iklan

Followers

Pages

Tuesday, 8 May 2012

Durian runtuh FELDA hari ini untuk mak!

Patutnya aku pun berada di Jengka 8 pagi ni bersama dengan mak aku tapi dia tak jadi nak pergi sebab tak larat katanya. Tiba-tiba pulak sakit pinggang, tak larat nak jalan. Lagi pun dia risau kalau dah ramai yang datang situ nanti susah pulak aku nak melayan si kecil tu nanti.

Mak aku ada di rumah kakak aku di Subang Permai. Pelan asalnya mak nak balik hari Isnin, tidur di rumah di Jengka 16 dan pergi ke majlis pengumuman ni di Jengka 8. Tapi semua pelan dah tak jadi. Biasalah kadang apa yang kita rancang tak menjadi. Lagi pun abang sulung tak galakkan dia pergi sebab mak aku pun ada masalah sakit lutut. Aku ni menurut je kalau dia ok sebab tak sampai hati nak tengok dia merajuk. Kebetulan pula dia sendiri yang rela hati tak jadi pergi, kira oklahkan!

Mak aku 'excited' sebenarnya nak mendengar sendiri pengumuman ni. Maklum saja dia generasi pertama Jengka 16 sejak tahun 1978 lagi yang telah bersusah payah membina hidup bersama-sama arwah ayah dulu. Sekarang mak dah tak susah sebab bulan-bulan dapat juga 'gaji' Felda bagi walau pun dah tak bekerja. Macam wang pencen pulak.

Aku tak kisah apa orang nak kata yang bukan-bukan tentang Felda asalkan mak aku bahagia. Anak-anak mak ikut saja kehendak mak nak beli saham Felda Global walau pun ada bunyi-bunyi negatif di sebaliknya. Tak mengapa sebab anak-anak mak sentiasa memerhati, mendengar dan bertindak bila perlu. Anak-anak mak dan menantu-menantu mak pun ada juga yang biasa dengan saham-saham begini.

Bulan lepas aku turutkan saja kehendak mak nak balik ke Jengka 16 untuk tandatangan borang 'Durian Runtuh' ni, dapatkan cop untuk surat sumpah, buka akaun baru Maybank untuk saham Felda Global dan sebagainya. Seharian jugalah menguruskannya kerana kami berdua balik pagi dan lewat petang baru dapat gerak balik semula ke Subang.

Syukurlah banyak rezeki untuk mak. Kadang hati mak tersentuh bila teringat arwah ayah yang sudah tiada untuk sama-sama menikmati hasil susah payah mereka berdua dulu. Aku pun turut sedih, apatah lagi hari tu sempat singgah jenguk dan solat di rumah mak yang dah berbulan-bulan ditinggalkan. Setiap bulan mak dan kakak aku akan balik sekejap untuk cuci seadanya rumah ni. Lama dah kami adik-beradik tak balik beramai-ramai bergotong-royong macam kelmarin dalam entry 'Kisah di sebalik background blog aku'.

Mak tak kedekut dengan anak-anak dan cucu-cucu. Kami tidak meminta tetapi mak suka memberi bila mak dapat rezeki lebih. Cucu-cucunyalah yang paling beruntung kerana selalu dapat 'extra money' dari nenek mereka ini. Bagi mak, bila kita dapat lebih rezeki janganlah kita kedekut nak berkongsi dengan ahli keluarga yang sama-sama menyokong kehidupan kita. Insyaallah! Tak akan luak apa yang kita ada, malah mampu bertambah lagi. Kadang terkejut juga bila tiba-tiba ada 'bonus' mak bagi, rupa-rupanya ada rezeki tak diduga yang mak dapat.

Sumber berita berikut dari SINI.

Durian runtuh FELDA hari ini
Oleh Hassan Omar, Ahmad Farizal Hajat dan Shaarani Ismail
bhnews@bharian.com.my
2012/05/08

Perdana Menteri buat pengumuman ganjaran tanda penghargaan kepada peneroka setia memajukan ladang


JERANTUT: Hari ini peneroka FELDA akan menerima berita gembira mengenai jumlah ‘durian runtuh’ yang dijanjikan kerajaan sebagai tanda penghargaan kepada mereka mengusahakan ladang sawit dan getah sejak 40 tahun lalu.
Difahamkan, jumlah yang bakal diterima 112,635 peneroka berlipat kali ganda lebih tinggi daripada wang Bantuan rakyat 1Malaysia (BR1M) dan menyamai kadar menunaikan umrah di Makkah sebanyak dua kali.
Ia akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di hadapan lebih 30,000 warga FELDA dari seluruh negara sempena perhimpunan raksasa warga FELDA, di FELDA Jengka 8, di sini pagi ini.


