Tuesday, 1 February 2011
Kad merah jambu
Tiba-tiba sahaja hati Anna berasa ngilu
seperti di tusuk sembilu.
Anna memegang kad merah jambu kemas-kemas.
Sungguh syahdu kata-kata
yang tercoret di kad merah jambu.
Begitu menikam kalbu dan merobek hati Anna.
Kad itu memang bertanda tangan suaminya.
Malah tersemat kata-kata cinta
sebagai menguatkan lagi puisi kasih
yang sudah sedia tertera di kad itu.
Tapi kata-kata manis dan memujuk rayu itu,
memang sah bukan untuk Anna.
Ia ditulis oleh suaminya untuk wanita lain.
Leeya buah hatiku!
Nama itu yang terpampang cantik di dalam kad tersebut.
Anna hanya mampu memegang kepalanya
yang terasa berat.
Dia tidak sangka bahawa kad itu
bukan ditujukan kepadanya itu,
terjatuh juga ke tangannya secara tidak sengaja.
Tuhan memang sengaja menguji
keutuhan rumah tangganya.
Kalau bukan tulisan suaminya
yang sudah tercetak kemas di otak Anna
yang kini terpampang di kad tersebut,
mungkin Anna akan menyangkal prasangka buruk itu.
Sangat mustahil rasanya
Danial bersikap seperti itu.
Danial suami penyayang.
Penuh romantis, sentiasa memuja dirinya
dan amat menyintainya
dan dua puteri mereka yang sedang membesar.
Raihana, tujuh tahun dan Damia lima tahun.
Kedua-dua puteri itu tumbuh
sebagai anak gadis yang sihat dan jelita.
Malahan Damia seperti pinang dibelah dua dengan Anna.
Wajah Damia saling tak tumpah
seperti wajah Anna 25 tahun dahulu.
Ketika gambar Damia dan Anna
dalam usia yang sama digandingkan,
sukar untuk mencari perbezaan di antara kedua-duanya.
Agaknya kerana itulah Damia lebih manja dengan Danial.
Manakala Raihana lebih banyak bergayut dengan Anna.
Wajah Raihana pula dikatakan salinan wajah ayahnya.
Tidak ada sesiapa pun yang
tidak cemburukan kebahagiaan yang
dicipta oleh Anna dan Danial.
Biarpun sudah lebih sepuluh tahun berumahtangga
namun rumahtangga mereka sentiasa hangat,
segar dan mewangi.
Malahan di kalangan rakan-rakan
ada yang secara terang-terangan
mengakui betapa irinya mereka melihat
keutuhan Anna dan Danial memelihara cinta.
Anna pula dijadikan tempat merujuk
jika ada rakan-rakan yang berumahtangga
menghadapi masalah.
Berbekalkan pengalaman sendiri,
Anna biasanya mampu meringankan beban
orang lain dengan nasihat-nasihat
atau pandangannya yang sederhana.
Tapi sekeping kad cinta berwarna merah jambu
di tangan Anna ini memadam segala-galanya.
Anna terpukul.
Penipuan apakah yang sedang dicipta oleh Danial?
Dan sandiwara apakah yang sedang dilakonkan
oleh suaminya dalam rumahtangga mereka?
Itulah yang membuatkan kepala Anna semakin berdenyut.
Daging, ikan dan sayur yang baru dibawa
dari pasar masih terletak di atas meja.
Anna sudah tidak berselera memilih menu kesukaan Danial.
Berpesan kepada Mak Jah agar memasak apa saja
dan jangan mengganggu dirinya.
Anna masuk ke bilik dan mengunci diri.
Dia mahu berkurung di situ.
Dia mahu mencari kekuatan diri.
Dia juga mahu merangkai kata-kata yang munasabah
bagi berdepan dengan Danial sepulangnya dari pejabat nanti.
Malahan dia akan bertanya terus-terang
siapa Leeya di hatinya sekarang.
Anna mahu mengumpul segala kekuatan itu.
Kenangan tentang Leeya
kembali melayang di kotak fikir Anna.
Dia kenal gadis yang hampir sebayanya itu
ketika mereka masih remaja.
Mereka kerap bertemu kerana
pejabat masing-masing agak berdekatan.
Leeya memang cantik.
Wajahnya jadi idaman ramai lelaki
malahan redup matanya turut memukau Danial.
Anna sedar betapa kagumnya Danial pada Leeya ketika itu.
Malahan kedua-duanya sempat menjalin kasih untuk beberapa ketika.
Entah kerana apa, kasih itu terputus begitu sahaja.
Anna tiba-tiba jatuh ke pelukan Danial.
Cinta tumbuh secara perlahan dan tanpa sengaja.
Namun ketika menyedari Dani menyukai Leeya,
Anna tidak berkutik.
Dia membiarkan Danial membuat pilihan.
Tidak ada desakan atau paksaan
apabila Danial akhirnya memilih Anna dan melupakan Lily.
Kisah kasih itu tamat apabila
Danial secara sah menyarungkan cincin ke jari Anna dan
mengakui bahawa di hatinya tidak ada gadis lain selain Anna.
