iklan

Followers

Pages

Thursday, 20 October 2011

Derita isteri suami koma - mohon bantuan..


Jam 6.00 petang dua hari lepas aku terima SMS dari adik kepada abang angkat aku (abang Sudin) mengatakan berita tentang abangnya telah masuk dalam Utusan Malaysia. Aku pun terus cari link Utusan Online dengan menaip keyword 'Lidon' iaitu nama bapanya yang unik. Terus aku jumpa kisahnya.

Beliau telah terlantar di hospital sejak bulan puasa kelmarin akibat serangan darah tinggi. Sebelum ini pun ada juga dia terlantar di wad tapi kali ini paling serius. Hubby yang beritahu aku tentang dia masa bulan puasa lepas.

Aku terus call isterinya, tapi aku pula yang menangis semasa bercakap dengan isterinya yang aku panggil 'kak Anis' walau pun dia muda 3 tahun pada aku. Abang Sudin pernah pesan dulu "kau panggil je akak". Macam kakak ipar le. Aku hormati dia seperti abang kandung aku sendiri tetapi pastilah dengan batas-batas tertentu.

Dulu aku pernah nak buat entri pasal dia yang sedang koma di hospital ni. Tapi aku tak mampu nak menaip sebab hati aku sebak sangat. Ini pun rasa nak mengalir air mata bila ingatkan dia yang sedang sakit dan betapa beratnya dugaan yang kak Anis hadapi sekarang.

Ini gambar yang aku terima dari adiknya semasa abang Sudin di rawat di Hospital KL bulan puasa lalu.


Dia merupakan abang angkat yang rapat dengan aku sejak aku bujang. Sejak masing-masing dah kahwin pun sekali-sekala berhubung juga melalui facebook atau telefon. Aku pun ada juga hantar servis kereta Kelisa aku di bengkelnya di Sikamat, Seremban.

Aku mengenali dia sebelum aku kenal hubby aku lagi. Sama-sama berkerja di kilang Hitachi Electronic, Bandar Baru Bangi. Kemudian berjiran pula dan kenal dengan adik-adiknya juga yang tinggal sekali di rumah bujangnya tu.

Dialah tempat aku mengadu bila sedih dan gembira. Kadang-kadang kena 'sound' juga dengan dia. Aku pun suka melawan juga tapi masing-masing tak ambil hati sangat. Tak boleh ambil hati, nanti dia kutuk aku. Selalu tak nak kalah.

Dia juga yang menjadi orang pertama aku kenalkan dengan hubby yang baru aku kenali melalui 'blind date' pertama dan terakhir aku. Masa tu dialah yang hantar aku ke KL untuk 'blind date' tu. Aku kelentong dia kata nak jumpa kawan lama sebab takut dia marah aku.

Masa aku nak suruh dia jumpa hubby kali pertama itu pun dia ada marah aku "sapa pulak yang kau nak ni?"...erkkk! Aku saja nak tengok apa pendapatnya tentang hubby aku masa tu. Bila dah kenal "ok jugakkan!", dia bersetujulah dengan calon aku (gatal!).

Dia juga yang temankan hubby aku ketika berkunjung ke rumah mak ayah aku di Jengka buat kali pertama. Sessi berkenalan dan interview dengan ahli keluarga aku. Semua adik-beradik aku pun ada kecuali yang sulung tak dapat balik. Prinsip aku kalau nak cari jodoh biarlah 'ngam' juga dengan ahli keluarga lain. Kalau tak kena reject..ehhh..

Kalau nak diceritakan kebaikan abang Sudin pada aku memanglah banyak. Banyak perkara yang aku selalu ceritakan pada hubby sama ada kisah kelakar dan kepayahannya. Dia sangat merendah diri dan tak kisah dengan gayanya yang sangat simple bila berpakaian. Teringat bila aku tegur t-shirt pagodanya yang koyak dibahu semasa dia jadi jiran aku dulu. "Alaaa... pakai kat dalam je, apa kisah!".

Kini dia masih terbaring koma. Tiada lagi tempat aku nak mengadu bila kereta aku buat hal selain hubby.

