iklan

Followers

Pages

Wednesday, 25 January 2012

Elakkan obesiti dan hasilkan minda cerdas

Mengenang usia di zaman kanak-kanak memang menyeronokkan. Agak aktif juga sewaktu aku di alam sekolah rendah. Susuk badan memanglah kurus hingga kadang mak marah kerana aku kurang makan. Kurang makanlah sebab asyik bermain saja agaknya.

Aku ke sekolah dengan berjalan kaki atau menaiki basikal. Kadang-kadang arwah ayah hantar dengan motosikalnya. Dulu tidak terasa jauhnya tetapi kalau sekarang kedai yang masih nampak dari rumah pun terasa jauhnya. Samalah tak kisahnya aku berjalan dari Kota Raya di Kuala Lumpur tu hingga ke Jalan Tunku Abdul Rahman. Tapi sekarang maunya rasa nak tercabut lutut berjalan sejauh itu. Mungkin usia mempengaruhi tetapi aku berani jamin anak-anak muda sekarang pun tak ramai yang nak berjalan sejauh itu.

Dulu-dulu memang tak kenal lansung rupa komputer atau PS1, 2. Usahkan tak kenal rupa, nama pun tak pernah dengar. Maka permainan tradisionallah yang menjadi aktiviti untuk berseronok.

Main lompat getah antara yang menjadi kegemaran aku. Ramai-ramai berkumpul dengan anak-anak jiran bermain di depan rumah salah seorang daripada mereka. Tak kira lelaki atau perempuan sama-sama bermain lompat getah. Bermula lompatan dari paras tanah, lutut, pinggang, bahu, telinga hingga kepala. Perlu skil dan kesungguhan untuk melepasinya. Nasiblah kalau yang memegang getahnya tinggi maka tinggilah lompatannya. Biasanya mudah bagi aku melepasi aras telinga tapi kadang berjaya dan kadang tidak bila tiba ke aras kepala.

Bermain galah panjang juga perlukan ketangkasan untuk melepasi petak-petak 3x2 hingga ke hujung dan balik semula ke pintu masuk. Perlu melepasi tanpa di sentuh oleh pihak lawan. Memang paling riuh dan gamat bila bermain.

Entah kenapa jarang benar aku nak sertai mereka yang bermain teng-teng ni. Main lompat sebelah kaki dari petak ke petak yang rupa seperti kiub yang terbuka bahagiannya, macam kapal terbang saja dilukis di atas tanah. Sebelum lompat perlu campakkan 'buah' yang dibuat daripada serpihan jubin. Tak berapa minat walaupun biasanya kanak-kanak perempuan yang main. Tak berapa mencabar agaknya.

Sekali-sekala bermusim juga aku bermain congkak di bawah rumah. Lubang congkak dikorek di atas tanah. Buah congkaknya kami gunakan buah getah je. Maklumlah akukan anak penoreh getah, maka banyaklah buah-buah getah kering yang boleh dikutip di ladang. Anak jiran aku memang yang paling hebat bermain congkak. Perlu cekap mengira dan bijaksana dalam mengatur strategi.

Bermain badminton pun aku suka bersama anak jiran aku yang berbangsa India. Agak rapat keluarga aku dengan keluarganya. Yang peliknya cuma aku seorang saja budak perempuan yang bermain. Agak tomboy dan brutal aku masa kecil dulu. Kadang-kadang aku bermain bersama adik-beradik aku, dengan abang dan kakak aku.

Jiran-jiran aku ramai juga dikalangan kaum India, maka kami yang anak-anak Melayu kadang terpengaruh juga dengan permainan kabadi. Boleh baca apa itu permainan kabadi di SINI. Kecoh dan meriah bila masing-masing berlari-lari nak menyelamatkan diri untuk melepasi halangan pihak lawan.

Ada juga main dalam bulatan yang besar. Sebiji bola digunakan untuk balik oleh mereka diluar bulatan kepada mereka yang berada dalam bulatan. Masing-masing perlu pantas mengelak dari terkena bola. Siapa yang terakhir selamat, maka dialah yang menang. Bukan dapat hadiah pun tetapi kepuasan menang itulah yang paling seronok. Biasanya yang aktif macam aku merasa juga menang.. he..he..

