iklan

Followers

Pages

Wednesday 25 April 2012

Kita hidup bukan semata-mata untuk diri sendiri

Hidup kita ini bukan sekadar individu atau sorang-sorang saja. Bukan hanya memikirkan kepentingan untuk diri sendiri semata-mata. Perlu juga melihat kesannya pada orang lain atas tindakan kita. Dalam erti kata lain, jangan syok sendiri.

Kita hidup dalam kelompok masyarakat yang terdiri daripada jiran-jiran, rakan-rakan, adik-beradik dan tentunya juga suami, isteri dan anak-anak. Kepentingan mereka juga patut kita ambil kira jika ianya akan terganggu akibat perbuatan kita. Jika terpaksa diganggu, maka perlu juga mendapat ihsan dan rasa tolak ansur dari mereka.

Bak kata siri kartun 'Wonder Pets' ; "Apa yang penting? Kerjasama!".

Berkerjasama, bertolak ansur dan saling menyokong kerja-kerja yang baik itu dapat membina satu kelompok yang harmoni dan bertimbang rasa. Bukan hanya memikirkan kesusahan kita sahaja sedangkan bila kita memerlukan kerjasama di pihak yang lain, tidak sedikit pun kita memikirkan kesusahan yang bakal dialaminya.

Perkara yang mudah jangan pula kita susah-susahkan. Kadang yang susah juga menjadi mudah jika kita tidak terlalu berkira dan berlapang dada. Mudahkan saja jika memang itu yang terpaksa kita lalui atau tiada pilihan lain yang lebih bagus.

Contohnya bila ada jiran yang buat kenduri. Tentu saja akan sesak kawasan hadapan rumah kita dengan kereta yang akan parking sesuka hati oleh tetamunya. Jangan marah, jangan susah-susah! Lepaskan saja rasa yang tidak baik itu dan berlapang dada. Tidak mengapa, letakkan kereta kita jauh-jauh sikit agar mudah nak keluar jika kita memerlukannya. Bukan lama pun nak susah begitu, cuma sehari dua saja. Ini hari dia, nanti bagaimana pula kalau anak kita yang nak buat kenduri kahwin.

Jangan sesak-sesakkan kepala nak marah-marah, bermasam muka, berkerut dahi dek kerana tak puas hati. Adakalanya kita tak mampu mengawal orang lain untuk menurut kehendak kita dengan bersikap menentang. Kadang elok diturut dulu dan kemudian baru memberi pandangan kita.

Umpama anak kecil yang inginkan gula-gula dengan segera, maka sesuai dulu kita ikut rentaknya dengan bertanya "Ooo... adik nak gula-gula?". Tentu saja si kecil akan reda sekejap dari menagis sambil mengangguk.

Tambah lagi "Adik suka gula-gula yang begini?", kemudian pandai-pandailah kita nak putar-putarkan segala nasihat yang perlu untuknya. Kadang menjadi kadang tu tidak jugakan. Tapi itu lebih baik daripada terus menolak kerana sifat penolakan kita yang pertama itu boleh meninggalkan kesan dendam di hati seseorang walau pun anak sendiri.

Jadi kalau kita tak mahu marah-marah, tak mahu pening-pening eloklah kita jangan fikirkan susah kita saja. Ingat-ingatlah kalau kita juga ada buat orang lain susah dan dia rasa macam tu juga. Maka, redha je lah ye! Buanglah sifat pentingkan diri sendiri, saling menyokong dan bekerjasama itu sebaiknya. Nanti kita juga yang untung sebab hati pun tenang jadi kurangkan risiko dapat penyakit-penyakit darah tinggi, jantung akibat stress.

No comments: