Bakal jadi kedai dobilah dalam rumah hari ini. Nasib juga tak renovate bawah tangga jadi stor seperti yang sesetengah jiran aku buat. Dapatlah menyangkut baju di bawah setiap anak tangga. Kalau ada tetamu nak datang, kelam kabutlah menyambar kesemua baju dan letak sementara di bilik belakang.
Bila hujan seharian, surirumah memanglah susah hati. Semuanya pasal kain. Paling ketara risau tentang baju kerja suami dan baju sekolah anak-anak tak kering. Jika berupaya bolehlah beli mesin pengering baju, jika tidak letak bawah tangga ni je la.
Tinggal dalam rumah batu memang terasa bezanya dengan rumah papan dari segi suhunya. Semasa kecil dulu tinggal dalam rumah papan di kampung. Agak panas di waktu siang, maka bahagian aras bawahlah jadi tumpuan sebab nak sejuk. Tiada siapa nak tidur di siang hari di tingkat atas sebab hangatnya. Bila malam memang tak perlukan kipas atau aircon pun sebab sejuknya terasa. Selimut memang tak boleh tinggal. Sekarang pun macam tu juga di kampung aku walaupun rumah separa papan dan batu.
Panasnya dirumah batu boleh mengeringkan kain yang digantung bawah tangga malam tadi hingga pagi ini. Kalau nak cepat, gantung dalam bilik beraircond le. Sementara tidur, kain yang tebal pun cepat je keringnya.
Kalau di rumah batu, siang atau malam terasa panasnya. Kipas dan aircon bagai perlu 24 jam beroperasi. Itu yang buat bil elektrik melambung tinggi. Jika di kampung. bilnya tak sampai pun RM30, tetapi di rumah aku kena tambah satu angka lagi... pengsan! Itulah nilai yang perlu dibayar jika nak kan rumah batu dua tingkat dan setiap bilik tidur dipasang aircond untuk lebih selesa. Belum campur bil air lagi tu bila tujuh orang yang mandi dengan mesin basuh kain yang kerap beroperasi.
Ini yang dikatakan besar periuk, besarlah keraknya. Tapi periuk nasi elektrik bukan berkerak pun, kecuali bila dipanaskan berkali-kali.
No comments:
Post a Comment