Kata Danial, senyuman Anna lebih ikhlas,
pandangan mata Anna yang bulat,
penuh dengan cahaya cinta
dan raut wajah Anna begitu sejuk untuk dia menaung kasih.
Jangan sebut lagi nama Leeya atau gadis-gadis lain,
semuanya sudah lenyap apabila dia pilih Anna.
Tapi kenapa hari ini ada kad cinta untuk Leeya?
Itulah yang membuatkan Anna hampir pitam.
Apa muslihat Danial?
Sedangkan dia amat pasti,
Leeya sudah ada suami dan anak-anak.
Dari kata-kata yang tertulis indah di situ,
Anna tahu bahawa kad cinta itu
sudah kerap mendapat balasan. Anna nekad.
Dia tidak akan berlengah.
Dia pasti akan bertanya pada Danial,
apakah dia juga kerap mendapat kad cinta dari Leeya.
Hati Anna berserabut ketika dia
mendengar deru enjin kereta Danial petang itu.
Namun sebagai wanita intelek,
Anna akan bersikap profesional.
Dia ke bilik air menyegarkan wajah
dan menyambut kepulangan
Danial seperti biasa.
Air limau sejuk kegemaran suaminya
tetap dihidang tanpa kurang rasanya.
Senyuman Danial tetap dibalas.
Malahan cium di dahi yang diberikan oleh Danial,
dibalas dengan mencium tangan suaminya itu
seperti hari-hari semalam.
Sedikitpun tidak ada perbuatannya yang luak,
biarpun hatinya kini amat rabak.
Malam itu selepas makan malam
dan menjenguk kerja sekolah anak-anak,
Anna berbaring manja di dada Danial.
Lelaki tampan itu seperti selalu
akan mengusap-usap lembut rambut wangi Anna.
Wajah mulus Anna ditatap legat
dan sebuah ciuman cinta diberikan seperti biasa.
Tidak sedikitpun ada yang berubah.
Kalau bukan kerana kad merah jambu itu,
sampai mati pun Anna tidak tahu,
bahawa selain dirinya,
Leeya juga sedang bergayut di hati Danial.
Anna mencari peluang untuk mendapatkan penjelasan.
Tapi ia tidak mahu dianggap cemburu buta.
Kerana itu, Anna sengaja membawa kenangan-kenangan
lama dalam perbualan mereka,
sehingga terkeluar cerita tentang Leeya.
Namun bila nama itu disebut oleh Anna,
wajah Danial tidak berubah sedikitpun.
Seolah-olah tiada yang ganjil pada nama itu.
"Abang saya terjumpa sekeping kad untuk Leeya.
Apakah abang yang menulis kad itu?"
Danial berhenti dari mengelus rambut Anna.
Dia menatap wajah isterinya tanpa kedip.
"Kad untuk Leeya. Bagaimana ada di tangan Anna?"
Pertanyaan itu tidak dijawab oleh Anna
kerana soalannya juga tidak dijawab oleh Danial.
"Abang, kita adalah orang-orang yang sudah dewasa.
Tak usah bohong, berterus-teranglah,
kenapa abang menulis kad itu untuk Leeya?'
Danial terdiam.
Mungkin mencari kata-kata yang tepat untuk menjawab
pertanyaan Anna.
Lama dia membisu.
Anna tidak mendesak tetapi terus menanti.
Selepas mengeluh beberapa kali
akhirnya Danial memberi kata pasti.
"Memang kad itu untuk Leeya dan abanglah penulisnya.
Usah ditanya sebab kenapa kad itu ditujukan untuk Leeya,
kerana abang memang tidak ada jawapannya.
Abang sendiri tidak tahu kenapa abang kembali
menjalin cinta bersamanya.
Leeya ada suami dan anak-anak.
Abang juga milik Anna dan
dua anak kita.
Namun percayalah, cinta kasih dan
sayang abang untuk Anna
tak pernah luak malahan makin melimpah."
Anna ketawa mendengar penjelasan Danial.
Dia bukan mentertawakan kata-kata Danial
tetapi mentertawakan dirinya.
Betapa mudahnya Danial membuat kenyataan.
Dia tidak tahu kenapa dia kembali
bermain cinta dengan isteri orang.
Dan dia juga berani bertaruh bahawa
hatinya tidak berubah walau seinci pun
untuk Anna, Raihana dan Damia.
Benarkah? Anna tahu semua itu bohong belaka
tetapi pengakuan Danial tentang cintanya adalah benar.
"Esok saya mahu berjumpa Leeya."
Begitu selamba Anna menyuarakan hasratnya.
Anna menarik selimut dan memejamkan mata.
Dia sudah bertanya dan sudahpun mendapatkan jawapannya.
Esok dia mahukan satu lagi kepastian.
Seawal pagi Anna sudah bangun.
Selepas menyiapkan anak-anak untuk ke sekolah
dan menaikkan mereka ke dalam bas,
Anna bersiap-siap.
Di meja makan, dia melayan Danial seperti biasa.
Menuangkan kopi pekat kesukaan Danial
dan menyapukan roti bakar dengan mentega,
sambil menanti telur separuh masak
siap untuk dikacau.