Pemberian durian runtuh secara tunai itu bagi memenuhi janji kerajaan ketika pengumuman Bajet 2012 dan sempena penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH) di Bursa Malaysia, bulan depan.


“Ia sudah semestinya akan lebih daripada wang BR1M sebanyak RM500,” kata sumber dalaman FELDA sambil memberi jaminan bahawa walaupun mendapat durian runtuh, semua insentif yang dinikmati selama ini seperti duit raya, bonus, pinjaman membesarkan rumah dan perumahan generasi kedua akan diteruskan.


Sumber itu berkata, ia bukan setakat memberi manfaat kepada peneroka, malah isteri, anak dan cucu, termasuk generasi kedua, ketiga dan keempat peneroka FELDA serta pekerja dalam sektor perladangan kelapa sawit yang dianggarkan berjumlah dua juta orang.
“Ia akan dibayar lebih daripada dua kali kerana jumlahnya yang besar. Terpulanglah kepada peneroka bagaimana mereka mahu menggunakannya untuk keluarga dan masa depan,” katanya.


Sumber itu juga menjelaskan wang durian runtuh itu diperoleh menerusi pelbagai sumber dana dalaman FELDA yang akan diperoleh semula apabila proses penyenaraian FGVH selesai.


“Masyarakat luar FELDA mungkin bertanya mengapa peneroka FELDA menerima pelbagai sumbangan. Hakikatnya, dana itu bukan daripada kerajaan, sebaliknya dana dalaman FELDA sendiri,” katanya.


Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif FGVH, Datuk Sabri Ahmad, berkata ia adalah pengiktirafan kerajaan atas ketabahan warga FELDA menempuh pelbagai dugaan dan ranjau terutama kekurangan kemudahan asas di tanah rancangan itu suatu masa dulu.


“Ia bagi mengiktiraf penat lelah peneroka memajukan tanah yang pada masa itu tidak memiliki bekalan elektrik dan sistem jalan raya yang baik. Nilai pemberian itu dijamin menyamai maksud ‘durian runtuh’ kerana ia dibuat sebagai satu lonjakan berganda kepada bonus peneroka,” katanya.


Sehubungan itu, beliau berkata, semua warga FELDA akan meraih pelbagai manfaat dan faedah ketara hasil pemberian wang berkenaan.


“Saya pasti wang yang akan diterima nanti dapat merangsang lagi aktiviti ekonomi warga FELDA di pedalaman,” katanya.


Dalam pada itu, seorang pemerhati pasaran, berkata semua 112,635 warga FELDA bakal meraih sekurang-kurangnya empat manfaat daripada penyenaraian FGVH.


Sebagai permulaan, mereka ditawarkan borang biru dalam tawaran awam permulaan (IPO) sempena penyenaraian yang melayakkan mereka melanggan sejumlah saham dalam FGVH. Mereka juga mendapat dividen tambahan menerusi sebuah tabung amanah berdaftar yang memegang 20 peratus kepentingan peneroka dalam FGVH, dianggarkan bernilai RM3.7 bilion.


Selain itu, walaupun Koperasi Permodalan FELDA Bhd (KPF) tidak menjadi sebahagian daripada pelan penyenaraian FGVH, peneroka masih mendapat dividen daripada KPF menerusi pelaburannya dalam Felda Holdings Bhd (FHB).


Manfaat keempat pula adalah penyenaraian FGVH tidak membabitkan pindah milik tanah peneroka dan mereka akan terus menikmati hasil daripada ladang yang mereka uruskan. Penyenaraian hanya membabitkan sejumlah 355,846 hektar tanah milik FELDA yang akan dipajak oleh FGVH.


Ia tidak menyentuh walau seinci pun tanah milik peneroka dan lebih 1.6 juta ahli keluarga mereka yang berjumlah 500,000 hektar. FGVH yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan menerusi FELDA dianggarkan memilik modal pasaran berjumlah RM18 bilion apabila disenaraikan.

6 comments:

muslimah rempit said...

Untung ada anak-anak yang ada ilmu dalam bidang tersebut..

bagi kami yang tiada ilmu ni kasihan gak... tak tahu hujung pangkal pun..

Nora Karim said...

Alhamdulillah... rezeki...

Irfa said...

untungnya :)

siti murni said...

Alhamdulilah...rezeki.. :)

atuk said...

Assalamualaikum Liza

Alhamdulillah....
PS: kena fikirkan

diana said...

untungnya jadi orang felda ni..
alhamdulillah..rezeki tu..
*****
saya ada dengar2 yang ada jugak orang felda yang rasa 15k tu tak cukup.sepatutnya dapat banyak lagi..aduhai..tak tau la nak kata apa..