iklan

Followers

Pages

Sunday 15 April 2012

Allah tarik rezeki yang itu tapi ganti dengan yang lain.. syukur!

Allah memang sering menduga kita. Cuma kita yang sering terlupa atau saja buat-buat lupa, akulah tu. Membaca entry teman baik, Hanis Azla dengan tajuk 'Pengajaran buatku..' memberi kesimpulan bahawa adakalanya Allah duga kita dengan perkara yang kita tidak suka. Malah dugaan itu tidak seberat mana pun yang sebenarnya nak mendidik kita agar lebih bersabar. Dugaan yang sebenarnya hendak menyelamatkan kita dari perkara buruk yang lain.

Kita tidak tahu rahsia takdir Allah, namun kita hendaklah berusaha agar takdir kita menjadi kisah yang baik, gembira dan menguntungkan. Jika pengakhirannya masih mengecewakan, kita kenalah redha. Itulah yang sepatutnya kita lakukan sebagai umat Islam.

Dugaan yang Allah berikan kadang menutup hati kita untuk melihat kebaikan di sebaliknya. Tindak balas yang selalu aku berikan sering mengarah kepada kesalan, marah dan kecewa. Aku sering terlupa dan selalu begitu.


Gambar yang aku jumpa di facebook rakan baik abang kandung aku semasa di sekolah rendah ini juga memberi pengertian yang sangat mendalam. Tentu hubby aku setuju sangat dengan kata-kata ini kerana aku ini kadang jenis yang sukar mendengar nasihat. Maka rendah-rendahkanlah hati menerima nasihat dan teguran yang baik dari orang lain, biar pun kita rasa orang itu tidak layak menasihati kita. Tapi siapalah kita nak menilai kemuliaan seseorang itu di sisiNya, hanya Allah s.w.t.

Berjumpa dengan seorang client secara tak sengaja di KL Sentral minggu lalu membawa kepada temujanji lain semalam di Alamanda, Putrajaya atas dasar kerja aku sebagai UTC (Unit Trust Consultant).

Seperti ada keserasian antara aku dengannya yang bagaikan sudah kenal lama. Kisah anak-anak menjadi topik utama berbanding kisah tentang Unit Trust. Itulah yang berlaku bila dia yang punya anak 4 orang dan aku pula ada anak 5 orang bertemu. Usia anak-anak pun masing-masing masih bersekolah, macam padan aje. Ditambah pula suaminya juga suka memasak seperti hubby aku bila ada masa terluang.

Asalnya aku cuma menyapa untuk bertanya "Kak! Betul ke tunggu train ke Putrajaya kat sini?". Aku nak balik dari KL ke Putrajaya menaiki ERL. Puncanya kerana dari awal pagi lagi aku tak mahu bersesak menaiki komuter balik ke Bangi di waktu petang.

Bila dia bertanya aku kerja di mana, barulah aku menjawab yang aku bekerja di Public Mutual. Risau juga nak beritahu, takut kalau-kalau dia tak selesa pula nanti. Maklum sajalah, ada orang mengelak untuk bercakap dengan 'Sales person' macam aku ni. Takut kalau aku 'promote' produk pula nanti.

Dalam train duduk sebelah-menyebelah je. Ramah dia bercerita tentang anak-anak dan aku pun suka mendengarnya. Saja nak cungkil rahsia bagaimana seorang ibu mendidik anak-anaknya. Boleh juga aku ikut mana-mana yang baik dan sesuai. Mudah tersenyum dan ketawa juga, macam aku juga agaknya.

Sampai di Putrajaya, sama-sama jalan beriringan nak bayar duit parking di mesinnya. Kalut dia mencari beg duit. Rupanya tertinggal di pejabatnya. Dia naik ERL tadi guna kad Touch 'n' Go ye. Selepas aku bayar duit parking aku, aku hulurkan lebihan syiling padanya. RM2 je "Liza belanja akak!".

Mulanya dia nak call suaminya, tapi aku kata padanya jangan susah-susahkan perkara yang mudah. Jangan sebab tak dapat nak bayar parking yang cuma RM2, berjam-jam pula dia nak tunggu suaminya datang. Syukur aku ada RM2 untuk aku hulurkan padanya.

"Nanti akak bayar balik ye!", katanya pada aku.

"Ish! Tak payahlah kak! RM2 je, kalau RM200 memang Liza minta balik!", he..he..

