iklan

Followers

Pages

Sunday, 19 June 2011

AYAH ,JASAMU ABADI DI HATI INI


Mengenang ayah betapa manjanya aku walau pun dah darjah 1 masih juga ayah angkat dan dukung aku ke bilik tidur kalau aku tertidur di ruang tamu pada waktu malam. Aku anak keempat, adik aku lahir semasa aku darjah 2. Tak sangka pula dapat adik lagi. 8 tahun beza umur dengan adik aku. Puas jugalah agaknya bermanja jadi anak bongsu selama 8 tahun tu. Selama 8 tahun itu jugalah semua ahli keluarga panggil aku Liza atau 'adik'. Nasib baik panggilan 'adik' tu tak bawa sampai ke tua.

Teringat lembut saja suara ayah bila mengejutkan aku bangun tidur sama ada untuk bangun sahur atau bangun pagi nak ke sekolah. "Lizaaaa... bangun sahur!" sambil tangan ayah menepuk perlahan bahu aku.

Ayah juga yang sering menemankan aku ke jamban di belakang rumah bila perut aku memulas nak 'membuang' ditengah malam. Susah aku nak dengar ayah mengomel atau merungut kerana tidurnya terganggu. Macam tak ada perasaan je... itulah ayah aku.

Kalau mak sibuk, ayah juga yang mengurut tangan aku kalau sakit. Tapi urut ayah dengan minyak afiat hijau yang masih aku guna hingga kini bagai tak terasa. Lembut sangat urutnya. Ayah kesian agaknya sebab aku budak-budak lagi. Lain hal pula dengan mak aku... brutal!

Ustazah ketuk tangan aku sebab kuku panjang katanya. Padahal ayah dah tolong potongkan sebab masa tu mak tak sempat nak buatkan. Ayah takut nak potong pendek sangat. Takut kalau-kalau terkena isi, meraung pulak aku nanti.

Kadang-kadang letihnya nak berjalan kaki ke sekolah rendah, sering aku minta ayah tolong hantarkan. Jika sempat, ayah hantarlah. Jika ayah awal turun ke ladang, terpaksalah jalan kaki aje. Rupanya perangai manja aku tu turun kat adik aku juga dalam kisah INI. Tapi aku tidaklah se'chubby' adik aku. Kurus kering aje! Mak selalu marah aku bila makan sikit. Rajin main je. Ayah tetap macam biasa, tak cakap apa pun.

Bermula tingkatan satu aku tinggal di asrama iaitu Asrama Semai Bakti Tun Abdul Razak, Kuantan. Istimewanya tinggal di asrama tajaan Felda ini akan menghantar pelajar-pelajarnya pulang hingga ke tangga rumah setiap kali cuti penggal. Bas-bas asrama akan menghantar kami ke lokasi tertentu di bandar-bandar yang terpilih. Kalau aku akan dihantar dari Kuantan ke Temerloh dan ada landrover dari Felda masing-masing yang menunggu untuk mengambil kami dan hantar terus ke rumah. Memang satu kenangan yang sangat unik bagi aku.

Lain pula bila tiba cuti hari raya atau cuti sabtu ahad. Kami terpaksa balik kampung atas usaha dan tanggungan sendiri. Maka terpaksalah aku menaiki bas Sri Jengka dari bandar Kuantan hingga ke simpang tiga di Bandar Pusat Jengka. Ayah dah tentu sedia menanti aku dengan motorsikal Suzuki birunya di simpang tiga itu. Sekarang mungkinlah ada telefon untuk kita berpesan pada ayah menunggu. Zaman aku cuma surat yang memberitahu aku akan pulang pada sekian hari dan sekian waktu.

Sabarnya ayah seingat aku tidak pernah merungut atau marah walaupun aku lewat hingga berjam-jam. Ayah cuma diam, start enjin motorsikal dan jalan. Ayah memang tak banyak cakapnya. Maklum sajalah naik bas awam yang sarat dan padat. Kalau aku tak dapat melepasi kepadatan semasa naik di Kuantan, terpaksalah aku menunggu trip seterusnya. Bermakna ayah aku terpaksalah menunggu lebih lama. Ayah memahami keadaan itu bukanlah salah aku.

Banyak lagi kisah-kisah tentang ayah dalam blog ini dengan label 'Ayah'. Begitu juga dalam blog adik aku INI. Terkenangkan ayah mampu mengalirkan air mata aku. Alfatihah buat ayah yang telah pergi pada 19 Ogos 2010, 9 Ramadhan 1431. Ramadhan bakal tiba...

Moga ayah termasuk dalam golongan orang-orang yang beriman. Aku doakan juga pada semua yang bergelar ayah dan bakal menjadi ayah dapat meninggalkan banyak kenangan manis buat anak-anak kalian.

8 comments:

Lulu Caldina said...

al-fatihah.. kak, semoga tabah

meyda said...

ayah anda seorang yang penyabar... dan sangat penyayang orangnya.

Semoga ayah anda dirahmati Allah s.w.t. dan tergolong dalam manusia dilindungi Allah. Amin...



http://hannah-here.blogspot.com/2011/06/ayah-jasamu-abadi-di-hati-ini.html

SoLy SoLicious said...

singgah dr segmen abg ben..
dtg bace kisah ayah kamu :)
haisshh..ustazah tu..ketuk die balik baru tahu..hahaha..gurau je

anismelon said...

singgah sini..kasihnya ibu membawa ke syurga..kasihnya bapa membawa bahagia..:)

Prince said...

prince dtg membaca kisah ayah awk..:)
selamat hari bapa...
lau prince nak bagi rm50 awk nak x?

http://www.prince91.com/2011/06/contest-anda-bagi-gambar-prince-bagi.html

Hanis Azla said...

kenangan indah yg tak bisa kita lupakan.. Semoga arwah ditempatkan bersama golongan org2 yg beriman..

Ummiross said...

Ayah sentiasa dihati kita...

Semoga rohnya sentiasa dicucuri rahmat, AlFatihah...

A.s.t.i.n.a said...

begitulah lumrah kehidupan..
sampai ketikanya kita pula menyusul..
sudah bersediakah kita?