iklan

Followers

Pages

Tuesday, 20 March 2012

Bila si buta memimpin si celik! Subhanallah!

Kisah berlaku sebelum aku wujud di dunia ini lagi. Bermakna sebelum tahun 1973 lagi. Mak bercerita pada aku dan kakak ipar minggu lepas. Tersenyum pun ada, namun terselit suatu pengajaran yang sangat mendalam.

Seorang bilal yang bernama Rashid tinggal di Temong, Perak. "Sedap azannya!", kata mak.

Buta kedua-dua belah matanya tetapi hatinya tidak begitu. Keajaiban yang Allah kurniakan padanya membuatkan aku dan kakak ipar rasa terkejut.

Dia sering mengayuh basikal menuju ke Karai. Suatu tempat di negeri Perak yang aku hanya biasa dengar tetapi tidak mengenalinya. Hanya melalui cerita-cerita arwah ayah dan mak aku saja.

Orang buta mengayuh basikal? Betulkah atau tidak ni? Memang ajaib!

Tetapi yang tetap menjadi kenangan pada mak bila suatu hari arwah ibu mertua mak aku memberitahu bagaimana si buta ini menumpangkannya balik ke rumah.

"Wah Yon nak tompang balik ghomah ke?", tanya Rashid kepada opah aku.

"Ishh.. kamu ni! Boleh ke bawok aku?", cuak rasa hati opah.

"Boleh! Meh le!", jawab Rashid dengan yakin.

Rashid hantar opah Yon ke pintu rumah dengan selamat. Dia pun biasa datang ke rumah opah dan baik dengan semua ahli keluarga opah. Dia mengenali setiap ahli keluarga opah yang ada. Cuma bila mak aku bersuara dia tahu juga menantu opah ada datang dan akan ramah menyapa.

Inilah yang dikatakan si buta memimpin si celik. Dia tak dapat melihat jalan-jalan yang dilaluinya tetapi dia merasakannya di dalam hati. Tetap ingat dan tersemat kemas di mana simpangnya dan di mana beloknya.

Tak perlu pakai GPS. Kita yang celik ini pun kadang tersesat walau dah dua tiga kali pernah ke tempat yang sama. Itu pun bila ada yang nak tunjukkan jalan boleh kita meningkah (menolak dengan marah) pulak.

Mak kata dia bujang hingga ke akhir hayatnya. Moga Allah sentiasa mencucuri rahmat ke atasnya.



1 comment:

Amy Syaquena said...

Karai dah hampir dengan tempat kelahiran amy kak...