Semasa waktu rehat di sekolah rendah agama bukannya pergi makan tapi kami berkumpul untuk bermain bola roundess. Itu nama permainan yang kami beri. Sebenarnya permainannya sama saja macam permainan besbol. Perlu memukul bola dan lari keliling bulatan hingga ke akhirnya. Tak senonohnya bermain dengan memakai baju kurung sekolahkan. Itulah dunia kanak-kanak, tau nak main aje.

Kalau di sekolah pula aku aktif bermain bola jaring sejak darjah 3 hinggalah darjah 6. Bangganya bila buat pertama kali sekolah aku dapat Naib Johan Zon Jengka pada tahun 1985. Pertama kali tu memanglah gembira sebab pecah rekod sekolah. Agak kecewa sebab tak terpilih mewakili Zon Jengka. Hanya 2 orang rakan aku yang dapat, kedua-duanya dari posisi GD dan GK di bahagian pertahanan. Aku bermain GA masa tu dan agak rendah sikit.

Kebanyakan permainan dilakukan secara berkumpulan. Maka hubungan mesra sesama teman memanglah erat. Sekali-sekala bergaduh, lepas tu sekejap aje dah berbaik. Berkumpulan pun memang ramai hampir 10 orang atau lebih yang terlibat.

Permainan begini memerlukan badan yang cergas, sentiasa bergerak ke sana-sini dalam pergerakan yang tangkas dan selari pula otak berfikir tentang strategi dan skil. Memang sihat untuk badan dan minda.

Berbeza benar dengan anak-anak aku yang hanya meluangkan masa bermain game di laptop atau PS2. Mengeluh aku dibuatnya. Kadang sambil main sambil makan yang pastinya boleh menggemukkan badan. Disuruh beriadah dengan basikal pun berat badan nak bergerak. Dulu-dulu ada juga aku berbasikal keliling kampung. Seronok dapat mengayuh basikal ke sana-sini.

Tak kisahlah kalau mereka nak main boling, futsal, badminton dan sebagainya asalkan melakukan aktiviti yang dapat menggerakkan anggota badan. Ini harapkan pendidikan jasmani di sekolah saja. Risau aku dengan badan mereka yang lebih besar daripada aku. Masing-masing berat melebihi usia kecuali anak keempat aku yang susah sangat nak gemuk. Ikut gen aku masa kecil dululah tu. Badan sekeping je sampai aku pernah gunting gambar aku, ambil bahagian muka saja dek kerana malu dengan badan yang sekeping tu.

Agaknya aku kena paksa baru anak-anak nak bergerak, padahal taman permainan dekat saja dengan rumah aku. Masa mereka kecil-kecil dulu selalu juga aku bawa mereka ke taman-taman permainan sekitar Bandar Baru Bangu. Ini taman permainan dah dekat, boleh je mereka nak main badnminton, bola sepak atau buaian. Tapi kalau dah malas, tak bergerak jugalah. Joging memang mereka tak mahu, tak best katanya. Jom ajak-ajaklah anak-anak beriadah.

Boleh main game kat rumah ni tapi lagi elok selang seli dengan aktiviti luar rumah.

4 comments:

diana said...

BETUL LA..
MASA SEKOLAH DULU BADAN SEKEPING JE...
HEHEHE..
SAYA MASA SEKOLAH TAK DE MAIN LOMPAT GETAH KE,GALAH PANJANG KE ATAU PERMAINAN2 KAMPUNG NI...
JADI TUKANG TENGOK JE.SEBAB TAK RETI...TAPI KALAU SUKAN2 SEKOLAH SAYA AKTIF LA..

mas saari said...

nasiblah anak2 saya suka beriadah di luar rumah dari terperap je kat rumah ngadap komputer...

Hanis Azla said...

bets kan bila ingat permainan kita dulu2.. main roundess pakai baju kurung paling best.. bercapuk baju putih sekolah terkena tanah merah padang.. mmg kena bawak anak2 beriadahkan kak.. klu tak mmg dia org lgi syok ngadap tv dan pc.. cuti baru ni kami repair basikal anak2 .. so tiap petang boleh paksa dia orang kayuh basikal..

Dinas Aldi said...

Akak sekarang kalau suruh jalan kaki, insyaallah ok, jauh pun boleh tapi jangan suruh jogging atau lari, mintak hampun! I serender, you. Hehe..