Danial hanya memandang Anna tanpa suara.
Dia melihat ada kesungguhan pada
Anna terhadap kata-katanya semalam.
Malahan Anna tidak menunjukkan
bahawa dia akan membatalkan hajatnya itu.
"Betul awak nak jumpa Leeya hari ini?"
Anna yang sedang sibuk mengaduk telur separuh masak itu,
berhenti sebentar dan memandang suaminya.
" Apakah abang fikir saya sedang main-main?
Tidak! Saya tidak main-main.
Saya sedang mempertahankan rumah tangga saya
dan suami saya.
Kalau abang mahu bersama-sama mempertahankannya,
marilah kita pergi bersama."
Danial terdiam tetapi dia juga tidak ada upaya untuk membantah.
Dia membisu sepanjang perjalanan menuju ke pejabat Leeya.
Leeya pasti terkejut kerana yang datang
bukan Danial seorang tetapi bersama Anna.
Dari jauh Anna sudah dapat mengenali Leeya.
Biarpun sudah sedikit berubah
tetapi kecantikan Leeya masih terserlah.
Mungkin kerana duduk di dalam kereta,
Leeya tidak sedar kehadiran Anna.
Sebaliknya dia sibuk menggenggam tangan Danial.
Ketika Danial menunjukkan Anna,
Leeya seperti terpempan, terkejut dan agak malu.
Arini mendekati mereka tanpa emosi.
Tangan dihulur pada Leeya dan disambut perlahan oleh wanita itu.
Sebelah tangan lagi, Anna memegang kejap tangan suaminya.
Dia seolah-olah memberitahu Leeya, ini suamiku.
Hanya aku yang berhak memegangnya.
"Leeya apa khabar.
Tak sangka kita berjumpa lagi.
Tapi berterus-terang aku tidak suka pada pertemuan seperti ini.
Dan kerana kita sudah berjumpa,
aku mahu perkenalkan padamu bahawa ini suamiku, Danial.
Dia milikku dan milik anak-anakku.
Jangan ambil suamiku dan lupakan masa silam kalian.
Pusingkan kepalamu.
Di rumahmu ada suami dan anak-anak
yang menanti teduh kasihmu.
Jangan mencari sinar pelangi,
habis petang hilanglah ia.
Sama ada Danial atau Rafar suamimu, sama sahaja.
Kedua-duanya lelaki yang boleh memberikan cinta
jika kau sendiri memberikan kasih seikhlas hatimu.
Kenapa mencari kebahagiaan di tempat lain sedangkan
di rumah sendiri kau boleh mencipta syurga jika kau mahu."
Leeya diam terpaku.
Danial memegang erat tangan Anna.
Mungkin dia sendiri tersedar di sebalik kata-kata
yang ditujukan untuk Leeya,
ia juga tersirat untuk dirinya.
"Pulanglah Leeya...
Jangan menganyam kasih di bumbung orang lain
sedangkan di bumbung rumahmu sendiri ada yang kesepian.
Jika bumbung kita bocor, sama-samalah kita baiki.
Jangan tumpang teduh di tempat lain."
"Leeya! Aku tidak datang sebagai musuhmu,
tapi aku datang untuk memberitahumu
bahawa kau sudah tersalah jalan.
Bahawa kau sudah tersalah memimpin
tangan suamiku.
Sedangkan suami dan anak-anakmu
terkapai-kapai mencari
dimanakah tangan lembutmu.
Sekarang jangan lagi pimpin tangan suamiku.
Dia sudah ada aku, Raihana dan Damia.
Tangan kami sudah penuh di genggamannya.
Kalau selama ini dia keliru kerana memimpin tangannya,
aku maafkan dia.
Aku juga maafkan kamu."
Anna memandang Danial.
Perlahan dia bersuara.
"Abang saya sudahpun melakukan
apa yang sepatutnya saya buat.
Kalau abang rasa saya tersilap,
bimbinglah saya tapi jika abang rasa,
abang mahu menyerahkan kad merah jambu ini pada Leeya,
saya akan pulang sendiri dan
abang tidak mungkin dapat memimpin tangan saya lagi."
Danial teleku.
Kad merah jambu yang dikeluarkan oleh Anna
dari sampul surat itu dipandangnya.
"Anna musnahkanlah kad itu.
Abang tidak mahu melihatnya lagi.
Memandangnya, seperti abang memandang kekeliruan sendiri.
Pun begitu, kad inilah sebenarnya yang menyedarkan abang
bahawa abang sudah ada cinta sejati.
Abang sudah ada Anna.
Jika Anna tidak bertemu kad itu,
sudah pasti abang terus meniti jalan keliru ini."
Danial memimpin Anna ke kereta mereka.
Sebelum itu dia menoleh pada Leeya.
"Maafkan aku kerana menyambut salammu dulu.
Namun terima kasih kerana sudi memberi ruang
padaku untuk menikmati masa-masa silamku.
Aku terlupa masa itu sudah berlalu."
Kiriman seorang teman di email
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
waa nukilan indah yang menyentuh hati...
Post a Comment