iklan

Followers

Pages

Friday, 9 September 2011

Cemerlang di sekolah kebangsaan

Dulu aku mula bersekolah kebangsaan di Jengka 16, Pahang selepas dua tahun tadika. Sebuah sekolah di kawasan perkampungan tersusun yang dibangunkan oleh pihak FELDA dalam bahasa Melayunya LKTP. Perkampungan yang sering disebut Tanah Rancangan. Nama penuh sekolah ; Sekolah Kebangsaan LKTP Jengka 16.

FELDA - Federal Land Development Authority atau
LKTP - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan

Mula darjah 1 pada tahun 1980 dengan keadaan sekolah yang serba kekurangan. Masih aku ingat bila tiba waktu rehat kami semua beratur dan berjalan menuju ke rumah FELDA yang berdekatan sekolah untuk bersarapan. Sedapnya nasi lemak yang Mak Yong masak masih aku ingat hingga kini. Dapat juga susu kotak percuma.

Aku pun tak pasti mengapa perlu bersarapan di luar kawasan sekolah. Mungkin rumah tu dijadikan kantin sementara yang belum sempurna atau padat agaknya. Malah pernah dijadikan sebagai kelas kerana murid terlalu ramai dan hanya ada satu bangunan dua tingkat saja ketika itu. Ia tidak mampu menampung bilangan murid yang semakin bertambah.

Kelihatan Cikgu Razali sedang gigih mengajar di salah sebuah rumah Felda yang dijadikan kelas. Beliau pernah menjadi guru kelas aku semasa di darjah 4 (1983). Terima kasih kerana menurunkan ilmu trick meneka nombor pada aku seterusnya mengasah minda aku agar lebih cekap mencongak angka. Terima kasih pada senior aku kak Rehanis kerana aku ambil gambar ni di facebooknya.

Sejarah aku di situ bermula dari tahun 1980 hingga 1985. Sejarah di bawah ni aku copy paste info dari page facebook sekolah :

SEJARAH SEKOLAH

Pada hari 3hb.Januari 1978 Sekolah Kebangsaan LKTP Jengka 16 mula dibuka (Aku baru mula sekolah tadika, 5 tahun)
Kemudahan fizikal- Satu bangunan dua tingkat dan sebuah kantin.
Guru besar pertama - En.Mohd Daud bin Syam (Alfatihah!).
Pada tahun 1983 tujuh buah bilik darjah lagi ditambah (Separuh batu dan papan). Dengan inisiatif PIBG sebuah bangunan lagi dibina.
Pada 1hb.September 1983, Encik Ramli bin Sulaiman melaporkan diri sebagai guru besar. Seterusnya diganti oleh En.Mohd Hanapiah b.Ibrahim pada 3hb.Januari 1985 (Suka tandatangannya yang cantik).

Zaman aku dulu masih lagi perlu menjalani peperiksaan penilaian darjah 5. Waktu itu keputusan mereka yang mendapat 5A tidaklah memberansangkan. Rata-rata pelajar sangat lemah dalam Bahasa Inggeris.

Beruntung aku dapat guru kelas yang sangat tegas mengajar Bahasa Inggeris semasa aku darjah 5 iaitu Cikgu Mohd Sani Abdullah. Aku dapat bercakap dengannya melalui handphone pada April kelmarin. Bila disebut nama Liza, dia tak kenal. Kalau nama penuh, barulah dia tau.

Pekat dengan loghat Bagan Serainya walau pun beliau bukanlah asal Melayu jati pun. Mungkin sebab dah lama sangat berpindah ke sana sejak tahun 1985 lagi. Masih garang lagikah dia dengan anak-anak muridnya. Teringat pula bila boleh dikatakan satu kelas terpaksa berdiri atas kerusi bila tak dapat jawap soalannya. Semuanya menikus je! Takut tengok rotan ditangannya...he..he..

Guru-guru turut berusaha keras agar keputusan penilaian mencapai sasarannya. Bila diumumkan, aku dapat 5A bersama seorang lagi teman aku yang rumahnya juga dekat dengan rumah aku. Tergamam juga aku waktu itu kerana mendapat 5A sebenarnya beban buat aku yang kena kekalkan rekod cemerlang semasa di sekolah rendah.

Jadi, korang tentu faham bagaimana harapan mak dan ayah aku tidak mahu aku kalah dengan sesiapa lebih-lebih lagi dengan rakan yang juga dapat 5A tadi. Memang tradisi keluarga aku dan dia sentiasa bersaing dalam pelajaran kerana kakaknya juga sebaya dengan abang aku turut bersaing hingga ke sekolah menengah yang sama.

