iklan

Followers

Pages

Tuesday, 17 May 2011

Cuaca sering berubah-ubah



Hari ini hari Selasa yang mana biasa ada pasar malam di Bandar Seri Putra. Tetapi kedengaran pula guruh dilangit, menandakan hujan bakal turun. Nampak gayanya mungkin kuranglah pelanggan yang pergi ke pasar malam nanti. Maka akan berkuranglah juga rezeki malam ini. Inilah yang dikatakan pasang surut dalam perniagaan pasar malam. Kalau hujan reda, legalah mereka.

Tapi bagaimana pula dengan hujan yang turun semasa aku kecil-kecil dulu? Bermakna tak dapatlah arwah ayah menoreh getah bila hujan turun. Seperti juga berniaga, maka tiadalah rezeki pada hari itu untuk dikira dalam gaji bulanan nanti. Pendapatan seharian arwah ayah bukan banyak mana pun, tidak sampai RM20 pun. RM15 pun belum tentu. Namun bagi mereka yang memerlukan, RM20 itu sangat besar nilainya.

Bila hujan, para nelayan juga khuatir untuk turun ke laut. Takut juga jika berlaku sesuatu yang tidak diingini semasa di laut nanti dalam keadaan hujan dan angin yang tidak menentu.

Tidak kurang juga ramai para ibu yang kelihatan risau bila hujan. Biasanya jika hujan yang berterusan dari hari ke hari, maka banyaklah kain baju yang dibasuh tidak kering. Bersidaianlah di dalam rumah umpama kedai dobi.

Risau juga jika banjir kilat akan melanda bagi penghuni kotaraya Kuala Lumpur.

Apakah hujan itu tandanya musibah? Hujan lebat dan berterusan berhari-hari mungkinlah merisaukan. Tapi kalau sekejap-sekajap saja apalah sangat nak dikisahkan. Ramai yang bersyukur di wall facebook bila hujan turun setelah berhari-hari bumi kepanasan.

Bila cuaca panas saja, ramai pula yang batuk dan selsema. Termasuklah aku dan anak-anak dan hubby pun nyaris saja nak demam. Alhamdulillah! Semuanya dah ok, cuma baby Arif saja yang ada selsema sikit lagi.

Cuaca sering berubah-ubah sekejap hujan, sekejap panas dan adakalanya teduh. Begitu juga dengan kesihatan dan kehidupan kita. Bila aku susah atau sakit, mulut sering mengeluh. Terlupa bersyukur dikala senang mahupun sihat.

Rasulullah salallahualaihiwassalam bersabda yang bermaksud : "Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa sihat sebelum sakit. Masa senang sebelum datangnya masa susah. Masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Masa mudamu sebelum datang masa tua dan masa hidup sebelum tiba masa mati." (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).

3 comments:

Anonymous said...

hujan itu suatu rahmat..

Muhammad Izuan said...

slm. hujan tu memang rahmat dari Tuhan... bila hujan, tak payah la juga menyiram bunga, kan???

kalau nak dibandingkan sekarang dgn dulu, tahun 90-an, sekarang ni hujan dah mcm segan nak turun. dulu, kat rumah nenek sy, ada tempayan yang menakung air hujan... luak je, penuh semula...

sekarang ni, bila hujan, try tadah... alamat, berhenti hujan tu... berapa titik je yg dapat.

tapi betul, bagi peniaga, memang sedih bila hari hujan. pernah ayah sy cuba berniaga. lauk pauk tak habis. tak pulang modal...

ps:lama tak main hujan. hee

ummiross said...

Begitulah kuasa Allah kan, air yang sama, ada ketika membawa rahmat, ada ketika menjadi ujian, yang pasti banyaknya rahmat berbanding dengan ujian yg datang hanya sekali-sekala.

memang dulu2 susahnya mak ayah kita nak cari rezeki kan, syukurnya dengan apa yang kita kecapi sekarang, mungkin berkat doa mereka jugak..