Berapa kerapkah kita memuji anak-anak kita bila mereka melakukan sesuatu yang bagus? Rasanya semasa mereka kecil-kecil dulu pujian lebih kerap kita berikan berbanding bila mereka semakin membesar.
Kita ketawa bersama bila mereka mula pandai bertepuk tangan sambil berkata "pandainya anak mama!". Jarang benar kita nak marah mereka pun. Kalau dimarah pun bukan mereka faham kerana masih bayi lagi.
Adakalanya kita tolong kirakan langkah bila mereka mula bertatih untuk belajar berjalan. Lagi sekali dengan gembira kita memujinya "pandainya anak mama!".
Bila usia meningkat, mereka mula belajar mengira 123 dan membaca ABC mungkin seawal-awal pun dalam usia 3 tahun. Mereka semakin bijak dan kreatif. Namun kata-kata "pandainya anak mama!" masih juga mampu kita ucapkan bila mereka mengira dan membaca dengan betul.
Pun begitu kita sudah mula memarahi mereka jika ada kesilapan yang mereka lakukan. Usia 3 tahun biasanya sudah mula mengenal beberapa perkara yang salah dan betul. Tetapi banyak juga yang perlu kita ulang-ulang memberitahu mereka.
Peringkat sekolah biasanya bermula di usia 5 tahun. Setiap tahun usia mereka bertambah seiring dengan daya pemikiran mereka yang juga semakin bertambah cabang akalnya. Tidak kiralah akalnya cenderung kepada perkara yang berfaedah atau sebaliknya. Ianya bergantung juga pada cara kita mendidik mereka.
Pujian juga semakin berkurang bila usia mereka meningkat. Kata-kata "pandainya anak mama" semakin jarang didengari. Mungkin sudah tidak sesuai lagi kita menggunakan perkataan sedemikian, apatah lagi bila sudah melangkah ke peringkat menengah. Malu nanti kawan-kawan dengar... betul ke macam tu? Mungkin betul!
Bila usia anak semakin remaja, jiwa mereka lebih mudah memberontak. Adakala sedikit tersilap, kita lebih mudah membentak atau menyalahkan. Akan terasa lebih tidak puasnya hati mereka bila dipersalahkan atas perkara yang tidak mereka lakukan atau memang benar-benar tidak sengaja.
Cuba kita kira kembali, berapa banyakkah kata-kata perhargaan yang kita berikan pada anak-anak jika mereka melakukan perkara yang baik? Tidak perlu pujian berlebih-lebihan, khuatir terlebih bodek buat anak jadi angkuh pula. Apa yang kita harapkan agar anak merasa dihargai dan disayangi. Moga mereka akan terus mahu mengekalkan kebaikan itu.
Berapa kerap juga kita berbual dan bergurau dengan anak-anak yang sudah meningkat remaja? Mereka mungkin selalu diam dan mengelakkan diri kerana kita yang jarang memperdulikan mereka. Kadangkala bila kita berbual dengan mereka akan ada rahsia-rahsia masalah mereka yang akan mereka kongsikan dengan kita.
Sekali-sekala luangkan masa bersama mereka sama ada menonton TV, bersukan, beriadah di luar, ke masjid, pergi ceramah ugama atau motivasi dan apa-apa aktiviti yang sesuai. Ramai di kalangan kita yang suka sama-sama seisi keluarga bermain boling, menonton wayang, berkelah dan sebagainya. Elakkan jurang komunikasi yang jauh antara kita dengan anak-anak.
Bagaimana jika mak dan ayah balik dari kerja tengok anaknya sedang menonton TV. Tanpa menyelidik terus saja marahkan anaknya yang dikatakan asyik menonton TV tanpa membuat ulangkaji atau kerja rumah. Mungkin si anak sudah siapkan semuanya sebelum menonton TV. Kalau belum siap tu memang patutlah kena marah. Lama-lama anak bosan dan terus memerap dalam bilik melayan perasaan.
Bukan tak ada yang tak siap kerja dan hanya tahu berinternet, tengok TV dan bersantai. Ramai yang macam tu. Kat rumah aku pun ada sangat. Perlu diingatkan selalu, perlu ditanya sudahkah siap kerjanya. Jika rasa cuak diminta tunjukkan bukti. Tak mengapa nak tengok TV, tak marah kalau nak main game asal kerjanya siap dan keputusan peperiksaannya bagus.
Kadang pujian bukan datang dengan kata-kata yang jelas, mungkin juga perbuatan kita sama ada jelas memberikan hadiah, menepuk bahu dengan senyuman atau sekadar ucapan "tahniah", "hebatnya" atau apa-apa saja yang sesuai yang mampu buat hati anak gembira.
Menegur anak itu sudah menjadi tanggungjawap kita walau pun sukar tetapi sekali-sekala seimbangkan dengan pujukan manja. Eh... dah besar-besar nak bermanja lagi?
Bukan nak mengata sesiapa pun, mengata diri sendiri yang kadang kerap terlupa rasionalnya bila menegur anak sendiri. Maklum saja anak pun 5 orang. Ada yang masih baru 3 tahun, 10 tahun, 12 tahun, 14 tahun dan 16 tahun. Macam-macamlah akal mereka mengenakan mamanya dan mamanya pasti akan membalasnya.
2 comments:
Salam kenal....
Anak2 masih kecil, harap2 takkan macam tu dengan anak2.....masih lagi buat aktiviti ngan diorang, melukis, memancing, eksesais...heheheh
betul tu kak! saya pun kadang2 terlupa nak puji anak2 kalau mereka tolong buat kerja... tapi mereka yang selalu cakap camni.."mama tak puji arfan rajin ke sbb tolong mama!"
heheheee..pandai dia!
Post a Comment