Seronoknya bila mak dan ayah hadiahkan basikal idaman aku waktu itu. Terima kasih mak dan ayah.

Trend waktu itu biasanya bilangan yang mendapat 5A hanya seorang atau dua orang sahaja setiap tahun. Kalaulah waktu itu dapat sekurang-kurangnya empat ke lima orang yang dapat 5A, tentu cikgu-cikgu semuanya gembira sakan kerana ia adalah keputusan yang sangat cemerlang.

Berbeza benar dengan zaman sekarang yang mana trend mula berubah sejak UPSR mula diperkenalkan pada tahun 1988. Maknanya adik aku tak merasa dah peperiksaan penilaian darjah 5 ni. Dia menjalani UPSR pada tahun 1993. Trend UPSR sekarang kalau hanya lima orang yang dapat 5A belum cukup cemerlang. Jangan dibanding dengan sekolah-sekolah dibandar yang rata-rata berpuluh-puluh pelajar berjaya mendapat 5A dalam UPSR.

Hadiah paling bermakna yang aku terima daripada pihak sekolah waktu itu bila aku dan rakan aku diraikan dalam Majlis Makan Malam Akhir Tahun bersama para guru sekolah. Bukanlah dibuat di mana-mana hotel pun, cuma di kantin sekolah saja tetapi ianya sangat bermakna. Wow! Banyaknya sate waktu tu. Aku anak kampung yang serba kekurangan memang agak jakunlah bila pergi ke majlis-majlis begini dan sate tu rasanya mahal juga nak beli masa tu.

Aku juga diberi hadiah sepasang uniform sekolah untuk terus ke darjah 6. Sepasang baju kurung biru yang sama warna dari kain cotton iaitu uniform aku sebagai ketua pengawas perempuan pertama waktu itu. Sangat berharga buat aku dan masih ada lagi dalam almari di rumah mak di Jengka 16.

Aku tanyakan pada cikgu Latifei yang juga guru disiplin waktu itu "mengapa cikgu pilih saya? Budak lelaki macam Hafizal, Sabri dan Mahathir kan ada?".

Ringkas saja jawapannya "Budak lelaki tak ada yang layak!".

Dari cikgu Latifeilah aku mendapat nombor handphone cikgu Sani yang telah aku ceritakan tadi.

Tapi walaupun aku ni perempuan dan ketua pelajar, sikap nakal aku tetap ada. Bila aku 'terbuli' pelajar lain yang menyusahkan kerja-kerja pengawas aku, cikgu Latifeilah yang menegur aku. Banyak nasihat dan teguran yang berguna diberikan pada aku. Beliau juga pernah mengajar kakak dan abang aku di sekolah rendah yang sama.

Apa pun permulaan yang baik bukan penentu menjadi pengakhiran yang baik juga. Baik dalam erti kata mengikut pendapat sesetengah masyarakat perlulah masuk universiti dan kerja gajinya beribu seperti yang diharapkan setara dengan pencapaian yang cemerlang semasa di sekolah. Tapi aku tidak begitu... Mengapa aku kata begitu, singkap kisahnya di SINI.

7 comments:

ummiross said...

Seronoknya ada gambar lama macam tu, tersingkap kembali kenangan lalu..
Alhamdulillah, apa yang Liza kecapi kini tentu yang terbaik untuk Liza, insyaAllah

Suara Kalbu said...

Jengka 16 ? Akak kenal Suhaida Md Jamil ?

Taufiq Arifin a.k.a. Topimagine said...

akk ne wat saya teringat zaman sekolah dulu la... hehe.. best kan mase jadi budak2 dulu :)

Amie said...

wow! ketua pengawas pertama... perempuan! mesti waktu itu memang sudah terserlah daya kepimpinan...

mas saari said...

akak dok jengka 16 ke?
rugi lah tak datang beraya hari tu..heheheheeee

Dr K said...

Bersyukur saya bila tgk gambar sekolah Liza ni...sekolah saya dulu sekolah dalam bandar..Cikgu2 yg masuk mengajar di dalam Felda/LKTP/ulu Sabah Sarawak ni mmg patut di beri imbuhan setimpal

Dinas Aldi said...

Kenangan yang amat berharga ni. Pasti dikenang ke akhir hayat.