Anak jiran aku, bukan sebelah rumah tapi selang banyak rumah.. he..he.. bakal hadapi SPM tahun ni. Masa PMR dulu dia dapat 7A, 1B. Memang anak yang bijak, berbudi-bahasa dan berugama juga. Sempurna didikan ibu dan ayahnya. Kakak dan abang-abangnya juga cemerlang dalam pelajaran.
Kebetulan dia juga senior di sekolah anak sulung aku yang kini berada dalam tingkatan 4. Dulu kakaknya pun dari sekolah yang sama. Bukan hanya cemerlang dalam bidang akademik tetapi juga merupakan Olahragawati dalam bidang sukan di sekolahnya. Turut aktif dalam aktiviti kokurikulum, kadet polisnya. Tabik betul aku dengan anak jiran aku ni.
Walau pun dia sibuk, mungkin juga keletihan tetapi kelihatan dia gembira dengan aktivitinya. Dia sentiasa mendapat sokongan dan bantuan dari setiap ahli keluarganya. Mudah tersenyum dan disenangi oleh rakan-rakan, para seniornya terdahulu, guru-guru dan adik-adik juniornya di sekolah. Ramah berbicara tetapi tidak terlalu berlebihan.
Minggu lepas anak sulung aku menyuarakan resahnya yang tak cukup nota untuk buat rujukan. Bukan cikgu tak bagi cukup nota tetapi kelemahan dirinya yang lambat memahami subjek-subjek Sains seperti Kimia, Biologi, Fizik dan Add Maths bila masuk peringkat pertengahan. Aku memahaminya kerana dulu pun aku juga pelajar aliran Sains. Jika masalah ini tidak ditangani segera, khuatir sukar nak mengejarnya bila dah masuk ke tingkatan 5 nanti.
Jadi aku cadangkan untuk meminjam nota-nota anak jiranku tadi untuk di buat salinan fotocopy. Akulah yang pergi berjumpa dengannya sedangkan anak aku menanti di rumah. Manja betul!
Bila berjumpa, tentulah ramah bersembang dengan anak jiran aku ni.
"Aishah tak tusyen ke aunty?", tanya anak jiran aku.
"Tak! Nanti form 5 le kot dengan tusyen sekolah!", jawap aku.
"Kalau dia nak tusyen di Bangi, boleh pergi sekali!'', tawarnya pada aku.
Ohh... itu kena tanya daddy Aishah le dulu.... Cadangan yang baik!
Sekolah mereka ni memang banyak bekalkan homework pada anak-anak murid. Sekolah Berprestasi Tinggi, kenalah jaga reputasi. Jika biasanya sekolah lain masih lagi sibuk nak buat persediaan belajar di minggu pertama persekolahan, SMKJ4 ni tak berlengah memberikan homework pada para pelajarnya tidak kira mereka di tingkatan berapa pun. Itulah rutin saban tahun yang aku lihat, membandingkan rutinnya dengan adik-adiknya dari sekolah lain. Tentu sekali melihat perbezaan aktiviti dengan sekolah anak kedua aku yang berada di tingkatan 2 dari sekolah menengah yang lain.
Bagi aku, itu tips yang baik untuk anak-anak yang kurang belajar. Bagi je homework, mau tak mau dia akan mendapat juga ilmu semasa buat homework tu. Maklum sajalah kalau tak ada homework ni kadang ada antara anak-anak yang tak mahu belajar lansung.
Lain pula dengan anak jiran ini yang siangnya hadir tusyen yang disediakan oleh pihak sekolah dan malam pula ke tusyen swasta di Bandar Baru Bangi, 15~20 minit perjalanan pergi dari rumah. Kadang ibunya yang menghantar atau ayahnya juga. Tidak pun abangnya pun boleh menghantarnya pergi dan balik tusyen. Masing-masing saling membantu. Sabtu atau Ahad pula ada home tuition bersama 2 orang rakannya yang berkongsi bayar upah guru. Jadual tusyen pun diatur agar tidak sampai membebankan sangat.
Letihnyakan bila asyik belajar aje. Tapi ibu bapanya pun ada juga beri dia kelonggaran untuk dia keluar bersantai bersama rakan-rakan. Sekali-sekala keluar makan dan bercuti seisi keluarga untuk meredakan minda dan mengeratkan lagi kasih sayang antara ahli keluarga.
Jika anak kita mampu melihat dan menilai masa depan yang diinginkan, tentu saja dia merasa kepenatannya hilang dan belajar adalah tanggungjawap yang perlu dilaksanakan. Korbankan sedikit masa bersantai semasa di tingkatan 5 untuk masa depan yang cerah. Apatah lagi jika dia mendapat bantuan, sokongan dan kasih sayang daripada seluruh ahli keluarga yang dapat berkongsi rasa sedih dan gembira. Tentunya hidup ini sangat bermakna buat dirinya.
Nak bijak bukan sekadar hanya belajar dan belajar tetapi aktiviti sukan atau kokurikulum juga turut menyumbang minda yang cerdas. Biar semuanya seimbang, oksigen dapat beredar dengan baik, badan tak rasa malas dan ilmu ugama yang diamalkan turut memberi ketenangan, kematangan dan keseimbangan dalam setiap tindakan.
Contoh dan cara yang baik ada di depan mata aku, jadi kenalah aku berusaha mencontohinya setakat mana yang mampu. Sesuaikan dengan kelebihan dan kekurangan yang ada pada aku dan anak-anak. Kalau nak bagus kenalah ikut contoh orang yang bagus, jangan bandingkan diri dengan orang yang tak bagus.
1 comment:
KA setuju sgt2
Post a Comment