Sedih aku melihat keadaannya yang lansung tidak sedar. Jika dulu dialah yang banyak berkorban rasa, masa dan wang untuk adik-adiknya belajar dengan lebih tinggi, juga sentiasa beralah dalam banyak perkara dengan rakan-rakan. Sekarang dia tidak berupaya melakukan satu kerja pun walau hanya membuka mata pun tidak.

Syukurlah dia punya keluarga yang penuh dengan kasih sayang untuk terus mengharap akan keadaannya kembali pulih. Tiada siapa tahu bila Allah akan memakbulkan doa kita, namun usaha tetap diteruskan.

Buat pembaca dan teman-teman blogger, jika ingin menghulurkan sedikit bantuan boleh terus masukkan duit ke akaun CIMB isterinya, Sarniza Mat Jani - 05060088244507. Boleh call no handphonenya dalam berita di bawah untuk pengesahan.

Tiada paksaan, sedekah kerana Allah. Terima kasih aku dahulukan kerana simpati kita melihat dugaan mereka, luluh lagi hati yang melaluinya. Namun aku tabik dengan kak Anis yang sentiasa kelihatan sabar dan tenang.

Rujuk berita di bawah ni aku petik dari Utusan Malaysia


Derita isteri suami koma

Oleh ROSMAH DAIN

SAMSUDIN Lidon yang koma turut dijaga oleh ibunya, Samiah Muri, 59 tahun.


TELAH lebih tiga bulan suaminya terlantar di katil, berada dalam keadaan koma akibat serangan darah tinggi keterlaluan.

Sudah tiga bulan jualah wanita tabah ini tidak dapat mendengar suara suaminya, malah membantunya menampung nafkah hasil daripada kerja-kerja bengkel kereta yang dilakukan serta bermain dengan anak-anak.

Apa yang dapat dilakukan oleh Sharniza Md. Jani, 35, kini hanya berserah dan sentiasa berdoa kepada Tuhan agar suaminya, Samsudin Lidon, 40, segera sembuh seperti sediakala.

‘‘Malangnya pihak doktor sendiri tidak boleh mengagak bilakah suami saya ini akan sedar dari koma atau berterusan berkeadaan begini selamanya.

‘‘Apa yang terdaya dilakukan hanyalah berdoa agar dia cepat sembuh. Apatah lagi akibat serangan darah tinggi yang mengejut pada jam 1 pagi itu menyebabkan pembuluh saraf ke otaknya pecah,” katanya.

Menurut Sharniza, suaminya itu memang menghidap penyakit darah tinggi sejak sepuluh tahun lalu. Begitu juga dengan penyakit kencing manis yang memerlukan dia mengambil insulin.

Jelasnya, Samsudin berada dalam rawatan di hospital (Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Seremban, Negeri Sembilan) selama dua bulan dan akhir bulan September lalu, suaminya dibawa pulang ke rumah.

Memandangkan Sharniza yang bekerja sebagai juruteknik biasa terpaksa bertugas mengikut giliran tidak menentu masa, tugas menjaga suaminya itu diserahkan kepada ibu mertuanya di Sabak Bernam, Selangor.

‘‘Saya sendiri bertugas di Seremban tentulah menyukarkan saya untuk menjaga suami saya itu semasa ketiadaan saya keluar bekerja.

‘‘Jadi kami telah berbincang adik-beradik untuk menempatkan suami saya di rumah ibunya untuk dijaga oleh mertua dan adik ipar saya sementara saya keluar bekerja dan bila ada kelapangan dan cuti hujung minggu saya akan balik ke rumah mertua melihat dan menjaga suami saya,” katanya yang mempunyai tiga orang anak berusia dua belas, sepuluh dan enam tahun itu.

Kata Sharniza, semenjak suaminya koma, kebanyakan pendapatannya digunakan untuk kos rawatan dan ubat-ubatan yang diperlukan suaminya itu.

Namun tidak banyak yang boleh dibantunya memandangkan gaji pokoknya hanya RM700 menyebabkan dia terpaksa membahagikannya untuk perbelanjaan anak-anak yang sedang bersekolah.

