Jengka dengan motor buruk ayah tu. Masa tu aku tinggal di Asrama Semai Bakti Tun Abdul Razak (ASBTAR) Kuantan atau lebih dikenali dengan nama asrama Felda.
Ini gambar yang dapat aku rakamkan dengan ayah semasa ke Kuantan pada 12 Jun lepas. Ayah dah pakai tongkat. Mak kata ada orang hadiahkan pada ayah.
Buat ayah, Liza sentiasa sayang ayah. Kenangan kita minum coke malam2 nak balik kampung kat Perak masa Liza kecik2 dulu memang Liza tak pernah lupa *(^_^)*
Jangan tak tahu, ayah selalu suruh aku pegang kaki ayam yang ayah nak sembelih. Ayah kata pandang tempat lain tapi aku jeling2 juga. Itu yang bila anak2 terluka, jari masuk selumbar ke, luka bernanah, akulah tukang jururawatnya. Suami aku pulak yang ngeri. Anak perempuan aku yang ketiga pun macam tu. Dia tak kisah tengok adik dia kena injection. Nak jadi doktor katanya.
Pada kakak, abang2 aku & adik aku...terima kasih kerana kalian sangat perihatin & bekerjasama mengambil berat tentang ayah & mak. Lebih2 lagi kakak yang sepanjang tahun sejak Raya puasa lepas mak & ayah tinggal di rumahnya. Sekali-sekala ke rumah yang lain nak bertukar angin.
Mak kata kakak nak ambil mak ayah dari jengka balik ke Subang minggu ni....aku datangggg!!
Link berkaitan kisah ayah : Ainul A.B
Baginda s.a.w. juga bersabda:
Link di sini : Aidilfitri tanpa ayah
Pada kakak, abang2 aku & adik aku...terima kasih kerana kalian sangat perihatin & bekerjasama mengambil berat tentang ayah & mak. Lebih2 lagi kakak yang sepanjang tahun sejak Raya puasa lepas mak & ayah tinggal di rumahnya. Sekali-sekala ke rumah yang lain nak bertukar angin.
Mak kata kakak nak ambil mak ayah dari jengka balik ke Subang minggu ni....aku datangggg!!
Link berkaitan kisah ayah : Ainul A.B
Baginda s.a.w. juga bersabda:
“Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.” (Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)
Alfatihah buat arwah ayah yg telah pergi pada 19 Ogos 2010M bersamaan 9 Ramadhan 1431H.Link di sini : Aidilfitri tanpa ayah
No comments:
Post a Comment