iklan

Followers

Pages

Thursday, 31 May 2012

Terlerai sudah 18 tahun ikatan perkahwinan

Semalam aku menjengah ke rumah rakan aku selepas membuat panggilan ringkas dengan bertanya khabar. Namun apa yang mengejutkan aku bila dia kata "Liza! Tak tahu ke akak dah lama tak tinggal sama dengan abang!". Manalah aku nak tahu, siapalah yang nak menyampaikannya.

Terkejut aku seketika. Sungguh aku terkejut. Lansung aku bertanya di mana dia tinggal sekarang.

Anak-anaknya yang 5 orang semua mengikutnya tinggal di sebuah rumah lain yang di sewanya. Tiada satu perabot pun. Yang ada hanyalah dapur untuk memasak dan tilam untuk alas tidur. Tiada tikar untuk alas aku duduk bila sampai ke rumahnya. Aku bersila di atas lantai je...

Riak wajahnya tenang. Kakak ni pernah mengajar anak-anak jirannya mengaji, suri rumah sepenuh masa menjaga anak-anak di rumah. Katanya sudah itu ketentuan hidupnya. Berpisah bukan kerana bekas suaminya ada hubungan dengan wanita lain tetapi kerana duit.

18 tahun usia perkahwinan terlerai begitu saja gara-gara duit. Berpisah sebaik saja usia anak bongsunya 8 bulan. Dia diminta keluar dari rumah oleh bekas suaminya dengan sehelai sepinggang dengan semua anak hanya mahu mengikuti ibunya.

Duit jadi punca, seperti mata duitan pula ye.. Anak-anak sekolah perlu duit, anak-anak nak makan perlu duit. Jika pergi kerja tetapi bila balik masih nak meminjam duit isterikan pelik bunyinya. Tak ada duit kerana nak bayar hutang katanya. Duit simpanan isteri pun hampir habis kerana nak membantu suami.

Pun kadang mereka berdua sama-sama buat kerja sambilan berniaga di pasar malam untuk tambah pendapatan. Bila dah berpisah, tiada lagilah niaga pasar malam di hujung minggu kerana isteri tidak lagi dapat membantu memasak bahan untuk diniagakan.

Jika dulu susah benar bekas suaminya nak menghulurkan duit belanja walau seringgit untuk kegunaan peribadi si isteri. Barang-barang keperluan rumah untuk seisi keluarga pun dibeli siap-siap oleh bekas suami. Duit belanja sekolah anak diberi setiap hari terus ke tangan si anak. Memang sengaja dihadkan pengeluaran wang dari poketnya. Takut benar agaknya isteri dan anak-anak membazir.

Tetapi bila dah berpisah, boleh pula dia menghulurkan RM500 untuk perbelanjaan anak-anak. Sewa rumah saja dah RM300, apa yang tinggal? Tapi kakak tu kata "rezeki untuk anak-anak tetap ada".

Mendengar kisah dari satu pihak sahaja mungkin tidak adil. Maka aku hanya mendengar saja katanya yang sudah tiada rasa cinta pada bekas suaminya. Membenci pun tidak juga lagi. Dia pasrah dengan apa yang berlaku. Pun tidak juga dia menghalang bekas suaminya melawat anak-anaknya.

Dulu si isteri hanya perlu uruskan anak-anak dan rumahtangga. Tiada elaun, tiada cenderahati untuknya. Hanya ada sedikit wang yang disimpan jika dapat berniaga di pasar malam yang hanya pada hujung minggu. Bertahun lamanya begitu... dah tak tahanlah agaknya.

Rasanya kalau selalu kata tak ada duit... doa tu, boleh pulak beli rumah teres 2 tingkat. Perlu bayar RM1K lebih untuk bulanan. Perlu bayar kereta dan belanja sekolah anak yang 5 orang. Bila belanja yang keluar melebihi jumlah wang yang masuk, memang memudaratkan. Maka belanjalah ikut berapa yang kita mampu.

Aku mengharap mereka dapat berbaik semula, jalin semula kasih sayang, betulkan apa yang tersilap pada diri masing-masing. Aku melihat mereka antara pasangan yang kelihatan sefahaman. Ungkapan 'yang' sering digunakan sesama mereka. Anak-anak pun baik-baik belaka, mendengar kata orang tua.

Namun harapan itu hanya mampu aku suarakan "jika kembali bersama itu terbaik untuk akak, berbaiklah semula tetapi jika berpisah itu pula yang terbaiknya maka teruskanlah perjuangan hidup untuk diri sendiri dan anak-anak".

Aku hanya orang luar yang sudi mendengar luahan hati seorang wanita untuk dia merasa sedikit kelegaan. Sama sekali aku tidak menghakimi kesalahan terus pada bekas suaminya kerana apa yang aku nampak ok saja. Tak tahulah apa yang tak kena dan tak berhajat untuk tahu.

Kadang kita manusia punya banyak kelemahan menilai perasaan orang lain, lemah dalam membahagikan masa, tenaga dan kebendaan dari sesuatu yang penting kepada kurang penting dalam kehidupan seharian. Kita sering lemah menghadapi tekanan yang mungkin diberi saban hari. Sering mengharapkan pihak lain memahami tetapi pada waktu yang sama pihak lain juga beranggapan demikian.

Bila semua resah, marah, benci yang sedikit terkumpul sekian lama maka ia meletuplah bila tak mampu nak dibendung lagi. Kadang bukan kita tidak menegur pasangan kita tentang apa yang kita tak berapa berkenan pada dirinya tetapi adakalanya dia tidak ambil kisah dengan teguran kita.

Hati aku sebak sebenarnya. Betapa gembiranya syaitan dengan kejayaannya memisahkan kasih sayang antara anak-anak dan ibu bapa, suami isteri yang telah terjalin selama 18 tahun. Moga mereka kembali bersama walau pun dah 10 bulan berpisah, harapan tetap ada. Harapan dari jauh sajalah... lebih-lebih nanti ada yang nak kena luku kepala tu. Agak-agaklah nak campur hal rumahtangga orang lain!

8 comments:

✽ ⓔ ⓔ ⓘ ⓨ ⓢ ⓢ ✽ said...

alahai...huhu

Daddy Ziyyad said...

sedih juga baca kisah kawan tu..
tapi betul lah, tak boleh dgr cerita sebelah pihak....saya doakan semoga mereka kembali bersama, harungi segala macam cubaan kewangan tu secara bersama sama...

diana said...

alahai...
lelaki...suami nya macam ada ciri2 kedekut ye kak??
saya cukup takut kalau suami tiba2 jadi kedekut.sebab saya rasa saya dah cukup bagus dalam menjaga harta suami..heheheh

saniah said...

Akak percaya dgn redha...jika suami redha dgn istri..dia tak kedekut dan sentiasa murah hati dengn istri dan anak2 then Allah akan gandakan rezki dia tp kalau dia kedekut dgn istri n anak2 maka Allah juga akan kedekut dgn suami
Pelik perangai suami yg kedekut dgn org yg hidup berbelas thn dgn dia..dh lahirkan ank2 plk tu utk dia....pelikkk

kakchik@ella said...

Hmmmm .. kita doakan yg terbaik shj lah utk dia.

Rai said...

simpati dengan nasib kawan awak tu.. semoga dia dimurahkan rezeki dan dipermudahkan..dalam perkahwinan tak ada perkara yang pasti..dah lama pun bukan bermaksud akan berkekalan..

semoga perkahwinan kita sentiasa dilindungi..

~ yus ~ said...

cerita ni boleh buat pengajaran ni...sebak pula bila baca...huhu

Lulu Caldina said...

semoga dia tabah kak