Niat aku memang nak membantu dan aku mampu pula masa tu. Jadi berikan saja. Sebenarnya ia memberi kepuasan dan kelegaan pada diri aku bila mampu meringankan masalah orang lain, setakat yang aku mampu. Apalah sangat RM2 nak dibandingkan dengan rezeki yang Allah dan beri pada aku dan banyak pertkara-perkara lain yang aku bazirkan dengan jumlah yang lebih besar.

Namun perjumpaan susulan semalam membuatkan aku tersentak dan bersyukur sangat-sangat dengan sesuatu yang aku tidak duga lansung. Benar-benar aku tak menyangka dengan jumlah yang dia setuju untuk laburkan dengan aku dari wang EPFnya. Siap berikan juga penyata EPF milik suaminya. Cukup untuk aku katakan komisyen yang bakal aku terima dalam RM1K lebih sikit.

Urusan dengannya juga sangat mudah dan sempoi. Dia juga yang belanja aku makan, padahal aku yang mengajaknya. Adoiii... naik segan pulak aku.

Berjumpa dengan client wanita lebih mengujakan aku sebenarnya sebab banyak lagi perkara lain yang dapat dikongsi. Bila aku bercerita tentang Youtube Ustaz Azhar yang aku uploadkan dalam entry 'Bertudung tapi dok tutup aurat', timbul pula ceritanya tentang ceramah yang sering diadakan di KLCC pada hari Isnin, tengahari. Boleh juga lapang-lapangkan masa untuk mendengar sama.

Memandu pulang ke rumah dengan hati yang sangat terharu. Rasa nak menangis pun ada. Kalau hubby baca ni tentu dia ketawakan aku. Maklum saja aku ni agak degil sikit bab-bab syahdu ni.

Terharu sangat bila memikirkan beberapa hari yang lepas dan minggu-minggu yang lalu aku sedih bila aku terlepas beberapa peluang dek kerana sibuk dengan masalah sendiri. Tapi tiba-tiba Allah ganti dengan rezeki yang berganda lebih daripada peluang yang aku terlepas tu. Allah beri juga aku seorang client dan sekali gus menjadi teman yang sangat sederhana dan penyayang sifatnya.

Apa yang aku pelajari? Lakukan tugas kita dengan ikhlas dan jujur. Tidak mengapa jika ada perkara yang dulu milik kita tetapi kemudian ia pergi begitu saja atau ada yang tidak singgah pun menjadi milik kita. Belajarlah bersabar dan jangan cepat melatah. Bersyukur dengan segala apa yang kita miliki, bukan dengan kata-kata tetapi tunjukkan dengan apa yang sepatutnya kita amalkan sebagai hambaNya.

Berkata itu mudah, melaksanakan mungkin agak sukar tapi aku kenalah berusaha.

Sampai rumah terus cium pipi hubby dan kongsikan cerita dengan anak-anak. Terima kasih juga pada mak, kakak, adik, abang-abang dan ipar-ipar aku yang sentiasa memberi sokongan pada aku selama ini. Rakan-rakan semua tentulah tak lupa yang terus menyuntik semangat buat aku.

Note :
Ada yang nak kerja macam aku ni? Boleh rujuk entry aku yang ini, 'Aku pun nak offer jawatan kosong, sapa mau?'.

7 comments:

syiela said...

syukur Alhamdulillah.. wah banyak komisen yg dapat tu... rezeki dariNYA

Prettywrite said...

ya Allah terharunya yana baca kak..thanks kongsi..sikit sebanyak menyedarkan yana..rezeki kita memang bukan milik kita sepenuhnya..tapi makin dibagi makin Allah bagi lebih2 lagi kan..huhu

atuk said...

Assalamualaikum Liza

terima kasih banyak2
moga ada faedahnya

ummiross said...

Alhamdulillah, aturan Allah untuk hambanya sangat cantik, sedikit kita memberi,ganjarannya tak terduga pula oleh kita..

Puan Kutu said...

rezeki tu Allah beri.jalan hidup kita Allah dah aturkan dengan baik sekali.Tahniah kak..mmg dah rezeki akak.sy percaya pertolongan yg sedikit Allah akan balas dengan berlipat kali ganda,Insyaallah..:)

mselim3 said...

Nasihat itu adalah makanan hati...jika tiada orang nasihat...lama2 hati akan mati..dan keras...

wassalam...

pls : kalu liza free komen mana entry k...yg ikhlas selim...

mas saari said...

rezeki Allah tu sentiasa ada, kalau tak dapat yang ini pasti ada yang lain utk kita... cuma lambat dan cepat je! jadi kenalah sentiasa bersyukur..