‘‘Dahulu suami saya bekerja bengkel bolehlah mendapat pendapatan sekitar lebih RM1,000 sebulan, namun saya tetap bersyukur di kala saya kesusahan ini masih ada insan-insan yang prihatin menghulurkan sumbangan derma dan ubat-ubatan terutamanya jiran-jiran di kawasan ibu mertua saya, rakan-rakan dan ada juga permohonan dikemukakan kepada jabatan kebajikan di hospital.

Jelas Sharniza, apa yang diperlukannya kini ialah sebuah katil yang memudahkan suaminya dinaik dan diturunkan (seperti katil hospital) yang berharga lebih kurang RM8,000.

Selain itu Sharniza juga memerlukan bantuan kewangan untuk perbelanjaan peralatan rawatan suaminya, lampin pakai buang dan susu.

‘‘Siapa menyangka, kehidupan kami jadi begini. Biarpun dia tidak sihat sepenuhnya dan seringkali keluar masuk hospital akibat sakit darah tinggi dan kencing manis yang dihidapinya, namun dia masih juga rajin bekerja dan bergurau senda dengan saya dan anak-anak.

‘‘Kali ini penyakitnya teruk dan menyebabkan dia terlantar koma. Bagi anak-anak pula mereka reda dengan apa yang berlaku terhadap ayah mereka. Kalau boleh mereka mahu melihat ayah mereka sembuh semula, namun itu semua kuasa Tuhan,” jelasnya tenang.

Bagi mereka yang mahu membantu meringankan beban Sharniza boleh menghubungi talian 017-2672456 atau 06-7610795.

14 comments:

ummiross said...

Liza, mesti sedih sangat, tentu dah terasa macam abang kandung, ummi doakan semoga dapat sedar kembali, banyakkan solat hajat ye...

atuk said...

Assalamualaikum Liza

saya doakan agar saudara Sudin cepat sembuh serta dipermudahkan dalam semua urusan untuk keluarga beliau

Wassalam

Daddy Ziyyad said...

Stroke berdarah tu....

Harap keluarga abg angkat akak bersabar banyak banyak..sokongan keluarga amat penting...

Memang perlukan belanja yg tinggi, macam pampers, katil, tilam angin, suction machine..ayah mertua saya koma dah 3 tahun..sebab yg sama...kalau akak ada apa apa pertanyaan, jgn segan tanya saya ya..

aimaniman said...

ya allah.. simpati daripada akak.. semoga bersabar dengan dugaan-Nya...

Warkoper said...

Semoga lekas sembuh ya Allah, aaaamiiiiiiiiiiiin

Ekmi Rabat said...

ya Allah..kesiannya. InsyaAllah, semoga ramai2 yang baca ni dapat menyumbang utk membantu mereka.

jeBateja said...

pehhhh...kalau den kena mcm tu...apa akan jadi dgn family den...

Citarasa Rinduan said...

assalmualaikum..
semoga liza dan seluruh ahli kluarga sabar..

abang angkat liza dah 3 bulan terlantar ya, moga 1 hari dia akan membuka mata dan berkata2 seperti suami ayu semula..

kerana suami ayu pernah koma, pernah tidak mengeluarkan suara seperti abang angkat liza pada tahun 2010..

syukur semuanya berubah...

elok kalau campur dengan perubatan kampung...

Eera Shera said...

semoga tabah dengan dugaan. byk2 kan berdoa semoga ALLAH sembuhkannya. bagi die sokongan supaya die tau org yg die syg sentiasa ade di sisinya. yg penting jgn putus asa!

sy cuma mampu doakannya..semoga dipermudahkan ALLAH.

ps:bukan naik kat kajang kak. turun kat kajang..hee..

Eera Shera said...

akak dok mana? sy org beranang :)

zaidihanafiah said...

berdoa semoga dia kembali sihat . amin

Syieda_Joy™ said...

semua dia sembuh seperti sedia kala.amin....

p/s: akak syieda tlg post kt wall FB tau.. bantu setakat yg mampu..

Cik Eka said...

eka ada baca dalam utusan..
kesian sangat kat keluarga ni..semoga sembuh..amin

leyzajamil said...

salam..sy tau bagaimana usaha kita nak membantu. sy boleh dihubungi di talian 0162581268