iklan

Followers

Pages

Saturday, 2 March 2013

Nak tunggu bila lagi untuk berubah?

Semakin usia bertambah semakin banyaklah perkara yang kita lalui dan pelajari. Ruginya jika pengalaman yang dilalui tidak diambil pengajaran darinya. Ilmu dan pengalaman sama memberi kebaikan untuk kita bertindak dengan lebih baik dalam melakukan sesuatu perkara yang sama.

Tahun 2013 ini menjadikan usia aku menginjak ke angka keramat iaitu 40 tahun pada 20 Januari lalu. Aku anggap angka keramat kerana itulah angka usia yang sering disebut-sebut orang sebagai segalanya bermula diusia 40. Apa yang bermulanya? Bagi aku ada makna yang tersirat di situ.

Pendapat peribadi aku apa yang bermula itu adalah kesedaran untuk menjadi insan yang lebih baik dari segi tingkah laku, penampilan dan amal ibadat. Jika sudah mencecah usia 40 pun masih lagi tiada sedikit pun perubahan baik lebih-lebih lagi pemikiran yang lebih matang maka renung-renunglah kembali diri sendiri.

Jika aku masih ingat sewaktu 20 tahun lalu, sikap aku sangat mudah melenting. Tindakbalas pantas sama ada dari segi perasaan mahu pun pergerakan. Kadang-kadang tak ada nak fikir panjang pun. Baguslah kalau tindakbalas positif tetapi teruk benar aku rasa kalau terus rasa nak marah bila diprovok.

Sebab itulah untuk menjadi baik, ramai yang dah berpesan tetapi sering saja aku abaikan :
- Berfikir sebelum berkata-kata lebih-lebih lagi jika anda diprovok dengan api kemarahan.
- Hindarkan sikap pentingkan diri sendiri. Tak peduli dengan perasaan marah dan kecewa orang lain.
- Banyak-banyaklah bersabar dan selalu bersangka baik.

Sukarnya nak melawan hasutan syaitan agar malas berbuat kebaikan, cepat nak marah, berburuk-sangka, dengki khianat dan segala macam sifat buruk. Tapi untuk kebaikan di dunia dan akhirat, pilihan yang patut kita buat adalah berusaha melawan hasutannya itu. Memang kena lawanlahkan!

Kuatkan semangat! Sama-sama beri semangat pada sesama kita untuk menjadi insan yang baik.

Kadang sakitnya rasa hati mendengar teguran orang lain kerana kita tahu kita memang salah. Rasa nak balas je kata-katanya dengan niat nak sakitkan hatinya pula. Awas! Kuatkan semangat! Jangan balas dan jangan cakap apa-apa dulu! Diamkan diri dulu dan tarik nafas dengan panjang serta lepaskannya perlahan-lahan.

Ya Allah! Berilah aku kesabaran! Mohon doa padaNya!


Bila kita membalas kata-kata seseorang dalam keadaan marah, biasanya hanya kata-kata yang memedihkan akan keluar dari mulut kita. Dan bila keadaan reda, kita jadi menyesal pula.

Bila usia dah 40 ni, harus aku kembali menyusun rutin hidup agar lebih teratur. Perlu aku berusahan untuk menyeimbangkan keperluan rohani dan jasmani. Tidak terlalu gopoh mengejar kebendaan, lebihkan ruang masa untuk berbuat kebaikan. Lebihkan usaha untuk berlapang dada menerima setiap dugaan dan cabaran.

Ambillah kesempatan untuk mengutip contoh-contoh sikap yang baik daripada para sahabat, jiran-jiran dan saudara mara kita. Abaikan perkara yang buruk dengan cara buat tak tahu je!

Belajar menerima teguran yang baik dari mereka dengan dada yang lapang... Orang lain tak mungkin dapat ubah diri kita jika bukan kita sendiri yang nak berubah. Jadi... pilihlah rakan-rakan yang baik agar kita boleh terpengaruh dengan sifat-sifat terpuji mereka.

Doakan aku dan moga kalian juga menjadi insan yang baik seperti yang kita impikan. Amin!

No comments: