Aku tengah search picture rempah-ratus utk entry
Rezeki dari jiran. Tiba2 aku terjumpa gambar mak angkat aku. He..he.. glamour! Orang panggil dia Opah Umie. Lemah lembut aje orangnya! Dia memang pandai buat jamu sendiri & pandai mengurut juga. Siapa2 yg nak berurut, boleh le datang ke rumah dia di Bandar Baru Bangi. Berita ni di keluar dalam
Kosmo Online. Berita ni dah lama rasanya, tahun 2008.
Aku mula mengenalinya sejak zaman bujang lagi melalui 2 orang anaknya. Sekarang aku kenal semua anak2 Opah Umie yg dapat aku tanya khabar sekali-sekala melalui facebook. Lama dah aku tak pergi melawat Opah Umie. Dari sehari ke sehari asyik tertunda je.
Seronok bercakap dgn dia. Kadang2 aku tersilap dgn suara anaknya sebab suara pun awet muda. Masa berita ni keluar, usianya 68 tahun. Sekarang dah 71 tahun, tetapi bila naik tangga lajunya macam orang muda. Alhamdulillah, moga Opah Umie dikurniakan kesihatan yg sihat di samping anak2 & cucu2 yg sangat menyayanginya.
------------------------------------------------------------------------------------Guna lesung, bukan mesin
Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR
khadijah.mohamadnor@kosmo.com.my
Jamu yang dihasilkan ini memang Opah tumbuk sendiri. Dengan cara sedemikian, keaslian sesuatu jamu akan dapat dikekalkan. Biasanya, proses penyediaan jamu Opah akan mengambil masa seminggu lebih.
APABILA menyentuh mengenai penjagaan dalaman wanita, ia sememangnya tidak lepas untuk dikaitkan dengan pengambilan sesuatu jamu terutamanya bagi wanita yang baru bersalin.
Ramai daripada mereka mengamalkan pemakanan jamu bagi memastikan peredaran darah berjalan lancar, mengembalikan tenaga serta berasa segar seperti sebelum mengandung.
Amalan memakan jamu sudah dipercayai sejak zaman nenek-moyang kita dahulu. Bagi memastikan ia tidak pupus ditelan waktu, ada di antara mereka mewariskan tradisi membuat jamu kepada anak cucu masing-masing.
Tidak terkecuali bagi pengamal rawatan warisan tradisional, Sharifah Umi Kalthum Syed Mohd. Zin atau lebih dikenali dengan panggilan Opah Umi.
Pada usia mencecah 68 tahun, Opah Umi masih bertenaga untuk menghasilkan jamu yang diwarisi daripada neneknya ketika masih kecil lagi.
Menurut Opah Umi, kerajinannya membantu neneknya menumbuk jamu setiap hari membolehkan dia mengenali semua herba dan rempah ratus yang digunakan bagi menghasilkan jamu tersebut.
"Opah masih ingat lagi ketika berusia sembilan tahun, Opah sering membantu nenek menumbuk jamu. Opah tolong kerana kasihan melihat nenek menumbuk jamu keseorangan. Namun, siapa sangka berkat kerajinan dan keikhlasan Opah membantu nenek, akhirnya Opah berjaya mengingati dan mengenali semua herba yang digunakan sekali gus mampu menghasilkan jamu sendiri.
"Terdapat hampir 25 campuran herba dan rempah ratus yang Opah gunakan untuk penyediaan jamu tradisi ini. Antaranya ialah serapat, biji kani, lada putar, lada hitam, lada ekor, kulit kayu manis dan banyak lagi.
"Kesemua herba tersebut Opah peroleh daripada orang kampung Opah di Perak," jelas Opah Umi sambil menunjukkan campuran pelbagai jenis herba dan rempah ratus di depannya.
Tidak seperti jamu tradisi lain, jamu Opah Umi dihasilkan sendiri tanpa sebarang bahan pengawet atau menggunakan mesin untuk mengisar dan menghancurkan campuran herba tersebut.
"Jamu yang dihasilkan ini memang Opah tumbuk sendiri. Dengan cara sedemikian, keaslian sesuatu jamu dapat dikekalkan. Biasanya, proses penyediaan jamu Opah akan mengambil masa seminggu lebih.
"Terdapat lima proses dalam penyediaan jamu yang Opah hasilkan. Pertama, segala campuran herba itu perlu dibasuh dan dibersihkan terlebih dahulu. Kemudian, ia akan dijemur selama tiga atau empat hari sehingga betul-betul kering. Tujuan dijemur ialah supaya ia mendapat sinaran cahaya matahari yang mempunyai khasiat tersendiri.
"Apabila campuran herba dan rempah ratus ini benar-benar kering, barulah Opah akan menggorengnya di dalam kuali tanpa minyak atau orang tua-tua panggil 'goreng sangan'. Setelah itu, barulah ia ditumbuk sehingga lumat dan sebati sebelum dibiarkan kering sehari semalam.
"Proses terakhir yang dilakukan ialah mengayak jamu yang telah ditumbuk hancur dan dimasukkan ke dalam botol atau dijadikan pil," ujar Opah Umi panjang lebar.
OPAH UMI bersama rangkaian produk rempah ratus serta jamu yang dihasilkannya sendiri.
Selain mempunyai kepandaian membuat jamu tradisi, Opah Umi turut menawarkan khidmat urutan tradisional bagi ibu-ibu lepas bersalin, kanak-kanak, bayi serta mereka yang mengalami kecederaan seperti terseliuh kaki atau tangan.
Tambah Opah Umi, urutan yang dilakukannya tertumpu kepada mencari urat pesakit seperti urat belikat, pinggang, punggung, paha, kaki dan sebagainya dengan menggunakan ibu jari dan jari tangan.
"Urutan sebenarnya bertujuan untuk melancarkan perjalanan darah, mempercepatkan proses pemulihan tenaga, mengurangkan keletihan, memecahkan lemak di badan, menaikkan seri muka serta memulihkan pusingan haid yang betul.
"Urutan untuk wanita selepas bersalin pula dapat memulihkan sakit urat, kesakitan pada otot dan sendi badan, di samping memulihkan fungsi peranakan wanita, membuang angin meroyan dan sakit kepala," kata Opah Umi sambil memaklumkan bahawa wanita yang bersalin secara normal boleh mula mengurut selepas hari ketiga bersalin selama tiga hari berturut-turut.
Tetapi bagi mereka yang ingin merasa lebih segar, dinasihatkan supaya melakukan amalan berurut pada penghujung tempoh berpantang iaitu hari ke-42, ke-43 dan ke-44 diikuti pada hari ke-60 dan ke-100. Manakala bagi wanita yang bersalin melalui pembedahan, mereka hanya boleh berurut sebulan selepas bersalin.
Urut mengikut sains sukan
URUTAN di bahagian tapak kaki membantu melancarkan peredaran darah.
PAKAR Perunding Obstetrik & Ginekologi dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof. Madya Dr. Jamiyah Hassan menegaskan bahawa wanita yang bersalin secara pembedahan caesarean tidak digalakkan menjalani sebarang rawatan urutan.
“Mereka bukan tidak boleh menjalani urutan tetapi perlu memastikan masa yang sesuai iaitu selepas luka pembedahan sembuh sepenuhnya. Namun, jika urutan tersebut tidak menyentuh langsung bahagian abdomen atau perut, ia dibenarkan untuk mengurangkan rasa letih wanita yang bersalin,” kata Dr. Jamiyah yang juga merupakan Timbalan Pengarah (Ikhtisas), PPUM.
Sementara itu, Pakar Fisioterapi Sukan, Mohd. Nasrul Ahmad Tajudin, berkata, jika seseorang individu mengalami kecederaan seperti terseliuh kaki atau tangan, mereka sebenarnya tidak boleh terus pergi berurut kerana ia akan mendatangkan mudarat kepada pesakit.
“Dalam perubatan sains sukan, jika seseorang terseliuh di mana-mana bahagian tubuh, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah mengawal kesakitan yang dialami atau dalam erti kata lain mengurangkan bengkak dari aspek fisioterapi.
“Contohnya, jika buku lali kelihatan bengkak, ia menandakan bahawa tisu lembut dalam otot atau kapilari darah kita cedera. Ia mungkin disebabkan hentakan atau koyakan pada bahagian tersebut. Dalam kes sebegini, jika pesakit terus dibawa berurut, ia akan menambah kecederaan sedia ada,” jelas Nasrul yang merupakan fisioterapi di Persekutuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Bagaimanapun, menurut Opah Umi, semuanya bergantung pada diri individu itu sendiri. Jika mereka percaya dan yakin bahawa menerusi urutan tradisional, kesakitan mereka boleh berkurangan atau sembuh, ia boleh diteruskan.
“Memang Opah akui perubatan moden juga memainkan peranan penting, tetapi rawatan secara tradisional tidak kurang hebatnya, asalkan tukang urut tersebut merupakan seorang yang pakar dan mahir dalam teknik mengurut.
“Cuma, berdasarkan pengalaman Opah, ramai juga pesakit yang mengalami kecederaan terseliuh pulih selepas melakukan beberapa sesi mengurut,” kata Opah Umi sambil tersenyum mengakhiri bicara.