Kita sangat benci orang lain bersifat ego yang sering kita maksudkan sebagai pentingkan diri sendiri tanpa memikirkan perasaan orang lain. Mungkin juga menyalahgunakan kuasa veto yang ada untuk menidakkan keputusan atau pendapat insan yang berada dalam kelompok kehidupannya.
Namun tanpa kita sedar kerap juga kita bersifat demikian yakni turut ego dalam beberapa perkara. Kita hanya tahu keputusan dan pendapat kita sahaja yang betul dengan melihat situasi yang hanya nampak di mata kasar kita. Kita tidak cuba melihat dengan mata hati dan memahami masalah yang mungkin dialami oleh pihak lain hingga memaksanya tidak sependapat dengan kita.
Tidak perlu kita melihat jauh keluar, cukup hanya kita lihat perkara yang berlaku di dalam rumah kita.
Bila anak meminta wang PIBG, yuran dan apa-apa jua kos untuk urusan sekolah, dengan segera kita marah, melenting dan cuba menyalahkan pihak sekolah. Bukan pihak sekolah yang ingin aku katakan kerana itu bukan masalah yang ingin aku katakan di sini. Aku hanya ingin memberitahu tentang anak-anak yang menjadi mangsa keadaan.
Anak-anak menjadi perantara untuk meminta wang itu dari ibu bapa untuk diserahkan kepada guru. Mereka diarah oleh guru untuk berbuat demikian dan bila terlewat membayarnya mungkin juga menjadi mangsa amarah si guru. Malang sekali bila si anak memintanya dari ibu bapa, dia juga dimarah oleh ibu bapa yang merasa tidak wajar dengan jumlah bayaran yang dirasakan membebankan.
Kasihannya si anak merasa bingung bila dimarah oleh guru dan ibu bapa sedangkan dia terpinga-pinga di tengah-tengah. Tak tahu nak berkata apa dan nak mengadu pada siapa. Kalau pendek akal, mulalah ada yang buat perkara yang bukan-bukan.
Takut juga kalau jadi macam kes begini, baca kisah 'Hanya kerana sehelai pakaian seragam'. Baca juga tentang 'Sifir bunuh diri'.
Kalau tak puas hati, pergilah bertanya terus dengan guru. Biarkan kita sebagai orang dewasa berurusan dengan orang dewasa jika ada masalah. Kalau tiada masalah, bukan masalah pun kirimkan wang melalui anak kita.
Sambil tu dapat juga kita nasihatkan pada anak "Lihat anak! Mahalnya nilai wang untuk ibu/ayah keluarkan agar kamu dapat belajar dengan tenang. Jadi belajarlah bersungguh-sungguh agar wang yang dikeluarkan ini tidak terbazir begitu saja. Ada orang lain yang mungkin tidak mampu lansung nak mengeluarkan wang sebanyak ini."
Itu belum lagi bila anak meminta wang untuk kos persekolahan, kita menidak-nidakkannya pula. Tapi selepas itu elok pula kita membeli baju baru, jam tangan baru, beg tangan baru, kasut baru dan sebagainya untuk kegunaan sendiri. Beratus-ratus pula harganya. Berbelanja begitu lebih penting daripada perbelanjaan sekolah anak demi kepuasan diri sendiri.
Jangan kita fikir orang lain hanya tahu menyusahkan kita sahaja dengan tidak mendengar kata dan nasihat kita. Kadang kita sendiri patut mengkaji apakah kita juga sering menyusahkan mereka? Pernahkah kita cuba memahami apa yang sedang dan sering dilaluinya sehari-hari hingga mereka kelihatan seakan memberontak dengan kita.
Kita mungkin hanya tahu memberikan anak-anak kita wang dan kemewahan tetapi kita tidak sertakan dengan kasih sayang. Kasih sayang bukan sekadar berkata dengan bahasa yang lemah lembut tetapi bantu mereka menyelesaikan masalah yang kadang sukar bagi mereka yang masih remaja tetapi mudah bagi kita yang dewasa.
Adakalanya kita pula menyalahkan mereka walau dengan bahasa yang lemah lembut tetapi tetap menyakitkan hati. Nanti dia rasa "Bukan nak selesaikan masalah tapi menyakitkan hati pula!". Sertakan dengan pendapat untuk penyelesaian kerana kita sebagai ibu bapa antara orang yang paling rapat dengan anak-anak.
Kalau kita boleh amalkan 'brainstorming' semasa mesyuarat di tempat kerja, mengapa tidak di rumah atau dengan masyarakat sekitar kita. Apa 'brainstorming' tu... he..he.. search kat Google lah ye.
Aku kena belajar untuk menjadi pendengar yang baik dan sabar dengan masalah insan-insan yang aku sayang. Bukan untuk kita terus ikut apa yang diingininya tetapi dengar dan fikirlah dulu, kemudian barulah kita buat keputusan yang sebaik-baiknya. Apa yang sering aku lupa terus 'cantas' kata-kata mereka tanpa mendengarnya hingga habis dan hasilnya kadang mampu melukakan hati.
2 comments:
'Brainstorming' kat rmh tu lebih kurang mcm 'meeting dgn famili' la eh?
btul tu...ksian anak2, sy juga pna jd murid, cikgu suruh mintak duit, alih2 kite plak kna mrh dgn ibu bpa sbb hrga diminta itu tinggi....
bile da bsar ni, sy cba msuk dlm diri adik2 sy..sbb sy juga berfikiran mcm mreka suatu ketika dlu....
perenggan last skli tu...kalaulah sume ibu bapa fikir mcm tu mesti ibu bpa leh jd besfrend dgn anak2 dorang..
Post a Comment